Dari kecil, kerjaya sebagai wartawan atau media tidak pernah terlintas di fikiran. Maklumlah pelajar aliran Ekonomi sepertiku lebih tertarik dengan perkembangan melibatkan kewangan.
Malah sejak di bangku sekolah, aku sebenarnya bercita-cita menjadi pakar ekonomi. Ha!Ha! Tapi lain pula jadinya.
Namun begitu di satu sisi yang lain, rupanya baruku sedar diri ini gemar juga berkarya. Kata orang, dalam hati ada taman. Jiwang giler. Usai tamat pengajian, aku bergelar wartawan. Rutin kerja memang padat, aku perlu bergerak aktif dan berfikir di luar kotak.
Masa bujang dulu okaylah tapi bila sudah berkahwin dan punya anak, aku perlu bijak bahagi masa.
Walau sesibuk manapun, aku pastikan anak-anak dan suami tidak terabai. Bukan senang menjadi ibu bekerjaya, memang kena banyak berkorban.
Habis kerja, bekejar pulang ke rumah. Walaupun penat sangat menempuh jam. Aku tetap gagahkan diri demi keluarga. Ketika sampai di kawasan perumahan, aku sudah mengambil mood.
Senyum lebar sendirian (mesti driver lain ingat aku gila) dan buang jauh-jauh masalah kerja yang menyesak fikiran.
Baru sahaja parking kereta, suara anak-anak sudah bergema satu rumah. Yang sorang minta susu, yang bongsu nak dukung, anak sulung pula mahu disuap makan.
Manakala anak kedua merengek minta mainan. Aku yang vouge tadi di pejabat dengan dress potongan princess terus jadi serabai. Hu! Hu!
Belum sempat melepaskan lelah, sudah diserbu anak-anak. Aku simpan letih dan lelah, aku layan kerenah anak-anak.
Kadang-kadang rasa macam nak tongkat mata dengan mancis tatkala menemani anak-anak menyiapkan kerja sekolah, maklumlah mamanya dah mengantuk sangat.
Bila anak-anak sudah tidur, giliran suami pula tagih perhatian. Time-time tu lah dia nak air kopi panas. Hasrat nak berehat terbantut, penuhi pula permintaan encik suami.
Naik ke bilik konon nak baca buku, sudahnya terbongkang. Sedar-sedar jam sudah jam 2 pagi, ini yang sering terjadi. Apa lagi kelam kabut bangun tunaikan solat Isyak.
Di sebalik kekalutan dan kesempitan ruang ini, aku tetap berusaha memberikan yang terbaik untuk suami dan anak-anak.
Seharian anak di sekolah, di rumah pengasuh jadi sudah tentu mereka dahagakan perhatian dan kasih sayang. Jadi kepada ibu bekerjaya di luar sana, bertabahlah ye.
Rutin aku sejak dulu, walau terkejar-kejar macam mana pun mesti cium dan peluk anak-anak waktu pagi ketika mereka keluar rumah dan cium mereka ketika kita pulang ke rumah.
Biar anak pergi sekolah atau ke rumah pengasuh dengan kehangatan kasih sayang. Biar mereka rindu-rindukan ciuman dan pelukan kita.
Percayalah sentuhan dan kasih sayang inilah yang membuatkan anak-anak ‘dekat’ dengan kita. Walaupun kini anak sulung aku sudah tujuh tahun, dia masih manja, masih mahu dicium (kadang geli hati juga pasal dia lelaki).
Ciuman rindu inilah yang mengikat kami sekeluarga. Jangan lupa juga cium tangan suami sebelum keluar bekerja, cium-cium yang lain tidak perlulah aku huraikan! 🙂