Ramai pereka fesyen muda kini yang mencipta busana tradisional kontemporari secara terlampau dan dianggap sebagai ‘melacurkan” budaya. FM Group anjur International Cultural Fashion Week (ICFW) buat pereka fesyen muda menonjolkan bakat rekaan mereka tersendiri.
ICFW merupakan salah satu program bawah acara Precious Of Malaysia yang sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya. Menurut FM Group, berkarya itu bukanlah merupakan kesalahan, namun harus tahu batasnya.
“Kreativiti dan relevan mengikut trend itu bagus. Cuma nasihat saya janganlah sampai ‘melacurkan’ budaya kita menerusi fesyen yang anda reka.
“Maksud melacurkan budaya itu adalah mereka cipta busana yang boleh mendatangkan persepsi negatif.
“Misalnya mereka baju Melayu yang jarang kainnya,tanjak dijadikan baju seksi untuk menutup bahagian dada dan sebagainya.
“Mungkin nampak kreatif bagi sesetengah orang tapi ia seolah-olah ‘mencemarkan’ identiti budaya Melayu.
“Apabila rekaan sebegini dibawa ke pentas peragaan ia dilihat seolah-olah mempersendakan budaya itu sendiri. Orang yang melihat pun sudah tidak kenal asal usul busana yang diperagakan.
“Pereka fesyen perlu memahami sekali gus menghormati identiti pakaian kaum yang dihasilkan.
“Ini kerana budaya kita ada nilai estetika sendiri, kena ikut resmi itu. Kena tahu asal usul setiap budaya, jangan overdo atau rosakkan budaya,” ujarnya.
Pada tahun 2024 ini, rakyat Malaysia bakal menyaksikan kelainan ICFW berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Dua tahun berturut-turut kami libatkan pereka fesyen tempatan sahaja. Kelainan untuk tahun ini kami turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.
“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari Malaysia dan negara luar.
“Untuk Malaysia, kami nak ketengahkan elemen Malaysia seperti batik, songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden pun dibenarkan.” katanya.
Pertandingan ini melibatkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.
Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights serta menyeru rakyat Malaysia untuk turut hadir memeriahkan dengan memakai tanjak pada hari tersebut.