Setiap anak dalam sebuah keluarga ada rezeki masing-masing. Bila dah berumah tangga dan beranak isteri, pun rezeki mereka berbeza. Tapi percayalah wahai adik-beradik, setiap anak-anak itu saling melengkapi untuk mak ayahnya.
Macam mana tu? Kalau perkongsian Andy Sulaiman ini menjentik rasa hati kita yang punya adik-beradik, bermakna Syawal inilah masanya perbaiki diri, belajar menerima kelebihan dan kekurangan setiap daripada mereka.
Sebab prinsipnya, mana-mana mak ayah pun tidak lah pernah terdetik mahu membanding-bandingkan anak-anak. Melainkan mak ayah cuma nak meraikan setiap kelebihan anak-anaknya.
Segan Kalau Semua Adik-beradik Abang Balik..
“Bang, raya ni kita balik raya sebelah family abang dulu kan?” tanya isteri.
Suami angguk.
“Adik beradik abang semua balik ke?” tanya isteri lagi.
Suami angguk sekali lagi.
Cuma kali ini si suami nampak riak wajah isteri sedikit berubah.
“Kenapa?” tanya suami.
“Eh tak ada apa-apa. Saja tanya,” kata isteri.
“Tak ada mananya awak saja tanya. Mesti awak ada rasa sesuatu ni,” kata suami.
“Hmm. Bukan apa bang. Saya segan sikit kalau semua balik. Ya lah, adik beradik abang semua hebat-hebat. Kaya-kaya semuanya.”
*** (Sekadar lakonan. Tiada kena mengena dengan aku, dengan kau atau dengan sesiapa yang masih hidup atau meninggal dunia.)
Tak Pasal-pasal Rasa Rendah Diri
Nahh. Pernah hadap situasi gini? Pernah jumpa? Bukan kata drama TV. Real life pun banyak kes macam ni kan?
Belum apa-apa lagi dah rasa bukan-bukan. Padahal nak balik raya ni.
Tak ada siapa pun buat pertandingan kereta siapa paling besar balik raya.
Tak siapa pun ajak berlawan phone siapa paling canggih di hari lebaran.
Tak ada siapa pun pagi raya nak tanya berapa duit saving kau tahun ni, lagi banyak dari tahun lepas?
Tapi perasaan tu datang sendiri. Tak ada siapa buat pun dia terasa sebenarnya.
Rasa rendah diri secara tiba-tiba tak pasal-pasal. Rasa gini yang buat kemeriahan raya hilang tiba-tiba ni.
Tak boleh gitu.
Bersyukurlah Dengan Apa Yang Kita Ada
Kata raya ni hari bermaaf-maafan. Hari kesyukuran. Hari kemenangan.
Mana kesyukurannya kalau dalam hati ada rasa kurang, rasa rendah diri sebab orang lain ada, kita tak ada?
Mana kemenangannya kalau awal-awal lagi dah rasa kalah sebab kurang dari segi harta benda je?
Adik ipar dapat bilik depan, kita terasa. Mentang-mentang la kita kerja biasa je. Bilik belakang mak mertua kasi kat kita.
Padahal adik tu baru kahwin, anak pun belum ada. Bilik depan tu kecik je. Kita tu anak dah 8, bilik belakang tu besar. Padan lah.
Barang nak masak raya, Kak Long yang beli. Mak ucap terima kasih sampai 8 kali. Siap puji lagi. Kita pun terasa hati. Sebab kita tak mampu nak beli.
Tapi kita tak perasan, Kak Long tu haram satu apa masak pun tak reti. Nasib baik lah ada bini kita, tau masak serba serbi. Mak puji untung mak ada menantu pandai masak macam ni.
Kan balance tu.
Jangan Terasa Dengan Kelebihan Adik-beradik
Ayah mengadu bumbung rumah bocor. Adik bongsu yang power meniaga online sale 2 juta sebulan belikan bumbung.
Tiba masa, tukang tak ada. Adik bongsu tau beli je. Mana reti tukar bumbung.
Kita reti bertukang. Kita panjat bumbung, gantikan bumbung baru. Ayah tercongok duduk bawah pokok pelam, tengok kita buat kerja.
Tak ada dia pergi duduk mengadap muka adik kita yang tengah sibuk balas whatsapp customer. Balik kampung pun busy lagi ni.
Nasib baik kita yang kerja JKR ni, time tak kerja phone entah tercampak ke mana. Boleh tolong ayah.
Ayah kata, “nasib baik kau ada“. Kalau tak, basah lah ayah dengan mak bila datang hujan selagi tak ganti bumbung ni.
Nampak? Kan ada juga jasa kita. Apa yang kalahnya?
Sebelum Beraya, Usah Diracun Fikiran Anak-anak
Pagi raya, biras kita kemain pakai baju kurung moden, labuci dari dada sampai ke lutut, lampu kelip-kelip kat belah belakang.
Lakinya pulak pakai baju melayu, butang dekat 300 sebijik.
Kita pakai baju kurung kain cotton beli kat Mydin. Tak pasal-pasal rasa rendah diri. Padahal tak ada apa pun.
Bila pergi beraya rumah saudara mara, yang berlabuci tadi biru muka time duduk, ketatnya baju tu nak cerita ni.
Kita rileks je santai-santai duduk, bangun, lari bila kena kejar lembu. Kat kampung kan, kena la ada adegan dikejar lembu.
Nampak? Kan ada juga menang kita tu.
“Along, angah, ingat pesan mak ya. Kat rumah Atok nanti jangan sentuh tab atau phone anak Mak Ngah tu. Rosak karang! Mak tak ada duit nak ganti. Kita orang susah, tak macam diorang. Orang kaya”
Tudia. Awal-awal lagi dah pasak dalam kepala anak sikap beza-beza, sikap berkasta macam tu.
Sudahnya Anak Tak Join Sepupu-sepupu
Anak pun balik raya, buat hal sendiri. Tak campur dengan sepupu-sepupu.
Anak baru je nak join main dengan sepupu, mak dari dapur dah besarkan mata. Anak pun terkedu je tak tahu nak main apa.
Tak boleh gitu. Tak syok lah balik jarang-jarang sekali, tapi suasana gitu.
Merapu, merapu juga. Point aku is, kita buang lah rasa tak syok yang kita cipta sendiri.
Rasa iri hati, rasa nak berlawan-lawan dengan adik beradik, rasa tak best kat mak ayah sebab lebihkan yang tu, kurangkan yang ni.
Mak ayah tak ada beza-bezakan anak-anak pun. Kita je yang ada rasa gitu. Apa yang kita ada, kita ada lah. Yang tak ada tu tak ada lah. Dah bukan rezeki kita.
Nak buat macam mana ya tak?
Awak orang mana? Saya orang susah.
MW : Jelaskan semua, kenalah kita meraikan setiap kelebihan dan melengkapkan kekurangan adik-beradik kita. Barulah raya nanti dirai dengan kemenangan.
Sumber/Foto : Andy Sulaiman
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bab duit ini menjadi isu sensitif sampai bila-bila, tak kiralah pada isteri mahupun orang tua. Isteri dan anak-anak itu kewajipan, orang tua pula jika berkemampuan itulah baru betul.
Namun jika orang tua memang kurang berkemampuan, jatuh sakit dan hanya bergantung kepada anak-anak.
Bawalah berbincang dengan adik-beradik sama-sama usahakan untuk memberi sejumlah wang. Ingat bukan kita seorang, masih ada adik-beradik lain.
Berapa nilainya perlu bagi bukan ditentukan orang tua, sebaliknya ikut kemampuan anak. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin dan fahami penjelasannya.
Berapa Nilainya Perlu Bagi Bukan Ditentukan Orang Tua
“Kalau kau bagi dekat isteri kau 300 sebulan, dekat mak kau kena bagi 500”
“Mak yang melahirkan kau, jadi mak tak boleh dapat sama nilai macam isteri kau dapat”
Nilai berapa ringgit seorang anak perlu bagi pada orang tuanya bukan ditentukan oleh orang tuanya…
Sebaliknya Ikut Kemampuan Anak
Tapi kemampuan anak…
Zaman sekarang ini, ramai sebenarnya yang tak faham akan turutan menafkahi… Bila tak faham, maka dia akan rasa terbeban dalam menjadi seorang suami dan juga seorang anak…
Ditambah dengan pendapatan yang cukup makan, maka dia rasa tertekan untuk memenuhi tuntutan…
Tak akan nak bangkang dan lawan cakap mak?
Selesaikan Yang Utama, Lebih Beri Pada Orang Tua
Nanti jadi anak derhaka pula… Maka dikurangkan pemberian kepada isteri atau tidak diberi langsung kepada isteri sebab nak bagi sepenuhnya kepada mak…
Boleh ke tak? Boleh selagi isteri redha, selagi dia tidak menuntut dan selagi dia boleh cari duit sendiri untuk beli kelengkapan diri…
Jika melebihkan orang tua sehingga menganiaya isteri dan anak-anak?
Maka belajar dan ikutlah semula aturan menafkahi bagi seorang suami…
Bermula dengan diri sendiri, isteri, anak-anak, bapa kemudian mak… Suami wajib memastikan keperluan dirinya sendiri mencukupi sebelum membelanjakan duitnya kepada orang lain…
Bayar hutang, bayar bil utiliti, bayar yuran anak, bayar roadtax dan insurans kereta, beli barang dapur, penuhkan keperluan-keperluan yang wajib ada untuk isteri guna dan anak-anak makan…
Baca Juga Di sini:
3 Perkara WAJIB Isteri Tuntut HAK NAFKAH. Selainnya Ikutlah Kemampuan Suami
Aturan Nafkah, Jangan Sedap Nak Tuduh Isteri Tak Bagi Suami Bantu Mak Ayahnya
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Ada Lebih Baru Bagi Pada Orang Tua
Jika ada lebih, baru bagi pada orang tua…
Namun adalah lebih baik sekiranya kita mampu untuk mengawal perbelanjaan diri sendiri dan perbelanjaan keluarga supaya setiap bulan kita dapat mengasingkan satu nilai yang mampu diberi kepada orang tua kita…
Tak terlalu banyak sehingga membebankan diri dan tak terlalu sedikit sehingga tak dapat digunakan orang tua…
Ingat, kita masih ada adik-beradik yang lain…
Maka, jangan letak tanggungjawab memberi duit itu sepenuhnya ke atas diri kita seorang sahaja…
Kumpulkan Duit Dengan Adik-Beradik
Kita perlu mencari persetujuan bersama dengan adik-beradik yang lain tentang perkara ini… Kumpulkan duit adik-beradik, dan bagi pada orang tua untuk kegunaan harian mereka…
Bagi yang tidak mampu memberi, boleh balik ke kampung, tolong buat kerja rumah, kemas rumah mereka, uruskan diri mereka, bawa mereka keluar makan, keluar jalan-jalan dan gembirakan mereka…
Pendek kata, berbakti dengan kudrat jika tak mampu dengan harta benda…
Akhir kalam, isu duit ini merupakan satu isu yg sensitif… Baik di pihak orang tua mahupun isteri…
Ikut fitrah, ikut ketetapan dan teruskanlah berusaha mencari rezeki yang halal untuk membahagiakan orang di sekeliling kita…
Semoga kita dimurahkan rezeki… AMIN… 

MW: Bab nafkah ini jangan buat main-main apatah lagi melibatkan hukum, nak selamat ikut turutan yang betul seperti disarankan oleh agama. Paling penting berusahalah menjadi suami dan anak yang mampu menggembirakan orang sekeliling.
Sumber: Firdaus Shakirin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kita berkahwin bukan dengan hanya pasangan tetapi turut melibatkan keluarga termasuklah ipar duai. Tak dinafikan awal kahwin, semuanya nampak baik. Lama-kelamaan, nampaklah warna sebenar, baik kita yang memang sudah tahu perangainya begitu dan juga ipar duai.
Ada pula yang baik depan, belakang lain. Lagi teruk bila ipar-duai langsung tak tegur sapa. Macam mana nak rapatkan kembali hubungan dengan ipar yang tak sebulu, seperti mula-mula berkenalan dengan mereka. Jom kita semak…
1. Letak Diri Anda Ditempat Dia
Anda sebagai orang baru jangan fikir mereka kena faham tentang anda. Sebaliknya, anda kenalah faham mereka dulu.
2. Curi Masa Kenal Hati Budi
Tak salah, luang masa dengan mereka pada hujung minggu atau pun datang ziarah bertanya khabar. Jarak jauh bukan halangan untuk rapatkan hubungan keluarga.
3. Sedekah Atau Banyakkan Menghulur
Tak salah pun beri hadiah pada mereka. Lebih-lebih lagi pada anak saudara. Hadiah kecil pun jadilah, untuk eratkan hubungan yang ada.
4. Kongsi Pendapat
Kalau ada masalah, tak salah tanya pendapat mereka. Ini boleh sahaja membantu hubungan anda lebih rapat.
5. Elak Buka Aib Di Media Sosial
Hidup zaman internet ni, anda kena jaga banyak sudut. Ini paling penting sebab dek kerana sikap sendiri yang suka post status ‘mengarut’ itulah boleh keruhkan hubungan.
6. Bantu Selagi Boleh
Bila saudara ipar hadapi masalah, jangan ragu untuk bantu. Dan tolonglah jangan berkira.
7. Jadi Pendengar Yang Baik
Golongan perempuan ni suka meluah jadi apa salahnya anda jadi pendengar yang baik tapi jangan pula nak tambah-tambah api kemarahan sampai timbul pergaduhan.
8. Join Majlis
Apabila ada majlis berkumpul bersama sanak saudara, pergilah turut sama. Masa inilah anda nak kenal saudara ipar-duai.
9. Berbual Benda Baik
Masa berkumpul, tolonglah elak berbual tentang perkara yang tak baik tentang keluarga lain. Ini jalan mudah tak nak keruhkan hubungan.
10. Elak Buka Aib Sendiri
Jangan nak bercerita tentang masalah rumah tangga anda dengan saudara ipar walaupun anda baik dengannya.
11. Jangan Sombong, Kena Pandai Bertegur
Kalau ada group whatsapp keluarga ipar, janganlah buat perangai sombong, sekali sekala menyampuk mana yang perlu. Sekurang-kurangnya dia tahu kehadiran anda dalam kumpulan itu dan istilah ‘tak reti bertegur sapa’ mesti tak wujud!
12. Jaga Cara Bercakap
Belajar jangan cakap lepas. Siapa tahu ada ipar duai kita yang jenis cepat sentap!
13. Sesekali Kena Mengalah
Mengalah tak bererti kalah. Kadang kala, anda perlu mengalah, tapi jangan asyik mengalah sebab ada masanya anda pun perlu pertahankan pendapat anda.
14. Jangan Libatkan Pasangan
Kalau sesekali anda terasa hati, jangan hasut pasangan sendiri untuk masuk belah anda. Meluah OK, tapi jangan sesekali mengarah suruh pasangan bertindak ‘macam-macam’.
15. Jangan Jadi Batu Api
Tolak ketepi sikap nak keruhkan keadaan, paling teruk sikap BATU API. Semua orang pernah buat silap, dan kalau boleh anda sendiri kena belajar memaafkan. Sekali pun tak suka, elak mencanang! Ini mengeruhkan hubungan kekeluargaan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila terpandang anak dan tengok perangainya, mulalah hati terdetik tingakah laku anak saling tak tumpah ikut mak atau ayah. Lebih teruja bila tengok anak berperangai elok, mulalah perkatakan diri masing-masing.
Anak kecil ini umpama cerminan kita semasa kecil. Macam mana dia buat dan ikut seolah-olah merasakan itulah perangai yang dilalui oleh mak ayah semasa kecil.
Seronok dengan tingkahlaku anak, sampaikan ada yang mengatakan anak pintar ini sebab ikut mak dan selebihnya kalau dari segi emosi mesti cara ayah pula.
Tak perlu nak bandingkan sebab itulah genetik dan pewaris yang kita ada. Sebagai mak ayah kita kenalah jadi contoh yang baik.
Anak pintar dan emosi juga adalah daripada persekitara hidup kita. Mungkin perkognsian daripada Noor Afidah Abu Bakar ini boleh dijadikan rujukan buat mak ayah di luar sana.
Ikut Mak Ayah, Inilah Yang Diwarisi Oleh Anak
BENARKAH KEPINTARAN DIWARISI DARIPADA IBU?
Tahun lalu sebelum menularnya wabak COVID-19, telah terlebih dahulu tular sebuah kajian yang mengatakan kepintaran seorang anak diwarisi daripada ibunya. Maka terujalah para ibu dengan kajian tersebut dan masing-masing tidak melepaskan peluang berkongsi atau ‘tag’ suami masing-masing pada berita tersebut, termasuklah saya sendiri.
Walaupun berita tersebut ada kebenarannya namun ia tidaklah melaporkan 100% hasil kajian yang telah dilakukan. Kepintaran tidaklah semudah itu untuk diwarisi atau diperturunkan daripada seorang ibu kepada seorang anak.
Jika seorang anak dibesarkan di dalam rumah yang KAYA persekitarannya, maka kepintaran ini lebih mudah dikembangkan.
Kaya yang dimaksudkan di sini bukanlah kaya harta, tetapi rumah tersebut mempunyai mak ayah yang kaya dengan sikap positif terhadap proses pembelajaran.
Anak-anak di dalam rumah pula kaya dengan pendedahan kepada buku, kaya dengan perbincangan dan perbualan tentang idea, kaya dengan pengalaman dan penerokaan termasuklah di pelbagai persekitaran di luar rumah.
Anak yang dibesarkan dalam persekitaran yang kaya ini didapati lebih pintar dalam penyelesaian masalah dan mempunyai tahap perkembangan mental yang lebih baik.
Anak-anak yang dibesarkan dalam rumah yang MISKIN dengan perbualan dan perbincangan, miskin dengan bahan bacaan, miskin dengan pengalaman dan penerokaan dan mak ayah pula tidak berminat untuk mempelajari perkara baru, maka perkembangan mental anak menjadi agak terbatas.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bila Anak Mengadu BOSAN Bukan Beri Gajet, Sebenarnya Dia Perlukan Perhatian Mak Ayah
Anak Cepat Membesar, Ambillah Gambarnya Sebanyak Mungkin, Inilah Kenangan Dirindui Masa Kecil
Info Lebih Menarik DI SINI
Gaya Mak Ayah Besarkan Anak
FAKTOR GENETIK (keturunan) memainkan 40-50% peranan dalam penentuan kepintaran.
Peranan yang besar juga dimainkan oleh PERSEKITARAN di mana anak-anak dibesarkan dan GAYA KEIBUBAPAAN untuk membesarkan dan mendidik anak.
Kepintaran juga ditentukan oleh STIMULASI yang diterima anak dan juga PEMBAWAAN anak.
Adakah AYAH tidak menyumbang kepada kepintaran anak?
Oh! tidak.
Untuk menyelesaikan masalah, baik masalah pembelajaran atau pun masalah kehidupan, EMOSI dan GERAK HATI (INTUISI) juga memainkan peranan yang sangat penting bagi memudahkan proses penyelesaian masalah tersebut.
Kepintaran berkait rapat dengan fungsi pemikiran yang rasional.
Menurut kajian juga, fungsi pemikiran yang rasional ini banyak dipengaruhi oleh sumbangan yang dilakukan oleh ayah dalam proses pembesaran dan pertumbuhan seorang anak.
Peranan Ayah
Ayah juga memainkan peranan yang sangat besar dalam perkembangan keupayaan mental anak, oleh itu ayah juga perlu hadir dalam hidup anak untuk memberi SOKONGAN EMOSI kepada anak agar keupayaan mental anak dapat berkembang dengan baik.
Ayah dan ibu, kedua-duanya sama penting.
Begitulah.
اَللّهُمَّ اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَاكَمَارَبَّيَانِيْ صَغِيْرَا
” Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Kasihanilah kedua-duanya sebagaimana mereka mengasihaniku semasa kecil”
MW: Peranan mak ayah sama penting terutamanya dalam membesarkan anak dengan dunia moden sekarang ini.
Sumber: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
*Sumber: ‘Different Learners- Identifying, Preventing, and Treating Your Child’s Learning Problems.’, Jane M. Healy PhD.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI