Ingat kan di kedai makan saja suami isteri suka hadap phone, balik rumah pun sama. Maka sesi luahan emosinya bila? Waktu dengar cerita harian anak-anaknya macam mana?
Abaikan dan anggap lah masing-masing sibuk? Allahu… betapa ruginya jika kita termasuk golongan ini. Nak ditegur pun takut sangat terasa, jadi renunglah perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini.
Mohon berlapang dada dan berubah sebelum hilang kemanisan rumah tangga.
Selalu nampak pakcik tua masih setia beratur ambilkan nasi untuk isteri waktu kenduri. Dia dah faham sukatan isteri makan, nasi banyak mana, kuah banyak mana. MasyaAllah suka tengok.
Kadang disebabkan proses mengandung, beranak, menyusu, mendidik anak, stress uruskan rumahtangga menyebabkan ada isteri nampak lebih tua dari suaminya. Namun, si suami masih lagi pimpin jalan isteri yang sudah tertengkot sebab sakit lutut. Masih cakap lemah lembut, isteri bercakap dia pandang muka isteri dengan kasih walau sudah berkedut seribu, mendengar dengan teliti bicara isteri sekalipun butir banyak bebel dari isi.
MasyaAllah.
Terus berdoa juga di dalam hati kecil. Semoga suamiku pun akan seperti pakcik tua itu yang masih tak jemu ‘try hard’ buat lawak agar nampak senyuman isteri, masih mengusik sebab suka lihat jelingan manja isteri. Renungan matanya penuh kasih pada isteri, meskipun wajah itu sudah berkedut, meskipun gigi pun mungkin sudah banyak luruh.
Lihat atuk, pimpin tangan opah, bukakan pintu kereta opah. Kita pula rasa kembang hati.
“Uwan kau tu kaki eh dah tak kuat,” berkata sambil pimpin tangan isteri berjalan. Erat genggaman tangan itu. MasyaAllah.”
Lihat lelaki beruban putih siap berkopiah membawa isteri di belakang motor berpakaian telekung ke masjid, kita pula rasa seronok dan suka.
“Kosian acik ekau tu, dulu maso anak kocik-kocik duk ghumah kono jago anak. Ni ha dah buleh bawak dio jenjalan bagi sonang hati eh tu, pahalo pun dapek,”
Bila ke kedai, pasti akan benda yang dijinjing bawa pulang. Hal yang disukai isteri. Air kesukaan isteri. Makanan kegemaran isteri. Sentuh barang ini, ingat isteri. Pandang barang itu, teringat isteri. Bagaikan pengantin baru.
MasyaAllah.
Saya kira, tabiat ini bukanlah berlaku sekelip mata. Bahkan sebenarnya telah dipraktikkan semenjak halalnya hubungan antara mereka, sejak dari awal pernikahan sudah dipasakkan dalam fikiran bahawa; kena buat sehabis baik untuk ikatan perkahwinan ini.
Teringat kata almarhum Tuan Guru, orang dulu tidur selimut pun tak ada, tidur mesti berdekatan suami isteri untuk menghangatkan tubuh yang kesejukan, tetapi hati mereka sangat lapang dan bahagia.
Orang sekarang walau rumah besar, tilam empuk, tapi belum tentu sakinah mawaddah dan rahmah itu ada.
Antaranya mungkin sebab tidak fokus, tidak tahu prioriti. Contohnya seperti; ketagih smartphone yang akhirnya menyebabkan kita lebih banyak pandang, sentuh dan senyum dengan telefon berbanding dengan isteri dan anak-anak.
Astaghfirullah.
Jom muhasabah semula.
Lihat bagaimana akhlak kita dengan pasangan sekarang. Bagaimana akhlak kita dengannya. Begitukah yang kita nak sampai ke hari tua?
(+) Bangun pagi, peluk pasangan dahulu.
(+) Sebelum tidur, ucap terima kasih dan hargai pasangan dahulu.
(+) Sentiasa excited nak gembirakan pasangan.
(+) Perlakukanlah pasangan sama sahaja sebagaimana waktu kita mula-mula dapat dia dahulu.
Semuanya kita yang tentukan bagaimana mahu mencantikkan hubungan rumahtangga ini. Romantikkah, hangatkah, maniskah, terletak pada kerjasama kedua pihak suami isteri.
Muhasabah semula wahai pasangan muda,
Adakah anak cucu yang melihat akhlak kita pada pasangan akan menjadikan mereka lebih menghargai pasangan atau bagaimana, sebagaimana yang kita lihat pada atuk, nenek, mak dan ayah kita hari ini?
Santun dan kasih mereka pada isteri menyebabkan yang melihat hati rasa kuat untuk buat yang terbaik untuk rumahtangga mereka pula?
Adakah anak-anak senyum suka lihat bagaimana kita memperlakukan ibu mereka hari ini?
Semak semula. Jika masih banyak tak betul, marilah perbetulkan. InsyaAllah.
Robbana hablana min azwajina wa dzurriyatina qurrata a’yun, wa’j ‘alna lil muttaqina imama.
Amiin.