Sekali pun sibuk main handphone, janganlah sampai anak jadi mangsa kena marah-marah dan terabai. Ini satu penyakit orang sekarang, bukan kat rumah sahaja diumpankan si kecil gajet, masa nak makan pun sama.
Ya, faham… ada mak ayah rasa cara itu paling mudah nak diamkan anak daripada terus berlari-lari. Tetapi kalau dah macam situasi Puan Nurul Kasmadillawati Zakaria kongsikan ini, agak-agak siap yang bersalah. Mak ayah atau anak?
Handphone vs anak. Handphone lebih penting. Layan anak macam pengemis.
Benda ni jadi jumaat malam hari tu. Dah banyak hari tapi acik asyik dok teringat je. Aksi meja sebelah. “ Tengok apa? Dari tadi tak lepas pandang? “ Tanya encik hensem kat acik.
Sebenarnya dari awal sampai, duduk kat meja, acik dah tertarik tengok meja sebelah ni. Sepasang suami isteri. 2 orang anak perempuan, dalam lingkungan 1 & 4 tahun. Yang besar duduk sebelah ayah, yang kecik sebelah emaknya.
Dari awal acik sampai, handphone macam kena gam kat tangan mak ayahnya. Si kakak buat hal sendiri tengok keliling, tengok mak ayah yang tak angkat muka langsung daripada pandang handphone. Si kakak bercakap-cakap minta perhatian, tak dilayan. Tiba-tiba, gedegang. Si kakak dah jatuh kerusi, kasut basah masuk dalam longkang cetek laluan air.
Kemain kuat suara si ayah marahkan si kakak. Kenapa tak reti nak duduk diam? Orang lain duduk atas kerusi dia berdiri sebab tu jatuh. Acik tengok muka emaknya, mencuka. Si ayah angkat kerusi semula, anak dibiarkan bangun sendiri. Sikit pun tak tanya anak tu ok ke tak. Anak 4 tahun kot, jatuh. Tak risau langsung ke? Dua-dua mengadap handphone semula. Bila makanan sampai, si emak bagi youtube kat si kecik suruh diam. Mak ayah makan, si kakak terkebil-kebil sorang-sorang. Boring sangat agaknya, dia turun kerusi.
Pergi kat ayah, tak layan. Pergi kat emak, nak tau apa mak dia buat? Mak dia jerit kuat “ Eh apa masalah dia ni? Pergi duduk sana lah “. Muka macam singa, tangan tolak anak yang baru datang dekat nak pegang lengan emaknya. Waktu ni memang acik dah rasa macam nak pergi tendang mak dia. Budak ni anak angkat ke apa? Kalau anak angkat sekali pun tak boleh ke layan macam manusia? Pelayan kat food court pun dah start pandang-pandang. Bisik-bisik sesama sendiri.
Akhirnya budak perempuan 4 tahun tu tawaf meja makan dorang. Entah berapa kali tawaf, mak ayah dia buat tak tau. Sesekali dia berhenti, macam nak datang ke meja kitaorang. Acik senyum, tapi dia takut. Bulat mata dia tengok je Balqis & Aina makan sama-sama. Acik suap Aina. Balqis suap acik. Encik hensem suap acik. Bulat mata dia. Serius waktu ni acik dah nak menangis tengok budak tu. Mak ayahnya dah siap makan. Mata melekat kat handphone semula. Bila nak balik, si mak turunkan adik dari highchair, si ayah bangun menonong.
Si anak 4 tahun pergi kat ayah agaknya minta dipimpin tapi tak dilayan. Bila pergi kat mak, maknya sibuk dengan siadik. Acik dengar budak 4 tahun tu bercakap dengan maknya tapi tak dilayan. Akhirnya si ayah jalan depan. Si mak ikut sambil pegang si adik. Budak 4 tahun tu? Jalan sendiri kena tinggal kat belakang. Waktu ni lah encik hensem tanya acik pandang apa?
Berkaca dah mata acik waktu ni.
“Anak angkat ke budak tu? Layan sampai macam tu sekali “
“Mak dia datang bulan kot” kata encik hensem.
“Dah tu, kalau emaknya datang bulan, ayahnya period sekali? “
“Mungkin ayah dia memang jenis tak guna, tak peduli pasal anak “ Simple jawapan encik hensem.
Diam. Tak lama lepas tu encik hensem bersuara lagi “ Orang biasanya keluar makan sedap-sedap sebab nak bagi anak makan best kan? Bukannya sebab kita sendiri yang nak makan sedap. Tapi nak bagi anak-anak “ Bingo. Ayat dia general, tak merujuk pada siapa-siapa tapi acik boleh tangkap maksudnya. Rupanya encik hensem pun perhatikan dorang suami isteri yang makan tak ingat dunia tapi sikit pun tak suap anak-anak.
Korang yang membaca mungkin tak boleh nak imagine macam mana desperate nya anak kecik umur 4 tahun tu nak tarik perhatian mak ayah dia. Demi Allah, ni first time acik tengok depan mata sendiri. Dah macam pengemis minta sedekah. Kena tolak. Kena herdik. Dibuat macam takde perasaan.
Mak ayah, tolonglah. Handphone tu sila letak ke tepi. Seharian pergi kerja tinggal anak dengan orang lain, lewat petang baru anak dapat tengok muka mak ayah. Anak-anak dahagakan kasih sayang. Anak-anak nak kan perhatian. Kenapa pilih untuk berhuha kat facebook, whatsapp group sedangkan depan mata anak sendiri diabaikan?
Orang kita ni sikit-sikit sebut pasal anak derhaka, kewajipan anak kepada ibu bapa. Tapi terlupa yang ibu bapa pun ada dosa dengan anak-anak. Peringatan untuk kita bersama.