Raya Bukan Masanya Bertanding Siapa Lebih, Lagi Lagi Sesama Adik-Beradik

Share

Setiap anak dalam sebuah keluarga ada rezeki masing-masing. Bila dah berumah tangga dan beranak isteri, pun rezeki mereka berbeza. Tapi percayalah wahai adik-beradik, setiap anak-anak itu saling melengkapi untuk mak ayahnya.

Macam mana tu? Kalau perkongsian Andy Sulaiman ini menjentik rasa hati kita yang punya adik-beradik, bermakna Syawal inilah masanya perbaiki diri, belajar menerima kelebihan dan kekurangan setiap daripada mereka.

Sebab prinsipnya, mana-mana mak ayah pun tidak lah pernah terdetik mahu membanding-bandingkan anak-anak. Melainkan mak ayah cuma nak meraikan setiap kelebihan anak-anaknya.

Segan Kalau Semua Adik-beradik Abang Balik..

Bang, raya ni kita balik raya sebelah family abang dulu kan?” tanya isteri.

Suami angguk.

Adik beradik abang semua balik ke?” tanya isteri lagi.

Suami angguk sekali lagi.

Cuma kali ini si suami nampak riak wajah isteri sedikit berubah.

Kenapa?” tanya suami.

Eh tak ada apa-apa. Saja tanya,” kata isteri.

Tak ada mananya awak saja tanya. Mesti awak ada rasa sesuatu ni,” kata suami.

Hmm. Bukan apa bang. Saya segan sikit kalau semua balik. Ya lah, adik beradik abang semua hebat-hebat. Kaya-kaya semuanya.

*** (Sekadar lakonan. Tiada kena mengena dengan aku, dengan kau atau dengan sesiapa yang masih hidup atau meninggal dunia.)

Tak Pasal-pasal Rasa Rendah Diri

Nahh. Pernah hadap situasi gini? Pernah jumpa? Bukan kata drama TV. Real life pun banyak kes macam ni kan?

Belum apa-apa lagi dah rasa bukan-bukan. Padahal nak balik raya ni.

Tak ada siapa pun buat pertandingan kereta siapa paling besar balik raya.

Tak siapa pun ajak berlawan phone siapa paling canggih di hari lebaran.

Tak ada siapa pun pagi raya nak tanya berapa duit saving kau tahun ni, lagi banyak dari tahun lepas?

Tapi perasaan tu datang sendiri. Tak ada siapa buat pun dia terasa sebenarnya.

Rasa rendah diri secara tiba-tiba tak pasal-pasal. Rasa gini yang buat kemeriahan raya hilang tiba-tiba ni.

Tak boleh gitu.

Bersyukurlah Dengan Apa Yang Kita Ada

Kata raya ni hari bermaaf-maafan. Hari kesyukuran. Hari kemenangan.

Mana kesyukurannya kalau dalam hati ada rasa kurang, rasa rendah diri sebab orang lain ada, kita tak ada?

Mana kemenangannya kalau awal-awal lagi dah rasa kalah sebab kurang dari segi harta benda je?

Adik ipar dapat bilik depan, kita terasa. Mentang-mentang la kita kerja biasa je. Bilik belakang mak mertua kasi kat kita.

Padahal adik tu baru kahwin, anak pun belum ada. Bilik depan tu kecik je. Kita tu anak dah 8, bilik belakang tu besar. Padan lah.

Barang nak masak raya, Kak Long yang beli. Mak ucap terima kasih sampai 8 kali. Siap puji lagi. Kita pun terasa hati. Sebab kita tak mampu nak beli.

Tapi kita tak perasan, Kak Long tu haram satu apa masak pun tak reti. Nasib baik lah ada bini kita, tau masak serba serbi. Mak puji untung mak ada menantu pandai masak macam ni.

Kan balance tu.

Jangan Terasa Dengan Kelebihan Adik-beradik

Ayah mengadu bumbung rumah bocor. Adik bongsu yang power meniaga online sale 2 juta sebulan belikan bumbung.

Tiba masa, tukang tak ada. Adik bongsu tau beli je. Mana reti tukar bumbung.

Kita reti bertukang. Kita panjat bumbung, gantikan bumbung baru. Ayah tercongok duduk bawah pokok pelam, tengok kita buat kerja.

Tak ada dia pergi duduk mengadap muka adik kita yang tengah sibuk balas whatsapp customer. Balik kampung pun busy lagi ni.

Nasib baik kita yang kerja JKR ni, time tak kerja phone entah tercampak ke mana. Boleh tolong ayah.

Ayah kata, “nasib baik kau ada“. Kalau tak, basah lah ayah dengan mak bila datang hujan selagi tak ganti bumbung ni.

Nampak? Kan ada juga jasa kita. Apa yang kalahnya?

Sebelum Beraya, Usah Diracun Fikiran Anak-anak

Pagi raya, biras kita kemain pakai baju kurung moden, labuci dari dada sampai ke lutut, lampu kelip-kelip kat belah belakang.

Lakinya pulak pakai baju melayu, butang dekat 300 sebijik.

Kita pakai baju kurung kain cotton beli kat Mydin. Tak pasal-pasal rasa rendah diri. Padahal tak ada apa pun.

Bila pergi beraya rumah saudara mara, yang berlabuci tadi biru muka time duduk, ketatnya baju tu nak cerita ni.

Kita rileks je santai-santai duduk, bangun, lari bila kena kejar lembu. Kat kampung kan, kena la ada adegan dikejar lembu.

Nampak? Kan ada juga menang kita tu.

Along, angah, ingat pesan mak ya. Kat rumah Atok nanti jangan sentuh tab atau phone anak Mak Ngah tu. Rosak karang! Mak tak ada duit nak ganti. Kita orang susah, tak macam diorang. Orang kaya

Tudia. Awal-awal lagi dah pasak dalam kepala anak sikap beza-beza, sikap berkasta macam tu.

Sudahnya Anak Tak Join Sepupu-sepupu

Anak pun balik raya, buat hal sendiri. Tak campur dengan sepupu-sepupu.

Anak baru je nak join main dengan sepupu, mak dari dapur dah besarkan mata. Anak pun terkedu je tak tahu nak main apa.

Tak boleh gitu. Tak syok lah balik jarang-jarang sekali, tapi suasana gitu.

Merapu, merapu juga. Point aku is, kita buang lah rasa tak syok yang kita cipta sendiri.

Rasa iri hati, rasa nak berlawan-lawan dengan adik beradik, rasa tak best kat mak ayah sebab lebihkan yang tu, kurangkan yang ni.

Mak ayah tak ada beza-bezakan anak-anak pun. Kita je yang ada rasa gitu. Apa yang kita ada, kita ada lah. Yang tak ada tu tak ada lah. Dah bukan rezeki kita.

Nak buat macam mana ya tak?

Awak orang mana? Saya orang susah.

MW : Jelaskan semua, kenalah kita meraikan setiap kelebihan dan melengkapkan kekurangan adik-beradik kita. Barulah raya nanti dirai dengan kemenangan.

Sumber/Foto : Andy Sulaiman

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Published by
Netty Ah Hiyer