Resepi Buat Ikan Percik Sebenar, Wanita Ini Bongkar Rahsia Masak Kuah Yang Dituntut Bersila Depan Maknya

Share

Kalau nak masak ikan percik kena betul-betul tahu rahsianya, terlebih godek nanti lari rasanya. Ya, mungkin lain orang lain caranya tetapi ilmu masakan percik daripada wanita yang berasal negeri Cik Siti Wan Kembang ini, patut disimpan oleh kaum mak-mak yang gemar makan menu percik.

Haaa… nak tahu apa bahan paling mahal dalam masakan percik, jemput godek resepi Puan Afy AL Habibi.

Rahsia Masak Ikan Percik

“Resepi ikan percik ni paling saya sayang selain resepi daging kerutup dan gulai ikan ayo yang saya dah kongsi sebelum ni. Sebab saya menuntut resepi ni bersila betul-betul depan mak. Haa. Dari proses perap ikan, buat kuah sehinggalah siap sepenuhnya.”

Menurutnya lagi, rasanya tak akan sama dengan yang ada di kedai.

“Ada kawan FB yang dah cuba pun gembira sekali. Kata mereka rasanya sama dengan resepi asli. Tak sama macam menu beli. Jadi kat bawah ni saya kongsi resepi. Jangan pandang sepi tau, boleh rugi! Bulan puasa ni bolehla merecikkk sekali.”

Bahan-bahan:

Ikan Kembung 5 ekor
( basuh bersih dan kelar ikan)

– 2 batang serai
– 5 ulas bawang putih
– 1 inci halia
– 1 1/2 inci kunyit hidup
( Semua bahan di hiris nipis)

Cara nak masak:

Masukkan dalam tabung pengisar. Tambahkan 3/4 sudu besar garam dan 1 sudu kecil serbuk perasa Hilal.

Kisar hingga lumat.

Lumur rata bahan kisar pada ikan.

Perap selama 20 minit.

Bahan untuk kuah percik:

– 5 biji bawang merah saiz syiling 20 sen
– 2 ulas bawang putih
– 1/2 hiris nipis halia
– Secubit belacan
– 1/2 sudu besar serbuk ketumbar (disangai dan dikisar halus)

Kisar semua bahan hingga lumat.

Masukkan bahan kisar dalam periuk.

Tambahkan sekali 6 senduk santan segera.
( Beli dekat pasar. Pekat asli daripada buah kelapa)

Tambahkan 1 senduk air kosong.

Masukkan 1 1/2 sudu besar cili kisar
( kisar sendiri)

Guna cili kering saiz paling besar. Tak pedas. Warna pun merah cantik.

Letak periuk atas dapur. Buka api perlahan.

Perahkan sehiris limau nipis.

Masukkan 2 1/2 sudu besar gula, 1/2 sudu besar garam dan secubit perencah Hilal.

* kuantiti rasa terpulang kepada citarasa sendiri/ masukkan sedikit demi sedikit untuk lebih selamat.

Kacau kuah dengan api sederhana besar.

Tutup api setelah kuah berbuih mendidih.

Siap untuk kuah percik lazat tak terkata.

Bakar ikan di atas bara api.

Jangan bakar hingga kering garing supaya isinya kekal juicy.

Angkat seketika pemanggang ikan.

Lapik pinggan di bawah. Sendukkan kuah percik dan lalukan pada badan ikan depan belakang.

Letak semula pemanggang atas bara api untuk seketika. Balik-balikkan untuk bahagian atas dan bawah.

Ulang dua kali untuk kuantiti kuah melekat lebih tebal.

*kuah percik yang disalut tadi akan menjadi lebih sedap setelah dibakar dengan bara api.
Baunya juga lagi menusuk jiwa.

Menu merecikk bulan puasa.

Tahap kelikatan kuah yang lazat.

Inilah hasilnya, sedia digabung bersama pelengkap menu lain.

Selamat mencuba!

Published by
Nadia