Sekali pun sibuk main handphone, janganlah sampai anak jadi mangsa kena marah-marah dan terabai. Ini satu penyakit orang sekarang, bukan kat rumah sahaja diumpankan si kecil gajet, masa nak makan pun sama.
Ya, faham… ada mak ayah rasa cara itu paling mudah nak diamkan anak daripada terus berlari-lari. Tetapi kalau dah macam situasi Puan Nurul Kasmadillawati Zakaria kongsikan ini, agak-agak siap yang bersalah. Mak ayah atau anak?
Kesan Main Handphone Depan Anak-anak
Handphone vs anak. Handphone lebih penting. Layan anak macam pengemis.
Benda ni jadi jumaat malam hari tu. Dah banyak hari tapi acik asyik dok teringat je. Aksi meja sebelah. “ Tengok apa? Dari tadi tak lepas pandang? “ Tanya encik hensem kat acik.
Sebenarnya dari awal sampai, duduk kat meja, acik dah tertarik tengok meja sebelah ni. Sepasang suami isteri. 2 orang anak perempuan, dalam lingkungan 1 & 4 tahun. Yang besar duduk sebelah ayah, yang kecik sebelah emaknya.
Dari awal acik sampai, handphone macam kena gam kat tangan mak ayahnya. Si kakak buat hal sendiri tengok keliling, tengok mak ayah yang tak angkat muka langsung daripada pandang handphone. Si kakak bercakap-cakap minta perhatian, tak dilayan. Tiba-tiba, gedegang. Si kakak dah jatuh kerusi, kasut basah masuk dalam longkang cetek laluan air.
Ads
Akhirnya Anak Kena Marah
Kemain kuat suara si ayah marahkan si kakak. Kenapa tak reti nak duduk diam? Orang lain duduk atas kerusi dia berdiri sebab tu jatuh. Acik tengok muka emaknya, mencuka. Si ayah angkat kerusi semula, anak dibiarkan bangun sendiri. Sikit pun tak tanya anak tu ok ke tak. Anak 4 tahun kot, jatuh. Tak risau langsung ke? Dua-dua mengadap handphone semula. Bila makanan sampai, si emak bagi youtube kat si kecik suruh diam. Mak ayah makan, si kakak terkebil-kebil sorang-sorang. Boring sangat agaknya, dia turun kerusi.
Pergi kat ayah, tak layan. Pergi kat emak, nak tau apa mak dia buat? Mak dia jerit kuat “ Eh apa masalah dia ni? Pergi duduk sana lah “. Muka macam singa, tangan tolak anak yang baru datang dekat nak pegang lengan emaknya. Waktu ni memang acik dah rasa macam nak pergi tendang mak dia. Budak ni anak angkat ke apa? Kalau anak angkat sekali pun tak boleh ke layan macam manusia? Pelayan kat food court pun dah start pandang-pandang. Bisik-bisik sesama sendiri.
Akhirnya budak perempuan 4 tahun tu tawaf meja makan dorang. Entah berapa kali tawaf, mak ayah dia buat tak tau. Sesekali dia berhenti, macam nak datang ke meja kitaorang. Acik senyum, tapi dia takut. Bulat mata dia tengok je Balqis & Aina makan sama-sama. Acik suap Aina. Balqis suap acik. Encik hensem suap acik. Bulat mata dia. Serius waktu ni acik dah nak menangis tengok budak tu. Mak ayahnya dah siap makan. Mata melekat kat handphone semula. Bila nak balik, si mak turunkan adik dari highchair, si ayah bangun menonong.
Si anak 4 tahun pergi kat ayah agaknya minta dipimpin tapi tak dilayan. Bila pergi kat mak, maknya sibuk dengan siadik. Acik dengar budak 4 tahun tu bercakap dengan maknya tapi tak dilayan. Akhirnya si ayah jalan depan. Si mak ikut sambil pegang si adik. Budak 4 tahun tu? Jalan sendiri kena tinggal kat belakang. Waktu ni lah encik hensem tanya acik pandang apa?
Ads
Berkaca dah mata acik waktu ni.
“Anak angkat ke budak tu? Layan sampai macam tu sekali “
“Mak dia datang bulan kot” kata encik hensem.
Ads
“Dah tu, kalau emaknya datang bulan, ayahnya period sekali? “
“Mungkin ayah dia memang jenis tak guna, tak peduli pasal anak “ Simple jawapan encik hensem.
Diam. Tak lama lepas tu encik hensem bersuara lagi “ Orang biasanya keluar makan sedap-sedap sebab nak bagi anak makan best kan? Bukannya sebab kita sendiri yang nak makan sedap. Tapi nak bagi anak-anak “ Bingo. Ayat dia general, tak merujuk pada siapa-siapa tapi acik boleh tangkap maksudnya. Rupanya encik hensem pun perhatikan dorang suami isteri yang makan tak ingat dunia tapi sikit pun tak suap anak-anak.
Korang yang membaca mungkin tak boleh nak imagine macam mana desperate nya anak kecik umur 4 tahun tu nak tarik perhatian mak ayah dia. Demi Allah, ni first time acik tengok depan mata sendiri. Dah macam pengemis minta sedekah. Kena tolak. Kena herdik. Dibuat macam takde perasaan.
Berubahlah, Letak Tepi Kejap
Mak ayah, tolonglah. Handphone tu sila letak ke tepi. Seharian pergi kerja tinggal anak dengan orang lain, lewat petang baru anak dapat tengok muka mak ayah. Anak-anak dahagakan kasih sayang. Anak-anak nak kan perhatian. Kenapa pilih untuk berhuha kat facebook, whatsapp group sedangkan depan mata anak sendiri diabaikan?
Orang kita ni sikit-sikit sebut pasal anak derhaka, kewajipan anak kepada ibu bapa. Tapi terlupa yang ibu bapa pun ada dosa dengan anak-anak. Peringatan untuk kita bersama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kala petang, isteri mula tak menang tangan kat dapur, sibuk memasak untuk hidangan berbuka puasa nanti. Pagi-pagi tadi, sibuk dengan urusan harian lain, basuh baju, jemur baju, sapu sampah dan sebagainya. Itu belum lagi kepala dok fikir menu apa untuk berbuka nanti.
Itulah isteri dan ibu pada anak-anak. Sentiasa inginkan yang terbaik untuk keluarga. Bagaimana dengan suami? Hanya rileks depan televisyen dan kejap-kejap dok tengok handphone. Ini belum lagi, main games dan tidur. Rasanya inilah ‘kesibukan’ suami pula.
Untungnya mak bila anak perempuan rajin tolong. Itu kalau yang rajin dan ringan tulang membantu. Jadi, para suami jangan fikir, kerja-kerja rumah ini, semuanya di tangan isteri dan selebihya di bantu oleh anak perempuan. Suami dan anak-anak lelaki pula menjadi ‘raja’ dalam rumah.
Ini antara perkongsian oleh Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie & Konsultan Undang-undang Islam yang beramal di Negeri Kedah, Penang, Perlis dan Perak tentang perkara ini.
Kerja Dapur Tanggungjawab Wanita
Di dalam Islam dan rumah tangga, tanggungjawab di dalam rumah, tak kira di dapur ke, di mana sudut pun dalam rumah sebenarnya menjadi tanggungjawab lelaki. Cuma, sebaiknya perlu ada kerjasama sahaja. Jika sekiranya isteri, tidak mahu melakukan kerja basuh pinggan atau memasak, ia tidak menjadi satu kesalahan. Kerana itu sememangnya menjadi tanggungjawab SUAMI.
Jika tanggungjawab ini dilakukan juga oleh isteri, ia dikira sebagai sedekah atau kebajikan seorang isteri di dalam rumah tangga. Sebab itu di dalam kes Harta Sepencarian misalnya, seorang isteri boleh tuntut harta yang dibeli oleh suaminya walaupun dia tidak mengeluarkan wang untuk membeli harta tersebut. Sumbangannya di dalam membasuh pinggan dan kerja-kerja dapur itu boleh menjadi hujah bahawa dia LAYAK untuk mendapat harta tersebut.
Kerja Dapur Ini Kerja ANAK Perempuan?
Tidak benar. Di dalam Islam tidak dinyatakan kerja dapur ini kerja anak perempuan. Bahkan di dalam rumah tangga, tanggungjawab yang paling besar diletakkan kepada bapa dan anak-anak lelaki. Mereka bukan sahaja bertindak sebagai WALI, tapi bapa dan anak lelaki sepatutnya memainkan peranan sebagai pencari nafkah dan pengurus rumah tangga. Jika, si bapa yang sepatutnya melakukan semua perkara ini, dia perlu MENGGAJIKAN seorang PEMBANTU RUMAH buat isteri dan anak-anaknya.
Cuma, jika nak mendidik anak perempuan untuk pandai masak misalnya, itu tidak menjadi satu kesalahan. Yang salah bila kita menganggap anak perempuan atau isteri kita sebagai KULI di dapur dan rumah tangga.
Aktiviti Terbaik Keluarga
Antara perkara terbaik boleh dilakukan oleh bersama keluarga sepanjang Ramadan adalah:
Masak Bersama-sama
Apa salahnya kita sepakat untuk masak bersama. Mungkin ketika sahur atau pun mungkin ketika nak berbuka puasa. Kalau pun tidak masak, sekurang-kurangnya bantu untuk menyiapkan makan minum yang dibeli. Nikmat sebenarnya bila dapat makan masakan sendiri. Wang pun jimat. Momen berharga dengan satu keluarga juga tidak akan ternilai. Masakan pun boleh siap dengan cepat. Ini tidak, bila anak perempuan dan ibunya di dapur, anak lelaki dan bapanya hanya bermain Facebook, game dan menunggu azan di hadapan TV sahaja. Buangkan tabiat tersebut.
Mengemas Rumah
Biasanya di bulan Ramadan, kita akan ada satu atau dua hari untuk kita mengemas rumah sebelum menjelang Aidilfitri. Yang biasa tengok, ibu dan anak-anak perempuan yang akan salin langsir dan mengemas rumah. Cuba biasakan pula, anak lelaki juga turut mengambil kerja yang sama. Bukan susah pun nak tukar langsir. Tambah-tambah sekarang kebanyakan langsir hanya perlu masukkan lubang dalam satu kayu panjang sahaja. Mencantikkan rumah bukan tugas anak perempuan sahaja yer. Kalau mungkin citarasa lelaki dalam mencantikkan rumah ini kurang, biarkan anak lelaki mengambil tugas mop lantai, vakum karpet dan sebagainya. Boleh?
Solat Jemaah Bersama
Sangat nikmat kalau dapat bersolat jemaah bersama. Si bapa menjadi Imam, anak lelaki pula menjadi bilal dan yang lain menjadi makmum. Tak semua orang akan dapat nikmat ini. Tapi sayang kalau nikmat ini tidak diambil dengan sebaiknya. Kadang-kadang dalam satu rumah, ibu solat sendiri, bapa sendiri di bilik lain. Anak-anak pula buat hal masing-masing. Rugi. Sangat rugi bila ada peluang berjemaah ini tidak dilakukan di bulan Ramadan, tambah-tambah ketika kita dalam PKP ini.
Bertadarus Al-Quran Bersama
Tadarus Al-Quran adalah antara anjuran terbaik dalam bulan Ramadan. Lagi ramai ahli keluarga join bersama tadarus ini, lagi seronok. Kita boleh mendengar, membaca, belajar dan khatam Quran bersama. Berbanding seorang diri, nikmat bertadarus sesama ahli keluarga sangat perlu dihargai.
Membuat Kuih Raya Bersama
Jika kita sudah berada di ambang akhir Ramadan, pastinya kita akan membuat kuih raya sempenan Aidilfitri kan? Pada kebiasaannya kuih raya akan dibuat oleh ibu dan anak perempuan. Lagi seronok kalau sebenarnya bapa dan anak lelaki boleh mengambil peluang juga untuk membuat kuih raya. Ataupun mungkin boleh agihkan tugas, bapa dan anak lelaki sediakan lemang dan dodol, ibu dan anak perempuan pula siapkan kuih semperit. Ha, kan masing-masing ada tugasan.
Amanah dan tanggungjawab lelaki ini berat sehinggalah dia yang sepatutnya berada di dapur, bukan di hadapan TV menunggu makanan terhidang seperti raja. Walaupun lelaki banyak mendapat hak di dunia, tetapi lelaki yang paling susah untuk masuk di akhirat kerana akan banyak disoal Allah tentang tanggungjawabnya.
Amanah Lelaki Sangat Berat Pada Mereka Yang Memahaminya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Aktiviti melihat dan menyebut warna pada baju ini cukup mengujakan. Malah penulis sendiri mencuba pada anak-anak dan jawapan mereka buat rasa hati makin teruja. Setiap anak jawapannya berbeza, ada anak yang nampak warna gold dan putih, ada pula anak yang nampak ungu (blue) dan hitam.
Jangan marah atau stresskan anak bila jawapan mereka lain-lain. Kalau nak tahu warna pada baju yang anak-anak kita nampak itulah sebenarnya penentuan potensi diri mereka. Sama ada mereka cenderung menggunakan otak kiri atau cenderung otak kanan.
Menarikkan perkongsian daripada Puan Sue Abdul Wahab ni. Keterangan selanjutnya mak-mak boleh baca di bawah. Jangan skip-skip tau, sebab infonya akan buat mak-mak pun teruja sama.
Tengok Warna Baju, Jawab Dan Lihatlah Potensi Anak-anak
Peluang untuk kita tahu anak kita lebih dominan ke arah otak kanan atau kiri.
OTAK KIRI : cenderung kepada logikal, math, science, bahasa OTAK KANAN : cenderung kepada emotional, creativity, imagination
Hasil google.. kalau anda nampak dress ni WHITE AND GOLD anda lebih dominan kepada penggunaan otak KIRI.
Manakala kalau nampak ia berwarna BLUE AND BLACK ia lebih dominan kepada otak KANAN.
Interesting sangat bagi saya. Sebab saya buat ujian pada anak-anak saya… Iman-Rayyan-Haqeem-Zara.
Haqeem dengan zara nampak White and Gold manakala Iman dan Rayyan nampak Blue and Black.
Bila Tahu Potensi, Lihat Pula Cara Anak Buat Kerja Rumah
So berbalik kepada ciri-ciri dominan di atas. Saya boleh tahu potensi anak saya lebih kepada bidang apa. Dan jelas kalau lihat dalam kerja rumah mereka, Haqeem dan zara seorang yang logik. Dia akan warna ikut pada objek tu sendiri.. pokok hijau.. air biru… tapi iman dan Rayyan llain dia creative sikit…(boleh tengok semua lukisan mereka).
Kalau orang tak paham mungkin cakap hentam saja kaler apa. But what ever it is… ni salah satu cara nak kenal pasti potensi dan kecenderungan anak anak.
Perbezaan inilah yang terlihat oleh mata setiap orang.
Selain dari dress ni… boleh juga google pic yang lain.
Apapun kita yang corakkan anak-anak kita betul tak?
Bila sudah bercerai, bekas suami, isteri jangan cerita keburukan pasangan. Perceraian adalah satu perkara yang sukar dalam kehidupan rumah tangga. Walaupun ia mungkin menjadi jalan penyelesaian terbaik bagi sesetengah pasangan, proses ini tetap memberi kesan mendalam kepada emosi, keluarga, dan kehidupan sosial mereka.
Bila Sudah Bercerai, Bekas Suami, Isteri Jangan Cerita Keburukan Pasangan
Salah satu perkara yang sering menjadi isu selepas perceraian ialah tindakan membuka aib atau kelemahan pasangan kepada umum, yang akhirnya boleh membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.
1. Hormati Privasi dan Maruah Masing-Masing
Apabila rumah tangga berakhir, sebaiknya kedua-dua bekas pasangan menjaga maruah dan privasi masing-masing. Membuka aib pasangan kepada umum, sama ada melalui media sosial, perbualan dengan rakan, atau ahli keluarga, bukan sahaja mencemarkan nama mereka, tetapi juga mencalarkan maruah diri sendiri. Tidak kira apa yang telah berlaku sepanjang perkahwinan, menghormati maruah bekas pasangan adalah tindakan matang yang boleh mengelakkan lebih banyak kesakitan.
2. Menjaga Kesejahteraan Emosi Anak-Anak
Jika pasangan tersebut mempunyai anak, mereka adalah yang paling terkesan apabila ibu bapa mereka terlibat dalam konflik selepas perceraian. Membuka aib bekas pasangan boleh menjejaskan perasaan dan pandangan anak-anak terhadap ibu bapa mereka.
Kanak-kanak perlu membesar dalam persekitaran yang positif, tanpa dibebani dengan masalah orang dewasa. Mengelakkan perbalahan terbuka membantu menjaga kesejahteraan emosi anak-anak, serta memberikan mereka ruang untuk terus menyayangi kedua-dua ibu bapa.
3. Membina Kehidupan Baru dengan Cara Positif
Selepas perceraian, masing-masing mempunyai peluang untuk memulakan kehidupan baru. Melupakan dan memaafkan adalah langkah penting untuk melangkah ke hadapan. Menyimpan dendam dan membalas dengan membuka aib pasangan hanya akan melambatkan proses penyembuhan emosi.
Tindakan ini juga boleh mempengaruhi hubungan sosial dan profesional, kerana orang di sekeliling mungkin melihatnya sebagai sikap tidak matang atau tidak bertanggungjawab.
4. Kesan Undang-Undang dan Sosial
Membuka aib bekas pasangan secara terbuka juga boleh membawa kesan dari sudut undang-undang, terutama jika melibatkan fitnah atau tuduhan palsu. Di negara ini, terdapat undang-undang yang melindungi individu daripada penyebaran maklumat palsu atau tidak tepat yang boleh mencemarkan reputasi mereka.
Selain itu, dari sudut sosial, tindakan tersebut boleh menyebabkan orang ramai hilang hormat terhadap individu yang terlibat, malah mungkin juga mengasingkan mereka dari komuniti.
5. Mengelakkan Perasaan Dendam dan Kebencian
Sikap membuka aib bekas pasangan selalunya berpunca daripada rasa dendam atau kebencian yang masih tersimpan. Bagaimanapun, perasaan ini hanya akan membawa lebih banyak tekanan kepada diri sendiri.
Belajarlah untuk melepaskan dan mengikhlaskan segala yang telah berlaku dapat memberikan kedamaian dalaman dan membolehkan kita meneruskan kehidupan dengan lebih tenang. Ingatlah bahawa kebahagiaan dan ketenangan hati lebih berharga daripada memenangi perbalahan.
Berikut kenyataan daripada bekas Menteri Agama, Datuk Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad al-Bakri yang pernah mengulas isu perceraian selebriti dan nasihat-nasihat yang amat baik untuk kita semua.
Melihat kepada fenomena yang tidak sihat berlaku dalam masyarakat tentang isu perceraian ini, kami tujukan nasihat ini kepada pihak-pihak berikut:
1. Nasihat Kepada Pasangan Suami dan Isteri
Islam mengajar umatnya agar memelihara hubungan perkahwinan dengan cara yang baik dan pembubaran juga dengan cara yang baik. Ini jelas seperti mana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah, “Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma’ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”
Imam al-Maraghi menyebut dalam Tafsir-nya (1/488) terhadap maksud “menceraikan dengan cara yang baik”:
“Sewajarnya si suami tidak menceritakan keburukan dan kehormatan diri bekas isterinya kepada orang lain, sehingga orang lain menjauhi (bekas isteri), jika dia mahu berkahwin lagi dengan lelaki lain. Sikap menceritakan keburukan bekas isteri merupakan satu kesilapan besar dalam ikatan yang pernah berlaku di antara mereka berdua.
Penentuan agama secara bertahap dalam masalah talak ini menunjukkan kasih sayang Islam menangani persoalan kemasyarakatan yang memberi hasil kebaikan keluarga dan pendidikan anak-anak, membimbing fikiran dan kehidupan yang stabil. Oleh itu, dapat mewujudkan kerjasama ibu bapa dalam membetulkan kesilapan dan memaklumkan kepada mereka tentang perhatian orang tua sebaik-baiknya, setiap ibu bapa melaksanakan tugas sesuai pada tempatnya.”
Dalam konteks hari ini, cara ihsan itu termasuklah dengan mendaftarkan perkahwinan dan perceraian mengikut saluran yang sah lagi menjaga maslahat dan menolak mudarat pasangan khususnya pihak wanita. Ini termasuklah proses dokumentasi.
Ini kerana kaum wanita perlu memerhatikan waktu iddah, tidak boleh menerima lamaran dan diharamkan untuk berkahwin dengan orang lain dalam tempoh tersebut. Kegagalan pasangan khususnya bekas suami untuk mendaftarkan perceraian dan mendapatkan dokumen pengesahan mempunyai risiko mudarat bagi pihak bekas isteri jika dia ingin berkahwin dengan orang lain selepas iddah tamat.
2. Nasihat Keluarga Pasangan
Kepada keluarga pihak-pihak yang berselisih, seperti mertua, saudara lelaki dan perempuan, kami nasihatkan seperti berikut:-
“Pensyariatan hukum talaq dan natijahnya menurut Islam merupakan lambang kemuliaan syariat Islam. Ia juga merupakan dalil yang unggul, bahawa peraturan syariat Islam amat bersesuaian dengan fitrah manusia dan keperluan semula jadinya.
Hakikat ini jelas apabila kelihatan umat-umat yang lain mundur kembali, iaitu daripada pegangan mereka yang mengharamkan talaq dan menganggap perkahwinan sebagai penjara yang kekal abadi, yang dihuni oleh suami isteri sama ada mereka suka atau tidak.
Hal ini selepas mereka melihat pegangan tersebut akan menimbulkan natijah yang amat buruk dan jenayah yang amat berbahaya. Mereka telah sedar bahawa hubungan suami isteri tidak mungkin berlaku dengan paksaan. Jika dipaksa, akan timbul kecelakaan kepada seluruh keluarga, bahkan ia umpama gunung berapi yang membawa kebinasaan, pembunuhan dan kerosakkan.
Syariat Islam amat mementingkan usaha mewujudkan persefahaman antara suami isteri berkasih sayang dan hidup bersama yang berkekalan.
Walaupun begitu, usaha ini tidak sekadar mengikat hasad kedua-dua suami isteri itu semata-mata, bahkan ia dilakukan dengan peringatan dan panduan ke arah mewujudkan pelbagai jaminan yang positif bagi menyuburkan kasih sayang dan persefahaman antara mereka.
Dengan cara ini, menjauhkan mereka daripada unsur perselisihan dan kebencian. Antara faktor terpenting yang dianjurkan oleh Islam adalah dengan wujudnya pegangan agama yang sahih di kalangan suami isteri, melaksanakan semua kewajipan yang ditentukan serta sentiasa berakhlak mulia, sebagaimana yang diaturkan oleh syariat Allah SWT.
Inilah faktor yang memelihara rumahtangga daripada keruntuhan dan juga mewujudkan syariat sebagai undang-undang yang dirujuk jika perlu, iaitu jika pasangan tersebut cuai daripada melaksanakan adab-adab yang telah disyariatkan oleh Allah bagi memelihara kehidupan rumahtangga dan perasaan cinta dan kasih sayang antara mereka.
Berdasarkan keadaan rumahtangga dan keluarga yang harmoni dan berpegang teguh kepada hukum-hukum Islam dan adab-adabnya, didapati kes-kes penceraian hampir tidak berlaku.
Apabila yang dilihat atau yang didengar ialah kebanyakan penceraian yang berlaku dalam keluarga yang bebas daripada ikatan Islam dan terkeluar daripada peraturan-peraturan dan adab-adabnya.”
Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (edisi terjemahan) (2/10-11)
Justeru, janganlah keluarga mana-mana pihak membuat kenyataan di media sosial kerana menyerahkan urusan ini kepada mereka yang tidak ada kuasa dan autoriti untuk menyelesaikan masalah hanyalah satu dosa dan kezaliman, membuka aib dan tidak menyelesaikan masalah. Sebaiknya, berikanlah bantuan perlindungan dan kos-kos terbabit untuk penyelesaian kes yang lebih cermat dan berkesan.
3. Nasihat kepada para wartawan
Kami susunkan nasihat kepada rakan-rakan wartawan yang membuat liputan isu ini, termasulah penulis-penulis akhbar, blog dan lain-lain, untuk memerhatikan perkara-perkara berikut:
• Elakkan mengapi-api dan mensensasikan suasana kerana ini merupakan keaiban seorang Muslim.
Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW pernah bersabda di atas mimbar:
يا مَعْشَرَ من قد أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ، ولم يُفْضِ الْإِيمَانُ إلى قَلْبِهِ، لَا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ، ولا تُعَيِّرُوهُمْ، ولا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فإنه من تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ الله عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ الله عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ في جَوْفِ رَحْلِهِ
Maksudnya: “Wahai para pemuda yang telah Islam dengan lidahnya, tetapi iman belum lagi masuk dalam hatinya. Janganlah kalian menyakiti orang-orang Islam, mengejek dan menghina mereka, mengintip-ngintip keaiban mereka, kerana Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.”
Riwayat Muslim (2032)
• Berpeganglah dengan fiqh al-tabayyun untuk mendapatkan berita yang sahih daripada badan berautoriti yakni mahkamah.
• Elakkan menulis sangkaan-sangkaan yang tidak pasti.
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Surah al-Hujurat: 49)
• Elakkan menyubur kebencian
4. Nasihat kepada masyarakat awam
Kepada masyarakat awam, kami nasihatkan sama seperti nasihat-nasihat di atas, dengan tambahan bahawa elakkan diri daripada memberi komen di media sosial yang tidak berdasarkan ilmu sebaliknya sangkaan semata-mata. Ini adalah sebahagian daripada kesempurnaan Islam. Renungilah nas-nas di berikut;
Maksudnya: “Antara kemurniaan Islam seseorang adalah apabila dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.”
Riwayat al-Tirmidzi (2317).
Apabila seseorang Muslim menyedari kewajipan dan tanggungjawabnya maka dia akan sibuk dengan dirinya dan memberi perhatian kepada perkara yang akan memberikan manfaat di dunia dan di akhirat. Dia akan menjauhi perkara yang sia-sia, menjauhkan dirinya daripada perkara keji dan memberi perhatian kepada perkara yang berkaita dengannya. Rujuk al-Kafi Syarah Hadis 40 (hal. 132)
Daripada Hudzaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَتَّاتٌ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang mengadu-domba.” Riwayat al-Bukhari (6056)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan golongan penipu. Pendusta menjadi orang terpercaya, manakala orang yang jujur pula didustai. Pengkhianat diberikan amanah manakala orang yang amanah pula dikhianati, dan Ruwaibidhah pula dibenarkan untuk bercakap.” Para sahabat bertanya, “Siapakah Ruwaibidhah itu.” Nabi menjawab: “Individu yang lemah lagi bodoh tetapi bercakap urusan umum.” Riwayat Ibn Majah (4036)
Perceraian sememangnya satu cabaran besar dalam kehidupan. Namun, sebagai individu yang matang, adalah penting untuk menjaga maruah dan privasi kedua-dua belah pihak. Membuka aib bekas pasangan hanya akan merumitkan keadaan dan memberikan kesan negatif kepada semua pihak, termasuk anak-anak dan diri sendiri.
Sebaliknya, berusahalah untuk membina kehidupan baru dengan cara yang positif, tanpa perlu mengaibkan sesiapa. Dalam jangka masa panjang, sikap saling menghormati dan memaafkan akan memberikan kebaikan kepada semua.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...