Susu ibu sangat banyak khasiatnya. Lebih-lebih lagi, buat tumbesaran bayi yang baru lahir dan dalam tempoh enam bulan pertama. Namun, bukan semua bayi bertuah dapat merasai air susu ibunya sendiri, atas pelbagai faktor tersendiri.
Atas rasa keibuan, seorang doktor mengambil keputusan untuk menjadi ibu susuan kepada bayi ajaib, Farah Hanis Fairol Haziri yang tidak pernah merasa setitik air susu ibu. Bayi itu kini yang berusia lebih tiga bulan sudah dua minggu menerima susu ibu oleh Dr Siti Nur Aqilah Mohd Khairul Adnan, 32, sekali gus menjadi ibu susuan bayi istimewa itu.
Dr Siti Nur Aqilah yang bertugas di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, di sini, berkata beliau tergerak hati untuk membantu Farah Hanis selepas mengetahui kisah bayi itu yang tidak sempat merasa susu ibu berikutan ibunya, Kamareeah Arwae, 36, yang koma sejak dari tempoh kehamilan lagi melalui akhbar.
“Saya menyuarakan hasrat itu kepada suami namun dia meminta saya bersabar seketika dan dalam masa yang sama saya turut berhubung dengan bapa Farah Hanis untuk meminta kebenarannya (memberi susu).
“Mengenangkan sudah dua bulan bayi itu hanya minum susu formula, hasrat saya dipersetujui dan bermula sejak dua minggu lalu, Farah Hanis sudah menjadi ‘anak perempuan’ saya,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Keluarga Penyusuan sempena sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2019 peringkat Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau adalah antara 150 peserta yang menghadiri program berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi HUSM, Prof Dr Mohd Imran Yusof.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berjaya dilahirkan melalui pembedahan selepas ibunya koma ketika hamil sejak Disember tahun lalu kerana menghidap ketumbuhan di kepala.
Dari seawal usia dua bulan dalam kandungan, bayi itu hanya bergantung pada susu dimasukkan melalui tiub dari leher ibu, Kamareeah yang koma selepas mengalami kejang dan sawan berikutan tumor semakin membesar.
Justeru, kelahiran Farah Hanis disifatkan satu ‘keajaiban’ kerana bayi berkenaan pada awalnya dijangka tidak mampu diselamatkan susulan keadaan Kamareeah menjalani banyak proses rawatan ketika koma, termasuk imbasan yang boleh memberi kesan terhadap janin ketika itu.
Dr Siti Nur Aqilah berkata, stok susu akan diberikan setiap minggu dan ahli keluarga bayi itu akan datang mengambilnya di rumah.
Beliau yang turut mempunyai seorang bayi berusia lima bulan berkata, Farah Hanis dapat menerima susu badannya dengan baik walaupun sudah dua bulan minum susu formula dan situasi itu dianggap kebetulan.
“Kulit Farah Hanis juga menunjukkan sedikit perubahan yang mana kini kelihatan lebih anjal dan gebu kerana khasiat susu badan itu sendiri memang sangat penting.
“Insya-Allah, saya akan terus membekalkan susu badan kepadanya sehingga mencapai satu usia yang sesuai untuk dilepaskan keperluan itu,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
MW: Alhamdulillah, rezeki ‘bayi ajaib’ ini. Walaupun tidak pernah merasai setitik pun air susuan daripada ibu kandungnya sendiri, namun rezeki Farah Hanis mendapat khasiat susu ibu daripada ibu susuan. Semoga bayi ini membesar dengan sihat hendaknya.
Sumber: Bharian