Reunion adalah majlis perjumpaan semula, terutamanya di kalangan rakan-rakan sekolah yang sudah lama terpisah. Memang bagus kerana dapat mengeratkan kembali silaturahim yang berpuluh tahun terputus. Namun yang tak best, bila ada suami/isteri orang yang curang dengan pasangan mereka selepas kembali bertemu kekasih lama!
Begitulah yang terjadi kepada lelaki ini. Dia mengaku, rumah tangganya musnah akibat majlis reunion yang dihadiri. Lebih mengejutkan, bukan dia saja yang curang, bahkan isterinya (ketika itu) juga curang! Ikuti pengakuannya pada Mingguan Wanita.
Sama-sama Curang Lepas Reunion
Setiap pasangan pasti menginginkan bahtera rumah tangga mereka berkekalan hingga ke hujung nyawa. Namun tidak sedikit pasangan yang terpaksa mengambil keputusan untuk berpisah. Penyebabnya pelbagai. Ada yang kerana sudah tiada persefahaman lain, masalah kewangan dan banyak juga akibat salah seorang curang. Untuk kes Fauzan dan Farhana, mereka sama-sama curang!
“Korang berdua memang sepadan. Nama pun lebih kurang sama sebutan. Tahniah. Moga kekal ke jannah,” terngiang kata-kata ucapan di awal perkahwinan dahulu. Ramai yang memuji akan pasangan Fauzan dan Farhana yang cukup sepadan.
Fauzan bekerja sebagai Pengurus Bank manakala Farhana seorang pendidik. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 13 dan 14 tahun yang tinggal di asrama. Kesibukan masing-masing tidak pernah menghalang untuk mereka hidup bahagia.
Belajar Satu Sekolah Dan Satu Universiti
Bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Kedah. Fauzan senior dua tahun daripada Farhana dan merupakan abang angkat Farhana ketika di sekolah. Ketika memasuki universiti yang sama di Australia, hubungan mereka semakin rapat. Hidup di rantau orang membuatkan Fauzan sering membantu Farhana di sana. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin sekembali ke Malaysia.
Ads
Kalau hendak diikutkan, mereka tidaklah sampai tahap bercinta kerana masih terluka dengan pengalaman cinta ketika di sekolah menengah. Farhana pernah bercinta selama tiga tahun dengan rakan sekelasnya dan Fauzan pula pernah bercinta selama dua tahun dengan rakan setingkatan.
Hubungan dengan pasangan masing-masing terputus setelah mereka menyambung pelajaran ke Australia. Namun atas rasa sayang dan keakraban yang terjalin, mereka berasakan diri mereka serasi untuk hidup bersama lantas mengambil keputusan untuk berkahwin. Bagi mereka, cinta boleh dipupuk selepas kahwin..
Reunion Rakan universiti
Sering kali Fauzan dengar tentang kisah rumah tangga yang hancur setelah menghadiri majlis reunion dengan rakan sekolah. Malah, dia pernah bincangkan perkara itu dengan Farhana.
Namun mereka yakin dengan hati masing-masing yang tidak akan berubah. Tambahan pula, usia perkahwinan yang mencecah 15 tahun membuatkan mereka rasa rumah tangga mereka sudah cukup stabil dan kukuh untuk menghadapi apa juga dugaan. Sepanjang tempoh itu, bukan sedikit cabaran yang diterima apatah lagi keduanya berparas rupa menarik walau pun sudah mencecah usia lewat 30-an. Namun semuanya dapat ditepis dengan sebaiknya.
Ads
Undangan untuk majlis perjumpaan rakan sekolah menengah diterima. Fauzan dan Farhana bersetuju untuk turut serta. Masing-masing ingin berjumpa rakan lama. Siapa sangka, majlis itulah yang men jadi punca segala-galanya.
Pertemuan Dengan Bekas Kekasih Dalam Reunion
Fauzan terjumpa dengan bekas kekasihnya yang masih lagi kekal single walau pun usia semakin lanjut. Kini mempunyai perniagaan sendiri. Farhana juga bersua kembali dengan bekas kekasihnya yang kini duda dengan seorang cahaya mata. Ketika itu, salam ukhuwah dihulur tanpa ada apa-apa niat.
Bahkan, Fauzan dan Farhana turut memperkenalkan pasangan mereka kepada bekas-bekas kekasih mereka. Kebetulan mereka berempat saling mengenali sebagai senior-junior.
Disangka pertemuan itu hanya terhenti sekadar itu. Dalam diam, Fauzan dan Farhana masih berhubungan dengan bekas kekasih masing-masing. Fauzan membantu bekas kekasihnya itu mendapatkan pinjaman untuk membesarkan perniagaannya. Farhana pula sentiasa menjadi tempat untuk bekas kekasihnya bertanyakan tentang pelajaran anak tunggalnya memandangkan Farhana seorang guru.
Ads
Saling menipu
Benar kata orang, jangan sesekali menyediakan lorong ke arah jalan yang kita tidak mahu. Apabila jalan terbentang luas, godaan demi godaan akan muncul. Perasaan sayang muncul kembali. Namun, Fauzan dan Farhana sedaya upaya menyembunyikan kecurangan masing-masing. Pandai makan, pandai simpan.
Hampir tiga bulan berlalu, Fauzan dan Farhana semakin berani untuk berjumpa dengan kekasih mereka. Sudah pasti, tanpa pengetahuan masing-masing. Kesibukan kerja Fauzan membuatkan dia mencuri masa berjumpa dengan kekasihnya selepas waktu kerja, dengan alasan OT. Farhana pula, sebaik pulang dari mengajar, boleh mencuri ruang untuk keluar bertemu janji. Anak-anak tiada di rumah membuatkan mereka berdua punya banyak waktu terluang.
Hidu Kecurangan Masing-Masing
Namun, perkara yang tidak elok lambat laun akan terbongkar jua. Fauzan dapat menghidu kecurangan Farhana dan begitu juga sebaliknya. Ketika itu tiada rasa marah kerana sedar kesalahan dan kecurangan masing-masing. Akhirnya, Fauzan dan Farhana memilih untuk berpisah secara baik. Penjagaan anak-anak juga dikongsi bersama.
Kini Fauzan telah berkahwin dengan kekasih lamanya dan begitu juga Farhana. Walau pun pahit namun masing-masing tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana segala-galanya berpunca daripada diri mereka sendiri. Atau mungkin juga, cinta mereka terhadap kekasih lama mereka lebih mendalam berbanding cinta antara mereka. Ya, perkahwinan mereka dahulu bukan berlandaskan cinta sepenuhnya. Apa pun segala-galanya telah ditakdirkan.
Tanyalah mana-mana mak ayah di dunia ini, siapa yang tak sayang anak? Mungkin yang tak sayang itu ada sebab tertentu. Tapi jauh di sudut hati, anak itulah yang menjadi pengikat kasih sayang suami isteri.
Sayang anak tak semestinya ditatang bagai minyak yang penuh, tak kisah apa yang anak inginkan. Sebab itu, jangan ingat mak ayah zaman dulu yang garang dan tegas itu tidak sayang anak.
Itulah cara mak ayah sayang anak dengan mendidik kita untuk jadi yang lebih baik, pandai dan orang berguna. Kalau nak dibandingkan mak ayah sekarang ini, kebanyakan lebih manjakan anak, itu yang membimbangkan.
Kadang-kadang perbezaan cara didik anak zaman dulu dengan sekarang inilah membuatkan anak mula demand dan mulalah tunjuk kurang ajar pada mak ayah sendiri. Inilah yang cuba dibandingkan oleh Khairul Anuar Basri cara mak ayah dulu dan sekarang didik anak. Ada benarnya!
Duduk dengar video pakar kaunseling tentang hubungan mak ayah dan anak-anak ini kadang-kadang buat saya tersenyum sendiri.
Macam-macam demand anak-anak pada mak ayah zaman sekarang ni. Kena cakap elok-elok, luangkan masa, faham jiwa, selami perasaan, kena itu dan kena ini.
Jangan dera emosi anak-anak. Jadikan anak-anak sebagai kawan. Didik dengan penuh lemah lembut. Jangan nak tengking-tengking. Macam-macam sungguh la.
Antara punca katanya anak-anak ni lebih rapat dengan kawan-kawan diorang, sebab mak ayah tak pandai nak penuhi tuntutan dan keperluan mereka. Anak-anak lebih suka nak kongsi masalah dengan kawan-kawan sebab mereka lebih sudi nak tadah telinga dengar masalah mereka lebih dari mak ayah.
Padahal kawan-kawan yang katanya memahami tu, tak ada pun mereka yang tanggung makan pakai. Bila anak-anak sakit dan tersepit, mak ayah yang kurang memahami inilah yang akan bergegas untuk menyelamatkan anak!
Tak tahulah, kepercayaan saya ni salah atau macam mana. Duk kira mak ayah saja kena ambil berat apa yang anak-anak perlukan. Habis tu, anak-anak tak perlu ke ambil berat apa yang mak ayah nak dari mereka?
Ilmu kekeluargaan zaman moden ni banyak yang dah menyasar jauh nampaknya. Tak hairan la ada hadith sebut tentang hamba yang melahirkan tuannya. Mak ayah up to certain extend dah jadi macam hamba dah kat anak-anak.
Beza Dulu Dengan Sekarang
Zaman dulu-dulu, tak timbul isu mak ayah kena faham anak-anak ni. Kau nak merajuk dengan mak ayah kau, maknanya kebulur la kau tak makan!
Dulu-dulu, mak ayah garang ini hanya akan menyebabkan anak-anak lebih takut dan hormat. Zaman sekarang mak ayah garang ni jadi satu kesalahan.
Zaman dulu, mak ayah kita tak fikir tentang kita macam kita fikir tentang anak-anak kita sekarang. Kita jadi matang dan cerdik dengan sendiri, lebih cepat dari umur kita.
Anak-anak zaman sekarang, semua mak ayah yang tolong fikir. Nak sekolah kat mana, jadual waktu belajar subjek apa, nak pakai baju apa pergi sekolah, tuisyen kat mana, sambung belajar kat mana, mohon biasiswa apa, nak simpan duit tabungan apa, ambil plan takaful apa, kerja kat mana, beli rumah jenis macam mana, nak itu dan nak ini.
Pergi sekolah berhantar berjemput. Nak pergi asrama pun sama berhantar berjemput. Jauh la macamana sekalipun, anak-anak tetap jugak jadi keutamaan dan masuk dalam jadual.
Macam-macam yang mak ayah tolong fikir dan buat untuk anak-anak. Yet, anak-anak masih nak demand macam-macam dari mak ayah?
Anak-anak, jangan ingat bila ayah garang, ayah tak ambil tahu pasal korang. Ayah akan pastikan korang tak berlapar. Setiap malam sebelum tidur, ayah pasti akan bertanya kepada mak; apa khabar anak itu, apa cerita anak ini. Korang tak tahu.
Wahai anak-anak, jangan ingat bila mak lebih lembut dari ayah, korang boleh buat apa saja. Mak pun ada hati dan perasaan juga yang korang kena jaga. Setiap masa mak menangis seorang diri bila hatinya terhiris dengan kata-kata dan perlakuan anak-anak. Korang tak tahu.
Zaman ini memang zaman penuh cabaran. Semua situasi menyokong dan menyebelahi anak-anak. Apa lagi yang tinggal untuk mak dan ayah?
Sebab itu saya kurang setuju dengan pendapat bahawa zaman berubah, cara didikan pada anak-anak juga kena berubah. Cara didikan yang hanya akan menyebabkan anak-anak hilang nilai hormat pada mak ayah. Dah tak tahu dah kat mana tempat masing-masing yang sepatutnya.
Fahami Isi Hati Mak Ayah
Anak-anak, kalau korang boleh faham isi hati mak ayah ni, korang akan tahu bahawa tak ada mak ayah dalam dunia ni nak tengok anak-anaknya kurang serba-serbi. Semua mak ayah dalam dunia ni nak tengok setiap apa yang anak-anak butuhkan, ia perkara pertama yang anak-anak akan dapat setelah membuka mata di waktu pagi.
Mak ayah nak tengok anak-anak jadi manusia terbaik dunia dan akhirat. Nak tengok anak-anak solatnya tak tinggal, akhlaknya terpuji, budi pekertinya luhur, cakap-cakapnya sopan, penuh rasa tanggungjawab dan pandai bawa diri.
Tak ada orang yang akan sayang anak-anak lebih daripada mak ayah mereka sendiri. Tiada mak ayah yang akan buang anak-anak mereka walaupun seisi dunia dah pun membenci.
Marah dan kecil hati macam mana pun mak ayah, nama anak-anak tak akan pernah tertinggal dalam setiap doa dan munajatnya.
Itulah mak ayah. 2 makhluk yang juga perlukan ruang dan perhatian. Merek ini jugalah yang perlukan kasih sayang dan hak untuk dihormati.
Bacalah coretan ini aduhai anak-anak… nanti bila kamu sudah menjadi mak ayah, ketika itu kamu akan mengerti apa maksud tulisan ini.
#KAB
Mingguan Wanita : Semua ini tepat sekali. Anak-anak, apa yang mak ayah lakukan demi untuk masa depan, hargailah dan sayangilah mereka selagi masih ada.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Alhamdulillah, bersyukurlah kaum mak-mak yang mendapat peluang menjadi suri rumah mendidik anak-anak dan menguruskan rumah tangga untuk tahun 2018.
Namun jangan lupa semak balik adakah azam tahun ini sudah tercapai dan hasilnya lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Jika sudah tercapai, jom meneruskan langkah ke depan dengan azam yang lebih manis demi menjemput bahagia dalam hubungan keluarga untuk tahun akan datang daripada tip Puan Ainun Mardhiah ini.
TIP SURI RUMAH TANGGA MENGHADAPI 2023
Bismillah.
Beberapa hari lagi 2022 akan tiba.
Persediaan kita bagaimana?
Mukminah solehah yang serius membuat persiapan untuk akhiratnya akan memandang masa itu sebagai perkara yang berat dalam hidupnya. Orang-orang soleh sangat menitikberatkan tentang perihal masa. Mereka menyusun hidup agar masa terisi dengan baik.
TIP 1 : APA IMPIAN ANDA PADA TAHUN 2023?
+Tulis sahaja di dalam planner, diari atau buku catatan. Jangan malu. Jangan rasa itu poyo. “Alah, asyik tulis je.. buatnya idok.” Buang pemikiran negatif sebegini. Tulis, tulis dan tulis. Bukankah impian itu suatu doa?
+ Buat impian kita untuk rumah tangga. Contoh : Pengurusan baju yang lebih cemerlang. Baju bersangkut, tak buat gunung berapi dah. (Contoh)
+ Impian kita untuk anak-anak. Nak didik anak mengaji lepas maghrib. Setengah jam sahaja setiap hari. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, kan? Kalau konsisten insyaAllah anak boleh khatam membaca Al-Quran dengan kita sendiri. Wah bestnya!
+ Impian dalam hubungan rumah tangga : Azam tak nak jadi terlalu garang dah, azam nak jadi ibu yang lembut tapi tegas. Azam nak jadi isteri yang lembut melayan suami. Best friend forever gitu.
Kesimpulannya : Tulis, tulis dan tulis. Anda akan tersenyum bila semua azam itu berjaya dilaksanakan nanti InsyaAllah.
TIP 2 : APA KEKUATAN UNTUK KITA LAKSANAKAN AZAM TU?
Senaraikan apa amalan harian yang kita nak buat supaya kita kuat dalam mujahadah melaksanakan amanah.
Dalam buku “Kucium Haruman Syurga” saya ada masukkan amalan-amalan yang kalau kita gagahkan diri untuk laksanakan, insyaAllah kita akan dapat kekuatan.
? Qiamullail ? Baca Al-Quran ? Tadabbur Isi Al-Quran ? Istighfar setiap hari wajib! ? Tambah ilmu dengan membaca. Buku “Asam Garam Rumahtangga Nabi” bagus sangat untuk kita baca. Cuba fahami bagaimana Nabi dan para isteri Baginda mengurus emosi..So sweet!
TIP 3 : DETAILKAN SEDIKIT SEMUA AZAM DAN IMPIAN TADI.
Contoh, kita tahu untuk kita dan anak-anak terpimpin dalam hidup, penting sangat kita didik mereka SOLAT dan Al-Quran. Tiada kompromi. Inilah kekuatan diri seorang muslim.
Detailkan lagi strategi macamana kita nak didik mereka solat? Apa video ceramah yang kita nak rujuk? Macamana nak bagi mereka suka solat? Kalau letih dah ajak tapi mereka taknak juga, apa lagi yang boleh kita buat?
Al-Quran pula : Jika anak usianya 6 tahun sudah boleh mula ajarkan Iqra’ atau apa sahaja teknik. Tak perlu garang-garang. Tenang sahaja. Kenalkan dia kepada huruf. Bagi dia suka mengaji dengan kita. Buku “Score My Tajwid” pun bagus untuk bantu dia suka Tajwid.
Anak sekolah rendah sudah boleh didik dengan disiplin. Bukan terlalu garang ya. Terangkan apa bestnya mengaji? Nanti hati tenang.. Allah sayang. Dia pun akan rasa seronok bila kita konsisten ajar mengaji setiap hari InsyaAllah.
Hanya perkongsian ringkas sebagai lontaran buah fikir untuk kita menghadapi tahun hadapan.
Kalau dalam bab pengurusan syarikat kita sudah siapkan roadmap untuk 10 tahun. Apatah lagilah RUMAH TANGGA. Keluarga kita ibarat kerajaan kecil kita. Ia perlu dirancang dan diurus dengan baik. Usaha sehabis daya. Tunduk dengan percaturan Yang Maha Esa.
Selamat merancang!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau kerap sangat anak demam suhu panas yang agak lama berbanding biasa, itu mungkin tanda-tanda tonsil menyerang. Selain itu anak-nak akan jadi sakit tekak dan sukar menelan, radang atau bengkak tonsil biasanya disertai sakit telinga, sembelit, sakit kepala,lemah tubuh dan hilang selera makan.
“Doktor, anak saya ini kerap sangat kena sakit tekak, banyak dah doktor kata dia ada tonsil, boleh ke saya nak dia buat operation, buang saja tonsilnya?”
Perlu disedari bahawa tidak semua kes-kes tonsillitis memerlukan pembedahan tonsillectomy iaitu membuang tonsil. Oleh itu, apakah rawatan sebaiknya?
Pesakit seharusnya diberikan rawatan ubat-ubatan terlebih dahulu. Dapatkan rehat yang cukup di rumah. Minum air secukupnya. Buat pemeriksaan bersama doktor.
Ubat antibiotik perlu diberi jika ada tanda-tanda ia disebabkan oleh jangkitan bakteria sahaja. Ini kerana kebanyakan kes tonsillitis adalah disebabkan oleh virus. 15-30 peratus sahaja disebabkan oleh jangkitan bakteria!
Apakah tanda-tanda masalah tonsil disebabkan oleh jangkitan bakteria?
1. Tompok-tompok keputihan pada permukaan tonsil.
2. Demam panas, terutama disertai sakit tekak melebihi tiga hari.
3. Peningkatan sel darah putih leukosit dalam darah
4. Bakteria yang biasa menyerang tonsil ialah Group A Beta-Hemolytic Streptococci.
Apakah kriteria dan ciri-ciri bahawa anak anda memerlukan pembedahan untuk membuang tonsil?
1. Serangan tonsillitis teruk yang berulang melebihi enam serangan setahun beserta dengan demam panas dan bengkak kelenjar leher.
2. Sekatan pada saluran pernafasan sehingga mengganggu pernafasan, proses menelan dan percakapan. Masalah ini jika tidak dirawat dengan baik boleh membawa kepada sindrom apnea (berhenti pernafasan).
3. Nanah perintonsil (di sekitar tonsil) yang melebihi sekali serangan. Juga dipanggil peritonsillar abscess.
4. Bengkak satu sisi tonsil sahaja, tonsil membesar pada satu sisi sahaja yang berkemungkinan kanser. Harus berhati-hati.
Info gambar:
Gambar 1 menunjukkan pembengkakan tonsil disertai dengan pembengkakan pada kelenjar leher.
Gambar 2 menunjukkan bagaimana prosedur tonsillectomy, pembedahan membuang tonsil dilakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...