Ramadan Kareem. Alhamdulillah, sepenuh kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana akhirnya kita ditemukan semula dengan bulan Ramadan, bulan penuh keberkatan dan lubuk pahala. Sayang kalau tak rebut peluang ini. Kalau pahala yang dikutip mampu dilihat dengan mata kasar, pasti kita semua berlumba-lumba untuk merebutnya.
Ikuti perkongsian daripada Ustaz Zainul Luqman bin Zainul Ikhwan, Pengasas ZL Training & Consultancy yang juga Imam 2, Masjid Universiti Putra Malaysia. FB: https://www.facebook.com/zainulluqman
Rebut Pahala Sepanjang Ramadan
Di sebalik kegembiraan menyambut kedatangan Ramadan yang mulia ini, terselit rasa duka. Ramai antara kita yang kini sedang merancang bagaimana untuk meraih pahala percuma dalam bulan yang penuh barakah ini tetapi runsing kerana Solat Sunat Tarawih dan tadarus Al-Quran tidak boleh dilaksanakan di masjid mahupun di surau kerana kita sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat virus Covid-19 yang melanda kini.
Walau bagaimana pun, jangan jadikan Perintah Kawalan Pergerakan ini sebagai alasan untuk kita tidak menjadi Pemburu Sang Al-Qadr yang hanya akan muncul pada Ramadan ini.
Jadi saya ingin kongsikan kepada anda semua beberapa tip agar kita menjadi Jutawan Pahala sepanjang Ramadan ini. Tidak boleh ke masjid dan surau, kita tetap boleh laksanakan di rumah masing-masing. Tak ada alasan ye!
Tip Bangun Malam (Qiamullail) Sepanjang Ramadan
Ramai yang selalu menyatakan hasrat untuk mendirikan Qiamullail (Bangun Malam) untuk melakukan ibadah sunat seperti solat sunat Tahajjud, solat Taubat dan lain-lain tapi sering gagal kerana ‘tak terjaga’. Mungkin anda boleh cuba lakukan 3 tip mudah ini.
1- Makan Dengan Kadar Yang Memadai
Pemakanan merupakan faktor utama yang membuatkan kita menjadi ‘liat’ untuk bangun tidur untuk melaksanakan Qiamullail. Jadi, setelah selesai sepanjang hari berpuasa, jangan pula kita berbuka dengan kadar yang terlalu banyak untuk cover makanan tengah hari dan minum petang kita.
2- Tidur Awal Pada Waktu Malam
Pastikan anda tidur awal selepas menyelesaikan solat fardu Isyak dan solat sunat tarawih. Tidak menjadi masalah sekiranya anda ingin tidur selepas solat Isyak dan melaksanakan solat sunat Tarawih pada 1/3 akhir malam. Ini kerana, waktu solat tarawih bermula daripada selepas solat Isyak sehingga terbit fajar.
3- Berwuduk Sebelum Tidur
Amalkan berwuduk sebelum tidur kerana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” – (Riwayat al-Bukhari – 247 dan Muslim – 2710)
Solat Sunat Tarawih Di Rumah? Tak Ada Masalah!
Anda tidak perlu runsing dengan bacaan dalam solat sunat tarawih kerana ianya sama seperti solat yang lain.
1- Baca surah lazim yang mudah diingati pada rakaat 1, 3, 5 & 7.
2- Baca surah al-ikhlas pada rakaat 2, 4, 6 & 8.
3- Selitkan tazkirah ringkas setelah selesai rakaat 4.
Tip Khatam Al-Quran
Secara umumnya, Ramadan mempunyai 30 hari dan terdapat 30 Juzuk di dalam al-Quran. Ini bermakna anda perlu membaca 1 Juzuk setiap hari tanpa gagal. Bagaimana pula untuk menyelesaikan 1 Juzuk secara berperingkat dalam sehari? Mudah saja. 1 Juzuk secara umumnya terdapat 20 muka surat. Jadi, anda perlu membaca empat muka surat sahaja setiap kali anda selesai melaksanakan solat fardu. Insya-Allah, anda akan khatam al-Quran di penghujung Ramadan nanti.
https://www.mingguanwanita.my/pkp-tak-halang-ibadat-untung-berkurung-di-rumah-sepanjang-ramadan-uai/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI