Kalau ditanya siapa yang tidak mahu menjadi kaya. Tentu saja jawapannya semua orang mahu menjadi kaya. Cuma rasa kaya yang bagaimana yang diri inginkan?
Adakah dengan melihat kehidupan orang lain yang lebih baik di media sosial, lalu kita pun menginginkannya. Atau bila melihat suami orang lain lebih romantik, maka mula memaksa suami pun jadi sebegitu.
Bak perkongsian Siti Suryani Yaakop ini, jika begitulah keinginan hati. Maka, penatlah kita nanti.
Semalam kawan saya bagitahu. Lama dia tak tengok FB. Sebab dia boleh jadi stress. Orang tunjuk macam-macam. Tapi suami dia sedang ada masalah dalam kerja. Jadi untuk bagi tenang, dia tak tengok. Takut boleh jadi teringin nak juga.
Betul lah tu.
Saya ingat. Ada satu masa tu, ada seseorang ajak saya join dia bisnes. Dia kata saya nampak macam memerlukan.
Saya cuba buat tak tahu. Tapi entah. Malam tu, tak boleh brain dah. Asyik terfikir apa maksud dia. Akhirnya saya tanya juga pada suami.
Suami saya gelak je. Entah macamana dia boleh rasa benda tu lucu saya pun tak tahu. Bila saya tanya, dia cuma jawab,
“Hanya sebab orang kata awak nampak memerlukan, tiba-tiba pulak awak rasa memerlukan. Sedangkan selama ni awak tak pernah kata apa pun. Rasa okay. Rasa cukup. Maknanya kalau begitulah, awak masih hidup bergantung pada pandangan makhluk. Penat tu“.
Betul. Pun betul.
Saya pakai kereta Malaysia.
Beg pun main sauk apa yang ada.
Kasut pun jenis pakai yang sama saja.
Barang kemas pun tak bergayut mana.
Baju pun takdak jenama apa.
Biasa je semua.
Mungkin hidup kita yang biasa ni nampak miskin di mata orang. Tak pun kita rasa kita miskin di mata orang. Padahalnya kita okay je. Tapi sebab orang kata. Dan sebab kita tengok. Boleh saja perasaan ‘kaya’ tu hilang habis ke mana-mana.
Perasaan kaya tu apa?
Rasa kaya tu rasa cukup.
Cukup.
Selama ni cukup. Walau tak banyak tapi takda apa yang kurang. Nak buat apa pun semua senang. Boleh lagi bantu orang. Nak memberi ni bukan nak kena tunggu harta bergunung ganang. Yang takda cumalah sebanyak-banyak dan semewah-mewah barang.
Tapi begitulah.
Mudahnya mata, telinga, rasa, nafsu dan ingin kita berubah dek mata, telinga, rasa, nafsu dan ingin orang lain. Kita okay je selama ni. Takda masalah apa. Tapi sikit je orang kata, habis hilang rasa syukur dan redha. Dan betapa mudah juga mata, telinga, rasa, nafsu dan ingin kita berubah dek tengok orang lain.
Mudah sangat.
Baca sini : Lelaki ini kongsi perbezaan antara orang kaya dengan orang banyak duit
Suami kita baik. Dia okay. Walau bukan jenis reti buat kerja rumah tapi bila minta tolong, dia tolong. Dia takda la bagi duit nafkah sampai beribu tapi kita tak pernah lagi makan sampai bercatu. Memang dia tak bagi emas berkati tapi dia juga tak pernah sakitkan kita punya hati.
Anak kita baik. Dia okay. Walau dia bukan top student tapi dia takda masalah di sekolah. Walau dia bukan budak paling cemerlang tapi semangat nak belajar tak pernah hilang. Walau kadang dia buat kita marah tapi ada masa dia bantu urusan kita jadi mudah.
Kawan kita baik. Dia okay. Biasa la kalau dia bergurau kasar, terkutuk, terkata. Kita pun faham dia. Tak kisah mana. Dia pun ada baiknya juga. Dah kita pun bukan lah sesuci mana. Kita anggap benda macam tu biasa.
Kita faham. Dunia ini ujian. Ada benda kita dapat. Ada benda kita cuma boleh lihat. Dan kita aman sampailah kita dengar apa orang kata. Kita baca apa orang tulis. Kita takut apa orang fikir. Kita malu apa orang tengok. Padahal takda apa yang salah pun dengan hidup kita. Dan kita pun tak buat salah juga.
Akhirnya begitu saya belajar. Boleh lihat dengan mata. Boleh dengar dengan telinga. Boleh baca di mana-mana. Tapi bukan kena ikut semua.
Kita tak boleh kawal orang.
Yang boleh dikawal, kita.
Yang baru jenguk tahun 2022,
Siti Suryani Yaakop
#kaknis
Mingguan Wanita : Bila mana rasa syukur mengatasi segala, lihatlah apa pun yang terhidang depan mata. InsyaAllah, hati akan lebih berdamai dengan rezeki dan ketentuan tuhan.
Sumber/Foto : Siti Suryani Yaakop