Rak Buku Perabot WAJIB Ada Di Setiap Rumah Jika Mahu Anak Minat Membaca Sejak Kecil!

Share

Membaca jambatan ilmu.Betapa mak ayah kadang kala terlupa, keperluan mengisi pengetahuan anak-anak dengan lambakan buku-buku berbanding gajet elektronik.Minat membaca ini sebenarnya boleh disemai dalam hati dan jiwa anak-anak sejak dari kecil.Mak ayah memainkan peranan dengan menyediakan rak buku khas yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku-buku bagi menarik minat anak-anak untuk membaca.

Jemput baca perkongsian pengalaman dan pendapat oleh Sue Emoqwin ini yang juga merupakan seorang penulis buku.

SEPAHKAN RUMAH DENGAN BUKU!

Saya dan kawan-kawan yang suka membaca buku ada berbual tentang bila dan bagaimana mulanya minat membaca setiap daripada kami. Ada yang bermula semasa sekolah rendah, ada sejak dari belajar di universiti, ada baru 4 tahun lepas dan seperti saya dari umur 6 tahun.

Pengalaman kami berbeza tapi ada satu kesamaan antara semua – kami terdedah kepada sekitar yang mempunyai buku (tidak kira buku apa – saya misalnya, kepada buku-buku arwah pakcik saya di kampung yang mengambil sastera di tingkatan 6 – saya adik beradik kena ‘pos’ ke kampung setiap kali cuti sekolah). Sementara itu minat membaca kawan saya yang kini suka menelaah buku falsafah dan hal-hal eksistensial bermula dengan membaca puluhan buku genre romantik bahasa Inggeris milik kakaknya semasa dia remaja!

Begitulah juga dengan yang lain; di rumah ada buku. Mungkin pada satu hari ketika di luar hujan dan kami tidak dapat keluar bermain lalu kami capai sebuah buku dan baca. Atau semasa kami tidak diizinkan keluar dari rumah sementara (grounded) oleh ibu bapa sebagai hukuman berlaku nakal; sementelah dulu tiada sebarang gajet digital untuk mengalih perhatian maka kami capai buku satu demi satu demi satu dan tahu-tahu kami sudah BIASA membaca. Bila minat ini sudah dalam sistem, kita akan sukar berhenti dan akan sentiasa mencari sesuatu untuk dibaca.

Beli Rak Buku Di Rumah

Jadi kepada ibu bapa yang risaukan anak anda belum ada minat membaca, jangan risau. Beli rak buku, isikan dengan buku-buku yang sesuai dengannya dan ada hari simpan semua gajet, tutup TV, simpan barang mainan dan keluarkan buku-buku itu dan baca bersama. Kalau mereka tak suka baca bersama tak apa, teruskan sahaja menambah ‘stok’ dengan buku-buku menarik. Jangan paksa, tinggalkan sahaja buku merata-rata (janganlah kisahkan sangat rumah bersepah sebab buku). Akan sampai harinya mereka akan diam-diam ambil dan baca.

Beli Buku Ikut Minat Anak

Lebih bagus lagi belilah buku yang berkenaan dengan minat anak anda. Kalau dia suka dinosaur dan sering layari tentang dinosaur di Youtube belilah buku tentangnya. Kalau suka filem Frozen, belilah buku bergambar puteri-puteri yang cantik. Kalau suka kereta, belilah buku seumpama. Kanak-kanak tertarik dengan visual dulu. Jika teks membuatkan dia tidak berminat, belilah komik-komik bagus yang banyak ada di pasaran.

Dan anda sendiri, bacalah di depan mereka. Bukan hanya menyuruh. 🙂

Yang penting – RAK BUKU (BERISI) IALAH PERABOT YANG WAJIB ADA DI SETIAP RUMAH jika anda mahu menanam minat membaca kepada seisi rumah terutamanya anak kecil.

InsyaAllah, mereka akan membesar menjadi pembaca.

Membaca ialah pintu kepada dunia ilmu pengetahuan yang tidak terbatas. Jangan risau jika anak anda tidak mahu masuk ke universiti sebaliknya risaulah jika mereka tidak mahu membaca.

Sue Emoqwin

Semoga perkongsian ini memberi manfaat. Jadi buat mak ayah, pastikan di rumah ada rak buku khas dan penuhikanlah ia dengan pelbagai jenis buku-buku untuk menyemai minat membaca buat anak-anak sejak dari kecil.

Sumber: Sue Emoqwin

Published by
Suhaidah Abd Wahab