Resipi Mudah ‘Potato Salad’ Sedap Berkrim, Boleh Makan Sejuk Atau Hidang Suam. Jika sesekali ingin ubah selera keluarga, boleh cuba buat ‘potato salad’ atau salad kentang yang sedap dan lemak berkrim ini. Malah boleh dinikmati dalam keadaan suam, mahupun dimakan sejuk-sejuk.
Jika saya sebut kerabu ubi, mungkin akan terasa ‘kampung’nya hidangan ini. Cuba saya sebut potato salad, terus terasa sangat pekan.
Potato salad diperkenalkan oleh peneroka Sepanyol ke Dunia Baharu Eropah pada kurun ke-16. Namun lebih banyak yang kenal potato salad daripada pendatang Jerman ke Amerika.
Memang asalnya makanan kampung dan lama-kelamaan menjadi Amerikana apabila mula ditambah mayonis.
Pertama kali saya tengok potato salad dibuat di rumah Kak Lin. Hayani yang buat dan saya terkejut tengok beliau guna telur rebus.
Kemudian semasa beliau letak lada hitam, beliau sebut,
“Ini petua orang tua-tua sebab ubi angin.”
Hayani memang pandai buat coleslaw dan potato salad. Sedap sungguh.
Pada saya, potato salad ini seperti salad pembawa (carrier salad). Maksudnya salad yang boleh dijadikan alasan untuk masukkan bahan-bahan lain untuk dimakan.
Hendak tambah brokoli celur? Silakan.
Hendak tambah isi ayam? Silakan.
Hendak tambah sosej yang dicincang dan digoreng rangup? Silakan.
Potato salad juga sangat mesra dengan pelbagai rasa dari latar budaya yang berbeza.
Hendak jadikan rasa Asia? Gunakan serai dan halia.
Mahu rasa Mexico? Guna rempah-ratus Cajun atau Tex-Mex yang biasanya ada kayu manis, jintan putih dan cili.
Potato salad juga tidak menyakitkan kepala. Hendak hidang suam, boleh. Jika takut terlambat, buat awal, simpan dalam peti sejuk dan hidangkan sejuk. Tiada masalah.
Emak tanya semalam,
“Cek bubuh apa dalam ni?”
Soalan itu tandanya emak suka. Alhamdulillah. Lulus oleh Ratu.
5 biji ubi kentang – rebus sehingga empuk
4 biji telur – rebus
1 biji bawang besar – cincang halus
¼ biji lobak merah – cincang halus
½ biji cili hidup (merah) – buang biji dan cincang halus
½ biji cili muda (hijau) – buang biji dan cincang halus
2 sudu makan daun bawang – dihiris
2 sudu makan daun sup – dihiris
1 batang saderi – dicincang halus
Jika hendak pedas, biarkan biji cili. Saya lebih kepada mahukan warnanya.
½ cawan mayonis
1 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk rosemary/ oregano/ Italian herbs
2 sudu teh serbuk lada hitam kasar
1 sudu teh gula
2-3 sudu makan cuka/jus lemon/ jus limau nipis
1.Dadukan ubi agak saiz semulut.
2.Lecek telur rebus guna garfu seperti yang kita belajar dalam ERT di sekolah dulu.
3. Kemudian tambah bahan sos salad iaitu mayonis, garam, serbuk rosemary/ oregano/ Italian herbs, serbuk lada hitam kasar, gula, cuka/jus lemon/ jus limau nipis ke dalam telur yang telah dilecek tadi.
4. Masukkan pula sayur-mayur dan gaul rata.
5. Masukkan pula ubi kentang yang didadu tadi dan gaul rata.
6. Siap untuk dihidang atau disimpan dalam peti sejuk dalam bekas bertutup jika mahu makan sejuk.
Berkrim, rasa yang ‘meletus’ dan seronok dapat kunyah-kunyah benda-benda kecil.
Sempat jika hendak buat, silakan.
Selamat Mencuba.
Mesti Baca:‘Oi Muchim’ Salad Timun Korea, Sedap Rangup Berjus Rasa Segar Mulut!
Baca Lagi Di Sini:Scramble Egg Sandwich Gerenti Sedap, Anak Mesti Suka Siap Nak Bawa Bekal!
Artikel Menarik:Bila Termasin, Terpahit Atau Terpedas, Campak Sebiji KENTANG Dalam Masakan!
Mingguan Wanita: Sesekali nak ubah selera keluarga boleh buat potato salad ini. Menu diet yang sihat, mudah nak buat dan paling penting sedap.
Sumber:Siti Hazneza binti Abdul Hamid
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.