Resipi Kuih Lapis Ubi Kayu 3 Warna, Masak Guna Pengukus Sahaja!

Share

Kuih tradisi masih jadi pilihan ramai. Apa kata cuba kuih lapis ubi kayu atau ada yang mengenalinya sebagai bingka kukus atau talam ubi. Bahan utama kuih ini sudah pastinya ubi kayu.

Buat kuih ini agak remeh kerana perlu kukus setiap satu persatu adunan 3 warna itu. Namun setelah siap, segala usaha ini berbaloi kerana kuih lapis ubi kayu ini sedap apabila dimakan.

Cuba Buat Resipi Kuih Lapis Ubi Kayu (Bingka Kukus/Talam Ubi) yang dikongsi oleh Muhamad Muktamin Abdul Karim (Amin Hasibuan) ini.

Resipi Kuih Lapis Ubi Kayu (bingka kukus/talam ubi kayu)

“Mulakan dengan bismillah, niatlah memasak kerana Allah, In Shaa Allah dipermudahkan, kuih dapat pahala pun dapat bagi orang makan.

“Selamat mencuba!

“Boleh juga follow saya di Instagram: MUHAMAD MUKTAMIN BIN ABDUL KARIM @muhamadmuktaminabdulkarim.”

BAHAN-BAHAN

1 kg ubi kayu yg disagat (diperah)
300 ml atau lebih santan (1 kotak santan + 100ml air)
1 cawan gula pasir
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu kecil garam
3 jenis pewarna pilihan
Sedikit emulco/pewangi kelapa pandan (Ini hanya untuk warna hijau). Nanti kalau letak semua lapisan, takde pulak haruman ubi kayu.
Kelapa parut secukupnya

Artikel berkaitan:
Kuih Tepung Gomok Inti Kelapa, Makan Sekali, Nak Lagi! Cubalah Buat
Kuih Peneram Rangup Luar Lembut Dalam, Campur 2 Tepung Je!

CARANYA

1-Campurkan, gaul rata kesemua bahan di dalam sebuah mangkuk besar. Kalau nampak agak kering, tambah lagi santan. *Lihat dalam gambar.

2-Bahagikan kepada 3 bahagian dan warnakan. Emulco letak di lapisan hijau sahaja.

3-Oleskan loyang berukuran 8″ dengan minyak. Lapik dengan kertas minyak seperti dalam gambar. Ratakan adunan,kukus lapisan hijau (bawah) dan merah jambu (tengah) dalam 10 minit. Lapisan dah masak jika ditekan-tekan dah mula anjal, ubi dah agak kering.

4-Lapisan kuning (atas) dikukus selama 30 minit untuk pastikan keseluruhan lapisan kuih benar-benar masak sempurna. Jika nampak lapisan ubi belum cukup masak, boleh tambah masa.

*Jika menggunakan pengukus elektrik, isi air ke paras maksimum, dah cukup untuk mengukus selama 1 jam.
*Jika menggunakan pengukus di atas api gas, api tidak perlu terlalu besar.

5-Sejukkan kuih lapis (sedikit basah ketika baru masak) sebelum dipotong dengan pisau pemotong kek plastik.

6-Kukus sebentar campuran kelapa parut (bahagian putih sahaja) dan sedikit garam. Kemudian gaulkan dengan kuih lapis ubi kayu yang telah siap dipotong.

7-Untuk mendapatkan 6 lapisan seperti dalam gambar, potong dengan ukuran sama, cantumkan saja 2 potongan menjadi satu atau biarkan saja 3 lapisan.

Sumber/ Foto : Muhamad Muktamin Abdul Karim

Published by
julie roshana Shafee