Orang kata penat nak jaga anak usia jarak dekat-dekat tetapi kalau sekali harung susah apa salahnya, kan? Bila dah besar serentak lagi mudah. Sebenarnya apa masalah orang luar yang kalau rezekinya dapat anak berderet?
Ke sebab nampak susah dan tak terurus? Haaa… semua itu boleh diatasi, cuma mak-mak kena beringat jangan sesekali mengeluh! Setiap anak ada rezeki masing-masing. Maka mak ayah boleh ikut panduan ini untuk mengawal karenah anak yang berderet-deret…
1. Jangan Pilih Kasih
Setiap anak adalah manusia yang mempunyai perasaan. Mereka tahu jika anda pilih kasih. Nasihatkan kepada suami supaya turut sama jangan pilih kasih. Sayangi anak yang ramai itu sama rata.
Jika anak A dimarah kerana menyepahkan kasut, marahkan juga jika anak B melakukan perkara yang serupa. Jika anda tidak marah perkara yang serupa, maka anak anda akan berasa tidak puas hati.
2. Ajar Berdikari
Ada harus mengajar anak berdikari. Jika tidak memang letihlah anda hendak menguruskan satu demi satu keperluan anak anda itu. Ajar mereka untuk mengemas bilik, menyusun permainan dan meletakkan pinggan mangkuk yang telah digunakan di sinki.
Ajar juga anak-anak mengemas buku sekolah dan meyediakan pakaian sendiri. Hal ini akan memudahkan urusan anda setiap pagi. Bagi anak yang kecil, ajar anak anda supaya tidak selalu menunjuk perasaan jika anda tidak sempat menguruskannya seperti biasa.
3. Buat jadual
Wajib buat jadual dengan teliti. Misalnya, mana satu anak yang hendak ke sekolah pada waktu pagi. Mana satu anak yang hendak ke sekolah pada waktu petang, mana satu yang hendak ke kelas mengaji dan sebagainya.
Jadual yang tersusun akan memudahkan anda untuk menguruskan rutin harian. Anak yang berderet atau rapat sememangnya agak sukar untuk diuruskan apatah lagi jika usia mereka hampir sebaya. Namun hasilnya amat memuaskan hati apabila mereka dewasa kelak.
4. Disiplin
Setiap anak perlu diterapkan dengan disiplin yang ketat. Biar mereka tahu waktu untuk mereka mandi, makan, solat, buat kerja sekolah dan tidur. Disiplin memudahkan anda untuk mengawal anak yang berderet.
Nak terap disiplin dalam diri anak perlu dimulakan sejak mereka kecil lagi. Disiplin juga boleh diterapkan melalui teladan. Tapi anda perlu disiplinkan diri anda terlebih dahulu supaya anak-anak boleh melihat contoh terbaik daripada Ibu Ayahnya.
Nota Hakak:
Sebenarnya anak ramai ni meriah, tambah bila masing-masing dah besar dan berumah tangga. Itu belum lagi cerita pasal anak cucu bagai. Dan lagi syok berkumpul masa kenduri-kendara dan musim perayaan. Kalau ada anak kena beraya rumah mentua, ada lagi baki yang lain balik teman mak ayah balik ke kampung. Nikmat adik beradik ramai dan dekat-dekat umurnya ni tak boleh dibeli dengan duit!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI