Menguruskan anak ramai menuntut pengorbanan yang besar baik dari suami mahupun isteri. Lelaki ini, Muhd Nur Syafiq dikurniakan 8 orang anak. Dan sentiasa meletakkan dirinya agar belajar menghargai pengorbanannya.
Walau ketika sukar, isterinya malah anak-anak tidak pernah meminta lebih daripada kemampuan suami. Malah, menghulur bantuan wang ringgit walau suami tidak minta.
Isteri juga tak harapkan balasan untuk pengorbanannya itu. Seharusnya suami memahami dan tahu bagaimana untuk menghargainya.
Hadamkan kisahnya,
Bulan ni ada rezeki lebih sikit. Tayar belakang kereta dah lama botak. Takda bunga langsung. Setiap kali nak kemana-mana, kena isi angin. Bulan Mac yang lepas dah tukar tayar depan. Lepas tolak komitmen bulanan, cukupkan stok barang dapur, masih ada baki ngam-ngam untuk tukar tayar.
So plannya esok nak pergi tukar tayar. Tanya kedai, sebiji tayar pun dah cecah RM200. Dua biji dah RM400. Dah lama sangat tangguh, kali ni dah tak boleh tangguh. Bahaya nyawa.
Tadi masa on the way balik kerja, call Zaisya Shukor. Minta dia tanyakan anak-anak, ada teringin nak makan apa-apa ke? Sebelum duit habis, terfikir gaji bulan 8 belum belanja anak-anak makan.
“Bang, anak-anak cakap tak payahlah beli apa-apa. Depa kenyang lagi makan nasi tadi. Abang balik rumah teruslah.” Balas Zaisya. Aku sebak. Baik anak, baik bini kerap mudahkan urusan aku. Jarang minta itu ini. Kadang, bila teringin apa-apa anak-anak sebut sekali je. Lepas tu kalau tak dapat aku belikan, depa tak ulang dah minta.
Aku lalu depan gerai jual satay. Buka dompet, ada RM50 je sekeping. Teringat haritu, anak-anak berebut capai secucuk demi secucuk satay yang masih panas. Aku pun singgahlah, beli satay 45 cucuk. Tambah nasi impit 4 ketul. Total semua RM39.
Sampai rumah, nampak anak-anak tengah siap-siap nak mengaji. Melompat-lompat depa tengok aku bawa balik seplastik satay. Terhibur aku.
Semalam Zaisya minta izin aku, nak pergi mengurut kawan dia yang baru lepas bersalin. Katanya ilmu dah ada. Tapi dah lama tak praktikkan. Rugi. Tambahnya lagi, “abang ingat apa pesan Bonda Nor?
Setiap hari gunakan apa yang kita ada dan apa yang kita mampu untuk buat kebaikan dan beri manfaat pada orang.”
Ya, 7 – 8 tahun lepas memang Zaisya pernah belajar mengurut. Pernah kehulu kehilir jadi confinement lady jaga orang dalam pantang. Jadi semalam bila kawan dia bersalin, dan perlukan tukang urut Zaisya minta izin dari aku.
Katanya dah lengkap dua dos vaksin dan kedua-dua mereka pernah positif Covid. Jadi risiko tu agak rendah.
Aku izinkan. Aku mahu Zaisya bebas buat apa yang dia suka. Tak mahu dia rasa terkurung, dan kelebihan yang dia ada terbiar. Masa aku sampai rumah petang tadi, dia baru siap mandi. Happy dia tak perlu masak sebab aku dah belikan satay.
“Lepas Maghrib anak-anak hidang satay. Macam biasa, berebut-rebut depa makan. Durrah pun tumpang sekaki. Menyelit-nyelit nak capai apa yang ada depan mata.” Serius, aku sebak sangat. Bagi orang lain, RM39 tu mungkin kecil nilainya. Satay je. Bukan special mana.
Nak beli bila masa pun boleh, tak perlu tunggu gaji. Tapi bagi keluarga besar kami, ia bukan satu keperluan. Nak makan fastfood, nak beli makanan di luar belanjanya tinggi. Jadi perlu tunggu bila ada rezeki lebih. Anak-anak tak pernah merungut. Alhamdulillah. Kefahaman yang Allah campakkan dalam diri depa ni pun dah cukup besar rahmatnya bagi aku sebagai ketua keluarga.
Settle makan malam, phone aku bunyi. Dapat notification, ada duit masuk dalam akaun aku. Aku tengok nama pengirim. Nama bini aku. Aku pun tanya dia. “Duit apa ni yang? Kenapa masukkan dalam akaun abang?”
“Duit komisyen Fitrah bang. Sya ganti semula duit gaji abang yang abang bayarkan deposit beli buku pagi tadi.”
“Ya Allah, tak payahlah! Abang tak berkira pun. Tu duit komisyen ayang, gunalah. Ayang penat buat itu ini nak tolong abang, simpanlah duit tu.”
Dia senyum. “Ambiklah. Sya belanja. Esok nak tukar tayar, tadi dah belikan anak-anak satay, berapa je balance gaji abang.”
“Abang, dah bagi mak duit bulan ni? Kalau tak ada banyak, beri sikit. Janji berkat gaji tu.” Dia sambung.
Aku diam. Pandang wanita yang tampak biasa ini dengan pandangan yang tajam.
Dia pernah jadi mak bidan, dia usaha jadi product consultant, jual jamu, jadi dropshipper jual baju. Dia pernah buat dan jual ikan tenggiri pekasam, pernah jual apam. Pernah buka kelas membaca ekspress-i, join dropshipper Bonda Nor.
Sekarang beralih jadi mentor nak bimbing penulis baharu, sampai ke subuh gigih baca manuskrip mentee satu persatu. Sambil-sambil jadi pengguna pati bunga Fitrah dalam diam dia buat jualan.
Dia pernah untung ribuan. Pernah juga tak dapat komisyen berbulan-bulan. Dia jatuh, kemudian bangun. Dia bergelut dengan turun naik emosi. Uruskan anak-anak berlapan.Aku tahu, aku sedar, wanita inilah punca rezeki aku tak pernah putus. Kadang aku rasa, aku kejam.
Baca juga : Hadiahkan emas tanda kasih suami hargai pengorbanan isteri, pasti rezeki mencurah-curah
Entahlah, malam ni aku sebak sangat. Semalam, aku menulis pasal dia, hari ini perasaan ini masih sama. Mahu menitip sesuatu berkisar dia. Merenung wajah letihnya yang sedang menyusukan Durrah, membawa aku hanyut dalam emosi tak bertepi.
Isteri kita memang tak sempurna. Dan tak kan jadi sempurna sampai bila-bila. Tapi sejauh mana kita sebagai suami menghargai seorang isteri. Kadang yang kita nampak hanya kekurangan kecil isteri, sedangkan pengorbanan-pengorbanannya yang besar, tak pernah kita endahkan.
Hargai isteri semampu kita. Walau sedikit pengorbanannya, tetap raikannya. Doa dari isteri yang mahal sebenarnya. Cuba nilai semula, hidup kita sebagai lelaki dan suami bererti atau tak tanpa dia yang kita nikahi?
Petang tadi aku belanjakan RM39, dan malam ni Allah rezekikan aku dapat pulangan sekali ganda. Tak besar nilainya. Tetapi telah Allah hantar rezeki ini melalui seorang isteri yang ikhlas berkongsi.
Allah, andai mati asbab terhenti jodoh kami, tolong jagakan dia. Tolong muliakan dia di dunia, dan hantar juga dia ke syurga. Kerana dia kerap menabur bakti kepadaku tanpa syarat. Bakti seorang suri . Bakti seorang isteri.
Sudah tanya pada isteri kalian, awak okey? Ucapkan terima kasih pada isteri ya. Kadang hidup kita ni jadi bermakna pun sebab menumpang rezeki dia. Sedar diri!
Dan seandainya ada sahabat-sahabat yang tak dapat penghargaan dari suami, pesan aku jangan putus doa. Jangan bandingkan suami kalian dengan suami orang lain. Kadang yang nampak sempurna itu juga ada derita di hati mereka. Kasut kita tak sama. Tak kan pernah sama. Macam kisah makan satay, korang mungkin boleh beli satay hari-hari tapi kami ni cuma dua bulan sekali.
Bahagia cara kita. Saling mendoa. Andai kita tak dapat doa dari seorang isteri, moh kita jadi suami yang sering mengutus doa buat isteri. Jangan tunggu orang buat baik dengan kita, kita dulu buat baik dengan depa. Haaa. Tudia.
#kembaraanaklapan
Mingguan Wanita : Isteri sememangnya jarang merungut walaupun letih. Adalah lebih baik bagi suami yang hargai pengorbanannya. Dan itulah juga hadirnya ketenangan, bahagia dalam rumah tangga.
Sumber/Foto : Muhd Nur Syafiq
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW