Resepi bawang putih goreng yang rangup dan crispy ini bukan mudah nak dibuat. Sebabnya salah goreng boleh buat bawang putih jadi cepat hangus. Resepi bawang putih goreng yang dikongsikan oleh Puan Rozita Ab’dullah ini memberi idea kepada mak-mak terutama yang berhajat nak buang angin dalam badan.
“Bawang putih sangat baik untuk badan kita. Boleh buang angin dan macam-macam lagi. Amalkan bawang putih goreng yang sangat sedap.” Nanti teksturnya akan jadi rangup dan boleh dipanggil kerepek bawang putih rangup juga.
“Makan dengan nasi panas-panas pun layan! Letak dalam soto dan lain-lain pun mantap. Paling baik untuk orang berpantang. Orang tak pantang yang ada angin pun bagus makan bawang putih goreng ini
.”1 kg Bawang putih (rendam air untuk mudahkan kupas kulit)
Sedikit garam
Minyak untuk menggoreng
1. Kupas bawang putih, hiris nipis-nipis dan gaulkan dengan sedikit garam.
2. Tak nak gaul garam pun tak apa. Goreng kosong macam tu je.
3. Goreng sampai garing. Jangan hangit sudah.
4. Toskan minyak. Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara.
5. Bolehlah makan dengan nasi.
Sumber/Foto : Facebook Rozita Ab’dullah
√ Bawang putih telah siap-siap dihiris.
√ Panaskan minyak yang banyak dengan api sederhana.
√ Masukkan bawang putih hiris tadi. Gaul sampai berubah warna kuning keemasan.
√ Kemudian kecilkan api, kacau seketika dan angkat cepat-cepat.
√ Jangan sesekali membiatkan bawang putih warna kecoklatan semasa menggoreng.
√ Sebabnya, suhu panas minyak masak tadi akan membuatkan bawang menjadi lebih cepat matang dan berubah warna lebih kecoklatan. Jika apinya tak dikawal akan lebih cepat hangit.
√ Sebaik diangkat, toskan segera.
√ Bila dah sejuk segera simpan dalam bekas kedap udara.
Bawang putih sememangnya kaya khasiat. Banyak sekali manfaat yang boleh ditemui pada sebiji bawang putih. Bagaimana pun dalam mana-mana jua kaedah perawatan, apa-apa saja yang diambil dengan tujuan untuk menjadi ubat, ia tidak boleh diambil secara berlebihan.
Ini beberapa individu yang tidak digalakkan mengambil bawang putih secara berlebihan.
Semasa pengambilan bawang putih yang keterlaluan, anda berkemungkinan akan berhadapan dengan masalah bau mulut. Ia juga boleh menyebabkan rasa terbakar pada mulut dan perut, memulas, mual, muntah malah cirit birit.
Anda tak digalakkan mengambilnya secara berlebihan. Sebab bawang putih itu sendiri bermanfaat untuk menurunkan tekanan darah dan kolesterol. Ambillah secara sederhana dan mengikut saranan jumlah pengambilan harian. Seperti yang disarankan jumlah pengambilan untuk satu hari adalah sebanyak 1 labu bawang putih.
Sebaiknya dapatkan dahulu nasihat daripada doktor sekiranya mahu ambil bawang putih untuk tujuan perawatan.