Ramadan makin meninggalkan kita. Bila tiba di sepuluh terakhir Ramadan, maka ramailah yang fokus untuk mengaut kelebihan Lailatul Qadar. Tak kurang juga yang terus leka dengan dunia sendiri, seperti tiada apa yang berlaku.
Kaum hawa, antara yang selalu bertanyakan soal ini. Ada yang merasa bersangatan sedih bila tak dapat beribadah seperti biasa kerana uzur Syar’ie.
Janganlah bersedih. Kalian diciptakan memang fitrahnya begitu. Bahkan takkan terkurang walau sedikit kasih sayang Allah SWT pada kalian. Allah SWT Maha Mengetahui, kerana DIA yang menciptakan kita semua. DIA Maha Adil.
Banyak ibadah lain yang boleh dilakukan selain bersolat dan membaca al-Quran. Pernah dalam sebuah hadis, Saidatina Aisyah r.anha bertanya pada Rasulullah SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan Lailatul Qadar apakah yang patut aku berdoa?
Maka kata Nabi SAW: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’.
Ini bermakna, kaum hawa yang berhaid boleh memperbanyakkan baca doa di malam itu. Digalakkan juga berzikir. Zikirlah dengan khusyuk.
Ibnu Abi Dunia meriwayatkan bahawa Az-Zuhrie berkata:
تسبيحة في رمضان أفضل من ألف تسبيحة في غيره
“Sekali bertasbih dalam bulan ramadan lebih baik dari seribu tasbih di waktu yang lain.”
Bangunlah awal. Kejutkan ahli keluargamu untuk beribadah. Kemudian kalian boleh terus sediakan juadah untuk sahur pada mereka. Niatkan, “Ya Allah, aku sediakan hidangan ini keranamu. Kerana ingin mendapat pahala ibadah.”
Bila keesokan harinya, sediakan pula juadah berbuka buat mereka. Menyediakan hidangan buat mereka berpuasa, MasyaAllah Tabarakallah pahalanya juga besar saudari-saudari sekalian.
Sebuah hadis menyebutkan:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” [Hadis Riwayat Al-Tirmizi no. 807]
Imam Izzuddin al-Izz bin Abd al-Salam menjelaskan tentang fadilat memberi makan kepada orang yang berpuasa:
“Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun”.
[Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18)]
Ini juga berdasarkan firman Allah SWT:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
“Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.”
[Surah Al-An’am: 160]
Ada. Kalian boleh perbanyakkan bersedekah. Sebagaimana yang kita maklum, amalan sedekah di dalam bulan Ramadan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah SWT.
Banyak cara sedekah yang boleh dilakukan.
Memberikan makanan kepada jiran, bersedekah barang keperluan, menyebarkan nasihat dan kalimah-kalimah yang baik di media sosial dan bermacam cara lagi. Senyum pun boleh. Tapi janganlah tersalah senyum pula. Nanti ada pula yang angau. Naya.
Kalian juga boleh saja mendengar bacaan al-Quran. Mendengar juga beroleh pahala Insya-Allah. Jangan pula bangun malam semata-mata untuk layan movie, tengok drama, dengar lagu lagha dan sebagainya. Rugilah. Dibuatnya kena malam Lailatul Qadar, sudah terlepas.
Selain itu, kalian juga boleh perbanyakkan istighfar, berselawat dan membaca buku agama serta membelek tafsir al-Quran.
Allah SWT sukakan orang yang beristighfar di waktu sahur. Firman Allah SWT:
وبالأسحَارِ هُم يَستَغفِرُون
“Mereka sentiasa beristighfar waktu sahur.”
[Surah az-Zariyat: 18]
Insya-Allah, semuanya dikira amal ibadah jika kita ikhlas Lillahhi Ta’ala. Semoga Allah SWT menerima amalan kita, dan mendapat juga kelebihan hebat Lailatul Qadar itu. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Bantu share kepada rakan-rakan muslimah yang lainnya ya. Moga perkongsian ini juga dikira amal ibadah buat kita semua.
Kredit: Ustaz Farid Rashidi https://www.facebook.com/faridhjrashidi/posts/10222678126723982