Rahim Terbalik Adalah Variasi Kejadian Normal, Bukanlah Penyebab Kesukaran Untuk Hamil!

Rahim Terbalik Adalah Variasi Kejadian Normal, Bukanlah Penyebab Kesukaran Untuk Hamil!
Gambar sekadar hiasan

Doktor betul ke rahim saya terbalik”

“Melalui scan yang kita buat tadi, nampak rahim puan mengadap ke belakang atau lebih dikenali sebagai retroverted”.

“Maksudnya saya kena bedah ke doktor?”

“Eh..kenapa pula nak bedah? Puan tidak ada apa- apa symptom kenapa nak bedah?”

“Oh sebab saya baca, kalau rahim terbalik maka saya akan sukar hamil. Ada yang menyatakan kena bedah betulkan kedudukan rahim dahulu baru boleh mengandung”.

“Erm rahim terbalik atau juga dikenali sebagai retroverted uterus ini sebenarnya adalah variasi yang ada. Kalau kita lihat dari 5 wanita, mungkin seorang daripada mereka mempunyai retroverted uterus.

“Ianya seperti ada orang hidung mancung ada orang hidung tak mancung sangat. Macam itu juga rahim. Rahim terbalik tidak semestinya akan menganggu fungsi rahim tersebut”.

“Maksudnya ianya hanyalah perbezaan posisi sahaja. Maksudnya saya memang dilahirkan macam ini”.

“Ya betul tu puan. Maksudnya memang sejak dilahirkan begini. Sebab puan tidak ada apa- apa penyakit. Namun begitu, bagi sesetengah wanita posisi rahim boleh terganggu sekiranya terdapat parut berlaku akibat endometriosis, jangkitan atau parut selepas pembedahan.

“Begitu juga dengan ketumbuhan fibroid, sekiranya fibroid itu besar ia boleh menganggu bentuk rahim tersebut. Maka sekiranya inilah sebab mengapa kesukaran kehamilan berlaku, maka rawatan perlu diberikan.

“Oh. Maksudnya rawatan hanya pada mereka yang mempunyai sebab mengapa rahim tidak berada dalam kedudukan normal ya doktor?”

“Ya betul. Dan bukan semua rawatan rahim terbalik ini memerlukan pembedahan. Masyarakat kena faham dalam rawatan kesuburan, fokus yang utama adalah untuk membantu wanita hamil. Dan bukannya untuk mengubah posisi rahim yang di kebanyakan situasi adalah dianggap variasi yang normal”.

Rahim Terbalik Adalah Variasi Normal

Perbualan antara pesakit dan doktor di atas mungkin pernah diutarakan oleh wanita bergelar isteri yang mahu mendapatkan cahaya mata.

Rahim Terbalik Adalah Variasi Kejadian Normal, Bukanlah Penyebab Kesukaran Untuk Hamil!
Pakar Fertiliti & Sakit Puan, Dr Salleha Khalid

Menurut Pakar Fertiliti Dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea, Dr Salleha Khalid, rahim terbalik adalah variasi normal.

Dianggarkan 1 dari 5 wanita mempunyai rahim terbalik (retroverted uterus). Retroverted uterus berlaku apabila rahim condong ke belakang. Di kebanyakan wanita, rahim akan condong ke hadapan ke arah pundi kencing.

Namun ada juga yang mempunyai rahim yang condong ke belakang, ke arah usus besar. Ini adalah variasi normal. Sebagaimana setiap individu mempunyai bentuk muka yang berbeza, begitu jugalah rahim.

Sebelum ini ramai yang berpendapat bahawa rahim yang condong ke belakang, atau retroverted akan sukar untuk hamil. Ini adalah tidak benar. Kajian menunjukkan mempunyai rahim yang condong ke belakang tidak akan menyukarkan kehamilan.

Tidak kiralah sama ada rahim condong ke hadapan atau ke belakang, sperma masih mampu bergerak di dalam rahim dan terus ke tiub fallopio untuk bersenyawa dengan telur.

Apakah Tanda- Tanda Seseorang Wanita Mempunyai Rahim Terbalik?

Kebanyakan wanita tidak mempunyai apa- apa tanda. Namun sesetengah wanita yang mempunyai rahim terbalik boleh merasakan tidak selesa atau sakit apabila bersama suami. Jika ini berlaku, anda perlu mencuba posisi- posisi lain ketika bersama suami.

Bagi wanita yang menggunakan tampon, anda mungkin mengalami kesukaran untuk meletakkan tampon ke dalam faraj.

Sekiranya wanita yang mempunyai rahim terbalik melakukan saringan pap smear, doktor atau jururawat terlatih mungkin menyatakan yang pangkal rahim (cervix) berada di bahagian ‘depan’ (anterior cervix).

Bolehkah Rahim Terbalik Ini Disebabkan Oleh Penyakit Lain?

Bagi segelintir wanita, mereka mempunyai rahim terbalik disebabkan oleh penyakit tertentu yang menyebabkan berlakunya parut dalaman (adhesions) akibat dari penyakit tersebut. Ini termasuklah penyakit endometrisosis iaitu sejenis radang di dalam pelvis wanita yang boleh menyebabkan parut berlaku.

Begitu juga dengan jangkitan di pelvis (Pelvic Inflammatory Disease, PID). Selain daripada itu fibroid dan pembedahan di pelvis sebelum ini boleh juga meninggalkan parut sekaligus menukarkan posisi rahim tersebut.

Parut yang terbentuk menyebabkan organ di pelvis termasuklah rahim melekat dan mengambil posisi tertentu sehingga ianya tidak lagi berada dalam kedudukan yang normal. Sekiranya ini berlaku, maka rawatan kesuburan adalah tertumpu kepada penyebab berlakunya lekatan atau parut tersebut dan bukannya membetulkan kedudukan rahim tersebut.

Kebanyakan wanita yang mempunyai endometriosis atau jangkitan pelvis akan mempunyai simptom tertentu. Bagi mereka yang mempunyai endometriosis, mereka akan mempunyai senggugut atau cyst di ovary (endometrioma) ataupun tiub fallopio bengkak atau tersumbat.

Bagi mereka yang mempunyai jangkitan pelvis, mereka mungkin mempunyai keputihan yang banyak, sakit di pelvis dan ada yang demam akibat jangkitan.

Baca Sini Juga:

perkongsian-cara-penjagaan-rahim-oleh-pakar-sakit-puan-dr-hamid-arshat-

doktor-ini-jelaskan-kesan-jangkitan-covid-19-terhadap-ibu-hamil-bayi-yang-dikandung

Bagaimana Pula Sekiranya Mengandung Bagi Wanita Yang Mempunyai Rahim Terbalik?

Kebanyakan wanita yang mempunyai rahim terbalik dan mengandung tidak mempunyai apa- apa masalah ketika mengandung. Sesetengah wanita boleh merasa sakit belakang atau susah untuk kencing akibat dari posisi rahim yang terbalik.

Namun begitu, apabila mengandung rahim yang terbalik akan membesar dan kecondongannya itu akan menegak ke hadapan apabila kandungan dan rahim membesar. Ini berlaku antara 10- 12 minggu usia kandungan. Seterusnya rahim akan membesar seperti wanita lain.

Komplikasi rahim terbalik ketika mengandung amat jarang sekali berlaku. Kajian menunjukkan 1 dari 3,000 ke 1 dari 10, 000 wanita yang mempunyai rahim terbalik apabila hamil boleh mengalami apa yang dikatakan ‘incarcerated uterus’.

Ia berlaku apabila rahim yang membesar ketika hamil ‘tersekat’ antara tulang belakang dan tulang pinggul. Tanda- tanda ianya terjadi adalah kepayahan untuk buang air kecil dan besar, sakit di bahagian bawah atau dubur.

Wanita yang berisiko untuk mengalami incarcerated uterus adalah mereka yang mempunyai lekatan atau parut di pelvis akibat endomteriosis, PID, fibroid atau parut selepas pembedahan.

Sekiranya ia berlaku, doktor akan membuat teknik urutan tertentu bagi membetulkan posisi rahim tersebut.

Rahim Terbalik Adalah Variasi Kejadian Normal, Bukanlah Penyebab Kesukaran Untuk Hamil!

Bukan Suatu Jenis Penyakit

Kesimpulan yang dapat dibuat di sini adalah, rahim terbalik bukanlah suatu jenis penyakit. Rahim terbalik adalah variasi kejadian yang normal. Rahim terbalik bukanlah penyebab kesukaran untuk hamil.

Wanita yang mempunyai rahim terbalik akibat endometriosis atau penyakit yang lain, rawatan akan ditumpukan untuk merawat penyakit tersebut.

Namun begitu sekiranya terdapat sebarang persoalan atau keraguan anda digalakkan untuk bertanya dan berbincang dengan doktor pakar fertiliti. Semoga segala urusan dan usaha anda dipermudahkanNya.

MW: Dr Salleha Khalid merupakan Pakar Fertiliti dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea dan pada masa yang sama turut menulis berkenaan isu kesuburan di www.kernamu.com