Secara jujur, apa perasaan anda bila Ramadan berlalu pergi? Kita terpaksa menunggu setahun lagi untuk bertemu Ramadan yang akan datang. Banyak perkara boleh terjadi dalam tempoh setahun ini. Adakah kita bakal diberi kesempatan untuk bertemu Ram adan yang akan datang atau inilah Ramadan kita yang terakhir?
Muhasabah ini patut dinilai pada diri masing-masing. Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa untuk umat Nabi Muhammad s.a.w, yang dianugerahkan khas oleh Allah SWT sebagai tanda kasih sayang-Nya.
Sesungguhnya agak malang bagi jiwa-jiwa yang tidak merasai apa-apa bila Ramadan berlalu pergi. Agaknya jiwa sebegini merupakan jiwa-jiwa yang dimatikan oleh Allah SWT lantas nikmat dan keagungan Ramadan langsung tidak berbekas di dalam hati-hati mereka. Jika kita dalam kelompok ini maka cepat-cepat lah beristighfar agar kejahilan dan kelalaian itu diampunkan dan hati ini dihidupkan kembali dengan sinaran cahaya iman dan takwa daripada-Nya.
Makna kehidupan sebenar
Mana mungkin Ramadan selama sebulan itu tidak memberi bekas kepada diri individu muslim mukmin kerana Ramadan dan segala keistimewaan yang ada di dalamnya mengajar kita erti kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat yang kekal abadi. Kehidupan dunia hanya sementara serta sebagai jambatan menuju ke alam yang kekal abadi tersebut. Pecutan kehidupan Ramadan adalah pecutan menuju kehidupan akhirat dengan segala keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah SWT.
Ads
Matlamat kehidupan sebenar inilah yang diingatkan kembali oleh Allah SWT dan Rasul-Nya bila bulan Ramadan menjelma saban tahun. Peluang pengampunan segala dosa diberi seluas-luasnya. Kesempatan meraih ganjaran kebaikan untuk bekalan ke akhirat dilipat-gandakan hingga tidak terhitung banyaknya. Allah SWT melimpahkan segala sifat kasih-sayang (al-Rahman dan al-Rahim) dan keampunan-Nya untuk direbut oleh hamba-hamba-Nya yang sudi menerima tawaran yang sangat luar biasa.
Bila ditanya, apa kerinduan kita setelah Ramadan berlalu pergi? Kita sepatutnya sentiasa merindui rahmat, keampunan dan keselamatan daripada azab api neraka sepertimana hadis tentang Ramadan yang sering diperdengarkan, “Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya selamat daripada api neraka.”
Ads
Sudah tentu kita sentiasa merindui malam Lailatul Qadar kerana ganjarannya melebihi seribu bulan. Mana mungkin seseorang pasti boleh hidup hingga 1000 bulan!, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada 1000 bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1 – 3)
Maka fahamlah kita kenapa Rasulullah s.a.w pernah menyebutkan bahawa sekiranya umat ini mengetahui tentang kebaikan-kebaikan yang Allah SWT sediakan pada bulan Ramadan, nescaya mereka mengharapkan agar sebelas bulan yang lain dalam setahun itu dijadikan seperti bulan Ramadan.
Ads
Budaya Beribadah
Bila mana berlalunya Ramadan, maka berlalulah juga segala keberkatan bulan ini. Namun perjuangan hidup perlu diteruskan. Apa yang tinggal untuk dihayati pastinya semangat positif serta hasil tarbiah yang dilalui sepanjang Ramadan, yang perlu dijana sebaiknya sebagai bekalan kehidupan.
Semangat positif inilah yang ingin dikekalkan. Individu menjaga anggota lahiriah dan batiniah daripada terjebak dalam tindakan negatif dan mungkar. Semangat untuk beramal amat tinggi. Terasa ringan untuk memperbanyakkan amal ibadah. Menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan menjadi budaya. Istiqamah beramal tanpa rasa letih dan jemu tidak kira siang atau malam.
Tarbiah Ramadan fokusnya adalah mendidik hati setiap insan supaya menjadi bersih dan lembut. Hati yang bersih akan dilimpahi sifat-sifat mulia dan positif. Hati yang lembut akan tersentuh dengan pancaran cahaya Ilahi hingga tunduk patuh mentaati-Nya sepenuh keikhlasan. Semoga Ramadan kali ini benar-benar terkesan dalam sanubari kita semua. Mudah-mudah kita direzekikan untuk bertemu Ramadan yang akan datang, insya-Allah.
Artikel disumbangkan oleh Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ Holistic Solution, yang juga penulis tetap ruangan Mencari Keredaanmu di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Keadaan sekarang ini cukup mencabar bagi sesiapa sahaja. Bersyukurlah bagi kita yang masih berada di zon selesa. Tapi, ada juga orang lain yang berkira-kira dan memikirkan tentang masa depan yang bakal dilalui.
Kadang-kadang apa yang kita ada sekarang ini dirasakan sudah cukup baik dan semestinya kita berada pada zon selesa. Tak perlu apa-apa dan teruskan dengan apa yang ada.
Namun, sedar tak bila kita berada di zon selesa, kita tak akan buat apa-apa. Hanya itulah yang dihadap hari-hari. Tak ada sebarang perubahan.
Begitu juga dalam mencari rezeki, jangan ingat dengan makan gaji kita sudah berada pada zon selesa berbanding dengan mereka yang perlu bekerja keras siang dan malam demi mencari sesuap nasi.
Sebenarnya, kita takut untuk membuat keputusan, malah takut untuk keluar dari apa yang kita ada sekarang ini. Kita tak tahu, asbab keutusan yang kita buat dengan keluar dari zon selesa, ia mampu menaikkan taraf hidup kita.
Itulah yang dikongsikan oleh Khairul Ahmad Basri tentang keputusan salah yang diambilnya sebelum ini. Rupa-rupanya, keputusan salah itulah menjadi asbab untuk diperoleh rezeki yang lebih baik lagi.
Semua orang pernah buat keputusan yang salah. Sama juga macam yang pernah buat macam-macam keputusan yang salah.
Kalau orang tanya saya satu keputusan yang salah paling teruk dalam hidup yang pernah saya buat, saya tak akan teragak-agak untuk cakap; berhenti kerja bank untuk masuk kerja di koperasi.
Itu keputusan yang salah paling besar saya pernah buat. Bayangkan, daripada hidup mewah dengan gaji besar dan macam-macam benefit, saya tinggalkan semua tu untuk mencuba nasib bekerja dalam bidang yang sangat asing bagi saya.
Malah, bidang baru yang tak tahu lagi masa depannya macam mana, gaji pulak terpaksa dipotong 50% daripada gaji asal.
Benefit tak usah cakap, macam tak ada langsung. Kerja pulak entah apa-apa. Ini tak boleh, itu tak boleh. Jawatan dah CEO, tapi saya tak ada kuasa untuk buat keputusan.
Maka jadilah ia suatu permulaan perjalanan hidup yang amat perit untuk saya tempuh bermula dari saat itu.
Teruskan Kelangsungan Hidup
Pada masa tu, saya jual kereta Mercedes C Class yang saya beli masa kerja HSBC Amanah tahun 2008 dulu. Yelah, kuranglah belanja dalam RM3,000 bayar kereta mahal macam tu kan.
Tapi Allah nak uji saya sungguh. Kereta tu saya jual pada orang yang salah. Dipendekkan cerita, dia jadi macam ni.
Kereta itu pembeli ambil. Nama kat geran dah bertukar. Pinjaman bank tak selesai. Kereta tu pulak hilang masuk sindiket mana entah. Pembeli tu pulak mati eksiden!
Toingk!!!!
Parah, kalau benda ni jadi kat kalian, apa kalian boleh dan akan buat?
Nak dikejar keretanya, kereta pun dah tak tahu ke mana atau nak dikejar pembelinya, pembeli pun dah mati eksiden. Report ke banknya, loan kereta tu bawah personal loan masa jadi staf.
Apa boleh buat?
Saya pasrah, saya redha. Ini salah satu ujian paling berat pernah saya rasa.
Saya maafkan mamat yang tipu saya tu. Saya halalkan hutang dia terhadap saya. Sungguh!
Moga-moga selesai urusan dia di hadapan Allah dan buka hati setiap orang yang saya bermasalah dengan mereka supaya maafkan saya di hari akhirat.
Itu yang saya buat. Hati saya jadi tenang. Saya maafkan dia, tak marah-marah. Sungguh. Saya jadi tenang.
Hutang kereta? Saya kena hadap. RM3,000 lebih saya terpaksa bayar sebulan selama hampir 3 tahun.
Tapi Alhamdulillah akhirnya selesai juga ikut jadual asal. Tak tahu la duit dapat dari mana. Allah sahajalah yang berkuasa untuk mencukupkannya.
Bersangka Baik
Jodoh saya dengan koperasi tak lama. Saya ada strong reason kenapa saya resign dari koperasi.
Ia sama ada structure dan budaya kerja dalam koperasi tu tak betul atau saya ni yang tersalah pilih tempat kerja.
Saya sangka baik dan pilih sebab yang kedua.
Tapi masa tu saya mula kerja koperasi tu, saya dah berjinak-jinak berniaga emas. Jadi dealer yang agak bagus dan terkenal juga.
In fact saya pernah bagi keuntungan RM200,000 dalam masa setahun kepada koperasi tempat saya kerja tu hasil beli dan jual emas.
Bisnes saya dengan emas is not bad. Sebab it goes by years and size of empire. Dalam masa 8 tahun sebelum saya stop, saya dah ada 8,000 orang dalam empayar emas saya.
Income? It goes without saying… 5 angka.
Bila saya dah tak kerja makan gaji, saya berniaga macam-macam. Saya tulis buku dan jual, berniaga makanan kering dan frozen.
Malah, saya belajar-belajar buat kerja kebajikan terutamanya dengan golongan Huffaz dan juga maahad tahfiz.
Saya upgrade followers di facebook, belajar, beli buku dan ebook. Memang saya improve sungguh daripada followers sekitar 8,000 orang pada tahun 2019, sekarang saya dah ada hampir 35,000 orang followers.
Keputusan Terburuk Berhenti Kerja
Begitulah… tengok dari sudut negatif, keputusan pertama yang saya buat bila saya berhenti kerja bank boleh jadi keputusan terburuk saya pernah buat.
Tapi kalau tak berhenti kerja bank bank tu, saya tak mungkin sampai ke tahap yang saya sampai sekarang.
Betul la.. Allah cakap;
“Ada benda yang kamu tak suka, padahal ia baik untuk kamu. Ada benda yang kamu suka, padahal ia tak baik bagi kamu. Allah maha tahu, kamu sungguh tak tahu”.
[Al-Baqarah ayat 216]
Dengan berhenti kerja bank, saya dapat peluang kerja koperasi. Saya belajar dan tahu tentang selok belok koperasi.
Malah, dengan berhenti kerja bank, saya sekarang dah jadi penasihat Syariah bank pulak.
Saya sekarang boleh jadi dealer emas. Boleh belajar selok belok
perniagaan emas.
Dengan berhenti kerja bank, saya boleh gamble niaga macam-macam, saya dah pun berjaya tulis 5 buah buku, dapat buat kerja kebajikan dengan lebih baik.
Dan macam-macam hikmah lagilah…
Pada hari ini, hasil daripada keputusan yang salah itu, saya dah ada beberapa syarikat saya sendiri.
KAB Foods and Beverages dan KAB Media. Pertubuhan KAB. Koperasi KAB.
Paling baru dan trendy sekarang, KAB Gold pulak.
Insya Allah Sabtu depan saya nak launch KAB Properties lagi…
MasyaAllah.. Subhanallah… Alhamdulillah…
Moral of the story ya kawan-kawan : 1. Jangan takut untuk buat keputusan untuk hijrah kerana Allah.
Keluar dari zon selesa untuk mencuba sesuatu yang baru demi mencapai matlamat lebih besar yang selama ini kita impikan.
“Siapa yang berhijrah kerana Allah, maka dia akan dapati lebih banyak peluang di atas muka bumi dan rezeki yang sangat luas”. [Surah An-Nisa’ ayat 100].
2. Allah adalah pencatur dan pengatur yang maha pengasih dan penyayang. Dia tak akan sia-siakan setiap usaha kita.
Cuma cepat atau lambat saja, pasti kita akan diberi balasan yang menggembirakan. Just do it!
“Bekerjalah, kerana sesungguhnya Allah, Rasulullah dan orang mukmin keseluruhannya akan melihat usaha kamu itu. Dan kamu akan kembali kepada Allah untuk diberi khabar gembira tentang apa yang kamu usahakan”. [Surah At-Taubah ayat 105].
3. Allah itu wujud, berkuasa dan maha segalanya. Jangan takut. Allah pasti akan bantu.
Kena yakin perkara ni sungguh-sungguh. Kalau Allah kata benda tu memang akan jadi, maka ia pasti akan jadi.
Tapi kalau Allah kata benda tu tak jadi, tiada siapa yang boleh adjust bagi benda tu jadi. “Dan jika Allah menentukan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia.
Dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya.
Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. [Surah Yunus ayat 107].
Begitulah…
#KAB
MW: Perkongsian yang cukup menarik untuk kita contohi.
Memang ada benarnya, suami yang ‘gentlemen’ atau budiman itu sebenarnya yang mampu menjaga syariat dan memelihara maruah isteri. Sebaik mungkin melindungi maruah anak dan isteri, serta memastikan mereka menutup aurat dengan sempurna.Bukan apa, wanita zaman sekarang apabila bab jaga aurat dan maruah diri, ramai yang lebih teruk daripada orang sawan!
Baca perkongsian kisahnya daripada Tuan Ahmad Fairoz ini sebagai rujukan;
Suami Gentlemen adalah Yang Memelihara Maruah Isteri.
Petang tadi isteri saya kongsikan pada saya berkaitan satu video seorang lelaki yang dikatakan sebagai suami yang ‘gentleman’ kerana memarahi seseorang yang menegur pakaian isterinya yang ‘seksa’ barangkali.
Walau bagaimanapun katanya ramai yang tidak menyokong tindakan tersebut kerana menurut mereka memang patut pun ditegur jika sudah jelas-jelas seksi.
Jaga Maruah Isteri dan Anak Perempuan
Entahlah. Saya tak ikuti dengan jelas perihal tu cuma teringat satu pesan daripada Ustaz Mohd Rifqi Myiddin dalam kuliah beliau.
Kata Ustaz,
“Orang perempuan sekarang ramai yang tak sedar mereka telah kehilangan maruah. Kita ahli-ahli masjid ni yang ada isteri dan kalaulah ada anak perempuan, tolonglah jaga maruah isteri dan anak-anak perempuan kita.”
Jangan beri mereka keluar dari rumah seandainya tidak menutup aurat dengan sempurna. Apalah erti kita sebagai seorang suami atau ayah seandainya kita tak mampu memelihara maruah insan-insan yang kita sayangi.”
Wanita Ahli Syurga
Tak silap saya ketika tu Ustaz ada ceritakan satu kisah tentang wanita yang dihinggapi sawan pada zaman Nabi SAW.Kisah yang diriwayatkan daripada ‘Ata’ bin Abi Rabah itu menceritakan bahawa suatu hari Ibnu Abbas radiallahu anhu bertanya kepada beliau,
“Mahukah awak, saya tunjukkan ahli syurga?”
Dia menjawab, “Mahu.”
Ibn Abbas menunjukkan kepada beliau seorang wanita sambil berkata,
“Itu wanita hitam yang telah menghadap Rasulullah shalallahu ‘alaihi wassalam.
Dia mengadu yang dia mengidap penyakit sawan dan setiap kali sawannya datang dia berada dalam keadaan tidak sedar biarpun ketika itu auratnya terbuka. Lalu dia mohon Rasulullah saw mendoakan untuk beliau.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam memberinya pilihan dengan jawapan,
“Jika awak bersabar (dengan penyakit itu) , maka bagimu syurga. Tetapi jika awak mahu, saya akan mendoakan sehingga Dia menyembuhkan awak”
Maknanya jika dia bersabar ganjaran yang diperoleh adalah syurga namun jika dia mahu Baginda boleh sahaja memdoakan agar dia diberikan kesembuhan.
Lalu wanita itu memilih untuk bersabar cuma beliau memohon Rasulullah saw mendoakan agar auratnya terpelihara ketika penyakit sawannya datang.
Kemudian rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam mendoakannya. [Sahih al-Bukhari, (كتاب المرضى) Kitab Pesakit, (باب فَضْلِ مَنْ يُصْرَعُ مِنَ الرِّيحِ)
Bab Kelebihan Orang Menghidap Penyakit Sawan, hadis no : 5220]
Dikhabarkan wanita tersebut bernama Ummu Zufar.
Lalu kata ustaz lagi selepas menceritakan kisah ini,
“Hebatnya wanita zaman Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam, ada penyakit sawan kemudian sangat khuatir kalau terdedah aurat dan tidak terpelihara maruah ketika terkena sawan. Padahal ada kemaafan di situ kerana pada waktu itu dia dalam keadaan tidak sedarkan diri.”
“Berbeza wanita zaman sekarang ni, ramai sahaja yang sihat-sihat tetapi lebih teruk daripada orang yang sawan dalam pada bab menjaga aurat dan memelihara maruah diri sebagai seorang wanita.”
Realitinya memang saya bimbang juga memerhatikan keadaan sekarang ini. Tahap kebimbangan saya tu sampai termimpi-mimpi isteri saya melahirkan anak perempuan.
Lepas bangun tu langsung bertambah kerisauannya apabila memikirkan betapa teruknya cabaran dalam menangani kecenderungan anak-anak perempuan. Allahuakbar…
Tugas berat menjadi seorang suami dan juga seorang ayah di akhir zaman.
Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang berat peranan dan tangguangjawab suami. Pesanan buat para suami dan ayah, jadilah lelaki yang ‘gentleman’ yang berusaha memelihara maruah serta menjaga aurat anak-anak dan isteri.
“Bila Kita Diuji Allah. Ingatlah Allah Sayang Kita” begitulah perkongsian pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew yang sememangnya memberikan pedoman buat kita semua.
“Bila Kita Diuji Allah. Ingatlah Allah Sayang Kita”
Ustaz Ebit Lew yang sering memberi pesanan mengingatkan kita agar sentiasa mengingati Yang Maha Esa walaupun pelbagai ujian melanda.
Malah Ebit juga berkongsi pelbagai kisah yang boleh menjadi pedoman buat semua.
“Teringat dulu pernah pujuk seorang adik berumur 14 tahun bawah jambatan pegang baby dah 2 bulan. Abang,saya kecewa dengan hidup saya. Adik tadi ceritakan betapa kecewa dan putus asa dengan Allah. Tak tahu solat. Rasa ahli neraka. Saya ulang kali cakap Allah sayang padanya. Ulang kali. Adik tadi menangis. Betul ke dia sayang saya? Adik tadi nak belajar solat.
“Syukur mula solat dan hidupnya jadi sangat baik. Dia dahaga kasih sayang Allah. Dia ingat dia dah tiada jalan untuk balik. Itulah kasih sayang Allah.
“Saya pernah dakwah di lorong-lorong. Dulu masa 9 tahun mula lari dari rumah jadi pelacur di lorong. Saya kata Allah sayang padanya. Dia berubah dan kini berumur 28 tahun dah balik rumah jumpa mak ayah menangis. Mereka dahagakan kasih sayang Allah.
Berilah Masa Mengajak Manusia Pada Kasih Sayang Allah
“Baru ni bawa ramai anak muda yang nak bunuh diri kecewa dengan hidup. Bersama 3 hari dijalan Allah. Tiba-tiba berubah dan terus bersemangat dalam hidup. Selama ini ingat tiada siapa peduli dan semua orang tinggalkannya. Rupanya dia baru tersedar dia ada Allah yang sayang padanya. Cuma kita tak kenal kasih sayangnya. Berilah masa untuk kenal Allah. Berilah masa mengajak manusia pada kasih sayang Allah.
Cinta Allah Tak Bersyarat
“Cinta Allah tak bersyarat. Dia mencintai hambanya. Dia menanti kita semua. Jangan buat sesiapapun berputus asa dari rahmatnya. Cinta yang sejati. Cinta sebenarnya. Cinta Allah pada kita semua.
“Saat kita diuji. Belajarlah menerima cinta Allah. Demi cintaMu padaku. Terima kasih kerana memilihku untuk diuji olehMu. Aku cinta gembira Redha dengan segala ujianMu. Terima kasih ya Allah atas segala ujian ini. Jika ada pahala untuk semua ini saya hadiahkan buat mak ayah saya,” tulis Ebit.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...