Episod duka tatkala bergelar isteri sudah berakhir selepas berpisah dengan bekas suami yang juga pelakon dan penyanyi terkenal, Aliff Aziz. Kini wanita yang bertubuh genit, Bella Astillah, 25, hanya memikirkan tentang si comel kesayangannya Ayden Adrean, 2.
Anak sulung ini juga akui dia kini giat mencari rezeki. Aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan, Bella juga tidak kisah dengan pandangan orang tentang dirinya yang kini bergelar ibu tunggal.
“Syukur alhamdulillah, hidup ini ibarat putaran roda. Apa yang saya ada sekarang adalah rezeki anak. Saya muncul semula dalam bidang seni atas sokongan mak dan ayah. Saya akui selesa dengan kehidupan sekarang. Saya mahu menikmati detik ini seindah mungkin,” ungkap Bella yang tidak pernah mengeluh dengan kehidupannya yang telah ditakdirkan bergelar ibu tunggal dalam usia yang muda.
Bella juga akui beruntung kerana apabila sibuk di lokasi ibunya akan menjaga anak lelaki kesayangannya.
“Berlakon berbeza dengan menyanyi kerana berlakon lebih lama dari menyanyi. Saya masih ingat tanggungjawab saya sebagai seorang ibu dan juga merupakan anak sulung dalam keluarga. Kalau saya rindu Ayden saya akan hubungi atau buat ‘video call’ dan mak juga akan bawa Ayden ke set jika penggambaran tidak memakan masa yang lama,” kata Bella.
Perlu Pandai Jaga Diri
Walaupun sudah lama berehat dari dunia seni, namun Bella tidak kekok dan mendapat respon yang positif dari peminat.
“Saya akui memang sukar untuk bergelar ibu dan pada masa yang sama aktif bekerja. Namun saya sejenis yang suka mengurus masa. Respon dari peminat setakat ini saya terima yang positif tapi saya akui bukan semua suka jadi saya ambil cabaran untuk berikan yang terbaik dalam lakonan. Saya tahu berlakon sebabnya sejak kecil sudah terlibat dalam seni. Dan paling penting saya perlu jaga diri.
“Memandangkan status saya sebagai ibu tunggal memang ramai yang cuba ambil peluang dekati saya. Ada yang DM dan email. Tapi saya ni jenis yang susah untuk ada pasangan.
“Sebelum berkahwin dengan Aliff, saya dan bekas kekasih menjalinkan hubungan selama tujuh tahun. Saya bukan wanita yang mudah menjalinkan hubungan apabila bertemu orang baru. Sebabnya saya ni anak sulung jadi dari kecil sudah banyak tanggungjawab yang dipikul. Bila ada anak saya tidak kekok dan rasa lebih berat tanggungjawab untuk membesarkan anak.
Bawa Mak Ayah Ke Umrah
“Pada bulan November ini, alhamdulillah rezeki saya murah dan saya akan bawa mak dan ayah ke umrah. Saya mahu beri ganjaran yang baik untuk mak dan ayah kerana saya tahu dengan berbakti kepada ibu bapa balasannya juga baik,” ungkap Bella yang kian popular lakonannya menerusi drama Cinta Belum Tamat Tempoh.