Sesekali layan gajet atas urusan bisnes tak salah, tetapi janganlah sampai melalaikan sehingga anak-anak terabai. Lagi teruk ada mak ayah yang kononnya nak bahagiakan hati anak-anak tetapi asyik berkepit dengan gajet 24 jam. Betul ke cara kita tu?
Begitulah sedikit perkongsian daripada saudara Ahmad Hisyam Sabrani, kalau boleh sibuk kita biar berpada.
Hadap Gajet Sampai Melalaikan
Kau mengharapkan anak-anak besar esok jadi anak soleh, huffaz quran, orang berjaya, taat mak bapak., pemimpin negara… Tapi hari-hari dalam hidup kau mengadap handphone lebih lama daripada masa kau mengadap anak-anak. Kau senyum depan gajet lebih banyak daripada kau senyum depan anak.
Pergi kedai makan sama-sama dengan anak, tapi kau mengadap Telegram sepanjang waktu. Anak yang duduk berhadapan dengan kau terpinga-pinga tak tau nak buat apa sementara tunggu makanan yang dipesan sampai. Kalau dia meragam sikit, kau jerkah dia depan orang ramai.
Ads
Anak kau demam, kau bawa pergi klinik. Sementara tunggu no.giliran naik, kau layan Insta sampai terabai anak yang sedang menahan sakit. Terkapai-kapai anak tu takda kawan nak bersembang. Paling kuat pun kau bagi dia tengok Youtube atau main game dalam handphone. Janji kau tak terganggu.
Perangai Mak Ayah Zaman Sekarang
Hari sukan sekolah, anak kau semangat berlari, melompat, bersaing dengan kawan-kawan. Dapat pingat dan piala nak tunjuk kat mak ayah dia. Tapi anak tengah berpanas, berentap di padang, kau berteduh bawah khemah layan Whatsapp sambil tersenyum sorang-sorang.
Bawa anak pergi taman permainan, anak-anak kau lepaskan main sendirian. Main papan gelongsor, jongkang-jongket, buaian… Kau di mana? Duduk atas bangku sambil kemas kini status Facebook, “Petang ni seronok bawa anak-anak bermain di taman mainan” dan tunggu komen rakan-rakan. Anak-anak menunggu kau turut serta, tapi sayangnya hajat mereka tak kesampaian.
Ads
Kau letakkan harapan pada masa depan anak kau setinggi gunung, nak dia jadi anak soleh, insan berjaya dunia akhirat, tapi nilai gajet kau letak jauh lebih tinggi. Komunikasi dengan anakpun melalui “perantaraan” Youtube dan Ipad. Kalau takda gajet, kau pun buntu macam mana nak melayan karenah anak dan berkomunikasi.
Hakikat yang pahit, tapi senario harian yang boleh diperhatikan di sekeliling kita. Sekarang anak masih kecil mungkin kau tak nampak kesannya. Tapi setelah 20 tahun akan datang baru kau nak sedar, setelah kau nampak kesannya depan mata, ketika itu nak patah balik pun dah tak dapat. Jadi sementara masih punya masa dan kesempatan, gunakan peluang sebaiknya.
Kau adalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak kau…
Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta pertanggungjawabannya atas kepemimpinannya. (HR al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah lafaz al-Bukhari)
Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap pemimpin tentang apa-apa yang dipimpinnya. Adakah ia pelihara atau ia sia-siakan, hingga seseorang ditanya tentang keluarganya. (HR an-Nasaa’ie dan Ibn Hibban, daripada Anas bin Malik. Ibnu Hajar mensahihkannya)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selama ini anak sulung lahir sampailah sekolah rendah, mak-mak dapat menatap wajahnya hampir setiap hari. Berpisah pun ketika memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Menjelang petang, anak dah pulang ke rumah.
Apabila ada panggilan kemasukan ke asrama, bukan saja anak suling yang berdebar. Mak pun bergetar juga rasa hati itu. Tapi demi sebuah kejayaan, mak perlu beri sokongan pada anak sulung agar kuat dan kental.
Sayu sekali membaca catatan Herda Johan, founder Pau Abah ini. Bila anak sulungnya perlu berjauhan darinya buat pertama kali
Abang Belajar Agama Tak Boleh Menangis, Abang Kena Kuat
Jangan nangis. Belajar agama tak boleh nangis!
Sengaja akak mengeraskan suara. Bukan niat akak. Tapi itu saja yang mampu akak luahkan ketika itu.
Dia anak sulung.
Dia abang kepada 4 orang adik dan bakal menjaga 5 adik selepas ini.
Dia lelaki!
(Dia bakal suami!)
(Dia bakal ayah!)
(Dia bakal imam dan ketua keluarga!)
Akak Hanya Peluk Sekejap
Cium sekejap. Akak terus lepaskan. Malah ketika dia menangis teresak-esak, akak biarkan saja dia melayan perasaannya sambil mulut akak masih mengomel.
“Abang belajar agama tak boleh menangis. Abang kena kuat! Dah jangan nangis!”
Air mata akak mengalir. Akak cuba tahan. Tapi masih juga mengalir.
Suami akak juga kalah. Air mata seorang ayah untuk anak lelaki sulongnya akhirnya jatuh juga.
Tapi sebenarnya jauh di sudut hati, akak tahu Aiman terasa. Sudah banyak kali dia berkecil hati dengan cara akak.
(Maafkan mama. Itu tugas mama.)
Kalau boleh, Akak tak mahu lepaskan dia seorang diri. Mahu sentiasa berada di sisi dia. Mahu lihat setiap pergerakannya. Tapi akak terpaksa lepaskan dia buat sendiri di usianya masih muda.
Akak Kena Bersedia
Sebagai ibu, akak kena bersedia. Saat dia lahir (begitu juga dengan adik-adiknya), tiba masa pengorbanan ini yang perlu akak buat.
Sejak dia berumur 9 tahun, Akak sudah memaksa dia ke sekolah agama. Dari 7 pagi hingga ke 5 petang dia di sekolah.
Memikul beg yang penuh dengan buku akademik dan agama. Mana nak menjawab soalan matematik. Nak memahami subjek bahasa arab pula.
Terbongkok-bongkok dia berjalan.
Pada mulanya dia mengeluh. Penat!
Akak buat tak peduli. Akak kata, murid lain macam tu juga. (Tapi hakikatnya akak tak sampai hati melihat dia kepenatan begitu).
“Ustazah, kalau dia nakal tak mahu dengar kata. Rotan dia”. Itulah pesanan akak pada ustazah yang mengajarnya dulu.
Sampai di rumah, dia keletihan. Sehinggalah umurnya 12 tahun dan habis sekolah. Khatam Al-Quran. Beberapa surah utama telah di hafal. Tajwidnya juga lulus. Solatnya juga terjaga. Akak lega.
(Terima kasih atas budi dan ajaran ustazah dan ustaz Seri Ad-Dinniah, Sg. Bakap)
Dia Amanah Allah
Kini, akak perlu teruskan. Melepaskan dia berjauhan dari akak demi menuntut ilmu agama.
Dia amanah dan pinjaman dari Allah buat akak dan suami. Tanggungjawab ini berat.
Satu masa, dia pasti jauh juga.
Tapi biarlah dia berjauhan dengan membawa agamanya bersama.
Kalau silap langkahnya, apa jawapan yang perlu akak berikan pada Allah di akhirat kelak.
Akak buta agama. Membaca Al-Quran pun tergagap-gagap. Solat pun terkial-kial. Entah betul atau tidak tajwidnya pun akak tak tahu. Apatah lagi dosa akak lebih seluas lautan, lebih setinggi gunung. Astaghfirullahalazim.
Pilihan akak cuma ini. Jauhkan dia dari akak yang ‘tidak tahu’ hendak mengajar dan dekatkan dia dengan ‘guru’ yang layak mengajar.
Cukuplah akak saja yang sudah lama lalai. Akak tidak mahu dia juga begitu.
Kalau dari mula akak tak paksa diri akak untuk memaksa dia mencintai Allah, Rasul dan agamanya, nanti bukan akak sahaja yang hanyut. Malah lebih malang, akak membawa dia hanyut bersama adik-adiknya.
Biarlah air mata ini sebagai permulaan dia memimpin dengan nama Allah untuk keluarganya kelak.
Selepas Hari Ketiga
Hari ini baru hari ke-3 dia meniti hidupnya di asrama. Jadual penuh memenuhi harinya.
Bangun sebelum subuh.
Di arahkan berjemaah setiap waktu. Mana lagi mahu belajar dan menghafal. Tidur tengah malam.
Mengurus hidup sendiri. Berhadapan dengan persekitaran yang baru dan sangat asing baginya.
Selama 3 hari ini akak menanti panggilan telefonnya. Naik saja nombor ‘public phone’ asramanya, akak terus angkat.
“Mama dengan adik-adik sihat ke?”
Akak menahan sebak. Lega akak mendengarnya.
“Sihat. Abang camana?”
“Ok je. Tadi solat pastu baca al-quran”.
Jatuh air mata akak mendengarnya.
“Kawan-kawan ok?”
“Ada yang ok ada yang tak.”
Nada suaranya rendah.
Akak diam seketika.
“Kenapa? Kawan-kawan tak best ke?”
“Tak lah. Yang tak ok tu macam Abang la. Rindu dengan family. Tak biasa……”
Kedengaran sebak di hujung suaranya.
Allah….
Bertabahlah duhai anakku.
Akak cuba mengawal suara sebak akak.
“Aiman kena kuat. Aiman kan abang. Kena jadi contoh pada adik-adik. Aiman belajar agama. Sabarlah ye. Nanti minggu depan dah start belajar dah macam biasa je. Lagipun mama papa akan jumpa Aiman selalu. Tak jauh pun kan”.
“……..ok…..”
Setelah perbualan habis, akak tak dapat menahan lagi.
Dalam hati akan terus berdoa semoga hatinya kuat dan cekal untuk meneruskan pengajiannya ini.
Akak terus menekup muka. Menangis teresak-esak hingga tak sedar terus tertidur.
Ujian Ini Cuma Sekecil Zarah
Ini baru permulaan.
Ujian akak ini sekecil zarah berbanding ibu-ibu yang lain. Allah hanya jauhkan pandangan mata dia dari akak untuk beberapa hari. Tak jauh pun. Itupun berat hati akak untuk menerimanya.
Entah bagaimana perjalanan kehidupan dia selepas ini, akak tidak tahu.
Tapi Akak percaya inilah pilihan dan jalan yang betul. ‘Memaksa’ dia menuntut ilmu agama dan mencintai tuhannya yang Esa lebih dari dirinya sendiri.
Akak bersyukur di izinkan Allah menjadi ibu . Diberikan kelebihan darjat yang tinggi di sisi Allah. Doa ibu kepadanya anaknya tiada tandingan.
Apabila kali pertama akak bergelar ibu, ia sudah sempurna. Cukup sempurna!
Bukan harta dan kesenangan dunia yang akak harapkan.
Cukuplah anak-anak ini menjadi kekuatan akak.
Doa akak berterusan untuk anak-anak akak tiada penghujungnya.
Post Ini Bukan Untuk Bangga Dan Menunjuk
Ibu mana yang tak mahu yang terbaik untuk anak-anaknya. Semua ibu punya doa dan harapan yang sama.
‘Post’ ini tiada tujuan untuk merasa bangga dan menunjuk-nunjuk. Tiada yang sempurna melainkan Allah. Ia hanya perkongsian hati seorang ibu terhadap anak yang dikandungnya.
Ia tidak boleh di pendam. Mahu disuarakan kerana ini nikmat dan rahmat Allah yang tiada nilainya. Alhamdulillah. Allahuakbar.
Sebagai ibu dan bapa, akak berdoa semoga Allah menguatkan kesabaran kita mendidik dan membesarkan anak-anak kita. Ujian kita berat.
Setiap Ujian Ada Rahmat
Kita tidak lengkap, tapi Allah dah jadikan kita ibu bapa yang sempurna dan cukup. Tugas kita ialah meneruskan amanah dari Allah ini untuk memimpin mereka ke jalan yang di redhai-Nya.
Di zaman sekarang yang penuh cabaran dunia. Dengan kehidupan kita siang malam ‘mengumpul harta’. Mana lagi nak mengurus kebajikan anak-anak. Hingga lupa mana yang lebih utama.
Dalam Al-Quran pun dah dinyatakan dengan jelas, anak dan harta ujian terbesar buat kita hamba-Nya.
Dan setiap ujian ada rahmat dan nikmat Allah tersembunyi. Keputusan di tangan kita untuk memilih jalan mana yang baik dan buruk.
Jika kita pilih jalan yang baik, hasilnya insyaAllah baik. Jika jalan yang buruk kita pilih, maka makin leka dan terpesonglah hidup kita.
Semoga Allah memimpin hati kita sebagai ibu bapa dengan hidayahNya.
Nama adik Hana Aishah, Syukor Khamis dan Umar Wafi menjadi perhatian ramai gara-gara memiliki kebolehan dan keunikan mereka yang istimewa.
Tidak dinafikan setiap anak-anak memiliki keistimewaan tersendiri. Ia menjadi tanggungjawab mak ayah dalam mengenal pasti jenis kecerdasan yang dimiliki oleh anak-anak sewaktu tempoh pembesaran mereka. Ini kerana ia dapat ‘menggilap’ kelebihan tersebut untuk menjadikan mereka lebih baik dan cemerlang.
Mungkin ada anak yang hebat dalam bidang sukan, petah dalam bercakap dan interaksi, pandai bermain alat muzik, mahir dalam kira-kira dan sebagainya. Ia sebenarnya merupakan antara 9 jenis Multiple Intelligence mengikut teori yang dicadangkan oleh Psikologi, Howard Gardner yang mak ayah perlu ambil tahu.
Jemput baca perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy mengenai Multiple Intelligence ini.
Tiga orang kanak-kanak yang menghiasi media cetak, media elektronik dan media sosial seminggu dua ini menarik perhatian saya. Saya pernah berkongsi tentang Teori Kecerdasan Pelbagai atau Multiple Intelligence yang dicadangkan oleh Howard Gardner. Beliau telah mengenalpasti 9 jenis kecerdasan atau intelligence.
Ketiga-tiga kanak-kanak ini memiliki kecerdasan yang berbeza-beza. Perbezaan inilah yang menjadikan mereka individu yang unik tanpa perlu dibanding-bandingkan.
1) Hana Aishah
Kredit Foto: RTM
Adik HANA AISHAH atau nama glamernya Aishah London telah menarik perhatian ramai dengan kepetahannya berbahasa Inggeris. Pertama kali menonton wawancara bersama adik Aishah, saya membuat andaian bahawa dia lahir dan pernah menetap dan bersekolah di luar negara. Rupa-rupanya saya silap. Dia belajar Bahasa Inggeris dengan sendirinya atau ‘self taught’ dengan menonton video.
Adalanya kanak-kanak hanya boleh mengulangi (parrot) kembali perkataan-perkataan yang didengari di video tanpa boleh berkomunikasi tetapi adik Aishah boleh berinteraksi dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu dengan baik. Selepas dikenali dan tular, Adik Aishah telah beberapa kali dijemput ke station radio dan tv untuk ditemubual. Saya dapati dia berupaya berbicara dengan fasih dan penuh keyakinan.Belajar bahasa dan menguasai bahasa adalah dua perkara yang berbeza.
Aishah London berkemungkinan memiliki KECERDASAN LINGUISTIK yang menyebabkannya berupaya menguasai bahasa dengan cepat, mudah dan efektif. Dia juga berkemungkinan memiliki KECERDASAN INTERPERSONAL.
2) Syukor Khamis
Kredit Foto: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Adik SYUKOR KHAMIS bukan sahaja menjadi sebutan di dalam negara, dia juga terkenal di luar negara kerana foto-foto aksinya bersama kerbau mendapat liputan yang sangat meluas. Syukor bukan sahaja berupaya untuk berinteraksi dengan kerbau, menurut jurugambar Nazri Sulaiman, Syukor juga mempunyai hubungan mesra dan bergurau dengan kerbau, lembu, kambing, angsa dan burung seperti ‘kawan-kawan sekolah’.
Ini diakui sendiri oleh ayah Syukor yang mengatakan walaupun adik beradik Syukor yang lain juga terdedah kepada persekitaran yang sama, Syukorlah yang paling cenderung dan mempunyai minat mendalam terhadap kerbau-kerbau peliharaan ayahnya.
Bagi saya adik Syukor adalah contoh yang baik bagi seorang kanak-kanak yang memiliki KECERDASAN NATURALIS yang mudah berinteraksi dengan alam.
Bercita-cita ingin menjadi seorang ‘Circus Performer’ satu hari nanti adalah sesuatu yang tidak janggal bagi seorang anak yang memiliki kecerdasan naturalis.
3) Umar Wafi
Kredit Foto: NST
Adik UMAR WAFI mendapat liputan media kerana telah mencipta alat notifikasi anti buli yang boleh digunakan di sekolah-sekolah. Guru-guru akan mendapat notifikasi di telefon mereka jika ada pelajar dibuli. Inovasi ini telah memenangi anugerah STEM di peringkat nasional dan juga peringkat antarabangsa.
Menurut ibu Umar, idea penciptaan alat ini tercetus kerana adik perempuan Umar pernah dibuli secara fizikal dan verbal oleh rakan yang sama-sama berada dalam Darjah 1.
Mereka sekeluarga berbincang bagaimana caranya untuk membantu kanak-kanak lain yang dibuli dan ciptaan ini adalah hasil sesi ‘brainstorming’ tersebut. Umar seorang yang pendiam, namun kepakaran dan minat Umar dalam Programming telah memungkinkan ciptaan ini. Umar juga bercadang untuk menambahbaik alat anti buli ini dengan menyambungkannya ke CCTV.
Adik Umar adalah contoh kanak-kanak yang memiliki KECERDASAN LOGIKAL MATEMATIK yang berkait rapat dengan strategi, penaakulan, matematik, sains dan teknologi.
Setiap seorang kanak-kanak adalah unik dan memiliki kecerdasan atau intelligence yang berbeza-beza. Kenalpasti kecerdasan tersebut dan sediakan persekitaran dan ruang untuk membina kecerdasan itu supaya bermanfaat buat anak tersebut dan juga untuk masyarakat.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Jadi buat mak ayah, kenal pasti jenis Multiple Intelligence yang dimiliki oleh setiap anak-anak. Bantu mereka beri galakan dan sokonglah perkembangan kecerdasan tersebut agar anak mampu pergi lebih jauh!
Makluman: Artikel yang diterbitkan ini telah mendapat keizinan daripada penulis asal.
Jodoh tidak panjang. Mungkin itu yang boleh dikatakan apabila ikatan perkahwinan yang dibina tidak mampu bertahan lagi. Jalan terakhir adalah berpisah dengan cara baik. Begitu juga apabila suami atau isteri meninggal dunia. Itu semua dugaan yang harus ditempuh.
Ditakdirkan Allah, bertemu jodoh buat kali kedua. Tentu sekali, ia tidak akan sama dengan pasangan yang terdahulu. Kadang-kadang timbul perbandingan dengan bekas pasangan sebelum ini.
Jodoh kali kedua, baik duda bertemu janda, ini ringkasan tentang perkongsian daripada Datuk Dr Fadzilah Kamsah.
Apabila seseorang itu berpisah, baik berpisah hidup atau mati dan ditakdirkan bertemu jodoh kali kedua, kita kena ingat hakikat yang sebenarnya bahawa Allah SWT tidak akan ambil sesuatu daripada kita dan gantikan dengan yang lebih baik.
Semua ini Allah SWT akan gantikan dengan pasangan yang lebih baik dengan SYARAT:
1. Kita (lelaki atau wanita) itu sendiri perlu memperbaiki dan betulkan diri sendiri.
2. Kita perlu banyak berdoa untuk mengubah diri dan kehidupan agar lebih baik daripada sebelumnya.
3. jangan bandingkan dengan pasangan yang lepas. Lumrah manusia, Kita boleh maafkan tetapi tidak boleh melupakan. Kena ingat, setiap orang ada kekuatan dan kebaikan. Apabila mendapat pasangan baru, tumpukan pada kekuatan dan kebaikan pasangan. Bila fokus yang positif sudah tentu perkara yang baik akan datang.
4. Amalkan perkara baru yang sebelum ini tidak pernah amalkan seperti makan bersama, mandi bersama, tidur bersama dan bermaafan sebelum tidur.
5.Hantar gelombang kepada pasangan, tiap kali melihatnya, “Aku sayang dan hormat pasanganku kerana Allah”.
6. Perbezaan pasangan, suami pendiam, isteri bising dan sebaliknya. jadi, imbangi pasangan ‘yin dan yang’ ini untuk rumah tangga menjadi kukuh dan bertambah hebat.
7. 95 peratus penceraian adalah berpunca daripada suami atau isteri yang tidak jaga solat. Jadi, perbaiki, perkemaskan, perkukuhkan solat dan banyakan berdoa untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Ikuti video ini dengan lebih lanjut:
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...