Bukan mudah untuk menerima kehilangan ahli keluarga secara tiba-tiba, apatah lagi serentak kesemuanya. Dugaan yang sangat berat ini, hanya boleh diluahkan pada yang Maha Esa semoga diberi kekuatan dan ketenangan hati dalam merawat jiwa. Diberi peluang mengerjakan umrah dan mengadu pada Allah di depan kaabah, adalah sebaik-baiknya.
“Kami tahu dugaan dihadapinya sangat berat, jadi kami beri dia peluang merawat jiwa laranya di hadapan Kaabah, biar dia mengadu pada Allah atas kesedihannya selepas hilang enam ahli keluarga serentak,” kata pemilik syarikat umrah, Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd, Jay Ibrahim.
Jay berkata, beliau menawarkan pakej percuma mengerjakan umrah kepada Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, yang kehilangan enam ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, petang kelmarin, selepas membaca berita tragedi itu, pagi tadi.
Katanya, kecekalan Abdur Rahman yang juga anak sulung, mengimamkan solat jenazah semua ahli keluarganya juga menyentuh jiwanya dan memahami ujian berat dihadapi pemuda itu kehilangan insan disayangi dalam sekelip mata.
“Saya tidak dapat meringankan beban kesedihannya, apa yang boleh saya bantu ialah memberi peluang Abdur Rahman merawat jiwa laranya di tempat terbaik di depan Kaabah.
“Biar dia mengadu kepada Allah dan berdoa di makam Rasulullah. Mungkin dengan cara ini, Abdur Rahman dapat membina semula kekuatan dirinya yang kini sebatang kara.
“Kita berharap Abdur Rahman dapat menerima takdir ini dengan tabah,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Jay sebelum itu mengunjungi Abdur Rahman di rumah keluarganya di sini.
Dalam tragedi memilukan itu, mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Noorahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Seorang lagi anak mereka, Abdullah, 15, parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
Kemalangan berlaku ketika tujuh beranak itu dilaporkan dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar Noorahimah yang bertugas sebagai guru Sekolah Agama Kemedak.
Jay berkata, pihaknya menyerahkan kepada Abdur Rahman memilih sendiri tarikh yang sesuai untuk ke Tanah Suci dan sedia menguruskannya jika dia mahu segera ke Makkah.
“Jika dia mahu pergi sekarang, mungkin baik juga kerana dia boleh mendoakan kesihatan adiknya, Abdullah yang parah dan masih dirawat di ICU Hospital Segamat,” katanya.
Sementara itu, ditanya reaksi Abdur Rahman mengenai tawaran diberikan, Jay berkata, dia sangat terharu mendapat peluang itu tetapi berbelah bahagi untuk meninggalkan adiknya yang masih dirawat di hospital.
“Jadi saya minta dia berbincang dulu dengan waris keluarganya. Mereka ahli keluarga yang baik, Abdur Rahman sendiri adalah bilal dan arwah ayahnya seorang imam, manakala arwah adik-adiknya hafaz al-Quran,” katanya.
Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas Abdur Rahman tidak petang ini berhasil apabila panggilan telefon tidak dijawab.
Mesti Baca:“Dia Kacau Bini Saya”, Kakitangan Awam Meninggal Meninggal Dunia Selepas Bertumbuk
Baca Lagi Di Sini:Lafaz Taklik Cerai Isteri Talak 3 Tak Boleh Ditarik Balik, Jangan Libatkan Maruah Isteri Nasihat Menteri Agama
Artikel Menarik:Bertukar Nyawa Di Hari Kemerdekaan, Bapa Lemas Ketika Cuba Selamatkan Anak
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, ada pihak yang prihatin bagi meringankan bebanan yang dihadapi anak sulung ini. Bukan mudah untuk berasa kehilangan secara tiba-tiba apatah lagi melibatkan seluruh ahli keluarga tersayang. Semoga diberi kekuatan buat anak ini dalam meneruskan kehidupan.
Sumber: Bharian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.