Resipi rendang di negara kita sebenarnya ada bermacam jenis. Daripada rendang daging, ayam, kambing, sehinggalah kepada rendang buah-buahan seperti betik. Pernah dengar tak?
Masakan Negeri Sembilan cukup sinonim dengan rasa pedasnya. Bak kata orang, kalau tak pedas, bukan masakan Nismilan namanya!
Begitu resipi Rendang Betik atau Rendang Kepaya ini. Sebenarnya resipi ia cukup terkenal di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menurut Puan Mastura Osman (FB: https://www.facebook.com/teachersamer.samerian
), yang telah berkongsi resipi ini di fb miliknya, rendang betik ini merupakan masakan tradisi orang lama yang diwarisi turun temurun dan merupakan masakan autentik Negeri Sembilan.Ia sangat mudah disediakan dan bahan-bahan juga tak terlalu rencam. Malah, rendang ini semakin dipanaskan dan dikeringkan, ia akan semakin sedap dimakan dengan nasi panas-panas.
Apa lagi, bagi mereka yang suka mencuba resipi baru, jom cuba untuk kelainan. Mungkin masakan ini berjaya menarik minat keluarga anda untuk menikmatinya saat berbuka nanti!
1 biji betik saiz sederhana – buang kulit, potong halus
1 genggam cili padi – ikut kepedasan yang dikehendaki
1 genggam ikan bilis – lebih banyak lebih sedap atau ikan masin
3 batang serai – 3 batang dititik, sebatang ditumbuk
2 cawan santan pekat
1 inci kunyit hidup
Garam secukupnya
2 sudu makan minyak masak
Untuk menyediakannya resipi ini, mula-mula tumbuk kasar cili padi, kunyit hidup, ikan bilis dan sebatang serai. Ketepikan.
Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan semua bahan tumbuk tadi. Kemudian goreng hingga naik bau.
Setelah itu, masukkan santan pekat. Masak sampai terbit minyak. Bila kuah telah mula kering sedikit, masukkan hirisan betik tadi dan serai yang dititik. Perasakan dengan garam secukupnya Gaul sekata dan masak sehingga kering. Jika nak berkuah sedikit pun boleh, terpulang ikut kesukaan masing-masing.
Sekiranya mahu kering, terus panaskan lagi. Rendang ini sangat membuka selera jika dimakan bersama nasi putih yang masih panas.
Resipinya juga sangat mudah, selamat mencuba!
https://www.mingguanwanita.my/rendang-telur-makan-dengan-nasi-lemak-pulut-kuning-memang-sedap-1/