Lanjutan tragedi penemuan mayat Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin,40 yang ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya, polis telah menahan lelaki Nigeria di sebuah kafe di pusat beli belah Cheras Sentral, petang semalam.
Berdasarkan siasatan awal polis di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, suspek berkenaan adalah individu terakhir yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keluar dari kediaman mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata suspek dilaporkan bertindak agresif dan cuba melepaskan diri sehingga berlaku pergelutan dengan pihak polis sebelum dia dapat ditahan.
“Pihak polis akan mendapatkan permohonan reman ke atas suspek hari ini,” katanya.
Rakan Kepada Suspek Yang Ditahan
Sementara itu, menurut Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pada masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas suspek, Aliwajuwom Gilbertalowonle @ Juwon, 36, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sepang.
“Suspek ialah rakan kepada seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria yang ditahan polis awal pagi tadi.
“Ketiga-tiga suspek ini sering berhubung antara satu sama lain. Mereka ialah rakan perniagaan serta memiliki sebuah kedai menjual telefon bimbit di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Ads
Kes Masih Dalam Siasatan
Ditanya sama ada Siti Kharina ialah rakan perniagaan kepada semua suspek, Noor Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Polis sedang menjalankan siasatan dari semua aspek. Kita sedang siasat macam mana hubungan mangsa dengan suspek dan bagaimana mereka boleh mengenali antara satu sama lain.
“Berdasarkan siasatan awal polis juga mendapati mangsa mempunyai dua rumah sewa.
“Malah, keluarga dan rakan mangsa juga tidak tahu bahawa mangsa turut menyewa rumah di Kondominium Third Avenue,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, polis menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana semua barang berharga tidak hilang.
Ads
“Polis juga masih menunggu laporan bedah siasat termasuk kemungkinan mangsa dirogol,” katanya.
Dengan penangkapan suspek ketiga ini, kes pembunuhan Siti Kharina Mohd Kamarudin, berkemungkinan dikategorikan selesai.
Ditemui Pemilik Rumah Sewa
Terdahulu, menurut Noor Azam, mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan semalam, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.Beliau berkata pemilik rumah itu datang untuk memeriksa rumahnya, dan polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa di kondominium itu.
“Mangsa ditemui tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala dan siasatan awal kami mendapati ia adalah Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai beberapa keterangan fizikal berkaitan kes ini,” katanya.
Ads
Dilaporkan Hilang
Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada jam 4 petang, Rabu minggu lalu.Mangsa dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih dengan nombor pendaftaran BEY 1361.
Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya untuk bertanya mengenai keadaannya
Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami Mohd Udzir Khalid, 40, dan tiga anak mereka Khairin Uzma, 14, dan pasangan kembar berusia 10 tahun Khairin Daima Hana dan Khairin Damia Hasya.Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Jenazah ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah, Seri Menanti, di sini, kira-kira jam 9 malam tadi.
MW: Salam Takziah buat keluarga mangsa dan semoga diberi kesabaran menghadapi ujian ini. Semoga pelaku segera dikenakan hukuman dan mendapat pembalasan yang setimpal.
Pasangan suami isteri ini, Azman Syah Gusti, 28 dan Salwati Yaakob, 28 baru tiga hari bernikah. Dan bakal meraikan majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dengan segala persiapan yang sudah siap disediakan.
Namun, Allah lebih menyayangi isterinya. Lewat malam Selasa, isterinya itu dijemput Ilahi dalam kemalangan maut yang melibatkan 7 kenderaan di Kilometer 317 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Tapah, dekat Tapah.
Baru Tiga Hari Bernikah
Malam itu, Azman dan isteri serta rakannya, Radhiah Sumell, 28 yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan ke Sungai Buloh dari Kuala Kedah, Kedah. Mereka mahu menyempurnakan majlis resepsi sebelah pengantin lelaki yang dijadualkan pada 23 dan 24 November ini.
Dan sepanjang perjalanan itu, isteri di sebelah tak lekang dari senyuman. Kata isteri, dia suka melihat suaminya memandu. Rupanya itulah, senyuman terakhir isteri untuk suami.
“Sudah tentu saya sedih kerana kami baru melangsungkan pernikahan Sabtu lalu. Namun saya redha walaupun sedih dengan pemergiannya.” Suami ini berkongsi kesedihan ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tapah.
Kata Azman lagi, bapanya sudah menempah lembu untuk meraikan kedatangan isteri. Malah lebih 500 kad undangan telah diedarkan. Segala persiapan majlis resepsi sudah disiapkan dari pihaknya.
Tentunya, berita mengejutkan ini memberi kesan yang begitu mendalam buat seluruh ahli keluarga Azman dan Salwati.
Kata Ibu.. Kami Berborak Seperti Biasa
Sementara ibu mangsa, Zaimah Hamim, 45 berkongsi anaknya dan suami bertolak ke Selangor jam 6 petang semalam.
Sebelum berangkat, sempat mereka berborak seperti biasa. Namun, dia tidak nampak sebarang perubahan pada anak sulungnya dari tujuh beradik itu.
Azman yang bekerja sebagai juruteknik di Setapak, Kuala Lumpur manakala Allahyarham Salwati bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.
Kemalangan itu menyebabkan Azman cedera jari kanan dan rakannya, Radhiah patah kaki kiri.
Nahas 7 Kenderaan
Kemalangan nahas 7 kenderaan ini membabitkan treler muatan kertas, lori penghantar barangan pos, treler muatan gula, Mitsubishi Pajero, Perodua Myvi, Honda Accord, Perodua Axia dan sebuah lagi kenderaan yang belum dikenal pasti.
Seorang lagi mangsa disahkan maut, Beh Xiu Zhung, 5 yang berada dalam pacuan empat roda Mitsubishi Pajero. Ibu mangsa, Doan Thi Bich, 32 warganegara Vietnam juga tercedera.
Dua lagi mangsa daripada 13 mangsa juga cedera.
Daripada siasatan polis, punca kemalangan dipercayai berlaku apabila treler muatan kertas yang dipandu lelaki 52 tahun menuju ke Kuala Lumpur, hilang kawalan.
Kemudian melanggar belakang Perodua Axia yang ada di depannya.
Seterusnya, treller melanggar bahagian kiri Honda Accord, bergesel pula dengan treler muatan gula di bahagian kanan sebelum melanggar Mitsubishi Pajero.
Impak pelanggaran itu, mengakibatkan Mitsubishi Pajero terhimpit antara treler muaran kertas dengan lori penghantaran barang pos.
Lori itu kemudian melanggar belakang Perodua Myvi yang ada di depan.
MW :Al Fatihah untuk keluarga Allahyarham Salwati Yaakob. Didoakan suaminya, Azman tabah menghadapi pemergian insan yang teramat istimewa dalam hidupnya ini.
Sumber/Foto : Harian Metro, Astro Awani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebaknya kisah ibu yang baru habis pantang ini. Genap 2 bulan bayi perempuannya dilahirkan, ibunya diuji suami alami asma kronik. Sehinggakan suami dikejarkan dan diwadkan di hospital.
Tak lama kemudian, ibu yang bernama Fatin ini pula alami jangkitan kuman dalam darah. Sehingga membuatkan dirinya dimasukkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU). Malah, anak kedua yang baru dilahirkan pula alami cirit birit sehingga berdarah dan diwadkan di hospital.
Sekarang ini, dikhabarkan anak pertama mereka pula alami demam dan ekzema teruk. Allahu.. berat sungguh dugaan yang ditanggung.
Simpati dengan keadaan yang dialami sepupu ini, Emmy Farhany Ahmad berkongsi di laman facebooknya. Memohon agar orang ramai mendoakan ahli keluarga ini.
Ibu Baru Habis Pantang, Suami Koma, Bayi Diwadkan
Salam sahabat dan saudara semua… Dalam gambar ni sepupu saya Fatin Elika Elisya dan suaminya Aizameen Haqim bersama anaknya. Mereka ada lagi sorang baby girl baru umur 2 bulan dan Fatin baru je habis pantang. Apa yang cuba saya nak sampaikan… berat ujian sepupu saya sekeluarga ni.. mulanya suaminya kena semput kronik kerana memang ada masalah dengan paru-paru yang sekian lama… masa kena serang tu suaminya dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ICU.
Sekarang dalam keadaan koma… dalam tak sedar dah hampir 2 minggu dah sebenarnya… sepupu saya Fatin berharap yang suaminya boleh diselamatkan… malam tadi pula.. sepupu saya Fatin pula dimasukkan ke ICU kerana ada jangkitan kuman dalam darah… Fatin terlalu lemah… mulanya suspek denggi… bila darah drop… Fatin terus rebah sampai biru-biru muka… maybe terlalu berat nak menanggung ujian & tekanan emosi dalam keadaan baru je habis pantang bersama 2 anak… berat lagi ujian.. dalam mereka suami isteri di ICU… harini baby lak warded.
Anak Kedua Pula Diwadkan
Beberapa harini.. baby kena cirit birit sampai berak berdarah.. tu yang pergi hospital… rupanya baby pun tak ok… dah la baby dari dalam pantang kena sawan tangis… setiap malam nangis tanpa henti… puas berubat.. tapi tak dapat ubati… hanya mengurangkan sakit saja… anak sulung pon tengah tak sihat.. demam… eczema teruk… sian si abang…
Saat ini si abang dijaga oleh mak sedaranya… Jadi… saya nak menyeru kepada insan-insan yang mengenali saya… pls doakan untuk sepupu saya ni sekeluarga… berikan kesihatan kepada Fatin dan babynya serta anak sulungnya… doakan ada sinar buat Aizameen sedar dari koma dan mereka boleh sekeluarga bersama membesarkan anak-anak. Moga doa kalian diangkat oleh Allah SWT dan hanya Dia saja juga yang dapat membalasnya. Berat ujian sepupu saya tanggung.
Kuat dik Fatin.. Along dan semua Family Haji Sahri sayang ko dik.
Sebak sangat.. saat ni rasa macam useless sangat sebab tak boleh balik kampung.. bagi moral support kat family.
Info terkini dari kakak Fatin :
Setakat ni Fatin dah sedar cuma masih lemah. Ameen masih koma… baby pula dah tak berak berdarah. Tu je yang saya boleh sampaikan.
Terima kasih juga yang DM saya nak hulurkan sumbangan barangan… nak buatkan doa selamat serta bacaan yassin/al-quran serta solat hajat untuk Fatin dan Amenn. Terima kasih semua.
Ya Allah… besarNya rahmatmu… Ada juga yang nak hulurkan sumbangan duit.. ini memang jauh dari fikiran saya… takut juga saya…. niat asal saya nak orang ramai mendoakan je… tapi rakyat Malaysia ni pemurah… kenal ke tak kenal mereka prihatin nak bersedekah/menyumbang.
Masing-masing faham dalam keadaan sekarang ni… anyway pada yang nak menyumbang… DM je saya… nanti saya maklumkan caranya.
Maafkan saya jika saya lambat reply DM. Maaf juga tak dapat nak approve friend dengan insan-insan yang nak friend dengan saya… ramai sangat.. maafkan saya.. saya percaya niat anda nak mendoakan Fatin sekeluarga.
Pasangan suami-isteri ini telah memiliki 6 orang anak kandung. Namun itu tidak menghalang mereka mengambil 5 lagi anak angkat ‘istimewa’ atau mempunyai keperluan khas.
Malah Paul dan Ashley Kellogg berkata hati mereka sentiasa terbuka untuk mengambil lebih ramai anak angkat pada masa akan datang.
Menurut temubual dan artikel yang telah diterbitkan dalam People.Com, perjalanan Paul dan Ashley ke dalam dunia pengambilan anak angkat bermula selepas anak perempuan mereka Myra, 11, dilahirkan dengan masalah cerebral palsy.
Pasangan dari Indiana, Amerika Syarikat ini sebenarnya sentiasa tahu bahawa mereka sekurang-kurangnya mahukan 6 orang anak kandung sendiri. Tetapi mereka tidak pernah menyangka bahawa akan memiliki 11 orang anak. Separuh darinya adalah anak-anak istimewa dan mempunyai keperluan khas.
Namun, Paul dan Ashley mengatakan bahawa mereka tidak akan memilih cara lain – dan belum menutup pintu untuk menyambut lebih ramai ahli keluarga baru pada masa akan datang.
Ashley sewaktu ditemubual dalam rancangan TV untuk People berkata,” Saya rasa hati saya akan selalu terbuka untuk itu, selalu dapat memberi ruang.”
Keluarga Paul dan Ashley Kellogg (Kredit Gambar: Keluarga Kellogg)
Miliki Kemahiran Keibubapaan Yang Sangat Berharga
Perjalanan dunia keibubapaan pasangan itu pertama kali bermula dengan kehadiran anak kandung. Dari seorang kini mereka ada seramai 6 orang.
Ketika Myra yang berusia 11 tahun – yang tidak boleh bercakap dan tidak boleh berjalan – dilahirkan dengan cerebral palsy, Paul dan Ashley segera menyedari bahawa mereka mempunyai satu set kemahiran keibubapaan yang sangat berharga yang dapat memberi banyak manfaat kepada anak lain dengan keperluan khas.
Jelas Ashley lagi, “Kami selalu memikirkan tentang pengambilan anak angkat adik-beradik, tetapi tidak pernah memikirkan keperluan khas. Kemudian kami menyedari bahawa kami mempunyai kemahiran – dan mungkin perspektif yang berbeza – yang tidak dimiliki oleh orang lain.”
Selama bertahun-tahun, mereka telah menerima lima anak tambahan. Bermula dengan, Frannie 10 tahun dan Theodore berusia 1 tahun, yang mempunyai sindrom Down. Dua dari anak angkat mereka juga ada masalah disleksia dan empat orang ada masalah penglihatan.
Seorang lagi, Finton, 8 tahun, mempunyai albinisme. Manakala Bryant yang berusia 7 tahun mengalami gangguan sawan dan kelewatan pertuturan.
Namun, pasangan itu mengatakan bahawa kehidupan mereka semakin diperkaya dengan penambahan mereka. Malah bahawa anak-anak mereka juga telah memperbaiki kehidupan adik-beradik yang lain.
Kata Ashley lagi,“Saya melihat banyak faedah untuk anak-anak kami yang lebih tua. Mereka berupaya untuk dapat mengasihani orang lain dan melihat orang lain setara, disebalik sebarang ketidakupayaan atau batasan mereka. Saya pasti ini mempengaruhi kehidupan mereka ketika mereka membesar.”
Tambah Paul: “Saya hanya berfikir bahawa lebih kerap, ada keluarga yang berusaha untuk mengambil anak angkat akan memilih anak-anak khas neuro tanpa keperluan khas. Tetapi saya berpendapat bahawa anak-anak istimewa ini, mereka dapat menambahkan perkara-perkara indah dalam hidup anda dan keluarga anda yang mungkin tidak anda sedari telah hilang. “
Micah, 7, dan Theo yang masih bayi telah diambil sebagai anak angkat daripada Special Angels Adoption Agency, satu-satunya agensi di seluruh negara (AS) yang bekerja secara eksklusif dengan anak-anak dengan keperluan khas.
Ashley dan Paul Kellogg bersama anak-anak mereka (Kredit Gambar: Keluarga Kellogg)
Jelas Jennifer Kelly, Pengarah Perubatan Special Angels Adoption Agency, sewaktu ditemubual dalam rancangan tv sama itu, “Adalah sangat penting untuk memberi tahu orang ramai bahawa ini adalah pilihan yang sesuai.
“Ibu bapa kandung anak perempuan saya diberitahu berulang kali bahawa tidak ada yang mahu mengambil anak perempuan mereka … Saya tidak mahu ibu bapa kandung untuk mendengarnya lagi.”
Itu juga seakan mantra Ashley: “Pada akhirnya, setiap anak layak mendapat keluarga,” katanya.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...