Hujung minggu waktu yang ditunggu-tunggu untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Bagi yang masih buntu dan tak tahu apa nak buat pada hujung minggu yang panjang sempena cuti Hari Malaysia ini bolehlah membawa keluarga atau teman-teman untuk menonton bersama.
Filem “Rise: Ini Kalilah” yang bertemakan perpaduan dan berinspirasikan pilhan raya umum 9 Mei lalu kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Penerbit filem itu Fred Chong berkata, ‘Rise: Ini Kalilah’ merupakan sebuah filem berdurasi 100 minit yang mendapat inspirasi dari semua kelompok rakyat Malaysia yang berganding bahu keluar mengundi untuk sebuah negara yang baharu.
“Penggambaran filem ini dijalankan di Malaysia, Singapura dan United Kingdom. Berlatar belakang detik-detik waktu mendebarkan dalam catatan sejarah Malaysia, projek filem ini dilancarkan tepat pada masa tatkala Malaysia mengalami perubahan yang terpenting selepas 61 tahun mendapat kemerdekaan,” katanya
Filem itu menampilkan kolaborasi tiga pengarah termasyhur iaitu Saw Teog Hin, Nik Amir Mustapha dan Prem Nath dan dibintangi gandingan pelakon hebat iaitu Remy Ishak dan Mira Filzah.
“Mereka bertiga berjaya menempuhi cabaran yang paling getir untuk menghabiskan produksi filem dalam masa yang singkat iaitu sekadar tiga bulan sahaja.
Papar kisah rakyat
Remy Ishak berkata Filem RISE Ini Kalilah merupakan naskhah yang memaparkan kisah rakyat Malaysia dan bukan semata-mata propaganda. Dia tidak melihat karya ini cenderung ke arah politik, sebaliknya cerita rakyat yang sudah jelak dengan sistem yang pernah ada.
Malah kata pemilik nama itu lagi, filem ini lebih kepada pemahaman dan pemikiran masyarakat dalam sesebuah negara.
“Walau bagaimanapun, lain orang lain pandangannya dan sebagai pelakon saya melihat dari sudut yang positif. saya tak mahu peminat terguris hati ataupun salah faham. Ini cerita tentang Malaysia bukan tentang pembangkang atau kerajaan sekarang.
“Keluhan yang tak selalu didengar kini dipersembahkan ke layar besar,” jelas Remy ketika ditemui di majlis tayangan perdana RISE Ini Kalilah di One Utama, Damansara Utama.
Selain Remy yang memegang watak utama sebagai Koperal Azman, antara barisan pelakon lain terdiri daripada Mira Filzah, Yana Samsudin, Sangeeta Krishnasamy, Mark O’dea, Mustaqim Bahadon, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.
Enam cerita berlainan
Filem yang mengisahkan disebalik kejayaan Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) yang berlangsung pada 9 Mei lalu itu membuatkan segelintir netizen beranggapan ada unsur politik.
Menurut Mira Filzah yang juga merupakan bintang utama, filem yang mempunyai enam kisah berlainan itu merupakan cerita mengenai kehidupan rakyat Malaysia dan tidak ada kena mengena dengan parti politik.
“Cerita-cerita dalam filem ini mengisahkan perjalanan hidup rakyat Malaysia yang sebenar. Banyak pengajaran yang memang ada kaitan dengan kehidupan kita. Filem ini tidak ada berat sebelah dan ia melingkungi secara keseluruhan. Bergantung pada pendapat masing-masing untuk menilai.
“Bagi saya, tidak ada berat sebelah mana-mana parti politik. Malah, tiada langsung isu sensitif yang dipaparkan,” ujarnya lagi.