Macam-macam versi buat sambal hitam ini. Tapi kalau nak tahu yang versi betul betul original, sebenarnya cuma guna 4 bahan ini saja; belimbing buluh, bawang merah, ikan bilis dan cili api.
Inilah yang dinyatakan Puan Siti Fatimah dalam masa yang sama berkongsi resepi dan cara-cara membuat sambal hitam original.
Katanya, “Kalau kau sejenis nak tunggu lampu isyarat bertukar hijau yang 80 saat tu pun tak reti menyabar dok berangin je berbalas balas hon, kau tak digalakkan lah untuk mencuba resepi ini.”
“Ini kalau aku nak buat jual, mahu lapan belas enam puluh ribu ratus ringgit sebekas ni.
“Sesaat kesabaran aku menunggu rebus belimbing tu je dah bersamaan dengan doblas ratus ringgit. Sebab tu lah sambal hitam ni orang jual mahal. Dia boleh tahan berbulan bulan tanpa perlu masuk esbok pun.”
Belimbing buluh tengah berlagak berbuah sekarang ni. Jangan biarkan mereka gugur sia sia di tanah. Pergi lah petik buatkan sambal.
Tapi untuk yang original sambal hitam lah. Original pembikinan sambal hitam, dia menggunakan empat bahan sahaja; Belimbing buluh, bawang merah, ikan bilis dan cili api.
Walaupun empat bahan sahaja, proses pembikinan dia mengambil masa yang sangat lama. Kau bercinta, gaduh, clash couple balik pun belum tentu sambal ni siap lagi. Mana kan tidak. Nak merebus belimbing buluh hingga betul betul hitam sahaja pun mengambil masa paling paling 4 jam.
Sesudah itu, perlu menumis perlahan pula kesemua bahan hingga betul betul kering. Itu pun dalam 4 jam masa diambil.
Alang alang nak buat stok simpan. Buatlah lebih. Alang alang nak pakai masa, tenaga dan gas yang banyak, buatlah sekali untuk ahli keluarga lain, saudara mara dan jiran tetangga yang ada. Bulan puasa pun dah nak dekat. Buat stok sahur pun terbaik ni.
Cara Buat Sambal Hitam Original
Rebus belimbing buluh sebelanga. Belimbing buluh ni ada lah dalam 2 ke 3 kg kot. Ni aku petik kat pokok sebesen.
Bersihkan buang tangkai, taburkan setengah cawan garam. Tak perlu letak air. Buka api, nanti perlahan lahan air belimbing tu keluar.
Kalau boleh jangan guna kuali atau periuk. Belimbing ni tajam. Dia menghakis besi. Kalau tak bocor pun, nanti kuali kau jadi hitam.
Ads
Kita nak buat sambal hitam. Bukan kuali yang kena hitam. Tak pasal suami anda cari sudut rumah termenung mengenangkan nasib kena belikan kau set kuali baru. Kuali betul.
Rebus guna belanga atau periuk kaca. Kalau tak ada, rebus dalam tin biskut. Dah siap rebus buang terus tin tu.
Ahh, kalau semua tak ada, kau tak payah buat lah! Banyak betul cerita.
Hah! Gini lah rupa dia bila belimbing dah mula mengeluarkan air. Teruskan merebus api sederhana. Jangan besar sangat apinya. Bergantung dapur gas anda lah. Agak agak sendiri untuk 4 jam punya rebus nak kering.
Sampai lah dia berubah warna dan kering.
Ads
Setelah 4 jam ini lah hasilnya. Dia jadi hitam dan mengecut macam buah prune. Dari sebelanga belimbing buluh tadi, dapatlah semangkuk besar belimbing hitam.
Ini Bahan Bahan Untuk Menumis
Bawang merah dimayang.
Ikan bilis tumbuk kasar.
Cili api blend.
Belimbing hitam dilenyek.
Agak agak je semua semangkuk semangkuk. Jumlah bawang dan ikan bilis biar lebih dari belimbing hitam dan cili. Kalau tak suka masam sangat, kurangkanlah belimbing.
Cili api biar sama banyak dengan belimbing hitam. Sambal ni kalau tak pedas, kau tak payah panggil dia sambal. Kau panggil dia milo ais.
Ads
Tumis dulu ikan bilis bagi garing sikit, lepas tu masukkan bawang dan cili api. Dah layu, masukkan pula belimbing hitam yang dah dilenyek tadi.
Minyak banyak tak apa. Aku tambah minyak dari semasa ke semasa.
Masa ni kau dah boleh mula perlahan kan api. Dan tunggu lah lagi dalam 3 ke 4 jam sampai betul betul kering.
Kacau. Jangan lupa pula mengacau sibuk leka tengok drama maghrib.
Tadaaaa! Ni lah rupa dia bila dah siap. Masa dah kering ni, senang nak turunkan minyak. Tinggal cedok je keluarkan minyak minyak kalau terlalu banyak.
Bila dah siap gini, tak perlu lagi nak tambah garam dan apa apa jenis MSG. Macam gini je dah sedap yang tidak tidak.
Ginilah cara buat dia. Senang bukan?
Bagi orang Johor dan Melaka, menu Asam Pedas ni bagaikan satu kemestian. Nak buat Asam Pedas yang sedap, cantik warnanya kena pastikan tumis cabai dengan lama sehingga betul-betul masak garing. Malah kuahnya mesti pekat, secukup rasa masam dan pedasnya. Tak kisah guna apa jenis ikan pun, daging mahupun ayam.Semuanya sedap. Namun, ikan kembung selalu menjadi pilihan kerana ia isinya ‘manis’ berlemak.
Mak-mak penggemar asam pedas, boleh lah cuba resipi yang dikongsikan oleh Sharinaz Redwan ini.
Asam Pedas Ikan Kembung Lemak. Menu favourite arwah ayah. Arwah ayah orang Johor. Memang boleh kata seminggu tu mesti ada menu ni mak masak. Anak dia kalau masak kadang-kadang jadi, kadang-kadang idok.
Tip mak, tumis cabai tu kena lama, biar betul-betul masak. Alhamdulillah, hari ni mood asam pedas sis berkerjasama dengan baik.
Resepi ni ikut style saya ye, kalau tak sama dengan tuan, puan, maaf ya. Sebab ada bahan saya memang tak masukkan.
RESEPI ASAM PEDAS IKAN KEMBUNG LEMAK
Bahan Kisar:
2 biji bawang besar
3 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
2 inci lengkuas
2 inci halia
3 batang serai – kalau nak titik je pun boleh
2 senduk cili blend
Bahan lain:
Ikan kembung @ ikan apa-apa pun ok
Minyak untuk menumis
Air asam jawa
Daun kesum
Bunga kantan
Garam
Cara Membuat:
1.Tumis bahan blend sampai betul-betul pecah minyak.
2.Masukkan air asam jawa, tambah air sikit. Biar didih kejap.
3.Dah didih boleh masuk ikan, bunga kantan, daun kesum. Biar api sederhana sampai didih dan ikan masak.
4.Last sekali letak garam secukupnya. Nak letak perasa pun boleh.
Info Ekstra!
Nak pekat bahan-bahan kena banyak, tak cukup nanti kuah cair tak best.
Saya suka masak guna kuali besar macam ni. Senang nak kacau.
Jika mak ayah ada mempunyai anak yang lahir pada tahun 2013 & 2014 iaitu berumur 5 dan 6 tahun sekarang, jangan lupa untuk mendaftar anak Darjah 1 secara online yang telah bermula dari 1 Mac ini. Ini kerana tempoh pendaftaran dibuka seawal 2 tahun sebelum persekolahan. Ia bagi menentukan dan memudahkan urusan penempatan di sekolah pilihan masing-masing.
Sistem Pendaftaran Atas Talian KPM ini bertujuan bagi memudahkan mak ayah untuk memohon sekolah buat anak mereka yang akan mula masuk darjah 1.
Mak ayah hanya perlu mendaftarkan nama anak secara online dan kemudiannya memilih sekolah yang anda rasakan sesuai buatnya. Namun, masih ada beberapa lagi tindakan susulan yang perlu dilakukan untuk memastikan pendaftaran berjalan sehingga selesai.
Permohonan Dibuka Mulai 1 Mac
Sistem Pendaftaran Tahun 1 secara atas talian (ONLINE) telah di BUKA pada jam 10.00 pagi, pada hari ini (1 Mac 2019). Permohonan boleh dibuat melalui : https://public.moe.gov.my/
*Selepas selesai mengisi, pastikan mencetak borang dan bawa dokumen seperti yang dinyatakan di dalam sistem ke sekolah untuk membuat pengesahan dalam tempoh 14 hari.
Dokumen yang diperlukan:
1. Sijil lahir anak (salinan + asal)
2. Kad Pengenalan Ibu Bapa (salinan + asal)
3. Surat Nikah/Cerai (salinan + asal)
4. Bil yang mempunyai alamat tempat tinggal
5. Sampul Surat Standard Dan Setem
6. Laporan doktor dan kad OKU jika berkaitan
Berikut dikongsikan tarikh-tarikh penting tentang pendaftaran tahun 1.
Tarikh Pendaftaran Dibuka : 01/03/2019
Tarikh Tutup Pendaftaran : 30/04/2019
Tarikh Pendaftaran Lewat Buka : 01/05/2019
Tarikh Pendaftaran Lewat Ditutup : 15/12/2019
Tarikh Rayuan Dibuka : 01/08/2019
Tarikh Rayuan Ditutup : 31/08/2019
Tarikh Mula Pengesahan Penempatan : 01/08/2019
Tarikh Tamat Pengesahan Penempatan : 30/09/2019
Tarikh Surat Penempatan : 01/08/2019
Tarikh Surat Rayuan : 01/10/2019
Untuk Makluman:
*Bagi ibu bapa/penjaga yang tidak mahir /tiada komputer/ buta huruf-boleh ke sekolah untuk dibantu.
* Bagi mak ayah yang telah mendaftar anak darjah 1 secara online pada tahun lepas (2018), ketika anak berusia 5 tahun, TIDAK perlu membuat pendaftaran lagi tahun ini.
*Hanya perlu membuat semakan/kemaskini borang jika ingin membuat sebarang perubahan pada maklumat. Pastikan cetak dan hantar semula ke sekolah yang dipohon untuk membuat pengesahan dalam tempoh 14 hari.
*Rayuan hanya boleh dibuat melalui sistem sahaja dan keputusan juga melalui sistem.
Tiada rayuan secara manual boleh dilakukan.
* Bagi yang daftar lewat kelahiran dan pendaftaran secara online tidak dapat dilakukan, minta ibu bapa daftar secara manual di PPD selepas 15 Disember 2019 dengan mengisi borang ASBS.
* Bagi permohonan tahun 1/2020 untuk murid tanpa dokumen,mohon mendaftar di PPD melalui borang MWTD selepas 15 Disember 2019.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat, kongsikan juga pada mak ayah yang lain turut ada anak darjah 1 tahun depan.
Gara-Gara meninggalkan anak-anak didalam kereta dengan keadaan enjin masih dihidupkan dan pintu tidak berkunci, seorang wanita berdepan detik cemas apabila dua anaknya dilarikan ketika berada dalam kereta diparkirnya di hadapan kedai serbaneka di Jalan Tembikai, Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang, baru-baru ini.
Dalam kejadian 7.45 pagi itu, dua beradik itu ditinggalkan oleh wanita berkenaan dalam kereta dengan keadaan enjin hidup dan pintu tidak berkunci.Namun wanita ini dianggap masih bernasib baik kerana anak-anaknya dapat ditemui semula serta berada dalam keadaan selamat.
Dijumpai Ditinggalkan 600 Meter
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, bagaimanapun, kenderaan dilarikan itu dijumpai semula selepas ditinggalkan 600 meter dari tempat ia dilarikan.
“Kira-kira 20 minit selepas kereta itu dibawa lari, ia ditemui semula dengan dua kanak-kanak lelaki yang masing-masing berusia lima dan enam tahun berada dalam kenderaan dalam keadaan selamat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 363/379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 33 Akta Kanak–Kanak 2001,” katanya.
Jokhiri berkata, pihaknya sedang giat mengesan serta mengenal pasti suspek dalam kes berkenaan dan setakat ini, belum ada tangkapan dibuat.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan anak dalam kenderaan dengan enjin masih hidup dan kunci ditinggal dalam kenderaan.
“Kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke balai polis berhampiran.
“Selain itu, saksi boleh menghubungi hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui hotline Polis Seri Alam di talian 07-3864222,” katanya.
Buat mak-mak semua, mohon jadikan kisah ini satu pengajaran. Walau macam mana nak cepat sekalipun untuk buat apa-apa urusan, tolong jangan sesekali tinggalkan anak-anak dalam kereta, baik kereta yang telah dimatikan enjin apatah lagi dengan keadaan enjin yang masih hidup iya. Situasi ini cukup membahayakan anak-anak. Mohon lebih prihatin dengan keselamatan mereka. Anak-anak adalah harta tak ternilai, harta hilang boleh dicari anak-anak hilang tak dapat diganti!.