“Rehatlah Naim, Anak Syurga Mak Long. Moga Kita Bertemu Di Syurga Allah Kelak,” begitulah luahan hati Noraniza Idris atau Kak Ani tidak dapat menyembunyikan kesedihannya atas kehilangan anak saudaranya, Naim Hariri Kamaruddin, 31, mangsa lemas di Pantai Kelulut, Terengganu, Jumaat lalu.
Awal pagi semalam sekitar jam 10.10 pagi, mayat Allahyarham Naim ditemui pasukan penyelamat selepas tiga hari hilang di pantai berkenaan, dipercayai ditarik ombak ketika sedang mandi.
Paling memilukan, kunjungan Allahyarham ke Terengganu adalah untuk melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya pada Sabtu, namun ia tidak menjadi kenyataan.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram Kak Ani telah menulis kisah sedih atas kehilangan anak saudara yang sudah dianggap seperti anak sendiri.
“Innalillahi wa inna ilahi roji’un.
“Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali”
“Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
“Al-Fatihah
“Rehat lah Naim, anak syurga Mak Long, Lepaskan lelah dunia, kami reda dengan pemergian kau.
“Terima kasih atas segala keringat, ilmu dan nasihat Naim pada setiap klien yang memerlukan khidmat terapimu sepanjang bersama.
“Sesungguhnya ramai saksi dunia ni melihat kebaikan, kesantunan dan budi pekertimu anak. Semoga syurga tempat mu, Naim.
“Hari ni walau berat, kami terima hanya jasad kau yang tak bernyawa laut pulangkan. Rehat lah wahai anak syurga Mak Long, moga kita bertemu disyurga Allah kelak,” tulis Kak Ani.
Menurut Kak Ani, seperti mana dipetik menerusi SinarPlus kali terakhir dia bertemu arwah anak saudaranya itu ialah pada Isnin minggu lalu iaitu sehari selepas Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) melabuhkan tirainya.
“Kali terakhir saya jumpa Naim selepas Maghrib pada hari Isnin minggu lalu, iaitu sehari selepas tamat final GV7.
“Kebetulan peminat saya meraikan tamat GV7. Sebenarnya saya adalah klien physio kepada Naim.
“Dia merupakan physioterapist yang sangat ramah dan baik dengan sesiapa sahaja. Lembut pertuturan dan sangat menghormati orang membuatkan sesiapa saja akan menyenanginya.
“Namun masa jumpa kali terakhir itu, karakternya agak pendiam daripada biasa. Salam cium tangan saya.
“Saya cium pipi kiri kanan dan dahi dia, tapi responnya agak tawar. Pandang saya dengan suami macam berfikir jauh. Tak teruja macam biasa jumpa.
“Selalunya dia yang akan bersapa dulu, tapi kali ini buat kami rasa sikit tersentuh hati, namun melepaskan saja perasaan itu,” luahnya.
Baca Disini Juga:
Lelaki Dijadual Bernikah Hari Ini, Dikhuatiri Lemas Mandi Pantai
“Sebelum Bergerak Pulang Ke Pulau Pinang, Mereka Ceria Selepas Bercuti Di Kampung.”- Datuk.
Difahamkan juga ketika pertemuan tersebut Allahyarham ada memaklumkan bakal melangsungkan pernikahannya di Terengganu.
“Dia ada sebut nak kawin di Terengganu dan nak jemput. Kami cuma ucapkan tahniah dan tinggalkan dia dengan perasaan tertanya-tanya,” kongsi Kak Ani yang sebaik sahaja mendapat berita tentang tragedi yang menimpa Allahyarham pada Jumaat lalu, dia tidak putus memohon doa dan mengadakan solat hajat agar usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan.
“Semalam masuk hari ketiga kehilangan Naim dan jenazah Naim ditemui pasukan penyelamat.
“Saya sangat berharap keluarganya tabah dan cekal hadapi dugaan besar kehilangan anak sulung dan satu-satunya lelaki,” ujarnya yang turut menerangkan Naim merupakan sepupu yang terlalu rapat dengan anak-anaknya iaitu Aliff dan Alfeeq.
Sumber Foto: Instagram Noraniza Idris
Sumber: SinarPlus
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita