Majlis resepsi simple tetapi penuh bermakna! Kehadiran sahabat handai dan keluarga terdekat telah meraikan perkahwinan di antara personaliti media sosial, Farah Lee dan suaminya, Fuad Hashim bertempat di Padangs On Wheels, Subang Bestari semalam.
Foto: Faeez dan Fathiah
Tampil ringkas dalam busana rona pastel rekaan Rico Rinaldi, ketibaan pasangan ini menaiki sebuah kenderaan mewah rona hitam disambut dengan sahabat handai dan kaum keluarga terdekat pasangan ini.
Menurut pemilik restoran yang juga personaliti televisyen, Farrah Adeeba ketika ditemui berkata, pihaknya bersama rakan kongsi Padangs On Wheels berbesar hati meraikan Farah sekeluarga sekaligus memperkenalkan hidangan katering Padangs On Wheels untuk majlis perkahwinan, akikah dan sebagainya.
Turut mencuri tumpuan, kelibat bekas suami Farah Lee iaitu Ally Iskandar yang hadir ditemani isteri dan anaknya di majlis tersebut. Malah Mingguan Wanita turut berkesempatan bertanyakan perasaan Ally Iskandar mengenai perkahwinan bekas isterinya itu.
Ads
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana anak kami, Maream Esabel, dapat merasai sebuah keluarga yang lengkap.
“Farah kata tadi, sekarang kami berdua sudah seri kerana masing-masing sudah berkahwin lagi. Saya bersyukur dan gembira kerana anak kami, Maream, akan dapat merasai keluarga lengkap dengan ayah dan ibu.
Hubungan Baik Jadi Contoh
Ads
“Saya tengok wajah Fuad pun sejuk hati. Saya yakin dia akan menjadi bapa yang hebat kepada anak kami,” katanya.
Selain itu, kata Ally, dia dan Farah mempunyai pendirian untuk selalu bertolak ansur dan mengutamakan kebajikan anak meskipun tidak lagi bergelar suami dan isteri.
“Di akhirnya, kita semua mempunyai pendirian untuk mengharungi semua ini. Walaupun berbeza cara, namun kami perlu cari jalan tengah untuk pastikan anak hidup dalam satu institusi keluarga meskipun berjauhan.
Ads
“Soal anak, memang saya dan Farah akan selalu bertimbang rasa,” katanya.
Untuk rekod, pengacara Ally Iskandar bernikah dengan Farah Lee pada 20 Januari 2012 namun bercerai pada 17 Ogos 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Maream Esaabel.
Pada Jun 2019, Ally telah menamatkan zaman bujang sekali lagi dengan wanita bernama Marlina Ibrahim di Temerloh Pahang manakala Farah Lee bertemu jodoh dengan Fuad dan berkahwin pada 6 Januari lalu.
Foto:Instagram @faeezazahar @nurfathiah__
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Majoriti wanita yang sudah berkahwin sekarang tidak hanya duduk di rumah, kebanyakan isteri mesti bekerja. Bukan sahaja untuk bantu suami tetapi tuntutan keadaan sekarang yang memerlukan pasangan suami isteri bekerja untuk menampung kos sara hidup di bandar.
Namun, kalau terlalu kuat bekerja sampai mengabaikan rumah tangga pun boleh timbulkan masalah. Suami pula risau dan rasa tidak selesa. Mana tidaknya, biasa suami balik lambat dari kerja tapi ini isteri pula yang pulang lewat malam.
Menurut pendapat Dr. Ahmad Kamal Bin Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga, ada sebab isteri kuat kerja, ini antara punca utama…
1. Nak cari duit lebih, maklum saja perempuan suka membeli. nak minta duit suami, memang tak sampai hati.
2. Nak hias rumah bersih, kemas dan cantik. Yang suka beli perabot, lagilah jadi sebab dia rela bekerja.
3. Nak hidup senang, ada sesetangah dah biasa hidup dengan keluarga yang senang. Jadi ini pilihan yang ada.
4. Nak bagi anak-anak kehidupan yang selesa dan mungkin nak cipta tabung anak-anak dari awal. Esok-esok kalau anak nak sambung belajar, ada duitnya!
5. Simpan duit untuk masa depan, nak pergi melancong atau mungkin yang niat nak ke Tanah Suci.
6. Suka poket tebal. Ini selalunya yang dah biasa pegang duit dan tak suka duduk rumah.
7. Memang jenis rajin, tak reti duduk diam. Kalau duduk rumah, asyik telefon suami. Baiklah dia kerja!
8. Nak bantu keluarga sendiri, tambah pula adik-beradik ramai. Tambah pula kalau perempuan itu anak sulung.
Kesan Buruk Isteri Sibuk Bekerja
Tapi ingat ya, bila isteri terlalu sibuk bekerja, kesan buruknya suami akan melalui situasi ini…
1. Rasa terabai dan akhirnya jadi murung
2. Suka marah-marah sebab isteri selalu sibuk
3. Lebih suka lepak dengan kawan-kawan
4. Curiga akan kesetiaan isteri
5. Makan hati dengan sikap isteri
6. Letih sebab asyik jaga anak kalau isteri sibuk
7. Ini boleh uka ruang untuk suami berlaku curang. (asalnya rasa sunyi dan tiada orang kisah)
Sebenarnya, tak perlulah keruhkan keadaan bila suami tengok isteri terlalu kerja kuat. Apa yang boleh suami isteri lakukan adalah baik komunikasi berdasarkan perkara ini…
1. Setiap pasangan mesti tahu hak dan tanggungjawab masing-masing.
2. Komunikasi dengan bahasa yang baik, jangan cakap kasar.
3. Isteri mesti hormat dan taat suami. Senang cerita, pegang pada agama.
4. Fikirlah, syurga isteri adalah tertakluk kepada redha suami.
5. Isteri kena tahu batas. Jangan sampai abai suami dan anak-anak.
6. Suami mesti jelaskan batas dan syarat jika isteri mahu bekerja.
7. Suami kena nasihat isteri dengan cara yang baik, bukan terus menuduh!
Jadi, pilihan di tangan anda ya… TEPUK DADA TANYA DIRI!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mindset sesetengah mak ayah itu macam dah ditanam siap-siap, kalau nampak ‘kepala dua pusar’ saja terus dicop, DEGIL lah budak itu. Memang susah nak dengar cakap orang lah nanti bila besar. Benarkah?
Persoalan ini diterangkan sejelasnya oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar, Co-founder and Principal Consultant, Parent Connect Consultancy (Certified Positive Parenting Educator (parent Practice UK)).
“Sudah lama saya tertarik untuk meneroka pendapat dan kepercayaan tentang anak yang mempunyai dua pusar (double hair whorl) yang menjadi pegangan dalam masyarakat sejak sekian lama.
“Apabila seorang ayah meminta pendapat saya tentang kepercayaan ini, saya terpanggil untuk membuat sedikit kajian tentang kebenaran kepercayaan tersebut.
DUA PUSAR KEPALA DAN TINGKAH LAKU ANAK
Apakah Kaitannya?
Adakah anak anda mempunyai dua pusar?
Atau anda sendiri mempunyai dua pusar di atas kepala?
Jika ya, adakah anda seorang yang sukar dikawal ketika kecil atau adakah anda sering diberikan label dan tanggapan negatif oleh orang tua-tua kerana pusar anda?
Jika anda mempunyai dua pusar adakah anda sering masuk keluar pejabat guru disiplin ataupun mungkin sering masuk keluar penjara?
Jika tidak, alhamdulillah. Ternyata kedua ibubapa anda mendidik anda dengan baik sekali walaupun anda mempunyai dua pusar.
Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, menimbulkan masalah, sukar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label yang negatif.
Benarkah semua mereka begini?
Selalunya dari lahir lagi sudah kelihatan pusar anak. Jika anak mempunyai dua pusar, dari lahir lagilah label diberikan kepada anak terutamanya oleh segelintir orang tua-tua.
Walaupun kita belum lagi cuba untuk mengenali anak tersebut dan belum cuba lagi mendidik anak tersebut, dia sudah pun dilabel dengan label yang membawa konotasi ‘akan memberi kesukaran’.
Adilkah begitu?
Jika begitu persepsi kita dari awal, maka segala kebaikan anak tidak akan kita nampak kerana yang kelihatan hanyalah tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
Kepercayaan Kuno ‘Roh Masuk Jasad Bayi Dari Pusar’
Mungkin segelintir orang tua-tua ini mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu mereka tetapi untuk membuat generalisasi tentang semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.
Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institut yang banyak menjalankan kajian tentang genetik dan genomic manusia, 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gene manusia.
Kepercayaan tentang anak dua pusar bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu sahaja, malah ia juga dipegang oleh masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan beberapa kelompok masyarakat lagi. Kemungkinan besar penghijrahan membawa kepercayaan ini berhijrah dari satu tempat ke satu tempat sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Ada kepercayaan kuno yang mengatakan roh akan memasuki tubuh seorang manusia melalui pusarnya sejak dari awal kandungan di dalam perut ibu lagi.
Apabila bayi mempunyai dua pusar, dua roh akan memasuki tubuh bayi tersebut dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-dua roh ini.
Kedua-dua roh ini akan cuba bersatu menjadi satu roh yang kemudiannya menjadi roh anak tersebut.
Kerana pertembungan dua roh inilah, bayi itu membesar menjadi seorang yang keliru, sering memberontak, sukar dikawal, nakal dan degil.
Ingatlah Mak Ayah Anak Itu Lahir Ibarat Kain Putih
Bukankah sebagai seorang Muslim kita percaya bahawa seorang anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walaupun berapa pusar sekalipun yang dimiliki oleh anak tersebut?
Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa?
Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar tentang dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengan anak akan mewujudkan konsep diri (self concept) anak.
Anak sering tertanya tentang dirinya.
Siapa saya? Apakah peranan saya? Apakah kebaikan saya? Jika yang sering didengari tentang dirinya adalah label negatif, maka itulah kepercayaan anak tentang dirinya. Berhati-hatilah dalam melabel anak.
Tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.
Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku.
5 Didikan Ini Yang Akan Lahirkan Anak Sopan
Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibubapa memahami dan mendidik anak.
Ibubapa perlu faham:
1) Perkembangan Kanak-kanak (Child Development)
Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan seperti orang dewasa kerana dia belum lagi boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.
Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.
Kita tidak boleh mengharapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarah kepadanya.
Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah diberi anak makan macam-macam produk yang mungkin hanya memudaratkan anak lagi. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.
2) Pembawaan Kanak-kanak (Temperament)
Setiap seorang daripada kita dilahirkan dengan sifat semulajadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan,tidak cerewet, ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada yang pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.
Sebagai ibubapa kita perlu mengetahui anak kita berada dalam kategori pembawaan yang bagaimana kerana cara kita menguruskan anak bergantung kepada pembawaan mereka. Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza.
Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami pembawaannya.
3) Fahami Juga Kecenderungan Anak
Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana kemari, mencuba itu ini, memegang itu ini, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah di halang.
Apa yang perlu dilakukan oleh ibubapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatan anak.
Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibubapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.
4) Ibu Bapa Perlu Sepakat
Selain itu ibubapa juga perlu sepakat dalam proses mendidik dan membesarkan anak. Ibubapa perlu sepakat tentang kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.
Jika ayah berkata “Ya” dan ibu berkata “Tidak”, anak akan keliru dan itulah yang menjadi punca utama anak degil dan tidak mendengar kata.
Apabila dia keliru cakap siapa yang perlu diikut, dia akan mengikut kata hati dia sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.
5) Role Model Itu Ibu Bapa Sendiri
Ibu bapa adalah guru dan role model terbaik anak. Anak adalah cerminan diri kita sendiri. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak-anak kita?
Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Di antaranya adalah bimbingan daripada ibubapa, persekitaran anak, rakan-rakan anak.
Apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosi anak, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama dalam keluarga yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.
Jangan jadikan dua pusar sebagai ‘escapism’ atau jalan keluar untuk kita berputus asa dengan anak. Sentiasalah berdoa supaya anak-anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.
Oh ya, anak saya sendiri mempunyai dua pusar kepala.
Ramai isteri nak cari duit sendiri sebab konon buat persediaan awal, risau sangat kalau suami buat hal dan tak ada sumber pendapatan tiba-tiba.
Bagus fikir masa depan tetapi bak kata saudara Firdaus Shakirin, betulkan balik niat nak cari duit tepi tu.
Tak Salah Isteri Nak Cari Duit Tapi..
Kita ni orang perempuan, kena sediakan payung sebelum hujan. Kalau dah elok-elok kerja, jangan berhenti. Kalau sekarang dah jadi suri rumah, kena berniaga, kena ada pendapatan. Jangan jadi suri rumah yang mengharapkan duit laki saja.
Kalau dia cari lain, terkapai-kapai lah kita nak hidup. Masa tu baru nak start kerja? Masa tu baru nak berniaga? Saving pula kau tak ada, macam mana kau nak hidup?
“Jangan bila hujan baru terhegeh-hegeh nak cari payung…”
Betulkan Niat Nak Cari Duit
Nak sediakan payung sebelum hujan tu boleh, tak salah. Tapi jangan hidup dengan berfikiran, yang satu hari nanti suami awak akan tinggalkan awak.
Jangan set dalam kepala otak yang awak bekerja, berniaga sebagai persediaan untuk ditinggalkan, jangan!
Kalau awak fikir macam tu, maka dari awal lagi, awal tak perlu kahwin. Awak tak yakin dengan pasangan awak.
Perjalanan hidup kita adalah rahsia Allah… tiada siapa yang mengetahui apa yang dah kita lalui, sedang kita lalui dan akan kita lalui. Walau apapun yang dilalui, hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk setiap hambaNya.
Tawakal kepada Allah itu perlu lebih dari pengharapan kita pada pasangan. Kita tak boleh hidup dengan sentiasa bersangka buruk, memikirkan perkara-perkara yang negatif dan tak boleh ada rasa tak yakin dengan perancangan Allah.
Setiap hari Allah hidupkan kita, sebab DIA ada perancangan untuk kita pada hari tu. Dari pagi sampai malam, apa yang berlaku, apa yang kita buat seharian tu, semua atas izin-Nya. Laluilah hari-hari yang mendatang dengan bersangka baik, memikirkan perkara-perkara yang baik dan yakin dengan perancangan Allah.
Ini sebenarnya jalan yang terbaik untuk kita sebab kita tak tahu masa depan kita bagaimana.
Bekerjalah untuk membantu ekonomi keluarga, berniagalah untuk membantu ekonomi keluarga…ada pendapatan, ada simpanan untuk keluarga dan bukan untuk ditinggalkan satu hari nanti sebab tak ada yang berkahwin untuk berpisah. Kalau berpisah pun, Allah dah berfirman yang Dia akan mencukupkan bagi mereka yang berpisah tu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!