Restoran nasi kandar ditutup kerana beroperasi dalam keadaan kotor, dapur menjijikkan, berbau dan ada tahi lipas. Sebuah restoran nasi kandar 24 jam dikesan beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan diarah tutup selepas diperiksa dalam Operasi Khas Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak di sekitar Station 18, di Ipoh.
Restoran Nasi Kandar Ditutup Kerana Beroperasi Dalam Keadaan Kotor
Pemeriksaan dilakukan juga mengesan, barangan masakan seperti mi segera, bawang, kentang dan tepung dibiarkan dalam keadaan terbuka dan hanya ditempatkan di laluan tangga kediaman pekerja.
Dapur Menjijikkan, Berbau & Ada Tahi Lipas
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, arahan penutupan selama 14 hari itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Dalam pemeriksaan bermula sekitar jam 9.30 malam itu mendapati, premis terbabit sengaja membiarkan dapur dalam keadaan tidak bersih, berbau dan terdapat tanda najis lipas.
“Saya sangat sedih dan tidak boleh terima perkara seumpama ini masih berlaku di premis makanan sedangkan di luar ramai pelanggan dan mereka tidak tahu pun keadaan sebenar.
“Kalau boleh diberi penilaian mengenai tahap kebersihan premis ini, saya akan beri markah kosong. Keadaannya sangat teruk sehingga boleh membuatkan kita rasa loya dan hampir muntah,” katanya.
Operasi bersepadu dijalankan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan polis itu turut disertai Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Noor Rizawati Mahpot dan Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani.
Sivanesan berkata, operasi sama telah digerakkan di seluruh negeri bertujuan menambah baik isu kebersihan premis makanan khususnya yang beroperasi 24 jam dan premis-premis yang beroperasi pada sebelah malam.
Ads
Katanya, sebanyak 359 premis terlibat dalam pemeriksaan tersebut dan sejumlah 316 notis kesalahan dikeluarkan kepada pengendali makanan melibatkan kompaun RM44,200 kerana tidak mematuhi kehendak di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.
“Bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pula, sebanyak 81 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai kompaun lebih RM20,000.
“Operasi kali ini turut dijalankan aktiviti pensampelan makanan dan swab pengendali makanan bagi menentukan tahap kebersihan sebenar premis,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 5,443 pemis makanan diperiksa melalui aktiviti penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya.
“Daripada jumlah itu, 1,330 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai kompaun RM244,176 dan sebanyak 31 premis makanan pula telah dikenakan perintah penutupan sementara kerana premis tidak suci,” katanya.
Ads
Dalam pada itu, petugas media yang mengikuti pemeriksaan di empat restoran makanan dimaklumkan, penempatan pekerja di semua premis berkenaan tidak mendapat perakuan penginapan daripada JTK.
Mengulas perkara itu, Sivanesan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pihak majikan melakukan pelbagai pelangaran Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Kerja 1955.
Kesalahan itu termasuklah tiada kontrak kerja, tiada penyata gaji, gagal melaporkan penggajian pekerja asing dan bayaran kerja lebih masa yang tidak mengikut akta ditetapkan.
“Jumlah pekerja terlibat dalam isu ini adalah seramai 61 warga asing dan 20 warga tempatan, namun saya yakin jumlah sebenar adalah lebih ramai.
Ads
“Akta kita tidak mengasingkan pekerja asing dan tempatan jadi saya telah minta kepada Pengarah JTK dapatkan kenyataan daripada mereka mengenai pelanggaran ini,” katanya.
“Rasa dunia ini milik akak…inilah respon gembira usahawan pandan yang terpilih menerima Anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita X Nona di Malam Gala baru ini.
Kisahnya membesarkan 8 anak dengan air mata hingga hampir meracun mereka kerana tidak tahan dengan ujian tetapi akhirnya bangkit memerah keringat demi memberi pendidikan buat anak-anak.
Kisah usahawan pandan berjaya ini cukup memberikan inspirasi dan dirinya menitip pesanan buat ibu-ibu yang membesarkan anak sendirian.
“Pandanglah diri akak. Jadilah ia satu perkongsian kehidupan,” katanya yang tidak pernah menyangka menerima anugerah dari Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dalam hidupnya.
Malam gala Ibu Inspirasi dibawakan oleh @alkauthareduqids_hq, diserikan oleh @sabihahgoldhq
Allahu, luluh rasa hati tersentuh jiwa bila membaca berita kejadian sebegini. Tragedi yang baru berlaku semalam di Port Dickson, Negeri Sembilan ini, seorang ibu terpaksa meratap sayu kehilangan anak tersayang akibat terlupa selama 4 jam yang anaknya tertinggal dan masih berada didalam kereta.
“Maafkan ibu.. maafkan ibu sayang, ibu tak sengaja,” jerit Hasmah Masroh, 32, apabila anak perempuannya, Nur Awfa Humaisha Muhammad Ali Riduan, 2, maut akibat sesak nafas selepas tertinggal dalam kereta selama empat jam di parkir sebuah kolej kemahiran di Batu 3, semalam.
Suasana sedih menyelubungi perkarangan bilik mayat Hospital Port Dickson (HPD) di sini, apabila wanita terbabit terpaksa ditenangkan ahli keluarga dan kenalan.
Ratapan Hasmah menyebabkan hampir 30 rakan sekerja yang hadir untuk memberikan sokongan dan dorongan semangat turut sama mengalirkan air mata.
“Ibu minta maaf sayang, ibu betul-betul terlupa… ibu tak ingat, ibu menyesal. Malam tadi Awfa okey saja, hari ini Awfa dah pergi tinggalkan ibu,” kata wanita itu.
Letak Anak Ditempat Duduk Belakang
Hasmah turut memberitahu rakannya, pagi tadi beliau mengangkat anaknya yang sedang tidur di rumah di Taman Hartamas, Sunggala dan meletakkannya di tempat duduk belakang kereta PROTON Saga miliknya.
Katanya, sebaik tiba di kolej itu, dia terus mematikan enjin kereta lalu memasuki pejabat hingga tidak sedar anak yang dibawa bersamanya.
Sementara itu, rakan Hasmah yang enggan dikenali berkata, rutin harian Hasmah yang juga tenaga pengajar di kolej berkenaan ialah menghantar anak sulungnya berusia lima tahun ke tadika di pekan Port Dickson sebelum menghantar mangsa ke rumah pengasuh di Kampung Paya, sebelum memulakan tugas.
“Kejadian pagi ini di luar jangkauan. Dia sudah menghantar anak sulung ke tadika, namun terlupa anak kecilnya itu tidak dihantar ke rumah pengasuh,” katanya ditemui di HPD, di sini.
Beliau berkata, Hasmah mungkin tertekan dengan lambakan kerja dan mereka turut menerima lawatan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini.
Suami Hasmah, Muhammad Ali Riduan, 30-an pula berkata, beliau mengetahui kejadian jam 1.30 tengah hari itu selepas dihubungi isteri ketika berada di tempat kerja di Pejabat Tanah Daerah Seremban.
“Saya reda dengan ketentuan dan sesungguhnya Allah lebih menyayanginya,” katanya menahan sebak dan enggan mengulas panjang.
Ditinggalkan 4 Jam
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan dalam keadaan pintu dan tingkap kereta tertutup bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Katanya, wanita terbabit hanya menyedari anaknya ditinggalkan selepas empat jam, lalu bergegas lari ke keretanya untuk mendapatkan anaknya.
“Malangnya budak itu sudah tidak sedarkan diri dan dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson tetapi disahkan meninggal dunia dan dirujuk ke HPD,” katanya.
Zainudin berkata, hasil bedah siasat mendapati budak berkenaan meninggal dunia disebabkan strok haba atau kepanasan melampau dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mingguan Wanita mendoakan semoga wanita ini dan keluarganya terus tabah menghadapi ujian dan ketentuan yang telah ditakdirkan. Buat para pembaca, usah menuding jari dan mudah menyalahkan sesiapa diatas kejadian ini.Tiada seorang ibu pun yang inginkan tragedi ini berlaku, lebih-lebih lagi akibat kecuaian diri sendiri. Penyesalan pasti dirasai seumur hidup.
Sebaliknya, jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran,semoga kita lebih berhati-hati serta banyakkan berdoa agar dielakkan daripada kejadian begini berlaku pada kita.
Inna lillahi Wa Inna Ilayhi Raji’un. Daripada Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita kembali. Ramai sedia maklum keakraban hubungan dan keharmonian hidup bermadu diantara Dato Nurulhidayah Ahmad Zahid dan Datin Bahazanariah Baharudin.
Dikhabarkan isteri pertama Dato Saiful Nizam Mohd Yusoff yang juga madu Dato Nurulhidayah Ahmad Zahid telah meninggal dunia pada 4.16 pagi ini. Perkara tersebut disampaikan oleh anak kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu di laman Instagram miliknya awal pagi ini dan temubual bersama Astro Awani.
“Saya kehilangan seorang kakak, seorang wanita yang hebat. Saya amat menghargai kejujuranya menerima saya sebagai madu dalam kehidupannya.
“Kejujurannya, pengorbanannya dan kasih sayangnya tiada tolak bandingnya. Saya akan merindui Kak Zana.”
Itu luahan rasa Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berhubung berita pemergian madunya, Datin Bahazanariah Baharudin. Nurulhidayah terlalu sebak dan sedih bercerita mengenai pemergian seorang wanita yang kental.
Pemergian Bahazanariah atau lebih mesra disapa Kak Nana oleh Nurulhidayah merentap seluruh kekuatan yang ada dalam diri anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.
Bersungguh Minta Berkahwin Dengan Suami
Nurulhidayah dalam tangisan yang sukar dikawal bercerita bagaimana Allahyarham Bahazanariah bersungguh-sungguh yang memintanya berkahwin dengan suami mereka, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.
“Arwah yang beriya-iya minta saya menikahi suaminya kerana beliau mahu memberikan sepenuh perhatian pada kesihatannya sebaik disahkan mengidap kanser payu dara.
“Saya tidak tahu bagaimana lagi mahu gambarkan kehebatan arwah. Pengorbanannya akan saya kenang sehingga ke akhir hayat saya. Terima kasih Kak Nana atas segala-galanya. Saya akan bawa kebaikan dan kasih sayang kakak sehingga ke lahad,” ujar Nurulhidayah atau lebih dikenali sebagai Kak Long dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya.
Hidap Kanser Payu Dara
Allahyarham Bahazanariah yang berusia 50 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.16 pagi ini di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kanser payu dara. Bahazanariah disahkan menghidap kanser tahap empat pada Ogos lalu. Beliau menutup usia semasa dalam tidur dan disedari oleh suaminya, Saiful Nizam.
Menurut Nurulhidayah, beliau dan Saiful Nizam yang bergilir-gilir menjaga Bahazanariah semasa Allahyarham menerima rawatan di hospital.
“Arwah Kak Nana seorang yang sangat positif. Sekalipun dalam kesakitan, beliau sentiasa tabah menerima dugaan daripada Allah, tidak pernah sekalipun Allahyarham mengeluh, bahkan sentiasa mengingatkan diri agar bersabar.
“Inilah keperibadian yang akan saya rindui,” kata Nurulhidayah lagi.
Kisah Nurulhidayah berkongsi suami dengan Allahyarham Bahazanariah sentiasa menjadi rujukan dalam pelbagai perbincangan melibatkan isu poligami.
Ini kerana, hubungan kedua-dua wanita itu amat akrab sekali dan sering dilihat bersama-sama dalam pelbagai acara.Bahkan, Nurulhidayah dan Bahazanariah juga tidak pernah kekok keluar bersama-sama suami mereka dalam satu masa.Nurulhidayah juga sering memuat naik pelbagai foto mereka dalam akaun Instagram peribadinya.Kehidupan bermadu mereka amat dikagumi ramai.
Amalkan Sikap Diplomasi
Kata Nurulhidayah dalam beberapa wawancara sebelum ini, beliau dan madunya itu sentiasa mengamalkan sikap diplomasi dan saling memahami antara satu sama lain.
Bahkan, kedua-dua wanita itu juga bertuah kerana suami mereka, Saiful Nizam memainkan peranan yang bijaksana dalam memimpin rumah tangga mereka.
“Kak Nana adalah orang yang sentiasa memberi semangat untuk bergelar isteri kedua. Arwah Kak Nana sentiasa ada di sisi saya ketika saya memerlukan dia pada bila-bila masa.
“Sekali lagi ingin saya katakan, saya kehilangan seorang kakak dan wanita yang sangat hebat. Terima kasih Kak Nana atas pengorbanan kakak. Terima kasih kerana menerima saya dalam hidup kakak. Saya akan kenang kakak sehingga ke akhir hayat saya,” kata Nurulhidayah lagi.
Jenazah Allahyarham Bahazanariah kini berada di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara sekitar pukul 10 pagi.
MW: Salam takziah buat seisi keluarga. Semoga diberikan kekuatan dam menghadapi ujian ini dan semoga roh arwahyarham ditempatkan dikalangan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah.
Dikurniakan peluang hamil pada usia 42 dianggap sebagai rezeki tak terduga oleh bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim.
Berkongsi berita gembira mengenai dirinya yang kini berbadan dua, Azrinaz berasa sangat bersyukur diberi kesempatan miliki seorang lagi zuriat.
Azrinaz Bersyukur Diberi Peluang Hamil Sekali Lagi
Tambah Azrinaz, dia sama sekali tidak menyangka akan dikurniakan seorang lagi cahaya mata selepas melahirkan anak ketiga, Areesya Malaykha pada 15 September 2019.
Menerusi perkahwinan kedua bersama Fairos, Azrinaz dan suami dikurniakan Areesya yang kini berusia 17 bulan.
Azrinaz dan Fairos Khan Abdul Hamid mendirikan rumah tangga pada 1 Mei 2018.
Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, Azrinaz mengakui kandungannya kini sudah memasuki usia 7 bulan atau 30 minggu dan dia bersyukur.
“Ini Bukan Throwback”
“Ini bukan throwback, Apa yang ada lihat sedang berlaku sekarang. Merah jambu atau biru, apa yang harus dipuja, ini adalah anak keempat saya.
“Alhamdulillah syukur. ALLAH merahmati saya dan suami dengan memberi kesempatan untuk memiliki seorang lagi zuriat pada usia begini,” tulisnya menerusi Instagram miliknya.
Untuk rekod, sebelum ini, Azrinaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan dikurniakan dua cahaya mata, Pengirah Muda Abdul Wakeel, 15, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah 13 tahun.
Apa Yang Perlu Ibu Lakukan Sekiranya Hamil Lewat Usia
Trend hamil pada lewat usia kian menunjukkan angka peningkatan setiap tahun di negara-negara maju terutamanya di negara-negara di Eropah Barat, Australia, New Zealand, Kanada dan di Amerika Syarikat. Amerika Syarikat mencatatkan peningkatan sebanyak 165% dari tahun 2000 hingga tahun 2013 bagi kelahiran dari para ibu yang berusia 50 hingga 54 tahun! Malaysia juga tidak ketinggalan walaupun jumlah wanita hamil pada lewat usia adalah sangat kurang berbanding negara-negara tersebut.
Ikuti tip hamil lewat usia bersama Dr. Maiza Tusimin, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, UPM, juga merupakan Pakar Kesuburan.
10 Tip Buat Ibu Hamil Lewat Usia
Amalan cara hidup sihat dan pemakanan seimbang sebelum, ketika kehamilan dan selepas melahirkan
Mencapai berat badan ideal sebelum kehamilan
Menghadiri Klinik Pra-kehamilan untuk menganalisis risiko dan mengoptimum masalah perubatan ibu
Mengambil folik asid 5mg sehari 3 bulan sebelum hamil; Ibu jangan culas demi anak!
Melakukan pemeriksaan antenatal seawal usia kandungan
Menjalani ujian saringan untuk mengesan masalah bayi sindromik (imbasan Nuchal Translucency; ujian darah hCG, PAPP-A, Tripple test; detail scan, NIPT)
Menjalani pemeriksaan antenatal di hospital atau klinik pakar perbidanan secara berkala dan pemantauan ketat
Melakukan ujian minum air gula (MGTT) untuk mengesan kencing manis ketika hamil
Berbincang dengan doktor pakar mengenai perancangan masa dan kaedah kelahiran bayi
Pilih hospital yang lengkap dengan fasiliti dewan bersalin, dewan bedah, tabung darah dan penjagaan neonatal untuk memastikan keberhasilan kandungan yang optimum untuk ibu dan bayi.
Sumber/Sumber Foto: Instagram Azrinaz Mazhar Hakim