Gempa bumi yang menggegarkan wilayah Turkiye dan Syria baru-baru ini membuatkan banyak bangunan-bangunan dan kediaman hancur dan musnah menyembah bumi. Ramai mangsa runtuhan yang masih terselamat pula hilang tempat kediaman untuk berteduh.
Pelbagai negara dan pihak di seluruh dunia turut bersimpati terhadap musibah dahsyat yang melanda ini. Malah turut berganding bahu, memberi bantuan dalam pelbagai sudut yang diperlukan.
Terbaru, Qatar antaranya mendermakan sepuluh ribu kabin dan tempat penginapan sementara yang digunakan semasa Piala Dunia 2022 kepada Turki dan Syria untuk menampung para mangsa yang kediaman mereka musnah akibat gempa bumi.
Seorang pegawai Qatar memberitahu Reuters demikian pada Isnin (13 Feb).
Kapal yang mengangkut 350 unit pertama sudah berlepas dari Qatar menuju ke Turki pada Ahad (12 Feb), kata pegawai itu.
Qatar berikrar untuk menghantarkan 10,000 unit tempat penginapan sementara ke kawasan-kawasan gempa bumi, menurut Dana bagi Perbangunan Qatar dalam satu ciapan di Twitter pada Ahad.
“Memandangkan keperluan mendesak di Turki dan Syria, kami mengambil keputusan untuk menghantar kabin dan karavan ke wilayah tersebut, menghulurkan bantuan serta-merta yang amat diperlukan kepada warga Turki dan Syria,” kata pegawai itu.
Angka korban di Turki dan Syria, ekoran gempa bumi 7.8 pada skala Richter pada 6 Februari lalu serta gempa susulan, kini sudah melepasi 41,000. 35,418 kematian di Turkiye dan lebih 5,800 kematian di Syria.
Jumlahnya dijangka terus meningkat, dengan tumpuan beralih daripada menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan kepada menyediakan tempat perlindungan, makanan serta jagaan psikososial.
Penganjur Piala Dunia Qatar sememangnya merancang untuk mendermakan unit-unit tempat penginapan itu, yang diletakkan di kawasan padang pasir sekitar ibu kota Doha demi menampung para peminat bola sepak yang mengunjungi negara itu bagi menyaksikan kejohanan Piala Dunia.
Peminat bola sepak membayar kira-kira AS$200 (S$265.72) semalam untuk menginap di unit tersebut. Kabin-kabin itu membantu untuk mengelakkan potensi kekurangan tempat tinggal sewaktu tempoh kejohanan tersebut, yang berlangsung sepanjang sebulan dari November hingga Disember lalu.
Mesti Baca:Sekadar Minum Melalui Penutup Botol, Kanak-Kanak Tersepit Di Celah Runtuhan Batu Bersabung Nyawa
Baca Lagi Di Sini:Turkiye Dilanda Gempa Bumi 7.8 Magnitud, Kekuatannya Bersamaan 472.4 Biji Bom Atom Dilepaskan Serentak
Artikel Menarik:BAYI Yatim Piatu Lahir Di Bawah Runtuhan SIHAT, REZEKI Disusukan Isteri Pengarah Hospital
Mingguan Wanita:Alhamdulillah terbaik Qatar dan negara-negara lain seluruh dunia yang turut menyumbang dalam musibah gempa bumi di Turki dan Syria ini.
Sumber : Reuters/Mediacorp.sg
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.