Gempa bumi yang menggegarkan wilayah Turkiye dan Syria baru-baru ini membuatkan banyak bangunan-bangunan dan kediaman hancur dan musnah menyembah bumi. Ramai mangsa runtuhan yang masih terselamat pula hilang tempat kediaman untuk berteduh.
Pelbagai negara dan pihak di seluruh dunia turut bersimpati terhadap musibah dahsyat yang melanda ini. Malah turut berganding bahu, memberi bantuan dalam pelbagai sudut yang diperlukan.
Derma Kabin Piala Dunia
Terbaru, Qatar antaranya mendermakan sepuluh ribu kabin dan tempat penginapan sementara yang digunakan semasa Piala Dunia 2022 kepada Turki dan Syria untuk menampung para mangsa yang kediaman mereka musnah akibat gempa bumi.
Seorang pegawai Qatar memberitahu Reuters demikian pada Isnin (13 Feb).
Kapal yang mengangkut 350 unit pertama sudah berlepas dari Qatar menuju ke Turki pada Ahad (12 Feb), kata pegawai itu.
Ads
Hantar 10 Ribu Kabin
Qatar berikrar untuk menghantarkan 10,000 unit tempat penginapan sementara ke kawasan-kawasan gempa bumi, menurut Dana bagi Perbangunan Qatar dalam satu ciapan di Twitter pada Ahad.
“Memandangkan keperluan mendesak di Turki dan Syria, kami mengambil keputusan untuk menghantar kabin dan karavan ke wilayah tersebut, menghulurkan bantuan serta-merta yang amat diperlukan kepada warga Turki dan Syria,” kata pegawai itu.
Angka korban di Turki dan Syria, ekoran gempa bumi 7.8 pada skala Richter pada 6 Februari lalu serta gempa susulan, kini sudah melepasi 41,000. 35,418 kematian di Turkiye dan lebih 5,800 kematian di Syria.
Ads
Jumlahnya dijangka terus meningkat, dengan tumpuan beralih daripada menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan kepada menyediakan tempat perlindungan, makanan serta jagaan psikososial.
Penganjur Piala Dunia Qatar sememangnya merancang untuk mendermakan unit-unit tempat penginapan itu, yang diletakkan di kawasan padang pasir sekitar ibu kota Doha demi menampung para peminat bola sepak yang mengunjungi negara itu bagi menyaksikan kejohanan Piala Dunia.
Ads
Peminat bola sepak membayar kira-kira AS$200 (S$265.72) semalam untuk menginap di unit tersebut. Kabin-kabin itu membantu untuk mengelakkan potensi kekurangan tempat tinggal sewaktu tempoh kejohanan tersebut, yang berlangsung sepanjang sebulan dari November hingga Disember lalu.
Mingguan Wanita:Alhamdulillah terbaik Qatar dan negara-negara lain seluruh dunia yang turut menyumbang dalam musibah gempa bumi di Turki dan Syria ini.
‘Peguam pemerhati tak boleh kata apa-apa, melainkan diminta.’ Perhatian dan sokongan TMJ (Tengku Mahkota Johor) pada kes bella bawa kesan berbeza menurut peguam, Puan Nor Zabetha daripada Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co.
Jelasnya bila orang berkepentingan seperti TMJ memberi perhatian kepada kes Bella sedikit sebanyak akan memberi kesan. Sesungguhnya kes yang dibicarakan di mahkamah memang kebiasaanya bersifat neutral.
Kita boleh lihat-lihat perjalanan kes yang lain juga. Misalnya ada pemimpin yang didakwa dan disabitkan kesalahan dan menunggu keputusan rayuan di mahkamah.
Jadi berkenaan kes itu, saya tidak dapat melihat ianya memberikan impak kepada keputusan Mahkamah tetapi lebih kepada impak kekuatan dan semangat mereka yang mengikuti perkembangan kes Bella ini.
Bawa Kesan Berbeza
Kadang-kadang faktor seperti bilangan peguam, misalnya 10 peguam ada memberi kesan kepada penerimaan orang awam dan memberikan andaian berkenaan dengan kekuatan kes. Jadi sekiranya TMJ memberikan sokongan dan perhatian sudah tentu ia membawa kesan yang berbeza.
Manakala apabila ditanya tentang empat Peguam Pemerhati yang dilantik TMJ telah melantik beberapa peguam pemerhati dalam kes Bella, apakah fungsi sebenar peguam pemerhati ini?
Jelas Puan Nor Zabetha, secara ringkas peguam pemerhati bukanlah pihak-pihak kepada pembelaan ataupun yang mewakili pendakwaan tetapi dibenarkan sebagai pemantau. Tidak boleh berkata apa-apa melainkan dijemput atau diminta oleh Mahkamah untuk berkata-kata.
Berbeza sekiranya mereka bertindak sebagai ‘amicus curiae’ atau dikenali sebagai sahabat mahkamah yang boleh memberikan pandangan, membuat laporan (tertakluk jika dibenarkan) kepada sesuatu kes dan boleh mencelah sewaktu perbicaraan dan hal begini boleh menjadi juga faktor penentu kepada keputusan sesuatu kes.
Melainkan DiMinta
Tambah Nor Zabetha, banyak kes yang mangsa atau pengadu dalam kes-kes jenayah melantik peguam pemerhati kerana kes jenayah ini berbeza prosiding dengan kes sivil.
Bagi kes jenayah, perbuatan jenayah yang dibuat adalah menganggu ketenteraman awam dan boleh memberikan kesan kepada masyarakat.
Oleh yang demikian, kesalahan itu adalah terhadap masyarakat dan negara. Jadi dari peringkat aduan atau laporan polis, siasatan oleh pihak polis manakala kes mangsa atau pengadu akan diwakili dan dikendalikan oleh pendakwaraya.
Pengadu atau mangsa tidak boleh melantik peguam sendiri bagi meneruskan pendakwaan. Sekiranya mangsa masih ingin melantik peguam sendiri sebagai penasihat kepada mangsa berkaitan dengan prosiding kes atau menerangkan hal-hal berkaitan undang-undang, mangsa boleh melantik peguam pemerhati untuk memantau kesnya di mahkamah.
Akhir sekali tambah Nor Zabetha, apa-apa kes jenayah pun boleh melantik Peguam Pemerhati asalkan mangsa atau pengadu memutuskan untuk melantik peguam pemerhati sebagai pemantau dan menasihatkan dan menerangkan perjalanan kes kepada mangsa atau pengadu.
Mingguan Wanita : Semoga keadilan berpihak kepada Bella dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik buat adik Bella. #justiceforbella
Menjadi seorang guru tugasnya bukan hanya sekadar mengajar. Bersikap prihatin dan ambil berat terhadap anak-anak murid juga salah satu tugasan yang harus digalas oleh mereka yang bergelar cikgu.Hatta, jika ada anak murid yang tak pandai memakai tudung mahupun berbaju comot ketika disekolah juga mampu terselit kisah yang menceritakan punca sebenar.
Perkongsian kisah menarik ini dikongsikan oleh cikgu yang prihatin, Mohd Fadli Salleh. Semoga mak ayah memperoleh manfaat daripada kisah ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Tahun lepas, ada seorang murid tahun satu yang sangat pendiam. Perempuan. Aku perasan tudung dia selalu tutup dahi. Macam tak pandai pakai tudung. Baju pun selalu comot.
Tahun ini, dia masih tidak pandai pakai tudung. Masih begitu, bajunya juga masih comot-comot. Banyak kali aku bertanya tentang keluarga, tapi dia mendiamkan diri sahaja.
Tahun ini dia tidak keseorangan. Dia berteman. Ada adik lelaki di tahun satu. Adik dia ini sangat aktif. Hyperaktif aku rasa. Memang langsung tak boleh duduk diam dalam kelas, dewan atau perhimpunan.
Pakaian adik dia pun sama juga. Tidak terurus dan selalu comot.
Dua hari lepas, adik dia dengan sengaja pecahkan bangku kantin. Bangku buah-buahan yang aku beli dengan duit kiriman sahabat-sahabat aku yang baik hati.
Maka unit disiplin, guru kelas dan pentadbir berbincang. Perlu panggil ibu bapanya untuk bincang kelakuan anaknya yang hyperaktif ini. Mencari jalan terbaik bagi murid ini agak tidak ternafi haknya untuk belajar dengan sempurna.
Kerja Buruh
Hari ini, selepas habis kelas pertama ada pengawas datang menjemputku ke pejabat. Katanya pentadbir panggil. Aku dah agak, pasti si ayah murid itu telah datang.
Dengan tenang aku terus ke pejabat. Diluar pintu pejabat, ada sepasang kasut lusuh. Nampak comot dengan selut dan kotoran.
‘Ini kasut orang kerja buruh,’ getus hati aku.
Sebaik masuk, kelihatan lelaki lewat 40an duduk bersama barisan pentadbir. Mukanya kelihatan penat, malah peluh pun tidak sempat kering dari baju.
Kulitnya gelap. Nampak jelas kerjanya pasti dibawah terik mentari. Tangannya kasar dan kotor tanda kerja berat.
Aku bersalaman dan menegur dia dengan mesra. Duduk betul-betul disebelah dia dan sesekali aku bergurau mencuit paha dan memegang bahunya. Tidak sesekali aku merasa geli atau membuat muka tidak selesa walau bau badannya tidak sewangi orang kerja pejabat.
Aku tidak mahu dia resah dan rasa bersalah. Aku nak dia tahu, kami bukan hendak menyalahkannya. Sikap budak, memang begitu. Namun kami ada minta dia bawa anaknya ke Hospital Selayang unit Mekar untuk pemeriksaan.
Anak Kategori Istimewa ADHD
Pada pengamatan mata kasar aku dan guru-guru lain, anak dia ini kategori istimewa. ADHD mungkin. Sangat aktif hingga sukar dikawal.
Aku susun ayat sebaik mungkin, memberitahu dia dengan lembut. Dia terima dengan tenang, dan dia pun tahu anak dia memang tidak terkawal. Dia berjanji akan bawa anak lelakinya itu ke hospital secepat mungkin.
Bila disahkan, anak dia boleh masuk kelas pemulihan. Kelas yang layak dan sepatutnya anak itu duduk dan belajar. Lagi pun, murid pendidikan khas ini ada elaun.
Tunggu Dapat Gaji
Sebelum dia beredar, kami bagitahu kerosakan yang dibuat anaknya perlu diganti. Dengan serba salah dia cakap,
“Cikgu. Boleh. Tapi tunggu saya dapat gaji ya.”
Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu. Gugur seketika. Nilai bangku itu yang tidaklah besar di zaman ini. Tapi masih ada yang perlu tunggu gaji.
Terus aku pegang bahu dan mengajaknya pergi. Aku bukakan pintu pejabat, aku tunggu dia sarung kasut buruk itu.
Aku iringi setiap langkah dia ke motor buruknya sambil bertanya tentang kehidupannya.
“Abang kerja kat mana?”
“Saya kerja kat Kuang. Kerja ukur jalan. Ni dari Kuang dapat telefon dari sekolah terus saya datang.”
Allah. Kuang ke Gombak bukan dekat. Dengan motor tengah panas terik pula tu. Terus tinggal kerja bila tahu anak buat angkara.
“Rumah abang kat mana? Isteri kerja apa? Anak berapa orang?” soalku bertalu-talu.
“Rumah saya di Batu 5. Anak saya empat. Yang paling kecil, kembar dua orang duduk dengan isteri saya. Yang sulung tahun dua dan tahun satu ini tinggal dengan saya. Dah tiga tahun kami berpisah,” balasnya tenang.
Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Aku minta dia hubungi aku terus kalau ada apa-apa. Nombor telefon aku tinggalkan, dan dia berlalu pergi.
Berlalu pergi dibawah teriknya sinar mentari untuk mencari sesuap rezeki.
Dijaga Oleh Ayah
Patutlah. Patutlah anak perempuannya tidak pandai pakai tudung. Rupanya dijaga oleh ayah sejak sekian lama.
Ayah yang kerja buruh mana pandai hendak pakaikan anak perempuan tudung. Asal tersarung, asal tertutup rambut baginya dah cukup elok.
Pakaian patutlah selalu nampak comot. Tidak terjaga seperti orang lain yang punya keluarga. Rupanya tinggal bersama ayah.
Kelu. Aku kelu sebenarnya.
Terharu. Aku sangat terharu melihat pengorbanan seorang bapa. Jika aku ditempat dia, aku pun tidak tahu apa aku mampu menjaga anak aku sebaik dia.
Makan minum, sakit demam, duit belanja, basuh pakaian dan segala urusan rumah tangga seorang diri. Menguruskan anak bukan mudah. Tambah-tambah bagi kaum lelaki.
Sebaik dia jawab hendak ganti kerusi itu bila dapat gaji, terus aku niatkan dalam hati,
‘Bangku yang perlu diganti itu aku yang akan ganti. Bahkan apa keperluan anak-anaknya yang mampu aku bantu, aku cuba bantu.’
Esok aku akan settlekan hal bangku diam-diam. Esok juga aku nak jumpa ustazah guru kelas anak sulungnya, minta ustazah tolong ajar murid ini pakai tudung dengan betul.
Semoga anak-anak ini rajin belajar seterusnya menjadi insan yang berguna dan berjasa.
Kerana bangku pecah semuanya terdedah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah.
#MFS
– Kasih seorang bapa.
Semoga kisah ini bermanfaat! Benar, jaga anak tidak mudah. Selepas berlaku penceraian tidak mudah menguruskan anak-anak seorang diri, lebih-lebih lagi jika peranan tersebut digalas seorang lelaki yang bergelar bapa.
Setiap kali tibanya musim haji, isu Visa Furada pasti dibangkitkan terutamanya apabila ada bakal jemaah yang terkandas di lapangan terbang gara-gara visa ini. Ramai yang mungkin kurang jelas apa yang dimaksudkan dengan menunaikan haji di tanah suci menggunakan visa Furada ini.
Meskipun visa furada ini lebih mahal dan tiada subsidi daripada pihak tabung haji namun ada sebabnya ia tetap menjadi pilihan bagi sebahagian jemaah.
Baca perkongsian daripada Puan Mona Dinyang pernah mengerjakan haji bersama suami pada 2015 menggunakan Visa Furada ini sebagai panduan.
MENGERJAKAN HAJI MELALUI VISA FURADA
Saya ingat saya pernah berjanji nak bercerita tentang Pakej Haji Visa Furada, yang saya gunakan semasa melakukan haji yang saya buat tahun sudah, 2015.
Dan sebab ada few friends yang dok pm saya bertanya tentang visa Furada, maka untuk menunaikan janji saya, di bawah ni saya bagi sikit info ringkas tentang Haji Visa Furada.
Visa Furada
Visa Furada adalah visa yang diberikan secara terus oleh kerajaan Arab Saudi kepada beberapa individu-individu / syarikat-syarikat tertentu, di sebabkan pelbagai faktor.
Dan kita-kita yang melakukan Haji Furada actually pergi menggunakan visa dari mereka-mereka tersebut, yang mereka salurkan kepada mana-mana agensi untuk menguruskannya.
Pemergian ke Tanah Suci bagi menunaikan HAJI menggunakan VISA FURADA adalah sah dari segi undang-undang Malaysia, dan juga sah dari segi undang-undang Arab Saudi.
Tak Termasuk Dalam Kouta Tabung Haji
Visa Furada tidak termasuk di dalam kuota Tabung Haji.Jemaah haji yang menggunakan VISA Haji FURADA ini tiada kaitan dengan LTH ( Lembaga Tabung Haji ), sebaliknya mereka di uruskan oleh mana-mana travel agensi swasta, dan masa kerja haji nanti akan di letakkan di bawah maktab jemaah haji ANTRABANGSA dan bukannya bersama jemaah TH group Malaysia, kerana mereka tidak termasuk dalam kuota negara yang di salurkan melalui Tabung Haji.
Haji Visa Furada ni selalunya dipilih oleh :
1. Waktu Fleksibel
Bakal jemaah yang sentiasa sibuk dengan urusan bisnes dan mahukan pakej yang flexible dari segi tarikh berangkat & pulang, serta jumlah hari yang lebih singkat.
2. Tak Dapat Menunggu Giliran
Bakal jemaah yang tidak dapat menunggu giliran menunaikan haji melalui LTH yang lebih lama.
3. Ibadah Tahunan Golongan Kaya
Golongan kaya yang suka menjadikan amalan mengunjungi tanah suci samada untuk umrah mahu pun haji, sebagai ibadah tahunan mereka.
4.Golongan Lanjut Usia
Golongan yang kritikal untuk mengerjakan haji ekoran usia yang sudah lanjut, di mana kadang-kadang umur 65 tahun tidak terpilih oleh Tabung Haji lagi, jadi keluarga pun membiayainya melalui Pakej Haji Furada.
5. Baru Buat Haji
Golongan yang baru buat haji, tapi mahu pergi lagi dan mereka tidak mahu menunggu syarat TH yang hanya boleh mendaftar kembali selepas 5 tahun dari balik haji sebelum nya. Jadi mereka hanya boleh pergi lagi dengan lebih cepat, sebelum tempoh 5 tahun, hanya melalui visa furada.
Visa Persendirian
Visa Furada adalah visa persendirian dan apabila jemaah haji furada mengerjakan haji, nama mereka dimasukkan dalam kumpulan jemaah haji antarabangsa, iaitu jemaah-jemaah yang datang dari negara-negara lain, dan bukannya bersama rakyat Malaysia kerana mereka tidak berdaftar dengan Tabung Haji.
Khemah-khemah jemaah visa/haji furada semasa di Arafah & Mina akan berada di kawasan maktab jemaah-jemaah antarabangsa dari negara-negara luar seluruh dunia, seperti negara China, Jepun, Korea dan lain-lain dan tidak berdekatan dengan maktab TH rakyat Malaysia.
Setiap tahun, sekitar 1,500 hingga 2,000 orang jemaah haji yang berjaya mengerjakan haji melalui visa furada.
Harga Lebih Mahal & Tiada Subsidi
Haji melalui visa Furada lebih mahal dari Pakej THaji. Ini kerana jemaah visa Furada tidak mendapat subsidi dari THaji.
Mereka yang menunaikan haji Furada / secara persendirian selalunya perlu membayar sekurang-kurangnya RM35,000 dan ke atas, kerana perbelanjaan pemprosesan visa sahaja dengarnya sudah memakan belanja kira-kira RM15,000 lebih. Itu belum lagi tiket kapal terbang, tempat tinggal, pengangkutan dan lain-lain. Tak boleh dapat dapat harga pakej paling murah seperti di bawah Tabung Haji.
Kerana itu, walau telah membayar mahal untuk visa furada, jangan mengharapkan servis istimewa seperti pakej mahal tabung haji, kerana visa furada ini sememangnya kos menguruskannya, lebih tinggi.
Mengerjakan haji melalui Visa furada adalah halal dan sah, tidak mengambil hak rakyat Malaysia yang lain, kerana ia tidak menganggu kuota negara yang di salurkan melalui tabung haji.
Tetapi visa furada mungkin kadang-kadang akan mengalami sedikit masalah here and there, kerana ia adalah visa terbuka antarabangsa, yang di uruskan oleh hanya agensi-agensi kecil, (tanpa bantuan tabung haji ), dan masa kerja haji akan berada dalam maktab besar berserta jemaah negara-negara lain.
Lebih Berhati-Hati Menggunakan Visa Furada
Cuma yang paling penting, berjaga-jaga, check betul-betul bila nak sertai haji menggunakan visa furada, pastikan agensi-agensi yang menguruskan benar-benar jujur dan bertauliah, serta betul-betul memiliki visa furada. Ini kerana, ada juga yang menipu.
Pastikan anda pergi dengan agensi berdaftar dan besar, yang memiliki track rekod bersih, dan telah pernah mnguruskan haji furada, beberapa kali.
Sentiasa bersedia untuk sebarang masalah, terutama hal-hal teknikal, bersabar, berdoa dan terus berusaha. Semoga sentiasa di permudahkan.
Semoga sedikit info dari saya bermanafaat untuk sahabat-sahabat semua.
Bekas suami Kim Seri sah ke penjara, "terima kasih Kim Seri, kau kejam, Allahuakbar... Kes penipuan jenayah melibatkan Kim Seri yang menipu pelancongan ke...