Merapatkan saf atau meluruskan saf antara sunnah dalam solat berjemaah. Bagaimanapun ada jemaah seolah-olah meremehkan perkara berkaitan saf di dalam solat berjemaah. Ada sebahagian tidak memenuhkan saf di depan. Di samping ramai yang masih takut merapatkan saf (walaupun hanya merapatkan sejadah).
Perkara ini disebutkan dalam istilah ilzaq. Ilzaq dari sudut bahasa memberi maksud menempel atau mencantumkan. Walaupun sebenarnya kita dituntut merapatkan saf, bukan hanya sekadar merapatkan sejadah. Antara sunah dalam solat berjemaah ialah melurus dan merapatkan saf.
Ilzaq dari sudut bahasa memberi maksud menempel atau mencantumkan. Manakala, dari sudut istilah ilzaq di dalam solat
memberi maksud menempelkan atau merapatkan sehingga bersentuhan bahu bertemu bahu, lutut bertemu lutut, kaki bertemu kaki sehingga tidak ada ruang kosong dalam saf yang didirikan.Rasulullah berpesan tentang ilzaq: “Rasulullah menghadap kepada manusia, lalu berkata, “Dirikanlah saf (tiga kali). Demi Allah, dirikanlah saf atau Allah akan membuat perselisihan di antara hati kalian”. Lalu An-Nu’man bin Basyir berkata: “Saya melihat seorang lelaki menempelkan kakinya dengan kaki orang di sebelahnya, lutut dengan lutut dan bahu dengan bahu.” (Riwayat Abu Daud)
Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan: “Yang dikehendaki (hadis itu) adalah penegasan dalam meluruskan saf dan menutup ruang kosong dan telah dinukilkan daripada al-amru (perintah) berkenaan menutup ruang kosong di dalam saf dan galakan kepadanya, banyak hadis yang telah terkumpul, antaranya hadis Ibnu Umar bahawa Rasulullah berkata: “Dirikanlah saf dan selaraskanlah di antara bahu-bahu kamu dan jangan membiarkan ruang-ruang kosong saf terdedah kepada syaitan dan barang siapa menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan rahmat-Nya dan barang siapa yang memotong saf maka ia terputus daripada rahmat Allah.” (Rujuk kitab Fathul Bari, (Jilid 2, halaman 211)
Perkara di atas menunjukkan pentingnya melurus dan merapatkan saf dalam solat berjemaah. Sehinggakan ulama membentangkan berbagai-bagai pandangan mengenai perkara ini. Apatah lagi ia berkaitan dengan rahmat Allah dan kesempurnaan solat berjemaah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Luruskan saf-saf kalian kerana meluruskan saf termasuk dalam sebahagian menegakkan solat (berjemaah).” (Riwayat Bukhari)
Perhatian besar Rasulullah terhadap perkara ini mestilah dipandang serius oleh umat Islam. Sunah ini mesti dikembalikan setelah sekian lama kita tidak berpeluang solat berjemaah berskala besar di masjid. Setelah kembali mengimarahkan masjid khasnya pada bulan Ramadan ini, sunah ini mesti dimartabatkan sebaiknya.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Luruskan saf kalian, dan luruskanlah bahu-bahu kalian dan tutuplah celah-celah. Jangan biarkan celah-celah untuk syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, Allah akan menyambung (urusan) nya. Barangsiapa memutuskan saf, nescaya Allah memutus (urusan) nya.” (Riwayat Abu Daud)
Kita tidak mahu pengabaian terhadap sunah penting ini akan mengakibatkan terputusnya rahmat Allah. Janganlah juga kealpaan kita dalam memartabatkan sunah ini menyebabkan turunnya kemurkaan Allah. Sesungguhnya Ramadan bulan keampunan dan rahmat Allah. Gunakanlah kesempatan ini untuk menagih rahmat-Nya yang luas.
Sumber: Harian Metro
Artikel berkaitan: Wanita Lebih Afdal Solat Di Rumah, Nak Ke Masjid Ada Syaratnya
Arwah Sering Bercakap Soal Kematian, Pesan Jangan Lengahkan Solat
Dilanggar Kereta Balik Tarawih, Kematian Sangat Dicemburui Disolatkan Jutaan Orang Di Masjidil Haram