Ingat ya mak-mak, hospital ini bukan rumah kita sendiri yang boleh kita tayang aurat ikut suka. Lagi-lagi wad perempuan. Nama saja wad perempuan, petugas di dalamnya ada doktor lelaki mahupun jururawat lelaki.
Bagi mak-mak yang sememangnya menutup aurat, memakai tudung. Biarpun dalam wad perempuan, kadangkala mak-mak begitu mudah mendedahkan aurat yang sepatutnya dipelihara.
Dr Nur Hanisah, pegawai perubatan yang bertugas di negeri Kelantan mengakui realiti sebegini sememangnya berlaku. Semoga mak-mak yang membaca tulisan ini akan ambil ikhtibar dan sedar akan kesilapan yang dilakukan ketika diuji sakit fizikal.
“Puan-puan… Ingat ya!
Hospital BUKAN rumah kita!”
Pesanan ringkas ini khas dititipkan buat golongan Hawa yang datang ke hospital. Tak kisahlah sama ada sebagai pesakit ataupun peneman.
Begini.
Selama saya bekerja di hospital, saya lihat, begitu ramai pesakit wanita yang ambil lewa soal aurat.
Kalau masuk ke wad perempuan, betapa ramai yang asalnya memakai tudung, namun ditanggalkan.
Betapa ramai yang membiarkan kaki terselak sehingga ke paras betis.
Paling saya hairan, semasa bekerja di posting sakit puan. Ada yang menyusu bayi dengan badan menghadap koridor tempat orang berjalan.
Puan-puan, ingat ya!
Hospital bukan rumah kita. Para doktor bukan ahli keluarga yang boleh kita tayang ikut suka.
Bahkan, dengan ahli keluarga yang bukan mahram pun kita masih perlu menjaga, bukan?
Para suami mithali, ingat perkara ini.
Ajarkan isteri yang kalian tanggung dosa dan pahala.
Sakit bukan alasan untuk mendedahkan maruah (aurat) diri.
Sakit bukan permit untuk doktor melihat apa yang tak patut.
Oh, ya.
Peneman pesakit pun begitu juga.
Hospital bukan tempat kita berkampung ikut suka.
Masa melawat, pakai tudung. Habis waktu melawat, berpakaian sarung.
Sekali lagi.
“Puan-puan… Ingat ya!
Hospital BUKAN rumah kita!”
Doktor dan misi lelaki ada di mana-mana. Mereka juga ada mata dan fitrah seorang manusia. Hormatilah mereka.
Hormati diri kita.
P/s: Sebarkan peringatan ini kepada isteri dan adik-beradik perempuan kita sekali, supaya mereka tetap menjaga aurat diri walau di mana saja mereka berada nanti.
Sumber/Foto : Nur Hanisah, Doktor Bukan Membebel
Beliau juga berkongsi kisah inspirasi di grup telegram : https://t.me/HospitalTarbiah