Mulai hari ini Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac telahpun berkuatkuasa seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Mingguan Wanita Talkshow juga hari ini mengupas tajuk mengenai Covid-19 Jangan Ambil Mudah.

Pertama sekali Mingguan Wanita mengucapkan tahniah kepada petugas-petugas perubatan yang bertungkus lumus dan tak pernah mengenal lelah untuk memeriksa mangsa-mangsa Covid-19. Anda merupakan hero kami.

Dr Vickneshwaran

Mingguan Wanita Talkshow juga telah menjemput seorang pakar dalam isu Covid-19 yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Zoonosis Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Vickneshwaran Muthu. Menurut Dr. Vickneshwaran selain pegawai perubatan, hero dalam menbanteras penularan wabak ini adalah orang awam.

“Hero pertama merupakan petugas-petugas perubatan yang bekerja di hospital dan paling penting hero kedua adalah orang awam iaitu rakyat Malaysia kerana mereka tidak menyebarkan lagi penyakit Covid 19 yang belum dijangkiti lagi. Kawalan Perintah Pergerakan adalah sangat penting daripada penyakit ini terus tersebar. Kalau kita nak kurangkan jumlah tolonglah ikut perintah ini dengan betul.

“Maksud Kawalan Pergerakan ini bukannya pulang ke kampung, tolonglah berada di tempat atau di rumah masing-masing. Melihat dari segi angka kebanyakkan negeri sudah ada kes Covid-19, di Selangor dan Wilayah ada sekitar hampir 300 kes. Jika kita nak kurangkan kes daripada berganda, harus kita amalkan apa yang diperintahkan oleh Perdana Menteri,” ujar Dr Vickneshwaran.

Jangan Ke Mana-Mana Dalam Tempoh 14 Hari

IKLAN

“Penyakit ini ada yang dijangkiti tetapi tak ada simptom. Ada yang dijangkiti tapi simptom tak begitu teruk. Manakala ada yang dijangkiti akan menyebabkan kematian. Kalau kita tidak ada simptom tapi kemungkinan kita ada kontak dengan kes-kes positif dan ada interaktif dengan mereka, berada dalam satu bilik mengadakan mesyuarat untuk berjam-jam. Exposure tu ada. Bukan semua kontak akan jadi simptom, sebab itulah kita bagi masa dalam masa 14 hari jangan ke mana-mana observe diri sendiri, tanya pada diri adakah saya atau keluarga saya telah dijangkiti. Jika ada simptom Covid-19 silalah laporkan diri.

Kalau ada simptom pastikan kita yang pakai mask. Yang penting pakai mask. Lihat condition, jika ada kesukaran bernafas, hubungi hospital atau datang ke hospital. Asingkan barangan yang kita guna dengan ahli keluarga yang lain. Bilik tidur, janganlah bertutup, bukalah tingkap dan bagi cahaya matahari masuk,” ujar Dr Vickneshwaran.

Golongan Berisiko Tinggi

Dr Vickneshwaran juga menerangkan antara mereka yang berisiko tinggi merupakan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

“Kita lihat di China usia kematian lebih kepada usia pertengahan 30 tahun ke atas. Lebih kepada pesakit-pesakit kencing manis, kegagalan buah pinggang, pesakit kanser, virus ini akan lebih kuat lagi. Pada yang daya tahan rendah, akan lebih kepada kegagalan organ,” luah Dr Vickneshwaran yang mohon agar orang awam bekerjasama untuk kurangkan kes Covid-19.

Pengurusan Jenazah Diuruskan KKM

“KKM ambil langkah untuk uruskan jenazah kerana nak kurangkan exposure pada keluarga yang lain kerana tak tahu virus ini berada di dalam badan berapa lama. Virus ini di dalam setiap badan adalah lain. Penyebaran adalah daripada cairan-cairan seperti dari mulut dan sebagainya.

“Kita lakukan di KKM gunakan garis panduan seperti sedia ada. Uruskan jenazah mengikut agama masing-masing. Selepas uruskan jenazah, akan tutup tiga lapisan, ada garis panduan setiap lapisan. Kita akan balut keranda dan selepas dibalut keranda itu tidak boleh dibuka,” terang Dr Vickneshwaran.

Cik Man

“Lakukan Perkara Wajib, Demi Jaga Kepentingan Ramai” – Cik Man, Pendakwa Bebas

“Jenis cium jenazah dalam budaya benda itu adalah tidak wajib. Apabila kematian berlaku, empat perkara yang wajib, uruskan mandi, kafankan, sembahyang dan tanamkan. Dalam agama ada satu konsep terpaksa lakukan perkara yang wajib bagi menjaga kepentingan ramai orang.

“Kena terapkan kepentingan ramai orang. Buat sebaik mungkin dalam kes ini daripada tersebarnya virus atau apa yang memudaratkan,” ujar Cik Man.

Bagi anda yang terlepas menyaksikan rancangan ini boleh ikuti siaran ulangan rancangan ini di Astro Prima dan Astro Prima HD pada jam 8 malam ini.