Dugaan datang dengan pelbagai cara, pelakon dan selebriti, Ayu Raudhah juga tidak lari daripada diuji Tuhan. Katanya dia rasanya macam nak mati apabila tiba-tiba dirinya yang sihat diuji kesakitan yang dianggap luar kemampuannya.
Kehadiran anak ketiganya, Laura Zuleyka memberi seribu satu makna buat aktres dan selebriti, Ayu Raudhah dan pasangannya, Zaquan Adha kerana sejak sekian lama, mereka danbakan bayi perempuan. Sejak kelahiran bayi ketiganya, kelihatan Ayu Raudhah seakan mendiamkan diri, rupa-rupanya Januari lalu Ayu berdepan saat cemas, terasa macam nak mati. Dirinya telah mengalami apendiks lantas memerlukan dirinya untuk menjalani pembedahan dengan segera.
Tidak terhenti di situ sahaja, tak lama kemudian, Ayu turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru. Tatkala ditemui di majlis pelancaran produk serum Nell Aesthetica di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Ayu Raudhah memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih diberi peluang untuk menghirup udara dan berpeluang untuk menjaga ketiga-tiga buah hatinya yang masih kecil.
MW: Setiap wanita sering kali menyembunyikan rasa sakit daripada orang tersayang, bagaimana pula dengan Ayu Raudhah?
Ayu Raudhah: Pada mulanya, saya hanya rasa mual-mual. Bimbang juga saya mengandung lagi. Tetapi bila muntah saya makin teruk, saya minta suami hantarkan ke klinik dan doktor hanya memberi ubat angin. Balik ke rumah, sakit makin teruk lalu saja ajak suami ke hospital. Setelah melalui pemeriksaan lanjut, doktor dapat mengesan rupanya saya perlu jalani pembedahan segera kerana apendiks telah pecah. Tak terungkap perasaan saya kala itu. Patutlah sakitnya tak tertanggung.
MW: Setelah menjalani pembedahan, paru-paru anda dijangkiti kuman. Apa yang anda lakukan?
Ayu Raudhah: Seingat saya setelah jalani pembedahan segalanya akan kembali pulih, rupanya tidak. Saya diserang demam dan apabila pihak hospital melakukan pemeriksaan darah dan imbasan-X, ada jangkitan pula di paru-paru saya.
Fikiran saya terus melayang, hanya fikirkan nyawa saya yang tinggal di hujung tanduk. Saya memang lemah tak bermaya, sudah tentu saya hanya fikirkan masih sempatkah saya kerana terasa macam nak mati. Mujurlah anak-anak saya tinggalkan di bawah pemantauan ibu saya, apatah lagi yang bongsu. Mujurlah dia mampu minum susu menggunakan botol susu kerana selama ini kami tidak pernah berenggang.
Setelah 11 hari berlalu, saya dibenarkan pulang tetapi tidak lama apabila saya tidak kuat berdiri. Sekali lagi saya dirujuk ke hospital rupanya jangkitan kuman mahu hilang dari badannya, jadi perkara ini memberi kesan pada saya. Oleh itu sekali lagi saya ditahan sehingga pulih sepenuhnya.
MW: Bagaimana melunaskan bil-bil hospital yang menelan belanja ribuan ringgit?
Ayu Raudhah: Setelah saya pulih sepenuhnya saya berkongsi dengan semua peminat-peminat menerusi media sosial betapa pentingnya setiap daripada kita memiliki insurans sendiri.
Maklumlah penyakit datang tidak kira masa, mujurlah sejak awal lagi saya memang mengambil insurans. Jika tidak pening juga mahu bayar bil-bil hospital yang perlu saya bayar dalam jarak masa yang singkat. Rasa bersyukur Tuhan datangkan kesedaran itu awal pada diri saya. Bil perubatan pada zaman sekarang bukanlah murah, jadi beringatlah.
MW: Apa yang Ayu rasakan apabila diberi ujian kesakitan yang berat sebegini?
Ayu Raudhah: Sebagai wanita, isteri dan ibu, sesungguhnya hargailah setiap saat dan kesempatan yang berada di depan mata. Kesihatan atau apa sahaja yang dikurniakan pada kita adalah pinjaman semata-mata dari Allah Maha Esa. Ianya hanya pinjaman.
Allah boleh ambil nyawa dan nikmat sihat kita bila-bila dia mahu, tatkala itu duit berjuta ringgit pun tak berguna lagi. Oleh itu, jagalah kesihatan sebaiknya dan situasi saya alami baru-baru ini membuatkan diri saya terasa amat kecil dan timbul rasa insaf di hati saya.