Ramai Suami 'Lupa' Elaun Bulanan Buat Isteri Yang Jadi Suri Rumah!

Ramai wanita yang yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas berumah tangga. Tindakan itu memang wajar dipuji dan bukan semua orang mampu melakukannya walau pun niat tu ada…

Sebagai suami, apakah mereka rasa seronok dan berterima kasih di atas pengorbanan isteri itu? Anak-anak dijaga sendiri oleh isteri, boleh juga jimatkan belanja hantar anak ke rumah pengasuh atau nurseri.

Malah ada isteri yang turut menghantar dan mengambil anak daripada sekolah setiap hari. Pendek kata, urusan rumah tangga ditanggung beres! Suami pula boleh ‘request’ apa saja masakan pada isteri. Pasti akan dimasaknya. Terus terang, suami pasti akan rasa lega kan?  Dia pula boleh fokus pada mencari rezeki untuk keluarga.

Rela Demi Suami Dan Anak

Isteri membuat pengorbanan itu demi untuk keharmonian rumah tangga. Bukan satu perkara yang mudah untuk seorang wanita terutama yang mungkin waktu itu sedang berada di kemuncak kerjaya dan berkelulusan tinggi untuk melepaskan kariernya. Pasti pertimbangan daripada pelbagai sudut telah diambil kira sebelum membuat keputusan itu. Maka, sebagai suami, perlulah menghargai isteri dan jangan ambil kesempatan di atas pengorbanan isteri itu.

Suami ‘Lupa’ Beri

Apabila tidak bekerja, isteri sudah hilang punca pendapatan. Hanya mengharapkan suami sebagai suami untuk menanggung segala perbelanjaan. Setiap bulan suami akan memperuntukkan sejumlah wang untuk perbelanjaan rumah. Jangan lupa untuk ‘selit’kan juga elaun untuk isteri.

Jumlahnya terpulang kepada kemampuan suami. Kalau mampu RM200 sebulan pun, berilah. Sekurang-kurangnya isteri ada duit untuk digunakan di saat kecemasan. Isteri juga pastinya ada keinginan untuk memiliki sesuatu barangan peribadi. Wang itu yang akan disimpan dan dikumpul sedikit demi sedikit. Kemudian dia akan beli setelah cukup wang, tanpa perlu meminta wang tambahan daripada anda.

Malangnya, ramai suami yang ‘buat-buat lupa’ tentang elaun untuk isteri. Isteri perlu minta, baru akan diberi. Itu pun dengan macam-macam bebelan dan soal siasat. Alasannya, mereka sudah sediakan semua perbelanjaan rumah. Tak boleh begitu ye wahai suami!

Sebaiknya nafkah diberikan berasingan. Nafkah adalah kewajipan yang suami mesti beri. Elaun ini lebih kepada sagu hati suami sebagai tanda penghargaan susah payah isteri uruskan rumah tangga. Pasti isteri akan rasa dirinya sangat dihargai suami. Tapi rasanya mesti ramai suami tak setuju kan? Hmm…

IKLAN

Banyak boleh jimat bila isteri tak kerja. Tak perlu hantar anak ke rumah pengasuh, tak perlu asyik beli makanan kedai, tak perlu ada orang bersihkan rumah dan macam-macam lagi. Jadi, tolong bayangkan banyak mana ‘kerja’ yang isteri kena buat seharian?

Boleh baca artikel lain di sini

https://www.mingguanwanita.my/berbanggalah-jadi-suri-rumah-jangan-malu-kerana-ia-kerjaya-paling-mencabar/

 Adik Beradik Susah Kita Patut Tolong, Bukan Umpat Dan Pulau Mereka!

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

IKLAN

Ramai Suami ‘Lupa’ Elaun Bulanan Buat Isteri Yang Jadi Suri Rumah!

Hargai Isteri

Sebagai isteri, tiada apa lagi yang lebih penting selain daripada disayangi dan dihargai oleh suami di atas pengorbanan mereka menjaga keluarga. Apa salahnya, sesekali bila dapat gaji, bawa isteri dan anak-anak makan di luar. Tak perlulah isteri memasak pada hari itu. Itu juga masa untuk isteri rileks setelah setiap hari terkejar-kejar uruskan anak-anak. Bila hujung minggu, bawalah isteri dan anak-anak keluar. Tidaklah asyik terperap di rumah saja. Pasti dia akan rasa gembira.

Bila ada duit lebih, apa salahnya belikan hadiah untuk isteri seperti baju baru dan sebagainya. Walau pun tidak bekerja, tapi mereka boleh memakai pakaian cantik ketika keluar menghantar dan mengambil anak dari sekolah, ke pasar dan sebagainya. Takkan suami sanggup biarkan isteri selekeh saja sedangkan suami mampu? Kalau isteri anda kelihatan menarik, dia juga yang tumpang bangga. Itu bermakna pandai jaga isteri.

Ramai Suami ‘Lupa’ Bantu

Suami juga boleh bantu isteri membuat kerja rumah seperti mencuci pinggan atau menyapu sampah. Tentu isteri akan rasa terharu dengan bantuan itu. Ia menunjukkan sifat timbang rasa anda pada dirinya. Walau pun penat bekerja, anda masih sanggup membantunya.

IKLAN

Bantu menjaga anak-anak jika lihat isteri sedang sibuk di dapur dan sebagainya. Pasti dia akan rasa bersyukur memiliki suami yang bertimbang rasa. Ingat, kalau suami rasa dirinya sudah penat seharian bekerja, apakah anda rasa isteri tidak penat seharian di rumah? Malah, ramai wanita yang mengaku, duduk di rumah lagi memenatkan daripada bekerja di pejabat!

Ramai Suami Yang Ego

Ada juga yang bersikap ego dan tidak mahu langsung membantu isteri menjaga anak-anak atau melakukan kerja rumah ketika hari cuti dengan alasan sudah penat bekerja sepanjang minggu. Aduhai suami, anda kena ingat.

Isteri bukan orang gaji ye. Apa kata anda beri isteri ‘cuti’ sehari dan benarkan dia keluar bersama rakan-rakan atau memanjakan diri di spa. Anda pula ambil uruskan anak-anak sendirian. Baru anda tahu, betapa ‘mudahnya’ tugas isteri di rumah. Silap hari bulan, ramai yang ‘surrender’! Pendek kata, suami kena faham, tugas sebagai suri rumah tangga bukan mudah.

Ucapkan Terima kasih

Sesekali apa salahnya anda lahirkan rasa terima kasih anda kepada isteri kerana sudi menjaga anak-anak dan menguruskan rumah tangga dengan baik sepanjang anda keluar mencari rezeki. Pasti isteri akan rasa suami menghargai dirinya.

Ada suami yang anggap peranan sebagai suri rumah itu mudah hingga mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar. Kononnya suami penat keluar bekerja sedangkan tugas isteri mudah saja, hanya duduk di rumah saja jaga anak.

Hinggakan sanggup mempelekehkan isteri di depan orang lain. Jangan begitu, anda sepatutnya sentiasa menjaga maruah isteri yang sanggup tidak bekerja demi keluarga. Walau pun isteri seorang suri rumah, tapi mereka juga ‘bekerja’ di rumah malah kerja mereka 24 jam tanpa henti, tanpa gaji.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI