Reunion adalah majlis perjumpaan semula, terutamanya di kalangan rakan-rakan sekolah yang sudah lama terpisah. Memang bagus kerana dapat mengeratkan kembali silaturahim yang berpuluh tahun terputus. Namun yang tak best, bila ada suami/isteri orang yang curang dengan pasangan mereka selepas kembali bertemu kekasih lama!

Begitulah yang terjadi kepada lelaki ini. Dia mengaku, rumah tangganya musnah akibat majlis reunion yang dihadiri. Lebih mengejutkan, bukan dia saja yang curang, bahkan isterinya (ketika itu) juga curang! Ikuti pengakuannya pada Mingguan Wanita.

 Reunion Akibatkan Rumah Tangga 15 Tahun Musnah Sekelip Mata!Sama-sama Curang Lepas Reunion

Setiap pasangan pasti menginginkan bahtera rumah tangga mereka berkekalan hingga ke hujung nyawa. Namun tidak sedikit pasangan yang terpaksa mengambil keputusan untuk berpisah. Penyebabnya pelbagai. Ada yang kerana sudah tiada persefahaman lain, masalah kewangan dan banyak juga akibat salah seorang curang. Untuk kes Fauzan dan Farhana, mereka sama-sama curang!

“Korang berdua memang sepadan. Nama pun lebih kurang sama sebutan. Tahniah. Moga kekal ke jannah,” terngiang kata-kata ucapan di awal perkahwinan dahulu. Ramai yang memuji akan pasangan Fauzan dan Farhana yang cukup sepadan.

Fauzan bekerja sebagai Pengurus Bank manakala Farhana seorang pendidik. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 13 dan 14 tahun yang tinggal di asrama. Kesibukan masing-masing tidak pernah menghalang untuk mereka hidup bahagia.

Belajar Satu Sekolah Dan Satu Universiti

Bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Kedah. Fauzan senior dua tahun daripada Farhana dan merupakan abang angkat Farhana ketika di sekolah. Ketika memasuki universiti yang sama di Australia, hubungan mereka semakin rapat. Hidup di rantau orang membuatkan Fauzan sering membantu Farhana di sana. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin sekembali ke Malaysia.

Kalau hendak diikutkan, mereka tidaklah sampai tahap bercinta kerana masih terluka dengan pengalaman cinta ketika di sekolah menengah. Farhana pernah bercinta selama tiga tahun dengan rakan sekelasnya dan Fauzan pula pernah bercinta selama dua tahun dengan rakan setingkatan.

IKLAN

Hubungan dengan pasangan masing-masing terputus setelah mereka menyambung pelajaran ke Australia. Namun atas rasa sayang dan keakraban yang terjalin, mereka berasakan diri mereka serasi untuk hidup bersama lantas mengambil keputusan untuk berkahwin. Bagi mereka, cinta boleh dipupuk selepas kahwin..

Reunion Rakan universiti

Sering kali Fauzan dengar tentang kisah rumah tangga yang hancur setelah menghadiri majlis reunion dengan rakan sekolah. Malah, dia pernah bincangkan perkara itu dengan Farhana.

Namun mereka yakin dengan hati masing-masing yang tidak akan berubah. Tambahan pula, usia perkahwinan yang mencecah 15 tahun membuatkan mereka rasa rumah tangga mereka sudah cukup stabil dan kukuh untuk menghadapi apa juga dugaan. Sepanjang tempoh itu, bukan sedikit cabaran yang diterima apatah lagi keduanya berparas rupa menarik walau pun sudah mencecah usia lewat 30-an. Namun semuanya dapat ditepis dengan sebaiknya.

Undangan untuk majlis perjumpaan rakan sekolah menengah diterima. Fauzan dan Farhana bersetuju untuk turut serta. Masing-masing ingin berjumpa rakan lama. Siapa sangka, majlis itulah yang men jadi punca segala-galanya.

Pertemuan Dengan Bekas Kekasih Dalam Reunion

Fauzan terjumpa dengan bekas kekasihnya yang masih lagi kekal single walau pun usia semakin lanjut. Kini mempunyai perniagaan sendiri. Farhana juga bersua kembali dengan bekas kekasihnya yang kini duda dengan seorang cahaya mata. Ketika itu, salam ukhuwah dihulur tanpa ada apa-apa niat.

Bahkan, Fauzan dan Farhana turut memperkenalkan pasangan mereka kepada bekas-bekas kekasih mereka. Kebetulan mereka berempat saling mengenali sebagai senior-junior.

Disangka pertemuan itu hanya terhenti sekadar itu. Dalam diam, Fauzan dan Farhana masih berhubungan dengan bekas kekasih masing-masing. Fauzan membantu bekas kekasihnya itu mendapatkan pinjaman untuk membesarkan perniagaannya. Farhana pula sentiasa menjadi tempat untuk bekas kekasihnya bertanyakan tentang pelajaran anak tunggalnya memandangkan Farhana seorang guru.

Saling menipu

Benar kata orang, jangan sesekali menyediakan lorong ke arah jalan yang kita tidak mahu. Apabila jalan terbentang luas, godaan demi godaan akan muncul. Perasaan sayang muncul kembali. Namun, Fauzan dan Farhana sedaya upaya menyembunyikan kecurangan masing-masing. Pandai makan, pandai simpan.

Hampir tiga bulan berlalu, Fauzan dan Farhana semakin berani untuk berjumpa dengan kekasih mereka. Sudah pasti, tanpa pengetahuan masing-masing. Kesibukan kerja Fauzan membuatkan dia mencuri masa berjumpa dengan kekasihnya selepas waktu kerja, dengan alasan OT. Farhana pula, sebaik pulang dari mengajar, boleh mencuri ruang untuk keluar bertemu janji. Anak-anak tiada di rumah membuatkan mereka berdua punya banyak waktu terluang.

Hidu Kecurangan Masing-Masing

Namun, perkara yang tidak elok lambat laun akan terbongkar jua. Fauzan dapat menghidu kecurangan Farhana dan begitu juga sebaliknya. Ketika itu tiada rasa marah kerana sedar kesalahan dan kecurangan masing-masing. Akhirnya, Fauzan dan Farhana memilih untuk berpisah secara baik. Penjagaan anak-anak juga dikongsi bersama.

Kini Fauzan telah berkahwin dengan kekasih lamanya dan begitu juga Farhana. Walau pun pahit namun masing-masing tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana segala-galanya berpunca daripada diri mereka sendiri. Atau mungkin juga, cinta mereka terhadap kekasih lama mereka lebih mendalam berbanding cinta antara mereka. Ya, perkahwinan mereka dahulu bukan berlandaskan cinta sepenuhnya. Apa pun segala-galanya telah ditakdirkan.

https://www.facebook.com/mingguanwanita/

https://www.mingguanwanita.my/cinta-berputik-jodoh-bertaut-ketika-hadiri-reunion-mungkin-ini-sebabnya/