Kecantikan

Rahsia Kulit Cantik Bak Artis Bollywood Dengan Kunyit

Share

Nak tahu salah satu rahsia cantik ala-ala artis Bollywood? Ha..ni dia. Kunyit! Penggunaan kunyit di dalam masakan bukan lagi asing. Sebaliknya, untuk kecantikan juga ia memiliki pelbagai khasiat.

Rahsia Cantik Dan Sihat

Kunyit merupakan salah satu herba terbaik untuk kesihatan dan kecantikan. Ia mengandungi senyawa berkhasiat  yang disebut kurkuminoid, terdiri daripada kurkumin dan desmetoksikumin. Kunyit juga cukup tinggi kandungan vitamin C.

Selain itu, kunyit juga berkhasiat dari sudut kecantikan. Memang sejak dahulu lagi, amalan menjadikan kunyit sebagai masker untuk golongan wanita di India adalah sangat popular untuk menjadikan kulit lebih mulus dan bebas jeragat.

Kunyit mengandungi pelbagai zat dan vitamin, kunyit turut mengandungi bahan antiseptik yang dapat mencegah radang kulit akibat tumbuhan jerawat atau luka. Selain itu kunyit juga dapat memperbaiki kulit yang rosak akibat terdedah di bawah pancaran matahari.

Antara Khasiat Kunyit Untuk Kulit

Membasmi sel kulit mati

Kehadiran sel kulit mati di permukaan kulit akan membuat kulit tampil kusam serta tidak bermaya. Terdapat pelbagai cara untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati ini agar ia dapat memberi ruang untuk penumbuhan sel-sel yang baru.

Dengan menggunakan kunyit untuk proses eksfoliasi ia terbukti amat berkesan kerana tekstur dan kandungan kunyit dapat membantu dalam pengelupasan sel kulit mati. Ianya lembut dan menepati setiap jenis kulit tanpa menyebabkan iritasi.

Tiada Lagi jerawat

Dalam cuaca yang tidak menentu ada kalanya kulit juga tidak dapat bernafas dengan sempurna. Bagi kulit yang sensitif dan mudah dihinggapi jerawat, anda bolehlah mencuba cara ini. Kunyit boleh menyingkirkan jerawat kerana ia mengandungi sejenis bahan yang digelar curcumin yang mengeluarkan warna kuning dan memiliki sifar antiseptik dan antibakteria.

Kedua-dua sifat ini dikatakan dapat menghapuskan bakteria dan kuman yang merupakan antara punca jerawat. Bertindak dengan hebat, curcumin juga dapat mengelakkan tumbuhan jerawat yang baru hendak berjinak-jinak di permukaan kulit.

Atasi kulit berminyak

Habuk dan kotoran mudah hinggap dan terperangkap pada kulit yang berminyak. Ia akan merangsang pembiakan bakteria sehingga menyebabkan munculnya jerawat. Oleh itu, penting untuk mencuci dan membersihkan kulit dengan kerap. Tak boleh malas dan ambil lewa dengan setakat mencuci menggunakan air saja kerana ia tidak berkesan.

Sebaliknya, campurkan dengan kunyit jika inginkan proses mencuci muka menjadi lebih efektif. Kunyit mengandungi minyak mudah meruap (volatile) yang berfungsi sebagai antiradang dan mampu mencegah jerawat yang tidak diingini selain mengawal lebihan pengeluaran minyak dan sebum pori-pori kulit wajah.

Untuk Hapuskan kedutan

Ramai yang tidak inginkan kulit kedut sebelum tiba masanya! Untuk mengekalkan keanjalan dan seri pada wajah sememangnya tidak sukar. Kehadiran antioksidan dalam kunyit dapat memelihara kecantikan kulit wajah.

Malah, kandungan nutrisi dalam kunyit juga didapati dapat melewatkan proses penuaan kulit dan menghapuskan kedutan selain merangsangkan kelembutan.

Baca lagi artikel cantik di sini:

Nutrisi Di Dalam Aloe Vera Bagus Untuk Kecantikan Kulit Wajah

Guna Mekap Kena Tahu Tarikh Luput. Daripada Nak Cantik, Timbul Masalah Lain

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Rahsia Skrub Kunyit

Bahan-bahan:

1 genggam beras (rendam 2 jam)
1 inci kunyit hidup
1 sudu jus lemon atau limau kasturi
1/2 cawan air
2 biji sengkuang Cina

Cara Membuat:

  1. Kesemua bahan dikisar hingga halus.
  2. Kemudian tuang dalam bekas bertutup dan biarkan selama 1 jam.
  3. Buang air di lapisan atas, ambil mendapannya sahaja.
  4. Sapu di muka sambil gosok-gosok seluruh muka kecuali bahagian mata. Biarkan lebih kurang 10 minit. Bilas bersih.
  5. Bakinya boleh disimpan di dalam peti sejuk. Lakukan dua kali seminggu untuk kesan maksimum.

Skrub Kunyit Dan Lidah Buaya

Bahan-bahan:

1/2 cawan gel lidah buaya

1/2 cawan air bersih

1 sudu teh serbuk kunyit

Cara membuat:

  1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk dan kacau sehingga sebati dan halus.
  2. Masukkan ke dalam bekas kiub ais dan bekukan di dalam peti sejuk.
  3. Pada waktu pagi, ambil beberapa ketul kiub ais itu dan gosok perlahan pada seluruh permukaan kulit wajah hingga ais mencair.
  4. Biarkan sehingga wajah separuh kering, kemudian bilas dengan air bersih.
Published by
Nurul Azwa