Menjadi kebiasaan bila ada kawan-kawan yang berniaga sesuatu barangan atau makanan, ramai yang suka mengambil kesempatan untuk minta percuma atau harga diskaun lebih murah. Katanya nak ‘harga kawan-kawan’. Hakikatnya perlu ubah sikap sebegini. Ini kerana bukan mudah untuk bisnes mereka berjaya. Banyak jatuh bangun, ‘asam garam’ dan onak duri yang perlu ditempuhi demi sesuap nasi.
Lebih-lebih lagi, jika hanya berniaga kecil-kecilan dan baru memulakan perniagaan. Tak dapat bantu banyak, tolonglah mereka seadanya. Tak perlu minta diskaun, mahu percuma atau harga lebih murah pada barang yang diniagakan.
Jemput renungkan perkongsian daripada Mohd Hanizal ini;
Ramai yang ambil kesempatan bila tengok kawan-kawan meniaga.. Bila tengok kawan meniaga dia ingat kawan dia banyak duit kot sampai nak Free atau nak harga terlalu murah dari biasa sampai minta harga bawah dari modal.
Banyak kos yang perlu ditanggung oleh peniaga contohnya kedai makan perlu membayar kos sewa kedai, pekerja, bill air dan bermacam lagi.. Hari tidak selalunya cerah, ada hari rugi disebabkan makanan tidak habis.
Apa salahnya kita sebagai kawan yang bagi duit lebih pada kawan atau makcik yang jual kuih tepi jalan tu niat untuk membantu agar bisnes mereka semakin berkembang.. Contohnya beli barang RM4.50 kita bagi lah duit RM5.00 dan tak perlu ambi baki dengan niat bersedekah 50sen tu.
Jadi lah tangan di atas untuk membantu bukan tangan dibawah untuk menjatuhkan orang lain tanpa kita sedari.. “Orang yang berjaya adalah orang yang gembira melihat orang lain berjaya”
Duit yang tak berkat, banyak macam mana pun tak akan cukup. Hati tak akan rasa puas mengejar dunia. Dah dapat sikit nak banyak. Dah dapat banyak nak lagi banyak. Duit yang berkat, walaupun sikit Allah swt akan cukupkan.
MW:Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi teguran buat kita. Bantulah kawan-kawan yang buat bisnes agar mereka lebih berjaya.Tak dapat tolong banyak, bayar harga sepatutnya tak minta percuma atau diskaun pun dah memadai.
Sumber: Mohd Hanizal
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Setiap Doa, Selitkan & ‘Jual’ Nama IBU, Mulianya Level Seorang Ibu Tiada Hijab!
Mulianya level seorang ibu itu. Doanya tiada hijab dan itulah syurga buat seorang anak. Seorang ibu, kedudukannya sangat istimewa, dialah mengandung dan bertarung nyawa melahirkan anak.
Jadi, level seorang ibu cukup tinggi di sisi Allah. Sanggup korbankan apa saja untuk anak dan kebahagiaan orang yang disayangi. Tanpa ibu, siapalah kita di dunia ini.
Beruntunglah bagi yang masih ada ibu dan sanggup mendoakan untuk anak-anaknya. Sebab doanya tiada hijab dan terus diangkat. Tapi berapa ramai daripada kita yang mendoakan untuk mak ayah.
Inilah yang dikongsikan oleh Ustaz Mohammad Asraff tentang level seorang ibu dan betapa doa itu mustajab bila kita selitkan nama ibu.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Doa Ibu Mustajab, SEBUTLAH NAMA Anak Satu Persatu Untuk Kebahagiaan Dunia Akhirat
Susahnya Jaga Anak Perempuan TAPI Beruntunglah Dapat Anak SULUNG PEREMPUAN, Itulah Doa Keberkatan
Info Lebih Menarik DI SINI
Level Seorang Ibu, Tinggi Darjatnya
Tempoh hari saya singgah ke kedai runcit, terdengar sebuah perbualan seorang lelaki yang sedang loudspeaker phone bercakap dengan ibunya.
“Rul, kalau nak berdoa apa-apa jual nama ibu ya”.
Semasa mendengar perbualan tersebut saya merasa pelik. Kenapa pula nak menjual nama ibunya?
Ibunya sambung lagi, kalau Rul nak mudah pergi umrah doa macam ini.
“Ya Allah, permudahkanlah urusanku untuk menunaikan umrah, aku nak sangat bawa ibu melawat Mekah sekali”
Kalau Rul nak beli rumah, doa begini
“Ya Allah lancarkan urusan beli rumah agar jika ibu datang melawat & bermalam dia rasa selesa”
Insya Allah doa tu naik tanpa hijab.
Tinggi Darjat Seorang Ibu
Masya Allah, tak terfikir seorang ibu mendidik anaknya mengenai doa sebegitu sekali.
Kemudian ibunya berkongsi pula tentang satu ceramah yang beliau hadiri. Kisah seorang sahabat yang badannya gemok tapi berkahwin dengan seorang isteri yang sangat cantik. Sahabat-sahabat Nabi saw pun bertanya padanya apa rahsia dapat isteri yang cantik.
Beliau pun share Setiap hari aku berdoa, Ya Allah kurniakanlah aku isteri yang bila mana mak aku pandang wajahnya, mak terus berasa sayang & kasih padanya”
Allahuakhbar
*Mulia sungguh Allah tempatkan level seorang ibu ni kan?
Lepas ni tuan & puan bolehlah berdoa sambil selit nama mak.
Jika mak sudah tiada gunalah nama ayah atau mak & ayah mertua.
Tapi jika mak & ayah semua sudah tiada, kita boleh berdoa.
“Ya Allah, limpahkanlah rezeki sebanyak-banyaknya kepadaku supaya aku dapat berinfaq buat mak & ayahku di alam sana. Aku nak sangat buat mereka gembira, sebab dulu masa kecil mereka selalu gembirakan aku.”
Insya Allah, dengan niat yang murni & penuh kasih sayang macam ni pasti Allah akan lebih mudah makbulkan doa kita.
Moga semuanya ada berkah, Aamiin.
Mingguan Wanita : Hebatnya seorang ibu.
Sumber :-Ustaz Mohammad Asraff Ayob Al-Hafiz
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Minguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mimpi Kepulan Asap & Soalan Misteri Petunjuk Istimewa Buat JEANNIFER SUDIAN
Sedari kecil agama bukanlah subjek utama buat dirinya. Meletakkan diri di kedudukan tanpa agama atau free thinker menjadikan dirinya terapung-apung bak belon yang beriisi gas helium. Hanya ketika usianya mencecah 12 tahun, baru dia berjinak-jinak mengikuti kelas agama Kristian. Setiap Ahad rutinnya ke gereja berdekatan untuk mendalami lebih mendalam tentang agama itu.
Seiring dengan peningkatan usia dan nalurinya masih lagi longgar tentang agama yang dianuti. Dia kemudian dikejutkan dengan satu mimpi yang aneh lagi luar biasa. Malam itu, kebetulan ketika umat Islam sibuk menjalani ibadah di bulan Ramadan, wanita berdarah kacukan Cina dan Kadazan ini mengalami satu keanehan luar biasa yang mengubah persepsinya terhadap Islam. Ikuti kisah selanjutnya mengenai perjalanan Jeannifer Sudian Abdullah, 35 mengenai kisah pengislamannya.
“Masih segar diingatan, satu malam ketika di bulan Ramadan saya mengalami mimpi pelik yang aneh. Pada tahun 2005, ketika saya berusia 21 tahun saya bermimpi menyaksikan satu perhimpunan manusia dan ada satu sosok yang tidak jelas kelihatan, seperti kepulan asap mengetuai kumpulan itu. Saya tak faham tiap butir perkataan yang dipertuturkan.
“Apa yang saya lihat kumpulan itu berada dalam suasana ketakutan seolah-olahnya hari itu hari penamat. Saya kemudian diajukan dua soalan; apa yang saya takut dan siapa yang saya takut. Saya tidak ada jawapan untuk soalan itu, sebaik melihat sekelompok orang menunaikan solat buat kali terakhir, saya hanya memandangnya dengan perasaan takut kerana tak tahu solat. Saya yakin mimpi ini membawa makna yang besar dan ketika itu saya tidak tahu mimpi itu sebenarnya satu bentuk hidayah untuk saya lebih mengenali Islam,”cerita ibu kepada sepasang cahaya mata kembar Naura Auni dan Mohammad Emyr Zareed enam tahun.
Bermulanya pencarian
Kepada teman sebilik, Norashikin Mohd Dini berkongsi cerita mengenai mimpi itu. Kemudian wanita ini berkesempatan menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di SMK Abdullah (2), Semporna selama setahun pada tahun 2010. Kesempatan yang ada memberi saya lebih ruang untuk mengenali Islam lebih mendalam.
“Kisah mengenai mimpi itu sudah saya rujuk kepada mereka yang arif dalam Islam dan Kristian. Masing-masing punya pendapat sendiri. Saya kemudiannya membuat hipotesis sendiri dan meneruskan pencarian. Alhamdulillah atas bantuan teman-teman Muslim dan guru di sekolah tersebut, saya akhirnya terbuka untuk melafazkan syahadah dengan bantuan Ustaz Burari Ungsurani. Setahun kemudian saya mendaftar pengislaman saya di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS).
“Lima tahun pertama selepas memeluk Islam, sejujurnya saya mendapat tentangan dari keluarga. Persekitaran di kampung saya menjadi contoh kes terdekat, ramai diantara wanita yang memeluk Islam kemudiannya diabaikan suami dan ditinggalkan. Orang tua saya cukup skeptikal dengan isu menukar agama dan diabaikan bila berkahwin dengan lelaki Muslim. Mereka bimbang saya juga bakal melalui pengalaman yang sama,”kongsi wanita daripada tiga bersaudara yang kesemuanya perempuan.
Janji bapa mertua di hari pernikahan
Selaku anak yang baik dan matang, Jeannifer mengakui dia tidak memberontak dan melarikan diri dari keluarga. Dia tahu hal itu bakal memburukkan lagi keadaan. Hal menjadi lebih serius apabila dia bertemu dan menjalin hubungan dengan seorang lelaki Muslim. Kesungguhan suaminya memenangi hati ibu bapa Jeannifer dan usaha itu turut dilakukan oleh seluruh keluarga pihak lelaki memberi kekuatan buatnya.
“Saat paling mengharukan apabila bapa mertua saya sendiri mengeluarkan kenyataan tegas sewaktu hari pernikahan kami. Menurutnya anak lelakinya takkan mempersiakan saya sebagai isteri dan dia berjanji tidak ada isu menduakan atau mengabaikan saya. Dia benar-benar menerima saya sebagai menantu. Momen istimewa yang menjadi sejarah penting dalam permulaan perkahwinan kami kekal menjadi memori termahal dalam momen pengislaman saya. Dengan sekali lafaz saya menjadi suri halal buat Mohamad Syahrizal Izhar,”ceritanya yang terharu dengan penerimaan bapa mertuanya, Drs Hj Izhar Husin.
Tidak terhenti disitu, keluarga pihak suami Jeannifer terus menerus memelihara hubugan silaturahim dengan keluarga besannya. Apabila ada majlis keraian dan perayaan, mereka pasti datang menyambutnya sebagai tanda menghormati hubungan kekeluargaan ini.
“Saya bersyukur dikurniakan keluarga mertua yang begitu memahami. Mereka juga tidak skeptikal dan sama-sama melapangkan diri meraikan hari perayaan keluarga saya. Apabila melibatkan hal makanan, awal-awal lagi keluarga saya peka mengenainya. Bagi saya dikurniakan mertua yang baik adalah satu bentuk rezeki juga.
Rezeki yang mengalir bak air
Usai melepasi fasa penolakan dari keluarga sendiri, wanita ini perlahan-lahan mengutip manisnya Nur Islam itu. Mengakui masih lagi dalam proses mendalami Islam, dalam nada merendah diri dia mensyukuri tiap keajaiban yang sentiasa hadir dalam hidupnya.
“Sesungguhnya Allah S.W.T maha kaya. Selaku seorang Islam, kita ikut dan laksanakan tiap suruhannya dan meninggalkan larangannya. Saya juga bersyukur kehidupan kami lebih baik, ada sahaja rezeki yang tak diduga hadir dan membuatkan saya cukup mensyukuri kurniaanNya. Sejujurnya, masih banyak lagi yang perlu pelajari.
“Skop kerja saya juga membuka ruang untuk saya mendekati lebih ramai kelompok mualaf. Disamping membantu mereka, sama seperti mereka kami juga sama-sama dalam usaha mengenali Islam. Terima kasih Allah S.W.T diatas kurniaan yang luar biasa hebat ini,”tuturnya menutup bicara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kasih Sayang Tanpa Syarat Allah pada Hamba-Nya
Kasih sayang itu luas. Kasih sayang pada Sang Pencipta malah untuk sesama manusia dan makhluk lainnya. Pernah anda berasa bahawa kasih sayang yang anda berikan kepada orang lain itu tidak memberi makna apa-apa.
Segala curahan kasih sayang hanya sia-sia dan tersasar daripada matlamat yang diharapkan. Anda puas mencuba dengan pelbagai cara tetapi harapan anda masih belum menampakkan hasil.
Kita menyedari bahawa isu-isu kehidupan yang melibatkan hubungan sesama manusia boleh diselesaikan menerusi hubungan perasaan kasih-sayang. Walau apa cabaran hidup, kebahagiaan dan kedamaian boleh dikembalikan bila mana perasaan kasih sayang ini dapat dijelmakan semula.
Persengketaan Tenggelamkan Kasih Sayang
Namun begitu, persengketaan sesama insan sering menenggelamkan perasaan kasih sayang. Persekitaran hidup yang sebelumnya indah, akhirnya dipenuhi dengan perasaan kebencian dan dendam. Segala kebaikan yang pernah dicurahkan, semua terpadam daripada ingatan. Perkara yang berlegar-legar di fikiran hanyalah rancangan-rancangan negatif yang bakal menambah kelukaan hati.
Justeru itu, dalam mengharungi apa jua kemelut yang melanda maka hidupkan dan suburkan kembali rasa kasih dan sayang ini. Nilai kasih sayang ini perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih bermakna iaitu kasih sayang yang tidak bersyarat atau kasih sayang tanpa syarat.
Kasih Sayang Tanpa Syarat
Ada kalanya, dalam hidup ini perasaan kasih sayang yang ada itu masih belum mencukupi. Lebih-lebih lagi bila kasih sayang itu dilingkari dengan syarat-syarat tertentu. Ia masih belum mampu mengubah persekitaran yang ada. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang yang lebih tulus dan kudus iaitulah kasih sayang tanpa syarat.
Bukankah kasih sayang Allah SWT pada kita tanpa syarat? DIA menjadikan kita dengan sempurna tanpa mengharapkan apa-apa daripada kita. Kalau dihitung segala pemberian Tuhan kepada kita maka tentunya kering air di laut menjadi tinta, tidak habis kalau kita hendak menghitung pemberian Ilahi itu. Demikian lah kasih sayang tanpa syarat daripada-Nya kepada kita.
Prinsip Yang Sama
Begitu juga seharusnya apa yang berlaku cetusan emosi kasih dan sayang sesama insan mengikut prinsip yang sama. Kasih sayang di antara seorang ibu dan anak bukanlah kerana si ibu mengharapkan masa tua anak akan membalas jasa ibu tetapi segalanya dilakukan tanpa syarat, hanya kerana mencari keredaan-Nya.
Begitulah kisah Rabiatul Adawiyah apabila seorang raja masuk meminangnya, maka Rabiatul Adawiyah mengatakan bahawa dalam hatinya sudah tidak ada ruang lagi untuk dimuat perasaan kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT. Begitulah tingginya perasaan cinta Rabiatul Adawiyah terhadap Tuhan.
Hubungan cinta dan kasih sayang tanpa syarat ini juga terpancar dalam kisah keluarga Nabi Ibrahim a.s. Cinta Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah tidak dapat digambarkan apabila baginda sanggup mengorbankan Nabi Ismail a.s. apabila turun perintah daripada Allah supaya baginda melakukannya sekalipun Nabi Ismail a.s. merupakan putera yang amat dikasihi setelah menunggu kelahirannya begitu lama sehingga menjangkau usia tuanya.
Inilah tanda kekhalifahan manusia yang Allah SWT tunjukkan kepada para malaikat, kehebatan manusia dalam membuktikan ketinggian cinta dan kasih sayang yang memberikan tenaga yang cukup kuat dalam hubungan dengan Allah SWT dan manusia lain.
Kurang Kasih Sayang Punca Wanita Curang? Ada Juga Sebab Lain
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Energi Dalam Berkasih Sayang
Inilah bentuk kekuatan kasih sayang tanpa syarat yang dimaksudkan. Cinta suami kepada isteri, begitu juga sebaliknya, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain daripada syarat untuk mendapat keredaan Allah.
Isteri tidak akan mengeluh kepenatan melayan suami dan anak-anak lantaran apa yang dilakukannya sekadar mencari limpah rahmat dan keredaan Ilahi. Lantas mencari keredaan Allah SWT itu menjadi matlamat akhir sebuah bahtera kasih sayang dan kecintaan dalam keluarga.
Begitu juga cinta ibu bapa kepada anak-anak, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain mendapat keredaan Ilahi di atas anugerah yang penuh bermakna itu. Anak-anak dibelai dan dididik dengan penuh rasa kasih sayang. Biarlah Allah SWT melimpahkan kasih sayang-Nya ke dalam hati dan perasaan mereka lantas menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa di kemudian hari nanti.
Bina Kekuatan Kasih Sayang Tanpa Syarat
Justeru itu binalah kekuatan rasa kasih sayang tanpa syarat dalam jiwa supaya emosi dan spiritual kita semakin mantap dan kukuh.
Sesungguhnya kasih sayang tanpa syarat inilah yang membahagiakan diri dan orang lain sekitarnya. Semoga kasih sayang Allah SWT yang tiada apa-apa syarat itu bakal memayungi segala urusan kehidupan kita sehingga menjadi kehidupan yang diredai-Nya.
Artikel: Dr. Muhammad Jantan, Perunding Motivasi dan Kaunseling.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI