Ketentuan ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya ditangan tuhan. Bagaimana dan bila waktunya sememangnya tak dapat diduga.Apa yang penting berterusan melakukan amal ibadat semoga ada amalan kita yang di terimaNya.
Sayu mengenangkan keadaan wanita yang kematian suami secara tiba-tiba. Apatah lagi dengan keadaan diri yang sarat mengandung menantikan cahaya mata sekian lama.
“Setiap hari arwah berpesan kepada saya supaya banyak melakukan amal ibadat dan kebaikan kerana kita tidak pasti bila akan dijemput Ilahi.
“Kita tidak tahu amalan mana yang Allah SWT terima di sana nanti,” kata Nurul Izzati Nazirmuddin, 32, isteri kepada Muhammad Faisal Yaakub, 32, guru Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Alam Impian, Klang yang meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari, kelmarin.
Menurutnya, dia sempat menghubungi arwah suaminya kira-kira jam 1 tengah hari dan arwah memberitahu dia menghadiri program dan mesyuarat di MITS.
“Sepanjang perkahwinan, arwah seorang yang ceria dan terlalu baik. Dia tidak pernah menolak kalau sesiapa yang meminta pertolongan malah dia akan melakukan dengan sebaik mungkin.
“Allah SWT sudah tetapkan ajal arwah suami saya malah arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan ceria seperti biasa.
“Arwah tidak mengalami sebarang tanda penyakit termasuk serangan jantung atau tekanan darah.
“Kehilangannya dirasai semua kenalan kerana arwah sangat disenangi semua orang. Ramai kenalan yang datang ziarah arwah sama ada di hospital atau di rumah,” katanya ketika dihubungi di Kampung Ketoyong, Tanjung Malim, Perak, semalam.
Nurul Izzati yang bekerja di Jabatan Agama Islam Selangor mendirikan rumah tangga dengan arwah pada 2012 dan mengandung tujuh bulan anak pertama mereka.
Menurutnya, dia sedih kerana bayi yang bakal dilahirkan tidak dapat bertemu bapanya.
“Setiap kali pulang ke kampungnya di Rantau Panjang, Kelantan, arwah akan menziarahi kubur bapanya. Pada 21 Disember lalu, arwah memuat naik gambar menziarahi kubur dalam Facebooknya yang menulis status ‘Setiap permulaan pasti ada pengakhiran… tiada penangguhan, hanyalah perlu persediaan’.
“Status ini menunjukkan arwah meminta kepada sesiapa membuat persiapan sebelum kematian datang menjemput,” katanya.
Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketoyong, malam kelmarin.
Pengetua MITS Abdul Halim Saljadi berkata, arwah sempat berbalas WhatsApp dengan rakan guru yang lain memaklumkan datang lambat ke mesyuarat.
“Tidak lama kemudian arwah datang dan tiba-tiba dia rebah di hadapan pintu bilik mesyuarat ketika azan Zuhur berkumandang. Staf yang berada di luar menjerit meminta pertolongan dan kami mendapati muka arwah kemerahan-merahan dan kejang kemungkinan sedang nazak,” katanya.
MW: Salam takziah daripada team Mingguan Wanita. Semoga wanita ini diberi kekuatan, kesabaran dan terus cekal meneruskan kehidupan serta hari-hari mendatang. Semoga roh arwah suaminya ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.
Sumber: Hmetro & Faisal Yaakub