Penyampai radio Era, Radin Amir Effendi mengambil inisiatif sendiri dengan melelong sebahagian daripada koleksi kasut peribadinya esok, jam 9 malam menerusi platform Live akaun instagram peribadinya. Jelas Radin lagi ketika dihubungi MW sebentar tadi, wang terkumpul daripada jualan kasut itu nanti 100 peratus akan disalurkan untuk dana membantu frontliners.
Lelongan Amal – “Kita bukan kaya, tapi kita pernah merasa tiada”
Assalamualaikum, dalam fasa ke-3 PKP susulan wabak COVID 19. Saya tahu, ramai yang terkesan & kehilangan punca pendapatan untuk diri sendiri & ahli keluarga.
Jadi, saya terfikir untuk melelong sebahagian daripada koleksi kasut saya & 100% hasil jualan akan disumbangkan kepada yang memerlukan & juga membantu untuk membeli keperluan asas seperti hand sanitiser dan face mask untuk frontliners.
Lelongan Amal ini akan berlangsung esok, Isnin, jam 9 malam di Instagram saya. Saya bukan kaya, tapi saya pernah merasa tiada.
Tambah Radin lagi menerusi satu klip video ringkas di instagramnya siang tadi, “Kasut saya saiz UK8, dalam sesi lelongan esok Live di instagram saya, beberapa soalan fakta akan diberikan. Setiap jawapan yang betul hadiahnya bernilai RM10, RM20, RM 30, RM50 ataupun RM100. Pemenang bertuah akan saya ‘dm’ secara peribadi.
“Pemenang juga boleh memilih sama ada untuk wang itu dikreditkan ke akaun milik mereka ataupun jika pemenang itu bermurah hati, wang kemenangan itu boleh juga didermakan untuk misi amal ini,”terang Radin dan mengharap usahanya ini sedikit sebanyak dapat membantu membeli keperluan seperti face mask dan hand sanitiser untuk kegunaan frontliners.
MW memuji usaha murni Radin ini, tak kiralah kecil atau besar sumbangannya nanti…apa yang penting kesedaran beliau menyumbang sesuatu untuk membantu pihak yang memerlukan wajar dicontohi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dengar Lagu Raya Air Mata Meleleh, Ayah Sedih Teringatkan Zahir
“Bila lagu raya berkumandang, air mata meleleh. Rasa aku nak tutup dan tak mahu dengar. Sebab membuatkan aku makin rindu dan sedih teringat dekat Zahir.”
Setiap hari, ayah anak 8 tahun, Muhammad Zahiruddin Putra Bin Mohd Fauzi dilaporkan hilang pada 16 April lalu akan up-date status pencarian anaknya itu.
Semakin hari, semakin menekan emosi dan perasaannya. Rindunya ayah ini, Mohd Fauzi Bin Abdul Ghaffar tak dapat ditahan lagi. Sudah masuk 24 Ramadan, Zahir masih juga belum pulang.
Lagi beberapa hari nak sambut 1 Syawal. Kata ayahnya, “saya selalu update di fb mengenai Zahir. Mana tahu ada yang ternampak Zahir di mana-mana.”
“Saya juga masih menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu mencari Zahir. Ustaz dan juga pengamal perubatan yang lain.”
Kehilangan Zahir Buat Ayah Makin Sedih Dan Tertekan
Akuinya, dalam usaha mencari anaknya itu dia tetap berdepan dengan tekanan yang berlebihan. Sukar untuknya fokus kepada hal lain disebabkan kehilangan Zahir.
“Kewangan berkurangan, pencarian Zahir memerlukan wang apabila meminta bantuan dari pengamal perubatan.” Luah bapa ini yang disahkan menghidap prolapsed disc.
“Saya masih menerima rawatan di klinik pakar Hospital Serdang. Boleh berjalan cuma tak boleh berjalan jauh dan tak boleh berdiri lama. Boleh duduk di kerusi saja.”
“Dulu saya guna kerusi roda. Selepas berubat cara kampung dah boleh berjalan. Berdiri lama akan sebabkan saya sakit dari pinggang hingga ke dua belah kaki. Jadi sukar untuk berjalan.”
Mimpi Anak Balik Dengan Lelaki Bertubuh Tegap
Biarpun dalam keadaan sukar begitu, ayah ini masih meneruskan pencarian. Katanya, “buat cara kampung atau tradisional pun tiada maklumat yang tepat. Last sekali akan disuruh buat solat hajat. Semua yang kata kebanyakan berdekatan kawasan rumah, orang yang kenal, tapi tak dapat beri lokasi sebenar.”
Maklumat sebegini ada ketikanya buat dirinya keliru. Tidak tahu hendak kenal pasti mana satu kebenarannya. Biarpun hatinya sedih. Doanya agar Allah pulangkan anaknya kembali ke pangkuan dirinya.
“Sudah beberapa malam, asyik bermimpi Zahir balik bersama bayangan seorang lelaki berbadan tegap tapi rendah. Sepertinya dalam mimpi itu, bayangan lelaki tersebut ingin menghantar anakku. Tapi takut.”
“Bayangan di dalam mimpi berdekatan kawasan rumah saja. Apakah maksud mimpi itu.. siapakah bayangan lelaki itu.” tulisnya dalam status fb.
Ibu Dan Ayah Sudah Berpisah..
Maklum Fauzi lagi, dia dan ibu Zahir sudah berpisah. Bagaimana pun hubungan mereka baik. Dia pun sudah berkahwin lain, begitu juga ibu Zahir.
“Zahir duduk dengan ibunya. Tapi Zahir selalu datang rumah saya. Sebab rumah kami sebelah blok saja. Zahir ini anak manja ibunya dengan saya juga.”
“Dia ni suka menolong orang, peramah dan suka ketawa. Bila Hari Raya saya mesti terkenangkan Zahir yang suka kumpul duit raya. Nanti dia beli makanan ringan macam keropok, coklat dan aiskrim.”
Kehilangan Zahir amat memberi kesan padanya. Pastinya Syawal ini tiada lagi suara nakal anaknya yang manja itu. Tiada lagi duit raya untuk Zahir.
Biarpun kewangannya makin menipis, semangatnya untuk mencari Zahir sentiasa ada. Doanya agar Allah pertemukan kembali Zahir dengan mereka sekeluarga.
MW : Mendoakan semoga adik Zahir dapat ditemui semula dan kembali ke pangkuan keluarganya dengan selamat.
Sumber/Foto : Mohd Fauzi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
4 Tip Jimatkan Masa Prepare Barang Masak, Mak Super Sibuk Kena Tahu Teknik Simpan Lauk Frozen Terbaik Ini
Setiap kali nak masak, suri akan ambil masa kupas bawang, siang ikan, buang tahi bilis, potong sayur dan sebagainya. Untuk tiga jenis lauk ambil masa memasak sampai sejam lebih. Bayangkan, kalau masa rumit itu boleh dipendekkan.
Suri kena kreatif dan bijak. Seperti Puan Nadya Sufia Haji Sanusi ini dari masalah terlalu lama ambil masa memasak, akhirnya beliau jumpa satu solusi memendekkan masa memasak di dapur.
Tip yang dikongsikan ini membolehkan anda lebih konsisten memasak, lebih cepat, efisien dan paling penting boleh membekalkan makanan berkhasiat kepada anak setiap hari.
“Alhamdulillah, sejak zaman study dekat UIA hri-hari masak untuk husband Mohd Fadzil. Zaman houseman manage bekalkan anak bekal ke rumah pengasuh sampai sekarang walaupun tak ada periuk noxxa.”
“Masa awal-awal kahwin selalu husband complaint kita masak lambat, siap cakap ‘Mak saya masak sejam semua siap”, ish time tu memang kecik ja hati ni rasa.Ada ke compare kita dengan mak yang memang dah biasa buat catering and masak banyak-banyak. Rupanya ada tips, and memang menjadi!”
Ketika memasak, waktu prepare barang itulah yang lama. “Nak kupas bawang, nak tumbuk lagi, nak bersihkan ayam lagi, nak potong sayur lagi. So, bila jimatkan waktu prepare barang ni memang cepat sangat masa memasak. Kuali panas, masuk minyak, campak-campak dah siap.”
“Kalau nak beli bekas letak lauk boleh guna promo kod ni, super jimat.”
Tekniknya
* 1 hari dalam seminggu misalnya hari Jumaat, lepas balik kerja, ke kedai beli barang dapur.
* Sampai rumah bersihkan dan settlekan semua, dari menyiang sampailah masuk peti ais.
* Jangan beli barang mentah ketika busy. Nanti jawabnya masuklan ayam, ikan ke freezer lepas tu tak sempat kemas.
4 Tip Jimat Masa Prepare Barang Masak
1. Kenalpasti Masakan Yang Selalu Anda Masak
Kalau Nadya ni, Mek Klate. Jadi serai, limau semua tu banyak guna.So apa bahan yang kita selalu guna waktu masak, kita aim waktu nak masak nanti semua dah ready, so senang. Macam anak-anak Nadya suka sup,jadi memang selalu ada stok dada ayam potong dadu, carrot, potato, stok bawang dikisar.
2. Rancang Menu Seminggu
Jimat sikit belanja dapur bulanan dan jimat masa nak fikir hari ini nak masak apa, pernah bangun pagi tak ada idea nak masak apa. Dah ambil masa berfikir-fikir,ish.. membazir tu. Biasa Nadya masak 2 menu untuk bekal anak. Kalau letih sangat 1 menu pun jadilah.
3. Kerjasama Suami
Kena minta tolong suami jaga anak waktu nak prepare barang-barang ni. Alahai tak lama pun, bila selalu buat cepat ja preparenya, kalau suami malas, suruh dia yang prepare barang masak. Tapi pernah husband tolong basuhkan ayam lebih setengah jam, mak aih tak apalah bagi wife buatkanlah.
4. Kena Rajin Dan Usaha, Jadi Rajin Walaupun Malas
Kena rajin, bagi Nadya yang bekerja, bila tinggalkan anak dengan pengasuh, perasaan lega sikit sebab nanti tak terfikir-fikir anak aku makan ape ya, dah makan ke belum, cukup ke makanan. Masa zaman houseman, salah satu terapi nak hilangkan stress bagi nadya bawa bekal makanan anak. ok mak-mak sangat
Kelebihan Teknik Ini
*Bila masak sendiri, kita tahu apa yang dimasukkan, free MSG, free ajinamoto.
*Nadya bukan seorang yang pandai masak, rasa nak join kelas memasak saja, tapi bila masak anak cakap sedap.. hati pun rasa happy 🙂 Harap dapat bagi manfaat dekat ibu-ibu yang ada kekangan masa tapi nak masak yang terbaik untuk anak dan suami.
*Percayalah, air tangan ibu paling sedap, walaupun tak pandai masak sangat tapi masakan ibu anak akan ingat sampai bila-bila.
“Teringat pula nasi goreng telur ummi Nadya, simple tapi sebelum pergi sekolah hari-hari makan sampai sekarang tulah nasi goreng paling best!
Rujuk Tip Dan Teknik Pada Gambar Di Bawah
Ayam
Beli ayam hari yg sama kena terus bersihkan. Nadya suka asing bahagian dada. Bahagian dada potong kecil=kecil terus, buat sup ayam untuk anak and rencah kalau masak sayur. Paling bagus buat satu bekas untuk sekali masak. Nanti nak guna letak saja bawah air paip mengalir dalam 10 minit dah lembut.
Udang, Sotong
* Sotong bersihkan terus, buang dakwat, buang mata, potong siap-siap.Guna gunting saja lagi senang.
* Udang kalau baba Nadya selalu buang kepala, buang yang hitam kat belakang badan. Tapi ai tak buang kepala sebab nak nampak cantik rupa udang ni ekeke :p
Ikan
Pastikan hari beli ikan bersihkan siap-siap. Lepas tu letak dalam bekas ikut panjang ikan barulah ikan nampak cantik lurus ja takde bengkok-bengkok.. over ja.
Bawang Putih, Bawang Merah
Kisar halus semua bawang.Senang nak menumis nanti. Sebelum kupas bawang rendam dalam air 10 minit nanti senang kupas. Bawang merah, Nadya blend bawang bombay jimat masa nak kupas, rasa sama saja dengan bawang merah kecil tu. Kalau selalu buat masakan macam masak merah ke sambal, silalah blend bawang banyak-banyak, boleh tahan 2 minggu lebih. Yang penting masa guna sudu asingkan waktu guna nanti. Jangan guna satu sudu cedok semua bawang waktu masak, tak tahan lama jawabnye nanti.
Halia
Kisar halia siap-siap. Senang, Nadya memang ada stok halia kisar sebab anak suka sup ayam, ayam masak kicap. Oh ya, walaupun saya ni peminat tegar pink purple, tapi guna bekas lutsinar ja letak semua ni. Nanti senang nampak mana satu bawang merah mana satu halia.
Serai,Lengkuas, Daun Limau, Cili, Limau
Bahan-bahan nak masak paprik atau tomyam ni senangnya kalau dah siap dalam peti ais. Saya ni penakut orangnye, kan nak masak tomyam malam-malam takut pulak nak keluar rumah ambil serai, daun limau dan sebagainya.
Sayur
Luqman dan Hannan suka sangat carrrot.Jadi sayur yang selalu guna Nadya bersihkan siap-siap dan potong sekali. Kalau sayur hijau tak potong terus, nanti nak masak ambil saja guntingkan.. senang.
Ikan Bilis
Kisar ikan bilis, nanti boleh letak sebagai perencah masak sayur ke nasi goreng ke. Nampaknya orang Melaka selalu guna sebab tengok mak guna ikan bilis masak sayur, nasi, mihun, kuah kacang juga.
Cili Kisar
cili kering rebus dahulu, then kisar halus. Mak ajarkan simpan dalam plastik nanti tahan sebulan, kalau simpan dalam bekas cepat ja kulat.
Bawang Besar
Kupas dan bersihkan. Senang nanti nak letak dalam telur dadar ke, dalam masak merah ke terus hiris-hiris saja.
Kentang
Nadya suka kupas dan simpan dalam peti terus. Sebab selalu guna. Selalunya kupas untuk 3 hari, tak boleh simpan lama cepat lebam plak nanti. Kalau nak tahan lagi lama letak dalam bekas then isi air sikit.
Contoh Masakan Dengan Bahan Sedia DiKupas/Bersihkan
Tomyam Campur
Ni 3 hari lepas nak masak tomyam awal pagi untuk anak. Bangun, buka peti keluarkan semua, kejap ja dah siap, lepas tu dah siap simpan balik semua, kurang masa membasuh pagi-pagi.
Sup Sayur
Sumber/Foto: Nadya Sufia Hj Sanusi via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Alhamdulillah Setelah 11 Tahun Menanti, Datuk Siti Nurhaliza Umum Hamil Empat Bulan
Selepas 11 tahun menanti dengan penuh sabar, penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza mengumumkan berita kehamilan empat bulan dalam satu sidang media.
“Alhamdulillah, moga Allah mempermudahkan segalanya dan saya bersyukur segalanya berjalan lancar pada malam ini. Terima kasih di atas doa-doa anda selama ini dan Alhamdulillah, dimakbulkan Allah pada tahun ke-11 perkahwinan kami.”
Pastinya inilah berita paling gembira bukan saja buat Datuk Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa malah untuk seluruh peminat yang berada di tanah air mahupun peminatnya di luar negara.
Datuk Siti Hamil 4 Bulan
Dalam kenyataannya, Datuk Siti menjelaskan “Pertamanya setelah melalui fasa dan tempoh tertentu, saya dan suami mencapai kata sepakat untuk mengumumkan kepada anda semua bahawa saya sedang hamil empat bulan. ”
“Alhamdulillah tiada kata yang dapat menggambarkan rasa syukur dan gembiranya kerana Allah memberikan kurniaan yang terlalu agung ini selepas 11 tahun kami bersabar.”
“Inilah juga menjadi sebab utama kepada saya memilih untuk berehat kerana kandungan dan bayi ini menjadi keutamaan saya.”
Datuk Siti juga memaklumkan yang sidang media tersebut bagi menjelaskan agar pihak yang berurusan dengan pengurusannya, SNP memahami keadaan beliau yang tidak dapat memenuhi sebarang undangan sejak beberapa bulan lalu dan juga untuk suatu tempoh pada masa depan.
“Suka saya untuk berkongsi rasa syukur dan gembira kerana saya masih diberi menerima undangan untuk mengadakan konsert, persembahan, kemunculan di televisyen dan radiao serta menjadi jurucakap kepada pelbagai produk.”
“Sayang sekali, kebanyakan tidak dapat saya penuhi. Bagaimanapun, saya juga harus melunaskan beberapa tugasan juga selepas ini yang bersesuaian dengan keadaan saya.”
Terjawablah Tanda Tanya Selama Ini
Dengan penjelasan Datuk Siti itu maka terjawablah segala tanda tanya dan desas desus tentang diri beliau selama ini. Yang Datuk Siti tidaklah menghilangkan diri dari industri tapi demi kandungan yang dinanti untuk sekian lama, bakal ibu ini rela berkorban kerjaya yang sudah sebati dengannya.
“Telah terjawab tanda tanya itu kerana saya memutuskan untuk berehat disebabkan oleh kehamilan sulung ini.” Terang Datuk Siti dalam sidang media itu.
Datuk Siti pernah melalui fasa sukar di penghujung tahun 2015. Kesedihan yang dialami beliau bukan saja mengejutkan ramai orang, malah kesedihan itu amat dirasai. Semoga dengan kehadiran cahaya mata dalam kandungan Datuk Siti ini akan dilimpahi dengan kegembiraan dan keceriaan berpanjangan buat artis wanita yang begitu disayangi ramai.
Besar sekali harapan kami warga kerja di Mingguan Wanita mendoakan agar kandungan Datuk Siti kali ini dalam lindungan dan rahmatNya. Setiap tahun Datuk Siti tak pernah terlepas jadi penghias muka depan majalah Mingguan Wanita dan berita ini memberi kesan yang cukup membahagiakan buat kami juga.
Semoga bayi dalam kandungan Datuk Siti membesar dengan sihat dan baik sepanjang 9 bulan kehamilan ini. Amin.
Video Sidang Media Datuk Siti Nurhaliza
Sumber/Foto : Instagram ctdk (Siti Nurhaliza Tarudin)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI