
Isteri akan mula stres dan bosan membuat kerja rumah bila suami enggan membantu. Tak semua suami faham apa kehendak sebenar seorang isteri, yang setiap hari hadap kerenah anak-anak, kemas rumah, fikir menu apa nak masak dan kadang pulun alih perabot demi mencipta bahagia.
Wahai suami, cubalah selami hati isteri untuk renungan bersama. Bacalah perkongsian daripada saudara Ehsan Halim ini.
Kadangkala isteri saya minta izin nak pergi beli barang dapur di pasaraya.
Saya kata wasap sahaja list nanti saya keluar belikan. Lagi senang. Dia tak letih.
Tapi tidak lama kemudian, saya fikir balik. Saya izinkan dia keluar pergi beli barang sendiri.
Maka keluarlah dia dengan anak sulung bersama. Tolak troli pasaraya beli barang. Anak yang nombor dua saya jaga di rumah.
Tidak berapa lama kemudian dia balik dengan wajah senyum sampai telinga. Bawa balik barang-barang dapur yang memang saya biasa beli. Bawang, biskut, telur dan lain-lain.
Katanya, seronok dapat keluar beli-beli barang. Dapat tolak troli dalam pasaraya tu hilangkan stress.
******
Begitulah isteri kita para suami sekalian. Kadangkala kita kena raikan sifat mereka ini.
Jadi isteri dengan anak-anak yang masih kecil sungguh meletihkan. Letih fizikal dan mental serta emosi.
Maka kitalah para suami kena sentiasa menyokong. Kalau kita balik rumah asyik mengadap handphone dan laptop sahaja lepas tu berfikiran kerja rumah dan anak ini kerja isteri kita, itu sangatlah silap.
Letih macam mana pun kita kerja di pejabat, tak akan sama letih isteri kita mengurus anak-anak kecil di rumah. Tu belum termasuk nak basuh baju, memasak, sapu sampah dan lain-lain lagi.
Pernah saya jaga 2 orang anak (seorang umur dekat dua tahun dan seorang lagi 3 bulan) di rumah. Isteri kena ke sekolah. Balik tengahari.
Penat dia tak terkata la. Sorang nak susu, sorang nak kena mandikan, nak makan la, nak dukung la. Exausted!
Maka begitulah isteri kita hadapi.
Jadi kalau kita para suami jenis tak buat kerja rumah di rumah. Tak suka bagi ruang pada isteri untuk dia raikan diri dia, anda jangan pelik jika isteri anda berperangai kasar dengan anda. Sebab dia ibarat gunung berapi yang nak meletup. Stress dan serabut dia tu ditahan-tahan.

So para suami anda kena letak mindset ni:
1. Sepenat mana kerja kita dia pejabat. Takkan dapat lawan penat isteri mengurus anak-anak dan rumah. Sebab mereka tiada office hour macam kita. Mereka kerja every hour.
2. Kena bagi ‘me time’ untuk isteri kita. Sekali sekala bawa gi shopping. Biar dia je beli barang dapur. Kita bagi duit.
3. Tiada istilah tolong isteri buat kerja rumah. Tapi yang betul adalah memang kita ‘sedang buat kerja kita’.kita basuh pinggan mangkuk tu sebab memang kita dah guna untuk makan. Kita basuh dan sidai baju sebab memang kita yang pakai baju tu. Kita urus anak sebab tu anak kita.
4.Isteri kita buka robot. Jadi banyakkan komunikasi dengan dia. Tidak perlu bagi cadangan penyelesaian sangat pun apa yang mereka cakapkan. Cukup jadi pendengar tanda kita prihatin dan sokong dia.
Sekadar perkongsian. Saya pun sedang belajar-belajar jadi suami mithali. Banyak juga silap. Semoga bermanfaat.
Sumber: Ehsan Halim
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Tak Selalu Ada, Kekal Positif Uruskan Anak Seorang Diri

Isi Kandungan
ToggleMemang tak mudah nak uruskan anak-anak seorang diri, bila suami tak selalu ada. Ada pasangan yang rezeki tinggal sebumbung dan ada yang terpaksa berjauhan demi tuntutan kerja. Dalam keadaan ini, ada masa tertentu memang membuatkan diri rasa letih dan amat penat, baik fizikal mahupun emosi. Segalanya perlu dilakukan secara bersendirian, menguruskan karenah dan ragam anak tanpa suami disisi.
Bagi mak-mak yang sedang menghadapi situasi ini, jemput baca perkongsian pengalaman dan tips daripada Puan Syahirah Omar ini sebagai panduan;
Harini masa sedang memandu hantar anak-anak pergi sekolah, teringat balik zaman lana luqman kecil dulu. Rutin sama saja setiap hari. Setiap pagi berperang nak siapkan anak ke sekolah. Sudahlah Lana tu istimewa, memang menangis setiap hari sebab penat handle seorang diri. Waktu tu daddy mereka di luar negara (Alhamdulillah semalam akhirnyaaaa balik Malaysia for good dah) balik setiap 3 bulan dan hanya 2 minggu.Hidup aku memang pada mulanya kelam kabut sebab menguruskan anak seorang diri.
Kisah hidup kita tak sama. Ada yang memang direzekikan suami untuk hidup bersama. Ada yang berpisah hidup.Ada yang kematian suami atau isteri.Ada yang berkongsi suami. Ada yang bersuami tetapi kaki PUBG.
Kadang-kadang baca di KRT ke page yang kisah rumahtangga tu memang la kalau korang duduk situ membawang tak jadi kerja. Tapi kalau korang tengok betul-betul, ramai sangat orang kat Malaysia ni berpotensi sakit mental kerana pelbagai tekanan.
Ada yang isteri di latih untuk menjadi ibu tunggal sejak mengandung lagi sampai kesudah penat menguruskan keluarga. Suami? Ada la siapkan diri sendiri. Lepak-lepak main PUBG. Macam nak gila si isteri setiap hari.
Apa yang Allah takdirkan kat kita ni ada yang kita tak mampu ubah pun.Kadang pergilah ceramah Dr Fazilah Kamsah bersama suami ke, Ustaz Ebit lew ke kalau tak berubah..tak berubah jugak lah. Communication perbaiki la macamana pun sama saja. Doa sajalah yang kita masih mampu buat sebab hanya Allah saja yang pegang hati manusia kan?
Tapi kita mampu ubah diri kita untuk sesuaikan diri dengan situasi. Macam aku, sampai sekarang tak selalu pun suami ada sekali atas komitmen kerja dan lain-lain. Jadi selama mereka kecil sampai ke harini aku perlu jadi independent.
Teringat cerita kakak yang hampir langgar kami sefamily waktu pagi tu. Dia penat mental fizikal 4 bulan menguruskan 3 orang anak seorang diri sebab suami tak selalu ada. Tengok dia tu teringat diri sendiri sebenarnya. Sebab tu aku faham sangat apa dia rasa. Aku tahu bukan senang pun nak buat semua tu.
Tapi aku nak kongsikan dengan semua yang sekasut dengan aku ni, tak kira la perempuan atau lelaki. Kalau bab ni kita struggle, memang tak mustahil rumahtangga kita akan kucar kacir kalau emosi kita tak stabil. Silap-silap kita tempik dan belasah anak hari-hari.
Satu yang kita kena faham, anak-anak pun ada emosi mereka. Rindukan ayah atau ibu, kurang kasih sayang, rasa insecure tak disayangi. Sebab tu emosi mereka pun tak ketahuan setiap pagi sebab mereka pun manusia kan?
Orang kata aku sejenis overthinking.Sejenis detaillllll semua benda. Sejenis yang kena PLAN betul-betul. Rilek rilek sudah la? Cuba ikut flow?
Aku memang dilatih untuk menjadi seorang yang detail sejak Lana umur 3 tahun. Sekarang dia 11 tahun. Aku MESTI plan hidup aku dengan baik walaupun memang Allah is the best planner tapi aku perlu atur masa aku supaya everything smooth InsyaAllah.
Kalau tak, aku menanggung kesedihan dan kepenatan seorang diri. Tak semua orang direzekikan ada support system yang baik. Kau mungkin ada mak ayah duduk dekat.kau mungkin ada pembantu rumah. Kau mungkin ada jiran baik hati bantu hantar anak sekolah. Betul?
11 Tips Kekal Positif Uruskan Anak Seorang Diri
So, untuk kekalkan hidup kau sentiasa positif dari pagi sampai ke malam hari, pertama sekali kau kena
1. Rancang Aktiviti Harian
Aku tak suka benda last minute. Semua ada dalam kalendar hp aku ni. Apa nak buat untuk seminggu aku dah rancang. Rancang bila kau nak kemas rumah, kemas rumah pun kau bahagikan mana yang harian mana mingguan. Kemudian bila kau nak buat laundry, bila kau nak siapkan baju sekolah anak-anak.
Contohnya baju sekolah iron seminggu siap. Setiap malam make sure anak check beg sekolah diaorang. Siapkan bekal anak botol air biskut semua siap-siap. Yang baby pulak baju diaper pun semua siap-siap.
*Sebab tu aku tak suka kalau orang datang mengejut. Nak datang cakap awal-awal sebab banyak benda nanti berubah tak seperti yang dirancang.
2. Hidup Tersusun
Bab makan contohnya. Kalau kau larat dan ada rezeki lebih nak makan luar, makan la jika lalu. Macam aku, bila aku terlalu penat aku memang makan kedai. Tapi ada masa aku memang masak je kat rumah. Siapkan pes frozen hujung minggu untuk mudahkan kau. Blend siap bawang cili kering. Ikan sayur pun kau dah asingkan ikut portion sekali masak. Selalunya weekend la kau kena buat semua ni.
Kalau nak keluar sabtu, malam jumaat tu kau dah siap buat laundry baju sekolah anak. Sabtu merambu, ahad iron baju.
3. Didik Anak Untuk Bantu
Ajar dieorang ni dari kecil buat kerja rumah.dari baby besar cinonet mayraa pun kau dah ajar kemas mainan. Lepas makan kutip nasi tumpah. Lepas tu ajar angkat buang sisa dalam tong sampah, ajar basuh pinggan. Baju kotor letak mana, sidai towel lepas mandi.Tempat tidur kemas. Nak ajar ni memang berbuih mulut tapi ajar je setiap hari.Remind je setiap hari. Macam budak-budak ni kalau bilik semak aku memang tanya je “Nak kawan dan tidur dengan tikus ke?” Terus kelam kabut kemas bilik.
Jadikan mereka seorang manusia bertanggungjawabbbb. Apa yang aku buat selalunya,dieorang ni ada kumpul point. Kalau berjaya follow semua rules aku, aku akan bagi reward time weekend. Bawak pegi kedai eco RM2.10 ambil 1 mainan pun dieorang dah happyyyyy terukkk.
Kalau dieorang tak follow rules aku takyah ngamuk. Aku tanya je “Mama rasa macam kena deduct je point lana luqman ni sebab tak sidai towel”.
4.Biasakan Anak Rasa Hidup Susah
Didik anak supaya dia belajar dari kesusahan. Jangan manjakan anak sentiasa. Biar mereka tahu yang hidup ni Allah akan sentiasa beri ujian. Kalau nak apa-apa minta dari Allah. Kalau sedih nangis istighfar kat Allah. Jangan semua benda anak nak kau bagi. Semua benda kau buatkan untuk dia. Biar dia nangis biar dia rasa dia tak boleh bergantung kat manusia kalau dia nak apa-apa. Actually kalau aku menangis dieoranglah ingatkan aku suruh istighfar sambil tenangkan aku, kau bukan kuat sentiasa kan?
5.Jaga Emosi Diri Dan Anak
Emosi kita ni kena cantik. Aku ada share sebelum ni macamana nak kekal positif kan. Emosi kita cantik emosi anak akan cantik. Bila kau stress emosi anak kau huru hara sangat tau? Meragam melekat merengek.
Setiap malam kau peluk anak-anak, cium mereka. Beritahu kau sayang sangat mereka. Beritahu esok semua kena happy dan behave. Baca doa bersama. Kemudian make sure mereka tidur awal jam 9.30 malam supaya tidur mereka cukup. Beritahu mereka esok mereka kena bangun awal solat subuh dan bersiap ke sekolah.
Beritahu mereka siapa siap awal boleh tengok tv kejap 10 minutes tapi sebelum tengok beyblade ke apa ke kau kena dengar surah hafazan berulang kali dulu. Kemudian beritahu tepat jam sekian-sekian kita semua akan turun untuk pergi sekolah. Kau tanam siap-siap dalam kepala mereka.
Kemudian kau tanam pulak dalam kepala kau.
Lepas kau dah maafkan semua orang, kau dah buat list buang semua masalah kau( rujuk post aku yang sebelum ni) kemudian kau imagine diri kau bangun pukul berapa kau nak. Imagine siap-siap kau mood happy, ceria, kau bersiap..anak-anak semua happy. Sekarang ni kau tengah cuba beritahu otak kau begitu sebab InsyaAllah otak kau akan menggerakkan badan kau untuk buat seperti apa yang kau fikir. Sebab tu kena fikir bebaik je. Jangan kau fikir ” yaAllahhh esok pagiii confirmm anak aku ngamukkk”. Ngamuk la jadinya
And imagine jugaklah kau sabar kalau anak kau meragam. Macam aku..Mayraa tu ada hari berangin taknak pakai kasut lah, taknak stroller lah. Contohnya harini, aku kena dukung dia turun bawah sambil bawa banyak barang tapi takpelah sebab mood aku stabil aku berjaya control kemarahan tu. Alhamdulillah.
6. Kurangkan Screen (Gadget)
Aku tak tahulah maybe ramai yang tak setuju. tapi gadget ni memang buat jiwa anak aku kacau bilau. Serius cakap, bebudak ni tak main wey hp. Mayraa tu ada kalanya masa driving aku bagi kejap 10 minutes sb dia dah nangis nak menyusu. Sementara aku nak stop ketepi aku bagi.tapi lagi 2 ketul aku memang tak bagi.
Sebab? Dieorang tak fokus masa belajar. Dieorang mula bebai bebai bila aku suruh buat kerja. Kepala tu asyik ingat hp je kan? Asyik fikir game jer. So aku memang jaga bab ni sebab kalau dieorang mood tak baik memang habislah kehidupan aku seharian tu sebab marah-marah anak.
Orang kata bagilah sebagai reward, aku rasa banyak lagi benda yang boleh dijadikan reward. Dan untuk diri sendiriii..kalau tengah stress penat kau jangan la asyik mengadap hp. Tu lagi mengundang emosi tak stabilllll.
7. Solat Berjemaah Dana Wujudkan Persekitaran Mengingati Allah
Kalau ada bapak diaorang memang kami ke masjid bersama-sama.Kalau takde aku akan bawa je mereka ke surau rumah ni. Tak hari-hari pun tak apa. Kemudian, aku solat bergilir dengan Lana. Bila aku solat dia jaga Mayraa.

Kat rumah luqman akan jadi imam untuk lana dan mayraa. Aku monitor je mereka solat bersama. Kemudian buat hafazan bersama mereka. Cari satu waktu yang paling sesuai. Kadang-kadang sambil aku iron baju kami buat hafazan bersama.
8.Buat Suprise Untuk Anak
Sesekali kau buat kejutan kat mereka. Beli la apa yang murah-murah tu. Masuk kereta je bagi kejutan kat mereka.Kau akan ingat selalu muka happy mereka tu tau. Kadang-kadang bagilah masa nak tidur. Tak payah mahal -mahal pun tak apa. Mereka sudahlah kurang kasih sayang, buat la mereka selalu rasa disayangi. Alaa..kadang-kadang petik je bunga lalang tu.anak aku punya seronok tak kira dapat bunga.
9. Biasakan Letak Allah Yang Pertama Dalam Segala Hal
Dari pagi lagi kau bagi salam masa kejut mereka. Pagi pastikan mereka solat subuh dulu sebelum ke sekolah. Pagi pastikan mereka baca doa naik kenderaan bersama. Pagi pastikan kau cakap kat mereka..kalau mereka behave dan follow semua cakap cikgu dan mama, Allah, Rasulallah, mama sayang sangat mereka. Buat baik masuk syurga. Kau kena banyak bercakap dengan mereka 2 kali ganda banyakkk sebab mereka hanya bercakap dengan kau saja di rumah.
10. Rapatkan Yang Jauh
Mereka ni bila ada masa aku videocall la supaya mereka cakap dengan daddy mereka.zaman lana luqman kecik dulu kena pakai webcam lagi. Kalau bapak dieorang busy, time zone dah tak sama sepasal, anak tidur bapaknya baru petang.. kau pujuk la mereka untuk sembang dengan daddy esok pulak. Beritahu harini ada hal tak dapat elakkan. Mintalah bapak dieorang hantar gambar ke voice msg ke.
Tapi untuk pasangan yang dah meninggal..Allah.. kau peluklah mereka selalu. Aku selalu kuat bila aku fikir yang satu ni. Bila aku nak rebah aku fikir apa la anak-anak aku rasa kalau tak jumpa bapak mereka sampai bila-bila. Yang lalui situasi begini aku nak cakap korang memang sangat hebat.Allah sayang sangat korang. Allah uji sebab korang memang hebat dan sangat kuat.
11. Rawat Diri Sendiri
Kau makan la supplement untuk antibodi. Madu ke habatussauda ke terpulang. Ada masa kau pergilah lepak masjid dengar kuliah. Kemudian kau carilah masa untuk kau minum sorang, makan sorang. Kau belilah apa-apa untuk reward diri kau. Kau beli la scrub and lotion. Cari masa untuk diri kau sendiri. Serius la wey nak sapu lotion pun tak sempat tau kalau dah semua sendiri. Ada masa kau nak tonyoh daki pun tak sempat, mandilah lama-lama sikit sejukkan diri.
Kau bukak la ceramah kat youtube tu.cuba kau dengar apa-apa yang boleh menaikkan motivasi diri. Carilah ilmu bagaimana nak kawal emosi. Kau kena rajin membaca.
Sesekali kalau boleh kau berjalan la keluarkan peluh.aku tak tahulah bila masa kau nak bersenam.tapi kalau dengan berjalan tu buatkan kau mengeluarkan peluh, kau jalan lah.
Aku harap membantulah apa yang aku share ni. Semua orang buat benda yang sama pun rasanya. Tapi kalau kau rasa kau dah cukup susah, fikirlah insan yang jauh lebihhh susah.
Kalau kau rasa penat diuji ada anak special sorang..kau fikirlah orang lain yang diuji ramai anak istimewa dan ibu tunggal pulak tu?
Kalau kau rasa suami kau sibuk, fikirlah kau masih ada suami banding orang lain.
Apa-apa pun kita saja boleh ubah diri kita.Cara kita berfikir. Sesekali confirmmmm kau terjatuh dan penat terduduk. Sebab kau bukan robot. Tapi bangkitlah demi anak-anak. Seiring dengan motto kehidupan kita, “Kat dunia ni lah tempat kau berpenat lelah. Kat Syurga nanti kau rehatlah sepuasnya.”
MW: Perkongsian tips yang sangat bermanfaat untuk diamalkan. Semoga menjadi panduan buat isteri dan mak-mak yang ketika ini perlu menjaga anak-anak seorang diri, kerana berjauhan dengan suami.
Sumber: Syahirah Omar
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Orang Kata Lebih Baik Dapat Suami Pendiam Dari Mulut Longkang, Tapi Sunyi Kot

Bagaimana cara berkomunikasi dengan lelaki atau suami yang pendiam? Kadang-kadang buntu rasa fikiran bagaimana nak bagi topik agar suami yang berat mulut bercakap. Habiskan masa sehari dengan suami yang berat mulut ibarat dan pendiam, ibarat habiskan masa setahun, sukar untuk mereka luahkan kata-kata.
Ternyata ramai juga suami yang berat mulut atau pendiam ni, 20 patah perkataan isteri tanya soalan, sepatah jer jawapan dia. Runsing-runsing. Biar pun tak ramai lelaki seperti ini, tapi wujud tau golongan sebegini. Hanya bercakap bila perlu sahaja. Bersama Dr Ben Fadzil kita ketahui bagaimana cara berkomunikasi dengan pasangan pendiam.
Komunikasi adalah satu cara perhubungan yang sangat penting di dalam segala jenis perhubungan. Komunikasi adalah cara terbaik untuk memahami dan mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam minda dan perasaan seseorang dan juga memahami emosi teman anda.
Tetapi bagi situasi suami yang pendiam, anda harus berkomunikasi dengan cara yang berlainan. Ini termasuk, si suami menunjukkan yang dia juga sensitif dan menyayangi isterinya dengan cara berbeza dan caranya yang tersendiri.
“Untuk berkomunikasi dengan suami pendiam ini, seorang isteri perlu mendampingi suami mereka bersama anak-anak dan hendaklah memberi seluruh perhatiannya kepada suami tersebut. Selain itu, isteri perlu berada di hadapan suami sentiasa seperti meminta di kasihi dan dibelai (supplicate) walaupun sering kali akan dikecewakan oleh suami tersebut,” tambahnya lagi.
Seorang isteri juga perlu memulakan perbualan, walaupun tidak penting, sekadar memulakan perbincangan. Jangan melanggar egonya dengan memarahi suami tersebut dengan mengatakan dia pendiam dan tak pandai berkomunikasi kerana ini akan menyebabkan dia terus berdiam malah dia hendak lah dilayan dengan perbualan yangbanyak bertanya. Berbual lah apa saja asalkan dia bercakap. Jangan bertanya kenapa dia diam, tetapi tanya bagaimana dia boleh mengambil bahagian dalam menyelesaikan masaalah.
Seringkali ajaklah dia berbual sebelum dia masuk tidur, menonton televisyen bersama, membiarkan dia membuat komen dan menyoal tentang apa yang berlaku. Selain itu, minta anak-anak banyak bertanya dengan bapanya dan jangan menjadi jurucakap bagi pihak suami. Biarkan suami banyak menyelesaikan masaalah dan buat lah diri suami itu seperti seorang yang amat penting.
Kaji sikap Suami Pendiam
Jelas Dr Ben lagi, memiliki suami yang pendiam ada lah pilihan sendiri dan tiada siapa yang memaksa. Ini adalah kesilapan setiap isteri yang telah mengetahui keadaan sebenar tabiat suami yang pendiam.
Sebelum berkahwin, isteri mungkin merasakan bahawa dia mampu menukar sikap suami dari seorang yang pendiam kepada seorang yang ceria selepas berkahwin. Angappan yang salah begini memang sering akan mengecewakan setiap isteri.
Sikap suami pendiam perlu dikaji dengan mendalam akan sebab-sebabnya sama ada daripada keluarga suami hingga kepada perkara apa yang sebenarnya telah berlaku pada suami.
“Sikap berdiam diri bukanlah satu sikap semula jadi pada setiap lelaki. Ia adalah sikap yang dibina sendiri oleh suami tersebut. Sama ada daripada tidak mahu melayan sehingga kepada situasi bosan nak layan.
“Adakala nya suami tidak mau layan sebab selalu dianggap tidak pandai dalam sesuatu perkara dan lebih baik dia mendiamkan diri sahaja dari bercakap banyak, kerana dengan cara begini, ianya adalah lebih selamat,”ujarnya lagi.
Di samping itu, menurut Dr Ben untuk membahagia atau menceriakan rumah tangga boleh dilakukan menerusi beberapa cara iaitu:
– Isteri hendaklah banyak memainkan peranan sebagai pendengar daripada banyak bercakap.
– Isteri hendaklah lebih mendengar daripada banyak membuat kesimpulan apabila suami mula bercakap. Tidak semua suami inginkan isteri bercakap bagi pihak suami. Perkara seperti ini akan membosankankan setiap suami.
– Lebih baik apabila setiap isteri bertanyakan pendapat atau meminta nasihat daripada suami dari isteri memberi pendapat dan nasihat tanpa diminta oleh suami.
Isteri Mulai Bosan Dengan Suami Pendiam

Biar pun masalah ini menjadi masalah yang ringan pada peringkat permulaan, namun jika suami masih tidak berubah sikap. Perkara ini akan memberi kesan buruk kepada hubungan suami, isteri. Antaranya kesannya ialah:
- Isteri Letakkan Kesalahan Pada Suami
Jika suami terlalu pendiam, isteri akan merasa bosan dan merana di dalam mengharapkan sesuatu kominikasi. Isteri akan menyalahkan setiap kesalahan pada suami sehingga tidak mahu mengambil berat terhadap keluaraga.
- Isteri Rasa Tertekan
Isteri juga akan rasa stres dan sering keseorangan disebabkan sunyi sepi di dalam perhubungan kekeluargaan. Setiap perbualan harus memberi tindak balas emosi dan tindakan emosi ini adalah amat penting.
- Timbul Perbalahan
Seorang suami mungkin merasakan tiada apa yang mahu dibualkan dan sebarang bualan adalah seperti membuang masanya. Tetapi perkara ini mungkin akan menimbulkan perbalahan. Setiap isteri harus memahami kenapa suami itu mendiamkan diri.
- Tidak Berlaku Perbalahan
Setiap isteri memerlukan sesuatu interaksi dan mungkin memerlukan sedikit perbalahan untuk menyemarakkan lagi kasih sayang pasangan tersebut. Setiap perhubungan memerlukan sedikit perbalahan yang selamat untuk mengetahui perasaan pasangan masing-masing. Perbalahan yang selamat sering kali akan membawa kepada keeratan kekeluargaan. Dengan suami yang pendiam, perbalahan tidak mungkin akan berlaku.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kesan Nikah Siam Dan Nikah Sindiket, Masalah Menanti Di Kemudian Hari

Isi Kandungan
ToggleKesan dan akibat menjalankan pernikahan di sempadan atau menerusi sindiket tak boleh dipandang ringan. Wanita kena ambil tahu agar tidak tertipu dan menanggung masalah lebih besar pada masa akan datang,
“Betul kata puan, saya nikah di Seremban tapi diuruskan oleh pegawai JAIS dan dapat surat nikah JAIS. Bila dah cerai ni, saya nak daftar kes, baru tau surat nikah tu palsu…” – perkongsian seorang klien yang menyangka nikahnya selamat sebab tak bernikah di Siam.
Kes Berbeza
Realitinya, terdapat dua kes yang berbeza berkaitan kahwin di Siam tersebut. Pertama, sekiranya nikah tersebut dilakukan di wilayah Thailand oleh mereka yang ditauliahkan oleh Kerajaan Malaysia.
Maka permohonan boleh dilakukan di pejabat agama daerah terdekat dalam tempoh enam bulan dari tarikh perkahwinan untuk mendapatkan pengesahan dan mendaftarkan perkahwinan tersebut. Denda juga akan dikenakan terhadap pasangan ini kerana berkahwin di luar negara tanpa kebenaran.
Kedua, perkahwinan dilakukan di wilayah Thailand oleh mereka yang tidak bertauliah. Ia akan merumitkan keadaan untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak Thailand juga kerana dibimbangi pernikahan tersebut tidak sah. Apabila keadaan ini berlaku maka ianya akan dikendalikan oleh Unit Penguatkuasa.
Baca artikel lain di sini:
Remaja Lelaki 18 Tahun Nekad NIKAH 2 Isteri Dalam 2 Minggu!
Setia Dengan Pasangan Lebih Mudah, BAHAGIA. Kalau Curang Hidup Tak Tenang!
Kalau Tahu Kesannya
Sebagai peringatan kepada golongan wanita malah gadis, elakkan perkahwinan yang melanggar undang-undang terutamanya yang melibatkan nikah di sempadan. Ia akan membawa kesan yang buruk di belakang hari.
Namun, kepada mereka yang telah melakukannya, pastikan perkahwinan itu mendapat pengesahan pihak berkuasa tempatan dan didaftarkan. Ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku di masa depan kerana perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah akan menghalang seseorang isteri menuntut sebarang hak di dalam perkahwinannya apatah lagi selepas perkahwinannya.
Tak Perlu Lalui Prosedur Undang-Undang
Cara nikah yang menjadi pilihan kebanyakan pasangan kebelakangan ini juga ialah perkahwinan yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertauliah atau bertauliah tetapi tidak perlu melalui prosedur ditetapkan undang-undang. Ini yang dinamakan nikah atau kahwin sindiket.
Perkahwinan ini dijalankan di kawasan sempadan Thailand atau di mana-mana kawasan lain di Malaysia oleh satu kumpulan atau orang perseorangan yang tidak mendapat kebenaran menjalankan upacara pernikahan daripada pihak berkuasa kerajaan.
Kebiasaannya, kumpulan atau orang perseorangan ini akan menyediakan segala kemudahan untuk pasangan melangsungkan perkahwinan termasuk menyediakan saksi dan wali untuk pihak perempuan.
Kesan Bila Perkahwinan Diragui
Masalah akan timbul kerana perkahwinan ini adalah diragui kesahihannya dan tidak dapat didaftarkan kerana surat perakuan nikah yang dikeluarkan adalah palsu. Sebagai contoh, perkahwinan dijalankan di sempadan Kedah/ Thailand tetapi sijil perakuan yang dikeluarkan ialah sijil negeri Perak.
Terdapat dua kesan yang berbeza berkaitan dengan kahwin sindiket ini. Sekiranya perkahwinan itu melibatkan wali yang sah maka perkahwinan tersebut adalah dianggap sebagai sah di sisi syarak. Perkahwinan ini hendaklah didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk di pejabat agama yang berdekatan.
Kesan Buruk jika Berlaku Cerai
Kegagalan melakukan pendaftaran ini boleh menyebabkan implikasi yang lebih buruk pada masa hadapan terutamanya jika berlaku perceraian. Sebagai contoh, isteri tidak berhak menuntut sebarang hak daripada suaminya kerana tiada rekod pendaftaran perkahwinan antara mereka.

Sekiranya perkahwinan itu dijalankan menggunakan wali yang diragui sah maka perkahwinan tersebut juga diragui kesahihannya. Apabila keadaan ini berlaku maka akan timbul masalah untuk mendaftarkan perkahwinan itu. Satu siasatan terperinci terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak.
Jika didapati perkahwinan itu sah, maka pendaftaran akan dijalankan dan denda akan dikenakan kepada pasangan terlibat. Sebaliknya jika dibuktikan perkahwinan itu tidak sah, maka perintah ‘farak’ iaitu pengasingan antara suami isteri terlibat akan dikeluarkan. Pasangan ini hanya akan disatukan semula melalui akad nikah baru yang pasti kesahihannya.
Prosesnya Hampir Sama
Secara teorinya, proses perkahwinan secara sindiket adalah hampir sama dengan proses perkahwinan biasa. Namun, terdapat perbezaan dari segi praktikalnya. Di dalam perkahwinan biasa, pasangan pengantin yang perlu menyediakan wali dan saksi sebaliknya di dalam perkahwinan sindiket, kebiasaannya, wali dan saksi disediakan.
Kos bayaran bagi kahwin sindiket juga tinggi iaitu mencapai RM 3000.00 berbanding dengan kahwin biasa yang hanya menelan belanja antara 1% hingga 5% daripadanya. Contohnya di Selangor, kos yang dikenakan ialah sekitar RM 150.00.
Perkahwinan sindiket tidak melibatkan sebarang urusan dengan Jabatan Agama Islam sebaliknya perkahwinan biasa perlu didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Daerah.
Saya merayu kepada anak gadis dan kaum wanita, jangan terlibat dengan nikah di Siam atau nikah sindiket. Jika si lelaki benar cinta, pastikan anda menjadi miliknya dengan cara yang dijamin mudah, bukan hanya untuk hari nikah tapi juga hari-hari selepasnya.
Sumber: Suzana Ghazali
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI