Rezeki Berbakti Pada Tanah, Ibu Anak 4 Ini Jual Kerepek Sampai Australia

Share

Hebatnya ibu 4 anak ini, berniaga kerepek ubi dan keledek biru sehingga tembusi pasaran Perth, Australia. Terkini, bakal melebarkan sayap jualan kerepek ke negara China pula.

Usahawan berjaya, Siti Noraini Markom, 57, mula kenal apa itu berniaga dari arwah ayahnya, Haji Ridhuan yang ketika itu menjalankan Perusahaan Haji Ridhuan Dan Anak-anak.

Semakin ayah lanjut usia, syarikat makin sukar mendapatkan modal pusingan, membuatkan mereka menukar nama perniagaan menjadi Ani Biskut.

Waktu mula berniaga, saya buat makanan biskut tradisional Melayu seperti biskut kelapa, kuih goyang, kuih ros dan love letters. Tapi banyak permintaan yang mahukan kerepek, jadi saya terus terlibat dalam perniagaan kerepek.

Ketika berniaga 29 tahun lalu, saya masih muda remaja. Alhamdulillah, saya dapat bantuan kewangan dari Agrobank dan khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian terutama berkaitan tanah untuk bercucuk tanam,” cerita Noraini.

Sekitar tahun 1989, syarikatnya memulakan operasi. Namun, pasaran ke luar negara mula ditembusi kira-kira 10 tahun yang lalu di bawah jenama Ani Biskut.

 

Usahakan Tanaman Keledek

Perkara paling penting dalam perniagaan kerepek yang semakin berkembang maju ini adalah memastikan bekalan mentah sentiasa ada. Sebab itulah, Noraini meminta bantuan suami, Mohd. Nor Sukimi, 58, bercucuk tanam bagi memastikan bekalan bahan mentah yang diperlukan tak terputus.

Selama ini pun saya bercucuk tanam atas tanah tanaman kekal milik Jabatan Pertanian. Masa itu, saya tak ada tanah atau ladang untuk bercucuk tanam. Jadi, saya menyewa. Alhamdulillah ia serba sedikit dapat membantu saya dari segi bahan mentah sedia ada,” katanya.

Namun, adat berniaga ada jatuh bangunnya. Noraini juga pernah berdepan dengan masalah bekalan bahan mentah ketika negara dilanda fenomena El Nino.

Semua tanaman saya, ubi keledek tak menjadi, bila panas dia mati, dilanda hujan dan banjir. Masa itu bahan mentah terpaksa diambil dari tempat yang jauh seperti Perak, Kelantan dan Thailand.

Kalau ikutkan tanaman keledek ini agak sukar dan susah. Sebab itu, saya minta suami tanam tanaman itu untuk saya. Dia berusaha bersungguh-sungguh sampai menjadi.

Sebenarnya kalau kita ambil dari tempat yang jauh, harga kos bahan meningkat dari sepatutnya. Susah untuk saya berniaga. Syukurlah dari tahun lepas sampai tahun ini tanaman ubi dan keledek mula menjadi.

Walaupun zaman sekarang ini bahan mentah ubi agak kurang dan ramai teman-teman saya tak lagi menggoreng, saya masih menggoreng ubi.

Sebab bekalan dari tanaman suami saya tadi agak konsisten. Itu yang kena jaga bahan mentah saya baik-baik. Jadi saya boleh melebarkan sayap.”

 

Kerana Kerepek Pernah Hampir Disaman

Ketika awal berniaga dulu, pekerjanya hanya 2 orang. Jadual kerja pun dilakukan secara giliran hari. Masa itu untuk edaran di negeri Selangor, Noraini sudah ada 300 buah kedai.

Dari 300 itu ada yang nakkan kerepek. Macam biskut, perjalanannya agak lambat berbanding kerepek. Ia bukan makanan harian tapi untuk semua orang. Permintaan juga amat menggalakkan.”

Akuinya, pasaran ke luar negara berlaku secara spontan. “Rezeki tak dirancang, benda itu datang tanpa bantuan sesiapa. Kita sama-sama dengan distributor. Manakala agensi kerajaan beri khidmat nasihat

.

Sebenarnya perniagaan kerepek ubi dan keledek biru ini terlalu bagus. Tapi orang Malaysia tak suka makan keledek biru. Saya pun tak tahu kenapa. Sedangkan ia banyak antioksidan untuk melawan kanser.

Alhamdulillah, rezeki ada di mana-mana. Dan di Perth, Australia saya dah bekalkan kerepek ubi dan keledek biru lebih 10 tahun. Setiap 2 bulan sekali akan hantar stok barang ke sana,” katanya bersungguh-sungguh.

Barangan yang dihantar ke luar negara perlu dijaga kualitinya. Tak mudah sebenarnya untuk tembusi pasaran luar.

Banyak pengalaman perit yang terpaksa dilalui. Antaranya seperti pengguna kerepek mengadu gatal dan bengkak-bengkak muka malah saya hampir nak disaman.

Baru-baru ini, penguatkuasaan di Australia agak ketat. Makanan yang nak masuk ke sana kena dihantar ke makmal dahulu.

Proses itu amat memakan masa. Sebab itu kena berhati-hati dan paling penting jaga kualiti. Inilah yang kami tekankan agar pelanggan boleh terus merasa kenikmatan kerepek yang segar dan menarik.”

 

MAHA 2018

Bukan saja pelanggan dari luar negara, pelanggan tempatan juga boleh merasai keenakan kerepek buatan Noraini. Caranya, datang ke ekspo MAHA 2018 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia (MOA) selama 11 hari di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula dari 22 November hingga 2 Disember 2018.

Istimewa untuk pengunjung MAHA 2018 ini, mak-mak bakal menikmati segala yang terbaik ditawarkan oleh industri pertanian dan makanan Malaysia.

Ini termasuk hasil pertanian segar, hidangan popular, buah-buahan tempatan dan eksotik, serta menyelami pengalaman pertanian di pelbagai laman yang disediakan.

 

Kesusahan Ini Demi Untuk Anak-anak

Bermula di Kampung Kundang, Tanjung Sepat, Kuala Langat Selangor, hari ini wanita ini bukan saja cemerlang mempromosikan makanan tempatan kepada negara luar, malah mengekalkan edaran kerepek di pasaran tempatan.

Untuk pasaran tempatan, produknya diedarkan di Agro Bazar di Kampung Jawa, Klang bawah FAMA, showroom miliknya dan 3 orang pengedar di kawasan-kawasan setempat.

Biar apa juga rintangan, perjuangannya perlu diteruskan. “Komitmen kita terlalu banyak lagi yang belum selesai, pelanggan ramai, begitu juga kawan-kawan. Jadi pengalaman demi pengalaman inilah saya anggap satu yang baik untuk maju ke depan.”

Tiada istilah hangat-hangat tahi ayam, Peladang Jaya Wanita tahun 2016 dan penerima anugerah Perdana MAHA 2016 ini menghasilkan pengeluaran 500kg kerepek sehari.

 

Kekuatannya selain suami, 4 orang anak; Nurshafikha, Nurshaqira, Muhammad Shafiq dan Nursholeha itulah tulang belakangnya.

Pandang mereka hati saya sejuk. Sejujurnya penguat semangat yang paling utama ialah arwah ibu bapa saya. Tanpa dia saya tiada, malangnya bila saya dah sampai ke tahap ini mereka tiada.

Kini saya turunkan amanah kepada anak-anak. Perjuangan saya untuk anak-anak dan keluarga. Kesusahan yang ada ini, saya kuatkan untuk anak-anak.”

Sebelum mengakhiri bicara, Noraini tak lupa berkongsi rasa terima kasih kepada para pekerja, pegawai di jabatan, agensi kerajaan malah FAMA yang banyak menyokong kejayaan perniagaannya pada hari ini.

Published by
Netty Ah Hiyer