Resipi Roti Canai Homemade, Lembut Dan Tak Liat, Boleh Simpan Sampai Petang

Share

Resipi Roti Canai Homemade, Lembut Dan Tak Liat, Boleh Simpan Sampai Petang

Roti canai telah mendapat penganugerahan sebagai roti terbaik di dunia oleh Tasteatlas.  Ini bukan pertama kali roti canai menerima pengiktirafan daripada Tasteatlas. Sebelum ini pada Julai lalu, ia pernah dinobatkan sebagai ‘roti rata’ terbaik di dunia dan sekali lagi berjaya mengalahkan roti naan dari India.

Tahun lalu juga, roti canai turut dianugerahkan sebagai ‘makanan jalanan’ terbaik di dunia oleh laman antarabangsa itu. Roti canai bukan sahaja berjaya mengalahkan India yang popular dengan roti naan tetapi juga Eropah yang dikenali sebagai negara penghasilan pastri terbaik dunia.

Selalu kita makan roti canai di kedai, apa kata kita belajar untuk buat sendiri roti canai homemade di rumah. Nak makan pun senang, tak kiralah pagi, petang atau malam.

Seperti resipi yang dikongsikan oleh Iza Haliza Mohd Zaid ini, anda pasti puas hati bila dapat makan lebih roti canai bersama keluarga. Roti canai sedap dimakan dengan kuah dhal, kari dan sambal bilis.

ROTI CANAI HOMEMADE

 

BAHAN-BAHAN:

3 cawan tepung gandum
1 – 1 ½ cawan air
1 sudu besar marjerin
Garam secukup rasa
2 sudu besar susu pekat manis
1 sudu besar minyak masak

CARA-CARA:

1. Campurkan air + garam + susu di dalam satu bekas. Kacau-kacau hingga sebati. Jadikan sebagai bahan A.

2. Bahan A dicampur sedikit demi sedikit dengan tepung (uli cara manual) tapi campur semua kalau pakai mesin.

3. Masukkan minyak masak. Gaul lagi.

4. Kemudian, masukkan marjerin. Gaul lagi hingga semua sebati.

5. Uli doh hingga lembut dan elastik. Selepas doh telah siap dibuat, tutup dengan kain yang lembab dan rehatkan selama 30 minit.

6. Buatkan bulat kecil-kecil 75gm-90gm setiap satu (satu adunan ni boleh dapat dalam 10 keping roti canai).

7. Salutkan dengan marjerin untuk mengelakkan doh dari melekat (saya salut dengan minyak).

8. Biarkan selama 2 jam. Kemudian, apabila cukup 2 jam, doh siap untuk ditebar dan dibentuk sama ada nak buat style 4 segi atau style sanggul/pusing.

9. Lepas dah masak, jangan lupa masa masih panas-panas tu, tepukkan roti canai tu guna dua belah tangan macam di kedai. Nanti baru timbul segala layer yang kat dalam tu.

PETUA UNTUK BUAT ROTI CANAI:

1. Untuk menjadikan roti canai itu LIAT = letak minyak.
2. Untuk menjadikan roti canai itu CRISPY = letak gula atau tambah susu pekat manis.
3. Untuk menjadikan roti canai itu lembut sehingga ke petang = uli dengan air sejuk/ais.

Kredit resipi: Iza Haliza Mohd Zaid

Published by
Has