Ruang menunggu ICU Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hampir penuh dengan pengunjung. Pelbagai reaksi ditunjukkan. Ada yang tenang, ada juga yang tak henti mengalirkan air mata.
Penulis mengambil tempat berhampiran seorang wanita berusia lewat 30-an. Kami saling berbalas senyum. Dan perkenalkan diri masing-masing.
Dia Cikgu Ranita dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai. Hari itu dia datang melawat bekas pelajar sekolahnya yang baru dua hari kemalangan.
Iya, penulis pernah melihat berita mengenainya yang tular di media sosial. Remaja yang dilanggar ketika pulang dari tempat kerja kini terlantar di katil tanpa mampu berbuat apa-apa. Sadis!
Penulis segera dibawa melihat keadaan mangsa, Muhammad Shafirul Mohd Hanafi, 19. Raut wajahnya sedikit bimbang. Cuba disembunyikan dengan perbualan dan senyuman. Dia nampak semakin sihat walaupun masih terbaring di atas katil.
Jari sudah mampu digerakkan cuma tidak boleh terlalu ‘dibeban’ dengan senaman keras. Bimbang mengundang bahaya padanya.
Penulis cuba mengehadkan perbualan supaya Shafirul dapat berehat dengan selesa. Hanya kata-kata motivasi jadi penguat semangat di samping doa kepada Yang Maha Kuasa agar bekas atlet sekolah ini kembali sihat seperti sebelumnya.
“Shafirul seorang pelajar yang baik. Waktu di sekolah dahulu, dia terkenal sebagai atlet dalam sukan bola baling (wakil negeri) selain melibatkan diri dalam Pertandingan Kawad Kaki PKBM (wakil negeri).
“Dia juga rajin dan banyak membantu para guru. Melihatkan keadaannya pada hari ini, hati saya menjadi sayu.
“Saya tahu dia kuat semangat dan saya yakin, dia akan sembuh kembali. Doa saya, para guru dan pelajar-pelajar lain sentiasa mengiringi kesejahteraannya.”
Kami berjalan seiringan, kembali ke ruang menunggu. Perlahan, penulis menghampiri Rohana Man, 50, ibu Shafirul yang kelihatan sedikit penat.
Semalaman dia di situ, ditemani suami dan anak perempuannya yang kebetulan baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan. Wajah Rohana nampak biasa tetapi jauh di sudut hati, penulis tahu betapa risaunya hati seorang ibu.
“Shafirul kemalangan pada 11 November yang lalu. Sekitar jam 2.30 pagi, suami terima panggilan telefon daripada kawan Shafirul. Ringkas sahaja ayatnya tetapi cukup menggemparkan kami sekeluarga.
“Pak Cik, Shah kemalangan. Ambulans dah bawa Shah ke hospital ni!”
“Suami tak mampu berkata apa-apa. Ayat yang keluar dari mulutnya hanya “Cepat siap. Kita pergi hospital sekarang!” Jantung saya berdebar seperti hendak pecah.
Sepanjang perjalanan, mulut saya tak putus berdoa mengharapkan kecederaan Shafirul tidak seserius mana. Tetapi, bila diberitakan Shafirul ditempatkan di zon merah, saya sudah tahu jawapannya namun masih mengharapkan keajaiban dari Yang Maha Kuasa agar Shafirul tidak apa-apa.
Nakkan kepastian, suami tanyakan pada rakannya bernama Zul. Memandangkan Zul lah individu pertama yang tiba di tempat kejadian. Kata Zul, dia difahamkan terdapat sebuah kereta membuat pusingan-U lalu melanggar motor Shafirul.
Keadaan motor agak teruk di bahagian hadapan tetapi Shafirul tidak banyak pendarahan. Hanya terdapat sedikit kesan luka dan geselan. Masa tu Shafirul sudah tidak sedarkan diri walaupun namanya dipanggil berulang kali.
Kesan daripada kemalangan yang berlaku, Shafirul yang mesra dengan panggilan Abang Ngah dikatakan berdepan masalah retak pada tulang belakang serta pendarahan di bahagian paru-paru (pneumothorax).
Doktor rancang nak buat pembedahan bagi memasukkan besi di tulang belakangnya. Nanti dapatlah Shafirul berjalan semula. Syaratnya, paru-paru Shafirul kena dalam keadaan yang baik.
“Kos pembedahan cecah belasan ribu ringgit. Sekarang ini saya seorang yang bekerja. Suami baru saja pulih dari serangan angin ahmar. tapi kami cuba sediakan mana yang termampu. Demi anak, semuanya mesti boleh.”
Malam itu, Rohana telefon anaknya sekitar jam 11 malam. Tanyakan sama ada anaknya dah makan atau belum. Bila dia jawab sudah. Dia pun lega.
“Sampailah kami terima panggilan telefon jam 2.30 pagi. Waktu itu barulah hati dan fikiran saya berkecamuk.
“Walaupun berat tetapi kami redha dengan ujian ini. Kata orang, benda nak jadi kan. Yang lepas kami tak mahu fikir sangat.
“Fokusnya sekarang pada kesihatan Shafirul. Berikan motivasi dan sokongan agar semangatnya kembali kuat
.Shafirul anak yang baik. Dia baru 8 bulan bekerja. Sepanjang kerja dia tak pernah tak hulur wang pada ibunya.
“Dapatlah beli barang dapur. Adik beradiknya pun dapat ‘habuan’ duit juga belanja makan. Dia memang pemurah dan rapat dengan adik beradiknya.” Iaitu Nur Shafika, 21 dan Muhammad Shahredzuan, 15.
“Dengan kawan-kawan pun macam itu. Setia sangat! Sampaikan kalau kawan telefon pagi-pagi buta minta tolong pun, dia terus pergi walau tak mandi dan bersarapan.
“Mungkin kerana sikapnya yang sebegitu, dia sentiasa disenangi.” Hari itu juga Rohana yang menerima kunjungan wakil guru SMK Seri Pantai bagi menyampaikan wang sumbangan dari para guru.
Disebabkan kelalaian, orang lain menerima padah malah kesannya terbekas seumur hidup. Sikap cuai, penting diri inilah yang merosakkan persepsi masyarakat terhadap pemandu-pemandu di Malaysia. Fikirkan sejenak, di rumah ada insan yang menanti mereka pulang dengan selamat.
Penulis: Nazwa Selamat