Setiap kali Ramadan akan melabuhkan tirai, kita berdoa meminta Allah SWT lanjutkan usia serta dianugerahi kesihatan yang baik, mudah-mudahan dapat bertemu Ramadan akan datang. Ya, kita jarang memohon doa seumpama itu pada waktu-waktu lain, namun Ramadan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk kita berbuat demikian.

Itulah kemuliaan Ramadan. Kehadirannya amat dinantikan setiap muslim mukmin yang faham erti kemuliaan Ramadan bagi meraih kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi, meraih pahala berlipat kali ganda.

Ramadan memberi peluang untuk setiap muslim mukmin meraih ganjaran daripada Allah SWT demi mencari kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki lagi abadi. Sejak awal bulan Rejab lagi Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya berdoa, “Ya Allah, berkatilah hidupku pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah aku (untuk terus hidup) ke bulan Ramadan.”

Maka sangat beruntung bagi insan-insan yang diberi kesempatan hidup pada bulan Ramadan kali ini. Rasa syukur itu harus dibuktikan dengan amal soleh yang disyariatkan Islam bagi memenuhi ruang masa di sepanjang Ramadan yang penuh kemuliaan ini.

Ramadan…Rebutlah Pahala Berganda Kalau Nak Kejar Syurga!

Bukti Kecintaan Ilahi

Ramadan memperlihatkan tentang ketinggian kasih sayang (sifat al-Rahman dan al-Rahim) Allah SWT kepada manusia. Ramadan dengan segala kebaikannya dianugerahkan khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w yang amat dikasihi-Nya, umat akhir zaman yang singkat usia tetapi boleh menyamai amalan umat terdahulu yang panjang usia mereka.

IKLAN

Sebulan Ramadan merupakan puncak limpahan kasih sayang Allah SWT untuk semua insan khusus kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas berkorban demi mencari keredaan-Nya.
Manusia dan dosa memang tidak dapat dipisahkan. Sempena kedatangan Ramadan, Allah SWT menawarkan peluang pengampunan dosa untuk setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mahukan segala kesalahannya diampunkan. Mereka menyedari bahawa pengampunan dosa daripada Allah SWT merupakan limpahan kasih sayang-Nya.

Bersihkan Diri

Makanya tempoh sebulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk setiap insan kembali membersihkan diri daripada dosa dengan bertaubat kepada-Nya. Ini peluang untuk insan kembali kepada sifat fitrah yang pernah dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w seumpama seorang bayi yang baru dilahirkan ke muka bumi.

Teringat kita kepada hadis Rasulullah s.a.w yang sangat masyhur tentang Ramadan, “Bulan Ramadan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada azab api neraka”.

Sabda baginda yang lain, “Barang siapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”

IKLAN

Justeru itu, rebut peluang ini dengan memperbanyakkan istighfar, memohon keampunan atas kesalahan dahulu. Segala kesalahan mohon Allah SWT ampunkan, yang kecil, yang besar, yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja. Maka mohonlah keampunan dengan sepenuh keinsafan serta menanam keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.

Pengorbanan

Setiap insan pasti akan kembali menghadap Ilahi suatu hari nanti. Atas maksud itu, setiap insan harus berusaha memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan untuk kehidupan ukhrawi nanti.

Ambil peluang yang ditawarkan pada bulan Ramadan ini dengan ganjaran kebaikan yang tiada pada bulan-bulan yang lain. Rebut lah segala kelebihan yang dijanjikan Tuhan di sepanjang Ramadan. Allah SWT kurniakan Lailatul Qadar di mana ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.

IKLAN

Rasulullah s.a.w memotivasikan para sahabat dengan menyebut bahawa pahala ibadah digandakan sehingga seribu kali ganda, pahala amal sunat digandakan menjadi pahala wajib. Pintu syurga dibuka luas dan pintu neraka ditutup rapat.

Semua iblis dan syaitan dibelenggu supaya tidak ganggu manusia. Sehubungan itu, selalulah bermuhasabah tentang matlamat asal kehidupan ini. Matlamat yang kita ingin capai adalah kehidupan akhirat yang hakiki dan kekal abadi. Awasi diri agar tidak tertipu oleh kehidupan duniawi yang sementara dan penuh tipu-daya ini. Kekalkan diri secara istiqamah dengan matlamat hidup yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Justeru itu, kedatangan Ramadan kali ini perlu disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan kerana Allah SWT masih mengasihi kita. Kegembiraan hati ini merupakan lambang keyakinan dan keikhlasan kita menghambakan diri kepada-Nya. Mohonlah agar kita direzekikan kekuatan fizikal, emosi dan spiritual untuk beramal soleh di sepanjang Ramadan tahun ini, insya-Allah.

Artikel sumbangan: Dr. Muhammad Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi RMJ Holistic Solution, yang juga kolumnis ruangan Mencari Keredaanmu di dalam majalah Mingguan Wanita.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI