Macam Inilah Cara Betul Buat Cucur Udang Bagi Rangup

Share

Nampak senang tapi sebenarnya nak buat cucur udang pun kena tahu rahsianya. Biasanya bila buat cucur udang ni masalahnya, bila digoreng ia ‘masuk minyak’ dan lembik. Itulah yang buat kita hilang selera nak makan. Gigit je cucur, terus mulut kita ‘bermandikan’ minyak.

Jadi ini salah satu resipi yang boleh anda gunakan untuk cucur udang yang rangup.

Bahan-bahan:

Sedikit Udang

500gm tepung gandum

1 biji telur

1 paket yis segera | dicampur bersama 1 sudu gula dan ½ cawan air suam

Air (ikut anggaran untuk bancuhan cucur)

1 sudu kecil garam

Sedikit serbuk kunyit

200gm taugeh

1 pokok kucai

2 biji cili merah | dihiris nipis

Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

1. Campurkan yis bersama air suam dan gula. Biarkan sehingga ia berbuih.

2. Dalam mangkuk besar, masukkan tepung, serbuk kunyit dan garam. Kemudian digaul rata. Kemudian pecahkan telur dan masukkan bancuhan yis tadi bersama dua cawan air.

3. Gaul sehingga semuanya sebati dan masukkan sayur-sayuran. Biarkan sebentar sehingga bancuhan nampak berbuih.

4. Panaskan dan goreng dalam minyak yang banyak. Rendamkan sudip yang mahu anda guna dalam minyak panas. Kemudian barulah dituangkan adunan cucur tadi.

5. Letakkan udang dan goyang-goyangkan adunan cucur sehingga tertanggal dari sudip.

6. Perhatikan cucur sehingga kuning keemasan dan angkat untuk tos minyak.

RAHSIA MASAK CUCUR

1. Jangan guna air panas untuk membancuh yis kerana ini akan ‘membunuh’ yis. Apabila anda mencampur gula ke dalam bancuhan yis, itu bagi mengaktifkannya. Bila naik berbuih, maknanya yis ‘hidup’ dan boleh digunakan.

2. Untuk menjadikan cucur udang rangup, pastikan anda menggunakan sudip atau senduk yang leper supaya bahagian tepi cucur boleh menjadi lebih crispy.

3. Goreng cucur dalam minyak sederhana panas untuk cucur yang rangup. Minyak yang tidak panas akan menyebabkan bancuhan cucur ‘masuk minyak’ dan minyak yang terlalu panas pula akan membuatnya menjadi hangit.

Published by
Nadia