Ruang menunggu ICU Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hampir penuh dengan pengunjung. Pelbagai reaksi ditunjukkan. Ada yang tenang, ada juga yang tak henti mengalirkan air mata.
Penulis mengambil tempat berhampiran seorang wanita berusia lewat 30-an. Kami saling berbalas senyum. Dan perkenalkan diri masing-masing.
Dia Cikgu Ranita dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai. Hari itu dia datang melawat bekas pelajar sekolahnya yang baru dua hari kemalangan.
Iya, penulis pernah melihat berita mengenainya yang tular di media sosial. Remaja yang dilanggar ketika pulang dari tempat kerja kini terlantar di katil tanpa mampu berbuat apa-apa. Sadis!
Penulis segera dibawa melihat keadaan mangsa, Muhammad Shafirul Mohd Hanafi, 19. Raut wajahnya sedikit bimbang. Cuba disembunyikan dengan perbualan dan senyuman. Dia nampak semakin sihat walaupun masih terbaring di atas katil.
Jari sudah mampu digerakkan cuma tidak boleh terlalu ‘dibeban’ dengan senaman keras. Bimbang mengundang bahaya padanya.
Penulis cuba mengehadkan perbualan supaya Shafirul dapat berehat dengan selesa. Hanya kata-kata motivasi jadi penguat semangat di samping doa kepada Yang Maha Kuasa agar bekas atlet sekolah ini kembali sihat seperti sebelumnya.
“Shafirul seorang pelajar yang baik. Waktu di sekolah dahulu, dia terkenal sebagai atlet dalam sukan bola baling (wakil negeri) selain melibatkan diri dalam Pertandingan Kawad Kaki PKBM (wakil negeri).
“Dia juga rajin dan banyak membantu para guru. Melihatkan keadaannya pada hari ini, hati saya menjadi sayu.
“Saya tahu dia kuat semangat dan saya yakin, dia akan sembuh kembali. Doa saya, para guru dan pelajar-pelajar lain sentiasa mengiringi kesejahteraannya.”
Ads
Doa Ketika Anak Di Zon Merah
Kami berjalan seiringan, kembali ke ruang menunggu. Perlahan, penulis menghampiri Rohana Man, 50, ibu Shafirul yang kelihatan sedikit penat.
Semalaman dia di situ, ditemani suami dan anak perempuannya yang kebetulan baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan. Wajah Rohana nampak biasa tetapi jauh di sudut hati, penulis tahu betapa risaunya hati seorang ibu.
“Shafirul kemalangan pada 11 November yang lalu. Sekitar jam 2.30 pagi, suami terima panggilan telefon daripada kawan Shafirul. Ringkas sahaja ayatnya tetapi cukup menggemparkan kami sekeluarga.
“Pak Cik, Shah kemalangan. Ambulans dah bawa Shah ke hospital ni!”
“Suami tak mampu berkata apa-apa. Ayat yang keluar dari mulutnya hanya “Cepat siap. Kita pergi hospital sekarang!” Jantung saya berdebar seperti hendak pecah.
Sepanjang perjalanan, mulut saya tak putus berdoa mengharapkan kecederaan Shafirul tidak seserius mana. Tetapi, bila diberitakan Shafirul ditempatkan di zon merah, saya sudah tahu jawapannya namun masih mengharapkan keajaiban dari Yang Maha Kuasa agar Shafirul tidak apa-apa.
Ads
Nakkan kepastian, suami tanyakan pada rakannya bernama Zul. Memandangkan Zul lah individu pertama yang tiba di tempat kejadian. Kata Zul, dia difahamkan terdapat sebuah kereta membuat pusingan-U lalu melanggar motor Shafirul.
Keadaan motor agak teruk di bahagian hadapan tetapi Shafirul tidak banyak pendarahan. Hanya terdapat sedikit kesan luka dan geselan. Masa tu Shafirul sudah tidak sedarkan diri walaupun namanya dipanggil berulang kali.
Cuma Ibu Seorang Bekerja, Ayah Pula Baru Pulih Dari Angin Ahmar
Kesan daripada kemalangan yang berlaku, Shafirul yang mesra dengan panggilan Abang Ngah dikatakan berdepan masalah retak pada tulang belakang serta pendarahan di bahagian paru-paru (pneumothorax).
Doktor rancang nak buat pembedahan bagi memasukkan besi di tulang belakangnya. Nanti dapatlah Shafirul berjalan semula. Syaratnya, paru-paru Shafirul kena dalam keadaan yang baik.
“Kos pembedahan cecah belasan ribu ringgit. Sekarang ini saya seorang yang bekerja. Suami baru saja pulih dari serangan angin ahmar. tapi kami cuba sediakan mana yang termampu. Demi anak, semuanya mesti boleh.”
Ads
Malam itu, Rohana telefon anaknya sekitar jam 11 malam. Tanyakan sama ada anaknya dah makan atau belum. Bila dia jawab sudah. Dia pun lega.
“Sampailah kami terima panggilan telefon jam 2.30 pagi. Waktu itu barulah hati dan fikiran saya berkecamuk.
“Walaupun berat tetapi kami redha dengan ujian ini. Kata orang, benda nak jadi kan. Yang lepas kami tak mahu fikir sangat.
“Fokusnya sekarang pada kesihatan Shafirul. Berikan motivasi dan sokongan agar semangatnya kembali kuat.
Shafirul anak yang baik. Dia baru 8 bulan bekerja. Sepanjang kerja dia tak pernah tak hulur wang pada ibunya.
“Dapatlah beli barang dapur. Adik beradiknya pun dapat ‘habuan’ duit juga belanja makan. Dia memang pemurah dan rapat dengan adik beradiknya.” Iaitu Nur Shafika, 21 dan Muhammad Shahredzuan, 15.
“Dengan kawan-kawan pun macam itu. Setia sangat! Sampaikan kalau kawan telefon pagi-pagi buta minta tolong pun, dia terus pergi walau tak mandi dan bersarapan.
“Mungkin kerana sikapnya yang sebegitu, dia sentiasa disenangi.” Hari itu juga Rohana yang menerima kunjungan wakil guru SMK Seri Pantai bagi menyampaikan wang sumbangan dari para guru.
Inilah Akibatnya
Disebabkan kelalaian, orang lain menerima padah malah kesannya terbekas seumur hidup. Sikap cuai, penting diri inilah yang merosakkan persepsi masyarakat terhadap pemandu-pemandu di Malaysia. Fikirkan sejenak, di rumah ada insan yang menanti mereka pulang dengan selamat.
Penulis: Nazwa Selamat
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Keluarkan beras di mesin ATM, kini bukan wang sahaja yang boleh dikeluarkan menerusi mesin pengeluaran automatik ATM malah rupanya boleh mengeluarkan beras.
Mesin ATM yang mengeluarkan beras berfungsi bagi membantu golongan asnaf. Diakui dek kerana pandemik Covid-19 ramai yang hilang pendapatan dan pekerjaan. Dengan adanya mesin sebegini dapat memudahkan urusan pemberian sumbangan.
Keluarkan Beras Di Mesin ATM
Seperti mana perkongsian sebuah video Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Ustaz Yaakub Yusra Mohd Yusoff menunjukkan cara-cara menggunakan mesin ATM beras, Rice for Asnaf yang dicipta oleh MADAD khusus untuk golongan Asnaf.
Dengan adanya kemudahan sebegini menurut Ustaz Yaakub tujuan utama adalah untuk meringankan beban golongan tidak berkemampuan.
Bukan itu saja dengan adanya teknologi canggih ini juga, golongan yang memerlukan bantuan juga tidak kekok dan tidak perlu ada perasaan malu untuk meminta bantuan beras.
Mudahkan Asnaf Bukan Susahkan
Menurut Ustaz Yaakub lagi, usaha sebegini mendapat sambutan baik dan paling penting MADAD mahu memudahkan golongan asnaf.
“Team MADAD buat mesin ini untuk mudahkan golongan asnaf terima bantuan dan manfaat,” ungkap Ustaz Yaakub.
Bagi dirinya dengan adanya kemudahan sebegini, mereka yang menerima bantuan, kesusahan mereka tidak perlu dipamerkan.
“Tangan yang memberi itu mendapat kredit dan yang menerima itu mendapat malu, satu situasi yang acapkali berlaku kepada golongan asnaf.
“Kesusahan mereka dipamer dan maruah mereka dijaja sebagai isi kandungan media sosial oleh sesetengah pihak yang kurang bertanggungjawab tanpa memikirkan kemungkinan yang terpaksa dihadapi oleh golongan asnaf ini terutamanya tekanan dari keluarga,” sambungnya.
Aib Asnaf Tidak Sewenangnya Dijaja
Akui golongan asnaf wajib diberi perhatian namun mereka juga mempunyai aib yang perlu dijaga.
“Meskipun golongan ini wajar diberikan perhatian dan diuar-uarkan kewujudan mereka dalam masyarakat, namun itu tidak bererti aib mereka sewenangnya dijaja.
“Sebab sekarang ni ramai sangat yang menjadikan asnaf sebagai tempat untuk isi kandungan media sosial pihak yang berkepentingan semata-mata. Bagi saya ini memang sangat tak bertanggujawab lah. Kesian kepada asnaf kerana malu bila video di viralkan dengan sengaja. Dulu pernah viral seorang ayah pilih untuk jadi gelandangan sebab tak mahu susahkan anak-anak.
“Bila dah viral, anak-anak terus rasa malu dan buat pejelasan. Kan dah tak best bila jadi macam tu. Pada saya yes, dokumentasi perlu, hebahan pun perlu. Tapi biarlah bersederhana. Lebih baik tidak mengaibkan siapa-siapa.
“Mesin ATM Beras ini salah satu cara untuk tutup rasa malu dan segan asnaf minta bantuan. Hanya apply kad dan lepas tu marilah berurusan dengan mesin ja. Tak jumpa dah orang.
“Yang susah ambil beras, yang senang sumbang beras. Kan best ada ekosistem macam tu,” terang Ustaz Yaakub yang turut menyatakan MADAD meletakkan mesin-mesin ATM beras ini di masjid-masjid terpilih sekitar Kedah.
Bagi yang mahu menghulurkan bantuan bolehlah layari madadcentre.com. Semoga sumbangan yang dihulurkan akan dapat membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan bantuan dan paling penting derma yang dihulurkan ikhlas dari hati yang telus.
Sumber / Sumber Foto : Facebook Ustaz Mohammad Yaakub Yusra
KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Memahami akan mereka yang tidak berkemampuan dalam keadaan negara yang sedang dalam PKP, pelakon Zul Yahya mengambil inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan.
Pada saat ini masyarakat Malaysia saling bantu membantu, begitu juga dengan Zul Yahya yang juga pemilik Zul Yahya Steamboat BBQ.
Seperti mana yang diwar-warkan dalam akaun Instagram miliknya, Zul Yahya menyatakan:
“Assalamualaikum, salam Jumaat, hari ini ada barang-barang keperluan dapur seperti beras, telur, gula, mi segera, kicap, tepung, roti. InsyaAllah bagi penduduk yang tinggal berhampiran dengan Zul Yahya Steamboat BBQ dan memerlukan keperluan barangan dapur bolehlah datang ke sini. Sumbangan ini juga dari sahabat-sahabat.”begitulah yang diungkapkan oleh aktor Zul Yahya menerusi akaun Instagram miliknya.
Usaha Murni
Usaha yang dilakukan oleh Zul Yahya ini begitu murni. Sama-samalah kita rakyat Malaysia membantu antara satu sama lain dalam keadaan PKP ini.
Tak sangka gelaran manusia paling kotor di dunia milik lelaki ini. Tiada siapa yang mengetahui nama sebenar beliau. ‘Amou’ adalah panggilan sayang oleh kanak-kanak di Iran pada golongan yang lebih berusia, manakala ‘Haji’ adalah gelaran hormat untuk lelaki Muslim.
Amou Haji, berusia 80-an telah mengaku tidak mandi selama 64 tahun dan kali terakhir dia mandi ketika usia 20-an lalu. Lelaki yang hidup bersendirian di Kampung Dejgah, selatan Iran ini dikatakan percaya kebersihan boleh membuatkan dia jatuh sakit.Itu merupakan alasan beliau tidak mandi selama ini.Malah beliau akan jadi sangat marah jika ada yang menyuruh beliau mandi.
Lebih Suka Makanan Busuk & Rosak
Penduduk kampung di sekitarnya pernah berusaha untuk memberi makanan yang lebih berkhasiat, namun lelaki itu menolak dengan alasan tidak biasa dengan makanan bersih sebaliknya dia lebih menyukai makanan yang telah busuk dan rosak.
Amou juga minum lima liter air sebagai rutin harian namun dari sebuah tong minyak besar yang berkarat berdekatan pondok kecilnya. Dia juga tinggal di pondok yang telah dibina oleh penduduk kampung dan di dalam sebuah lubang dalam tanah.
Beliau juga suka menggunakan najis binatang berbanding tembakau ketika menghisap paip. Malah untuk merapikan rambut,beliau tidak memotongnya sebaliknya hanya membakar menggunakan percikan api.Ketika musim sejuk beliau memakai topi keledar perang lama untuk membuatkan kepalanya hangat.
Amou menjelaskan bahawa dirinya pernah ditimpa musibah sewaktu muda, lalu memaksa dirinya untuk meninggalkan rumah dan keluarga. Apa sebenarnya musibah itu, dia enggan mengungkitnya lagi.
Namun begitu, dia kelihatan sangat bahagia berbanding orang yang mempunyai rumah besar dengan segala kemudahan yang sempurna.